HOKI – Pulang tanpa kemenangan

Oleh FIKRI AJLAN
sukan@utusan.com.my


Austin Smith (tengah) meraikan kejayaan meledak gol keempat Afrika Selatan ketika pasukan itu membelasah Malaysia 6-2 dalam perlawanan terakhir Piala Dunia di The Hague, Belanda semalam. – AFP

KUALA LUMPUR – Memulakan kempen dengan meyakinkan, Malaysia bagaimanapun menutup cabaran hoki Piala Dunia dengan mengecewakan apabila gagal mencatat walau satu pun kemenangan apabila tewas 2-6 kepada Afrika Selatan dalam penentuan tempat ke-11 di Stadium Hoki Kyocera, The Hague, Belanda semalam.
Seperti biasa, pasukan negara memulakan permainan dengan baik dan mengawal rentak, namun pada pertengahan saingan anak-anak buah Muhammad Dharma Raj Abdullah membenarkan kebangkitan Afrika Selatan dan menyaksikan gawang mereka dibolosi enam kali pada separuh masa kedua.
Kekalahan itu bukan saja me­nyaksikan Malaysia terpaksa menamatkan kempen tanpa sebarang kemenangan, keputusan yang sedikit mengecewakan buat pasukan yang datang ke The Hague bersama misi memburu tempat 10 terbaik.
Pukulan penalti yang diberikan kepada Afrika Selatan pada babak kedua menyentap semangat anak-anak buah Dharma dan menyebabkan mereka hilang kosentrasi.
“Mereka mula hilang fokus selepas itu (lawan diberikan pukulan penalti) dan melepaskan tiga gol pantas menerusi pukulan sudut penalti.
“Ini adalah pengajaran berguna buat pemain-pemain kami apabila beraksi di tahap seperti ini.
“Anda tidak boleh melakukan kesilapan mudah dan meletakkan harapan terlalu tinggi untuk menang. Kami bermain baik di awal permainan, namun tidak cukup bagus untuk mengekalkan rentak.
“Afrika Selatan juga menun­juukkan kesungguhan untuk mengelak daripada menamatkan cabaran di kedudukan tecorot dan mereka jelas lebih baik daripada pasukan negara pada separuh masa kedua,” akui Dharma.
Dalam aksi semalam, Malaysia gagal menyelamatkan maruah negara yang tercalar sekali pun berjaya meledak gol pembukaan pada minit ke-26 menerusi jaringan padang Firhan Ashaari.
Namun, kegembiraan pasukan negara tidak kekal lama apabila Afrika Selatan berjaya menyamakan kedudukan melalui pukulan penalti yang disempurnakan Justin Reld-Ross pada minit ke-43 dan pintu gol Malaysia sekali lagi dibolosi selang dua minit berikut melalui pemain yang sama.
Afrika Selatan melebarkan kedudukan 3-1 apabila Reld-Ross menyempurnakan jaringan daripada pukulan sudut penalti pada minit ke-48 dan pasukan itu menambah gol keempat pada minit ke-50 hasil jaringan padang Lyold Jones.
Austin Smith menjadikan kedudukan 5-1 apabila meledak gol menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-64 dan Afrika Selatan berpesta jaringan setelah Jean-Pierre de Voux menyumbat gol keenam pada minit ke-69.
Sebelum perlawanan berakhir, Malaysia memperoleh gol kedua melalui Shahrun Nabil Abdullah yang sudah tidak memberi sebarang erti kepada pasukan negara.


HOKI – ‘Pemain dah sedar tahap mereka’

Oleh SUFIAN HADI MOHD. SOJAK
sukan@utusan.com.my


PEMAIN negara, Faizal Saari (kiri) cuba mencuri bola daripada pemain Australia, Simon Orchard dalam perlawanan pertama kedua-dua pasukan di Piala Dunia di The Hague, Belanda. Malaysia kalah 4-0.

KUALA LUMPUR – Bukan satu, malah ramai yang melahirkan rasa bimbang terhadap prestasi skuad hoki negara yang terpaksa mengharungi episod sedih apabila tewas dalam kesemua perlawanan dalam Kumpulan A, Piala Dunia di The Hague, Belanda.
Bagaimanapun jurulatihnya, Muhammad Dharma Raj Abdullah mahu anak-anak buahnya melupakan detik hitam itu dan menumpukan perhatian kepada perlawanan klasifikasi tempat ke-11/12 pada Khamis ini.
Meskipun tiada sebarang ramuan istimewa diletakkan bagi perlawanan itu, namun Muhammad Dharma mempunyai strategi tersendiri bagi memartabatkan sukan hoki di negara ini dalam jangka masa panjang.
“Tentang tempat ke-11 dan 12, kami akan cuba yang terbaik menentang Afrika Selatan atau Korea Selatan. Lawan pun cukup mantap. Bukan senang hendak menang.
“Bagaimana kita mahu bergerak selepas Piala Dunia dan mencari tempat ke Sukan Olimpik 2016, itu lebih penting.
“Kalau kita tidak bermain di Piala Dunia di sini, pemain tidak akan tahu ukuran apa yang dimaksudkan kelas dunia dan masih tertanya apa itu sederhana dan hebat. Kita kena fikir macam mana hendak mencipta pemain bertaraf dunia.
“Sememangnya tahap dunia kita memang jauh dari yang lain. Sebelum ini pun kita jauh. Piala Dunia 1998 dan Sukan Olimpik 2000 dapat No. 11. Selepas dua pengalaman ini pemain sama dapat No. 8 pada edisi 2002 di Kuala Lumpur.
“Banyak pemain muda di sini. Kebanyakan jurulatih di sini merasakan bahawa Malaysia sedang membina sebuah pasukan bagi menghadapi cabaran akan datang. Harap pengalaman di Piala Dunia akan mengubah cara pemikiran pemain pada masa hadapan,” katanya apabila dihubungi.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140611/su_02/Pemain-dah-sedar-tahap-mereka#ixzz34IIZKwr5  © Utusan Melayu (M) Bhd 



HOKI – Malaysia kalah kali keempat

Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my


MUHAMMAD Razie Abdul Rahim (tengah) menjaringkan gol penyamaan Malaysia, namun tidak mampu membantu pasukan negara tewas kepada India, semalam.

KUALA LUMPUR – Malaysia kini tiada pilihan kecuali menewaskan Sepanyol pada aksi terakhir Kumpulan A Piala Dunia 2014 esok jika mahu menghidupkan peluang memenuhi sasaran 10 terbaik selepas tewas 2-3 kepada India, di Stadium Green Field, The Hague, Belanda, semalam.
Malaysia kini terus menghuni tangga tercorot tanpa sebarang mata selepas empat kekalahan dan mereka perlu menang untuk beraksi dalam klasifikasi sembilan dan sepuluh.
Peluang Malaysia untuk menamatkan saingan peringkat kumpulan di kedudukan kelima masih terbuka selepas Se­pan­yol kalah kepada Belgium sema­lam.
Pemain pertahanan Malaysia, Muhammad Razie Abdul Rahim sedar tiga mata penuh pada perlawanan terakhir amat penting bagi menghidupkan peluang 10 terbaik.
“Kami telah bermain dengan sebaik­nya hari ini, namun nasib tidak menyebelahi kami.
“Kekalahan kepada India amat mengecewakan kerana kami telah merancang dengan sebaiknya untuk mendapatkan kemenangan tetapi tidak berjaya,” kata Razie.
Skuad bimbingan Muhammad Dharma Raj Abdullah bermula baik de­ngan hantaran tepat dan pergerakan yang tersusun namun gol pertama lawan pada minit ke-15 menerusi pukulan sudut penalti Jasjit Singh Kular membuatkan Malaysia tertekan sepanjang babak pertama.
Bermula babak kedua menyaksikan Razie berjaya me­nyamakan kedudukan selepas pukulan sudut penaltinya pada minit ke-46 tepat memasuki gawang India sebelum pemain pasukan lawan, Akashdeep Singh dapat menjarakkan pada minit ke-49 untuk kedudukan 2-1.
Akashdeep Singh terus menambah derita skuad kebangsaan apabila jaringan padangnya pada minit ke-51 gagal dihalang oleh penjaga gol Malaysia, S. Kumar.
Usaha Malaysia untuk mengurangkan jurang jaringan jelas kelihatan apabila pemain skuad kebangsaan, Muhammad Marhan Jalil dapat menjaringkan gol kedua pada minit ke-61.
Namun, ia tetap tidak berjaya untuk menghalang India daripada me­raih tiga mata penuh.


HOKI – Malaysia buntu cari kemenangan

Oleh SUFIAN HADI MOHD. SOJAK
sukan@utusan.com.my


Penjaga gol Malaysia, S. Kumar berhempas pulas untuk menyelamatkan percubaan pemain England, Tom Carson dalam aksi Piala Dunia di The Hague, Belanda semalam. – AFP

KUALA LUMPUR – Tewas buat kali ketiga berturutturut menyaksikan peluang Malaysia untuk memperbaiki kedudukan dalam Kumpulan A kejohanan hoki Piala Dunia kini semakin sukar.
Semalam, anakanak buah Muhammad Dharma Raj Abdullah terus buntu untuk mencari kemenangan sulung apabila tunduk 0-2 kepada England di Stadium Kyocera, The Hague, Belanda.
Kekalahan tersebut sekali gus menyaksikan pasukan negara kekal menduduki tangga tercorot daripada enam negara lain dalam kumpulan tanpa memperoleh sebarang mata.
Dalam aksi tersebut, keduadua pasukan memberikan tentangan sengit dalam memburu kemenangan, bagaimanapun Mark Gleghorne pantas meletakkan England di hadapan seawal minit keempat menerusi gol padang diikuti Ashley Jackson, melalui sudut penalti pada minit ke67.
Malaysia semakin tertekan apabila penyerang, Hafifihafiz Hanafi terce­dera selepas secara tidak sengaja penjaga gol England, George Pinner menendang bahagian mukanya.
Hafifihafiz kemudiannya diusung keluar dan dikejarkan ke hospital.
Meskipun skuad kebangsaan yang sebelum ini tewas kepada Australia 4-0 dan Belgium 6-2, namun Muhammad Dharma Raj masih berbangga dengan prestasi anak buahnya.
“Kita perlu melakukan aksi lebih baik dengan menggunakan peluang yang ada. Terdapat beberapa kesilapan di bahagian pertahanan, tetapi secara keseluruhan mereka mempamerkan satu usaha yang lebih baik.
“Kami kalah, tetapi saya berpuas hati dengan sikap yang ditunjukkan dalam perlawanan ini. Mereka perlu bangkit,” katanya.
Malaysia mempunyai dua peluang untuk menyamakan kedudukan apabila dianugerahkan pukulan sudut penalti minit ke63 dan ke64 minit, malangnya, Pinner memainkan peranan penting pada saat kemuncak tersebut.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140606/su_03/Malaysia-buntu-cari-kemenangan#ixzz33qCKS1DC  © Utusan Melayu (M) Bhd 


HOKI – Malaysia wajib menang


Pemain Belgium, Florent van Aubel (tengah) cuba mengasak gawang Malaysia yang dijaga oleh S. Kumar (kiri) pada perlawanan Piala Dunia di The Hague, Belanda kelmarin. – AFP

KUALA LUMPUR – Malaysia kini tiada pilihan kecuali mencatat kemenangan pertama apabila menentang England dalam perlawanan ketiga esok jika berhasrat untuk mencari keputusan terbaik pada kejohanan hoki Piala Dunia di The Hague, Belanda, kata ketua jurulatihnya, Muhammad Dharma Raj Abdullah.
Walaupun mengalami dua kekalahan besar secara berturut-turut, Muhammad Dharma menegaskan, moral anak-anak buahnya belum terjejas, namun mereka harus segera mempamer kebangkitan atau berisiko menutup kempen dengan menghuni tangga tercorot Kumpulan A.
“Kalau kita mengalahkan England, kita berpeluang untuk sekurangnya-kurang beraksi pada perlawanan penentuan kelima atau keenam namun saya lihat England lebih berpeluang untuk mara lebih jauh pada kejohanan kali ini walaupun mencatat satu kekalahan dan satu keputusan seri.
“Bagi saya, kedudukan kelima atau keenam merupakan pencapaian terbaik kita kerana adalah sukar untuk meraih kedudukan empat teratas yang sentiasa dikuasai oleh pasukan-pasukan terbaik dunia seperti Belanda, Australia dan Jerman,” katanya.
Pengendali skuad kebangsaan itu juga berkata, pasukan No. 1 dunia, Australia dan Belgium, yang menduduki ranking kelima dunia nyata berada dalam kelas tersendiri, biarpun anak-anak buahnya cuba memberikan tentangan dalam kedua-dua perlawanan.
Malaysia tewas 0-4 kepada juara bertahan, Australi dalam aksi pembukaan, sebelum tumpas 2-6 kepada Belgium kelmarin dalam perlawanan yang disifatkan Muhammad Dharma telah memperlihatkan kelemahan ketaran pasukan negara yang kerap kehilangan bola.
Menentang England juga tidak mudah, apatah lagi skuad bimbingan Bobby Crutchley itu merupakan pilihan keempat, malah pernah membuat penampilan dalam 11 Piala Dunia. Pencapaian terbaik England adalah muncul naib juara pada 1986.
“Saya lihat masalah ketara pada aksi menentang Belgium adalah pemain kerap kehilangan bola di kawasan tengah dan menyebabkan pihak lawan mencuri peluang untuk mencipta jaringan,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140604/su_03/Malaysia-wajib-menang#ixzz33dts6uxZ  © Utusan Melayu (M) Bhd 


HOKI – Sekat Belgium bukan mustahil


Mohamed Sukri Mutalib cuba menyekat pemain Australia, Kieran Govers ketika Malaysia berdepan juara bertahan itu pada aksi pembukaan, Sabtu lalu.

KUALA LUMPUR – Walaupun sedar Belgium bukan calang-calang pasukan, namun Malaysia turun bersama misi menyekat pasukan No. 5 dunia itu daripada mencatat kemenangan dalam perlawanan kedua Kumpulan kejohanan hoki Piala Du­nia di The Hague, Belandal, hari ini.
Ketua jurulatih negara, Muhammad Dharma Raj Abdullah berkata, kekalahan 0-4 kepada juara bertahan, Australia dalam aksi pembukaan telah memberi banyak pengajaran kepada anak-anak buahnya.
Malah, beliau turut ya­kin menyekat Belgium bukan tugas yang mustahil berdasarkan prestasi pasukan itu yang hanya menang tipis 3-2 ke atas India pada perlawanan kumpulan kelmarin.
“Kami kena belajar daripada kesilapan dan jangan ulanginya. Pada tahap sekarang, sedikit kesilapan mampu menghukum pasukan,” ujar Muhammad Dharma.
Muhammad Dharma turut membayangkan kemungkinan membariskan skuad yang sama ketika menentang Australia pada perlawanan hari ini.
“Belgium banyak cipta peluang jaringan terutama menerusi pukulan sudut penalti namun hanya menang tipis dan saya lihat kekuatan mereka lebih kurang sama dengan New Zealand.
“Walaupun begitu, saya jangka kita akan hadapi saingan sengit daripada Belgium walaupun mereka tidak sekuat (tiga pasukan terbaik dunia) iaitu Australia, Jerman dan Belanda,” katanya.
Muhammad Dharma berkata, beliau tidak bimbang dengan ketiadaan pemain pertahanan kelahiran Jerman, Kevin Lim yang digugurkan akibat kecederaan hamstring .
Ketiadaan Kevin mampu ditampung oleh Mohammad Izad Hakimi Jamaluddin yang didatangkan dari Kuala Lumpur sebagai pemain simpanan.
Ketua pasukan, Azlan Misron akan terus mengetuai bahagian pertahanan bersama Mohamed Shukri Mutalib, Faiz Helmi dan Mohamed Razie Rahim.
Muhammad Dharma turut menyuarakan kekecewaan terhadap permukaan padang di Stadium Greenfields yang tidak rata.
“Keadaan itu amat menyukarkan. Skuad kebangsaan sukar menyempurnakan pukulan sudut kerana permukaan padang yang tidak rata,” ujarnya lagi.
Sementara itu jurulatih Belgium, Marc Lammers tidak mengambil ringan cabaran Malaysia.
“Kami tidak akan berdepan perlawanan yang mudah. Malaysia pasti akan memberi masalah kepada kami.
“Saya lihat aksi mereka ketika menentang Australia dan kebanyakan pemain Malaysia memiliki skil yang bagus,” kata Lammers.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140602/su_05/Sekat-Belgium-bukan-mustahil#ixzz33SsxIOy2  © Utusan Melayu (M) Bhd

HOKI – Malaysia gagal saingi Australia

Oleh SAYED HESHAM IDRIS
sukan@utusan.com.my




Pasukan Australia meraikan kejayaan menjulang kejuaraan pada kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-23 selepas menewaskan Malaysia 8-3 di Stadium Azlan Shah di Ipoh, semalam.
IPOH – Australia nyata berada pada kelas tersendiri apabila mengekalkan trofi Hoki Piala Sultan Azlan Shah dengan membelasah Malaysia 8-3 di Stadium Azlan Shah di sini semalam.
Ia merupakan kejuaraan kelapan Australia selepas 1983, 1998, 2004, 2005, 2007, 2011 dan 2013. Bagi skuad kebangsaan, ia satu lagi final yang menghampakan setelah tumpas kepada lawan yang sama 2-3 , tahun lalu.
Semangat pemain negara untuk mencipta kejutan bagaikan direntap apabila ketinggalan 0-3 setakat pertengahan babak pertama. Biarpun cuba memberi tentangan dan merapatkan jurang 1-3 menerusi gol Shahril Saabah di babak pertama, ia tidak banyak membantu.
Harapan 15,000 peminat untuk melihat Malaysia bangkit pada babak kedua pada mulanya tampak menjadi kenyataan selepas Rashid Baharom menjadikan kedudukan 3-2 pada minit ke-40.
Namun Australia menambah lima lagi gol untuk menyerlahkan jurang di antara kedua-dua pasukan. Trofi kepada pemenang disampaikan oleh Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140324/su_02/Malaysia-gagal-saingi-Australia#ixzz2wrGzeduI  © Utusan Melayu (M) Bhd