Tarikan pantai digilap semula

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA


CAHAYA matahari yang mula meninggi dirasakan seperti mencucuk-cucuk ke kulit, namun seorang lelaki dilihat sedang tekun melakukan tugasnya.

Tangannya pantas mengutip pelbagai jenis hidupan laut seperti ikan, ketam, udang dan kerang yang tersangkut pada pukat rentang miliknya itu.

Dia tersenyum puas. Ternyata penat-lelahnya berbaloi, ketiga-tiga pukat rentang yang dipasangnya sejak malam sebelumnya di pesisiran Pantai Morib itu mengena.

Baldi yang sarat dengan hasil tangkapannya itu kemudian dibawa ke khemahnya yang terletak tidak jauh dari situ.

Bagi Johan Subhi, 42, dia tidak pernah jemu ke Pantai Morib. Sejak berjinak-jinak dalam aktiviti memukat itu awal tahun lalu, boleh dikatakan sebulan sekali atau dua minggu sekali dia akan berkunjung ke destinasi perkhelahan yang popular di selatan Selangor itu.

Lagipun, dia tidak bersendirian lantaran isteri dan tiga orang anaknya turut menjadi peneman setia. Jika dulu kehadiran mereka sekadar untuk bersiar-siar atau berkelah di tepi pantai, kini dia mempunyai hobi baharu untuk mengisi masa lapangnya pada hujung minggu.

“Lazimnya, kunjungan saya ke sini tidak pernah menghampakan. Adakalanya saya mampu membawa pulang hasil tangkapan pukat seberat 20 kilogram.

“Selain menjadi hidangan kami sekeluarga atau disedekahkan kepada jiran tetangga, ada juga permintaan dalam kalangan pengunjung yang mahu membelinya,” katanya yang berasal dari Batu 4, Kapar, Klang.

Johan memberitahu, kawasan pantai itu amat sesuai untuk aktiviti memukat kerana mempunyai pantai yang landai iaitu mempunyai jarak di antara tebing dengan anak air yang jauh ke laut ketika air surut.

“Tidak hairanlah kawasan sekitarnya popular dengan mereka yang datang memukat, menjala, memancing atau sekadar mencari kepah atau siput di tepi pantai.

AKTIVITI berkhemah di tepi pantai menjadi acara wajib bagi ramai pengunjung pada hujung minggu.

“Suasana di sini cukup menenangkan. Menikmati deruan ombak segar atau sekadar melihat kerlipan bintang pada waktu malam sudah cukup mendamaikan jiwa. Hilang segala tekanan di tempat kerja,” katanya.

Panorama Selat Melaka

Terletak di daerah Kuala Langat kira-kira 10 kilometer dari pekan Banting, Morib bukanlah nama yang asing dalam kalendar pelancongan negeri.

Berlatarbelakangkan panorama Selat Melaka, keindahan pantainya sentiasa menggamit pengunjung khususnya warga kota.

Jika daerah Kuala Langat terkenal kerana tinggalan sejarah Kesultanan Selangor, Morib juga tidak kurang hebatnya.

Kawasan pantainya pernah menjadi kawasan pendaratan pasukan tentera India dari Batalion ke-46 tentera marin British dalam usaha mempertahankan Malaya daripada serangan tentera Jepun ketika Perang Dunia Kedua dahulu.

Sepanjang ia dibuka sebagai lokasi riadah pantai, pelbagai isu dibangkitkan orang ramai termasuk soal kebersihan dan juga persaingan dengan destinasi pelancongan berdekatan seperti Sepang yang terkenal dengan pantai Bagan Lalang dan Golden Palm Tree Sepang Gold Coast. Kesemua faktor itu menyebabkan kegemilangan Morib pernah melalui fasa malap.

Namun, usaha Kerajaan Persekutuan memperuntukkan kira-kira RM6 juta bagi menaik taraf kemudahan pelancongannya sejak setahun lalu telah berjaya mengembalikan keceriaan Morib.

Seorang peniaga layang-layang, Mohd. Azman Dali, 30, berkata, kawasan sekitar Pantai Morib itu kini dilengkapi pelbagai kemudahan seperti tandas, gerai, surau, pondok, tempat meletak kenderaan dan taman permainan kanak-kanak.

Pada masa yang sama katanya, kawasan sekitarnya juga turut diceriakan dengan landskap indah termasuk pembinaan pelbagai arca dan monumen yang menarik.

KETENANGAN suasana di Pantai Kelanang yang terletak berdekatan dengan Pantai Morib.

“Dahulu memang tidak dapat dinafikan keadaannya pantai ini agak tidak terurus, kotor dan dipenuhi sampah-sarap serta gerai-gerai usang

“Sekarang lihatlah, semuanya telah berubah. Kawasan gerai baru yang dibina bukan sahaja luas malah selesa bagi peniaga dan pengunjung yang berkunjung ke sini,” katanya yang sudah berniaga di situ sejak berusia belasan tahun.

Anak jati Banting itu menjelaskan, pengunjung ke Pantai Morib boleh melakukan pelbagai aktiviti seperti bermandi-manda, menangkap ikan, bermain-layang atau sekadar bersantai di kerusi rehat yang disediakan.

Tambahnya, kehadiran semula pengunjung ke kawasan pantai itu memberi isyarat jelas ia bakal mengulangi kegemilangan seperti yang pernah dikecapi sekitar tahun 70-an, 80-an dan 90-an dahulu.

“Selain Pantai Morib, pengunjung juga boleh mengunjungi Pantai Kelanang yang juga tidak kurang menariknya dan menjanjikan kepuasan seperti juga pantai-pantai lain di negara ini,” ujarnya.

Pantai Kelanang yang terletak berdekatan Pantai Morib bukan sahaja terkenal dengan keindahan pantainya, malah tinggalan sejarah seperti sejarah Kesultanan Selangor.

Pantai-pantai yang di bawah perhatian Majlis Daerah Kuala Langat itu turut mengajak pengunjungnya melawat beberapa tarikan lain seperti Bukit Jugra, Bukit Melawati, makam Sultan Abdul Samad, Masjid Alauddin dan Istana Bandar.

Ikan bakar

Jika perut berasa lapar, terdapat pelbagai gerai dan restoran yang menyediakan pelbagai hidangan yang menepati selera pengunjung.

Salah satu gerai yang boleh dicuba jika berkunjung ke Pantai Morib ialah gerai King Ikan Bakar yang diusahakan Raja Sulaiman Raja Shah, 51, yang menawarkan pelbagai hidangan menyelerakan seperti ikan bakar, sate, otak-otak, kepak ayam panggang dan sata.

MEDAN selera baharu yang lebih selesa, teratur dan menarik menjadi tumpuan pengunjung ke Pantai Morib.

Raja Sulaiman berkata, keistimewaan ikan bakar tiga rasa yang diadun dengan rempah ratus menjadi pilihan ramai pelanggannya.

“Terdapat beberapa pilihan ikan yang ditawarkan iaitu dari jenis kerapu, kelah dan jenahak,” katanya yang turut menghidangkan kerang bakar bersama nasi dan air asam.

Walaupun lokasi gerai terbukanya itu masih baharu, Raja Sulaiman gembira dengan sambutan yang diterimanya.

“Selain menjamu selera, pengunjung berpeluang menikmati panorama indah di sekelilingnya sekali gus memberi nilai tambah kepada peniaga-peniaga di kawasan ini,” ujarnya.

Penginapan

Rencana bermalam di Morib juga suatu yang digemari golongan tertentu. Bagi mereka yang gemarkan adventur, terdapat tapak-tapak perkhemahan yang boleh disewa berhampiran pantai untuk aktiviti berkumpulan dan keluarga.

Sementara itu, bagi yang inginkan keselesaan dan suasana privasi boleh memilih untuk menginap di Hotel Impian Morib yang terletak berhampiran.

Menawarkan penginapan bertaraf tiga bintang, resort yang beroperasi sekitar 2005 itu menawarkan sejumlah 90 unit bilik dari jenis superior, deluxe dan calet pada harga bermula dari RM160 hingga RM250 semalam.

Pengurus Residennya, Dzulquarnine Ahmad berkata, setiap bilik mempunyai kemudahan pendingin hawa, televisyen satelit, pembancuh kopi, alat pemanas dan peti ais.

Katanya, resort itu juga turut dilengkapi kolam renang, bilik mesyuarat dan seminar, restoran, padang golf (Sri Morib Golf Club) dan gimnasium.