Perhimpunan anti-Bersih ditunda

28 Ogos 2015 1:30 AM
KUALA LUMPUR 27 Ogos – Kumpulan anti-Bersih yang digerakkan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mewakili golongan peniaga bersetuju menunda perhimpunan 30,000 aktivis yang dirancang bagi membantah penganjuran perhimpunan haram Bersih 4.0 di ibu negara Sabtu ini.
Jamal Md. Yunos
Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia, Datuk Jamal Md. Yunos berkata, pihaknya bersetuju me­nunda perhimpunan berkenaan kepada satu tarikh lain pada bulan kemerdekaan di lokasi yang lebih sesuai seperti dinasihatkan pihak polis.
Jelasnya, keputusan itu dibuat selepas perbincangan pihaknya dengan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajudin Md. Isa berhubung persiapan pasukan berkenaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan buruk semasa perhimpunan haram berkenaan berlangsung.
“Walaupun baju sebanyak 30,000 helai telah pun siap dan deposit untuk 200 buah bas juga sudah dibayar, kami komited menunda perhimpunan kami yang cintakan keamanan di lokasi yang lebih sesuai dengan pelbagai acara berfaedah.
“Sebagai NGO yang prokerajaan serta menghormati undang-undang, kami patuh dengan arahan polis supaya tidak terlibat dengan perhimpunan haram yang dianjurkan NGO propembangkang,” kata­nya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Terdahulu, Jamal telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi dirakam percakapan berhubung siasatan polis ke atas kumpulan anti-Bersih tersebut.
Sementara itu, Jamal membe­ritahu, pihaknya telah pun memberikan kerjasama kepada pihak polis berhubung kes berkenaan agar siasatan lengkap dapat dilakukan.
“Kami tidak takut atau gentar untuk tampil dan bekerjasama dengan pihak polis dalam menjalankan siasatan,” ujarnya.
Advertisements

Jangan persoal agenda Melayu dalam RMK-11

02 Jun 2015 1:35 AM
KUALA LUMPUR 1 Jun – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) kesal dengan kenyataan Pengerusi Institut Hal Ehwal Ekonomi Demokrasi (Ideas), Tengku Zain Al-Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM), Datuk Saifuddin Abdullah yang mempersoalkan agenda Melayu dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).
HASSAN BASRI
Ketua Penerangan Perkasa, Hassan Basri Muhammad berkata, kenyataan dua individu itu dalam satu forum anjuran Harmony Malaysia di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini berhubung isu tersebut disifatkan telah menyakiti hati orang Melayu.
Menurutnya, sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tegas mempertahankan Perlembagaan, hak keistimewaan orang Melayu, agama Islam dan institusi raja, Perkasa menyanggah kenyataan Tengku Zain dan Saifuddin dalam forum tersebut.
“Mereka tidak memahami dan menyelami Perlembagaan yang menjelaskan hak-hak keistimewaan orang Melayu seperti yang termaktub di bawah Perkara 153 ataupun bersikap prejudis kepada orang Melayu dan agama Islam.
“Oleh itu, Perkasa mencadangkan supaya mereka atau mana-mana pihak yang mempertikaikan agenda Melayu dan bumiputera dalam pembangunan negara perlulah ‘disekolahkan’ semula,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Hassan Basri dalam kenyataan itu berkata, Tengku Zainal Abidin yang antara lain memberi contoh kononnya tidak dinyatakan dalam Perlembagaan pengurangan 10 peratus harga pembelian rumah kepada Melayu dan bumiputera jelas memperlihatkan kedangkalan beliau.
Justeru, beliau bimbang kenyataan seperti itu akan menjadi lidah penyambung kepada perjuangan DAP dan cauvinis Cina yang antaranya mahu menghapuskan hak-hak dan keistimewaan orang Melayu sekiranya mereka memerintah negara.
“Kenyataan kerabat diraja ini dibimbangi boleh menghakis keyakinan dan kepercayaan rakyat kepada institusi raja untuk mempertahankan agama Islam dan orang Melayu. Perkasa tidak mahu isu ini digunakan oleh pihak media untuk menangguk di air keruh.
“Perkasa yang mempunyai 500,000 ahli bertegas menentang sesiapa juga yang cuba mempertikaikan perkara berkaitan hak orang Melayu dan agama Islam seperti yang telah termaktub dalam Perlembagaan,” ujarnya.

GST : Jangan tunduk dengan pengusaha restoran, hotel

FARHANA JONI 
DAN NAZWIN IZAN AHMAD NAZRI | 15 April 2015 1:42 AM
JACOB GEORGE
 S.M. Mohamed Idris
Datuk Yusoff Ismail 
Datuk Paul Selvaraj 
KUALA LUMPUR 14 April – Kerajaan tidak perlu membuang masa untuk mengkaji caj perkhidmatan yang dikenakan pengusaha restoran dan hotel terhadap pengguna, sebaliknya perlu bertindak tegas menghapuskan bayaran tersebut dengan segera.
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), S.M. Mohamed Idris berkata, langkah itu perlu kerana masyarakat hari ini kerap mempersoalkan sikap kerajaan yang terlalu bertolak ansur terhadap pengusaha restoran, hotel dan syarikat telekomunikasi hingga membebankan mereka sebagai pengguna.
Katanya, pengusaha restoran dan hotel seolah-olah mengambil kesempatan terhadap ‘kelembutan’ kerajaan dengan memberi alasan caj perkhidmatan lima hingga 10 peratus yang dikenakan terhadap pengguna itu akan diberikan kepada pekerja.
“Tidak logik jika kerajaan menerima alasan pengusaha hotel dan restoran itu kerana kutipan bayaran itu tiada kena-mengena langsung dengan pengguna, sebaliknya terkandung dalam syarat serta perjanjian antara majikan dengan pekerja.
“Apabila caj perkhidmatan ini masih ada, masyarakat mula sangsi dengan matlamat cukai barang dan perkhidmatan (GST) kerana pada peringkat awal kerajaan mengatakan ini berperanan meringankan beban tetapi kini mereka perlu membayar dua cukai pula,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Nege­ri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek bahawa kerajaan sedia menimbang untuk memansuhkan caj perkhidmatan 10 peratus dalam industri hotel dan makanan jika dilihat tidak adil kepada pengguna, semalam.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Paul Selvaraj mencadangkan kerajaan menghapuskan terus caj perkhidmatan sebanyak 10 peratus itu dan memperkenalkan dasar satu harga bagi mengurangkan beban pengguna.
“Jumlah caj tersebut sepatutnya diberikan oleh pelanggan hanya jika mereka berpuas hati dengan kualiti perkhidmatan yang telah diberikan. Bukan hak pengusaha untuk menentukan kadarnya.
“Pemerhatian yang dilakukan oleh FOMCA sendiri juga mendapati, kebanyakan pengusaha tidak mempunyai perjanjian bersama dengan pekerja yang menyatakan secara jelas mengenai caj perkhidmatan.
“Caj yang dikutip tidak diberikan kepada pekerja, sebaliknya hanyalah menjadi pendapatan tambahan kepada pengusaha yang jelas tidak adil kepada pekerja dan pengguna,” katanya ketika dihubungi.
Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Datuk Yusoff Ismail pula berkata, orang ramai telah muak dengan kenyataan mengkaji yang sering dikeluarkan oleh kerajaan berhubung isu cukai perkhidmatan kerana sepanjang tempoh kajian itu dilaksanakan, rakyat te­rus terbeban.
Katanya, jika kerajaan telah se­bulat suara melaksanakan GST pada 1 April lalu, maka tiada sebab untuk mengkaji atau berbincang dengan pengusaha hotel, restoran dan syarikat telekomunikasi tentang caj perkhidmatan, sebaliknya perlu dihapuskan serta-merta.
“Dalam tempoh dua minggu pelaksanaan GST, kami menerima kira-kira 500 aduan orang ramai yang keliru dengan dua cukai yang dikenakan terhadap setiap pembelian, malah mempertikaikan apa kuasa kerajaan sebenarnya dalam menangani isu caj perkhidmatan ini kerana jelas membebankan pengguna, khususnya yang berpendapatan rendah,” katanya.
Di samping itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, alasan untuk mengkaji dahulu membuktikan kerajaan tidak bersedia melaksanakan GST kerana mereka seharusnya bersedia dan merancang dengan teliti serta mendapatkan maklumat statistik yang mencukupi.
Jelasnya, saranan untuk menimbang dan meneliti caj perkhidmatan adalah gimik kerajaan semata-mata dan membuang masa.
“Perkara ini tidak betul-betul digambarkan oleh kerajaan, dalam keadaan sekarang semua pihak terperangkap sama ada pengguna, ahli ekonomi dan juga pelancong. Saya mendapat pertanyaan daripada pelbagai pihak antarabangsa seperti Singapura, Filipina, Amerika Syarikat dan sebagainya yang bertanyakan tentang soal GST ini.
“Kastam tidak dapat jawab soalan, kredibiliti dan kualiti yang dikeluarkan mereka amat mendukacitakan selain tidak bersedia sepenuhnya. Alih-alih kita (persatuan pengguna) yang kena seperti ‘punching bag’,” katanya.
Pandangan itu turut disuarakan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan yang melihat caj per­khidmatan tidak lagi wajar dikenakan pada masa sekarang.
“Kalau dahulu diwujudkan se­bab gaji rendah iaitu RM450 sebulan, kerana itu kerajaan wujudkan perjanjian bersama (CA) tetapi sekarang gaji minimum adalah RM900. Oleh itu, sudah tidak ada keperluan untuk terus mengenakan caj perkhidmatan ini malah gaji pekerja seharusnya ditanggung oleh majikan bukan pengguna yang telah membayar untuk makan dan minum.
“Kerajaan seharusnya mengikut corak sendiri dan bukan berpandukan negara yang mengamalkan pelaksanaan cukai ini. Caj perkhidmatan memang tidak diperlukan dan seharusnya di buang terus daripada sistem kerajaan,” katanya.

PEKA dan SPRM, Finas dan bahasaku; Ketam Melayu dan Cina

Macam mana? Comel tak ketam-ketam itu. Comelkan. Kalau comel ajaklah ...
CUIT

ZAINI HASSAN (ZAINIBINHASSAN@GMAIL.COM) | 04 Mac 2015 12:31 AM
SPRM sebagai rakan strategik

SEMALAM saya dijemput menjadi ahli panel satu forum mengenai alam sekitar. Ia dianjurkan bersama oleh sebuah badan aktivis alam sekitar dikenali sebagai Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) dengan kerjasama Institut Akhbar Malaysia (IAM) di Restoran Saloma, Jalan Ampang.
Ramai yang hadir termasuk rakan wartawan. Banyak perkara yang dibincangkan. Turut disentuh isu tragedi terbaharu – kemusnahan alam di Cameron Highlands, banjir kuning di Kelantan serta pendedahan mengenai kerosakan sistem ekologi di Pulau Mabul di Sempurna, Sabah.
Juga dibincangkan mengenai penglibatan politik dalam isu-isu itu. Serta bagaimana kerajaan negeri gagal menangani soal kemusnahan yang berlaku di hadapan mata mereka.
Terlalu banyak ketirisannya. Ini bukan membabitkan soal kesedaran, tetapi lebih kepada penguatkuasaan. Ini juga membabitkan soal wang dan ringgit. Ini juga membabitkan soal makan suap oleh para pegawai penguatkuasaan yang sudah menjadi darah daging mereka.
Isu rasuah sering dibangkitkan oleh rakyat. Bukan sahaja berlaku di peringkat tertinggi, namun yang paling banyak ialah membabitkan peringkat rendah. Akhir­nya bukan pegawai-pegawai yang terbabit dipersalahkan, tetapi kerajaan secara keseluruhannya.
Namun apa yang menarik perhatian saya semasa kami bersembang semasa makan tengah hari ialah bagaimana kreatifnya PEKA cuba menangani masalah ini.
Mereka telah bekerjasama dengan SPRM sebagai rakan strategik. Pegawai-pegawai SPRM akan digunakan untuk berhubung dengan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan.
“Jika kami sendiri yang berhubung dengan mereka tidak jalan,” kata Presiden PEKA, Puan Sri Shariffa Sabrina Syek Akil.
“Dengan SPRM mereka takut sikit,” tegas beliau.
Memang benar, sepatutnya apa yang dilakukan oleh PEKA itu perlu dituruti oleh NGO-NGO yang lain, malah oleh agensi-agensi sensitif kerajaan yang lain seperti Jabatan Hutan, jabatan penguatkuasaan di pihak-pihak berkuasa tempatan dan lain-lain.
Tahniah PEKA kerana kepekaan untuk memelihara khazanah alam ciptaan Allah SWT demi generasi anak cucu akan datang.
Bahasa rasmi Finas sudah bertukarkah?
FINAS ditubuhkan sejak 1980 dengan niat baik oleh Timbalan Perdana Menteri pada masa itu, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, kini Tun. Tetapi sehingga kini setelah ratusan juta diperuntukkan, orang masih tertanya-tanya apakah kejayaan Finas yang boleh dibanggakan?
Pada suatu masa dahulu, Finas merai ulang tahun pembentukannya setiap tahun, tetapi ada orang kata untuk merai kejayaan apa?
Berbanding dengan agensi kerajaan lain yang lebih memberi sumbangan kepada agama, bangsa dan negara, Finas dikatakan hanya boleh merasa bangga dengan kewujudannya sahaja.
Jadi tidak hairanlah kalau akhir­nya menteri berkenaan mengarahkan untuk acara perayaan ulang tahun Finas tidak diadakan. Sekali gus menjimatkan ratusan ribu ringgit untuk mengadakan acara jamuan besar di hotel terkenal di bandar raya Kuala Lumpur.
Sejak Finas ditubuhkan terdapat enam orang yang telah dilantik sebagai ketua pengarahnya iaitu – Ismail Zain, Datuk Zain Hamzah, Allahyarham Datuk Sharif Ahmad, Datuk Mahyiddin Mustakim, Naguib Razak, Raja Rozaimi Dalnish Shah dan sekarang ini Datuk Kamil Othman yang dulunya pengarah MDEC.
Sejak dulu bahasa rasmi yang diguna oleh semua kegiatan Finas adalah bahasa Melayu. Tetapi sejak kebelakangan ini bahasanya adalah Inggeris?
Adakah apa yang didengar saya itu benar? Kalau benar apa sebabnya Finas mahu menukar bahasa rasmi agensi kerajaan daripada bahasa Melayu ke bahasa Inggeris?
Kalau perkara ini benar-benar berlaku, itu sudah tentu satu perkembangan yang amat menyedihkan. Bahasa Jiwa Bangsa? Bahasaku Oh Bahasaku…
Ketam Cina dan Ketam Melayu…
SAYA tertarik dengan satu kisah ketam. Saya menerimanya melalui WhatsApp. Saya tidak tahu siapa penulisnya, namun kisah itu cukup untuk direnungi oleh kita semua.
Kisahnya begini:
Pada pagi itu dia pergilah ke pasar borong dan berjalan ke satu kedai milik Cina yang menjual ketam.
Melayu: Apek, ketam ada jual ka?
Cina: Ada… ada… lu mau ketam Cina ka ketam Melayu?
Melayu: Aik! Ketam pun ada Melayu dengan Cina ka apek? Cuba lu tunjuk mana ketam Melayu, mana ketam Cina?
Cina: Itu sana dalam bekas ada tutup, ketam Cina. Sana dalam bekas tak ada tutup, ketam Melayu la…
Melayu: Apa pasal ketam Cina apek kasi tutup… ketam Melayu apek tak kasi tutup?
Cina: Itu ketam Cina kalau satu ekor keluar…. yang lain akan tengok dan kasi belajar macam mana boleh keluar dari bekas. Nanti lama-lama semua ketam pandai macam mana mau keluar dari bekas. Jadi semua keluar la.
Melayu: Ketam Melayu tak itu macam ka?
Cina: Ketam Melayu, kalau satu ekor keluar yang lain kasi tarik itu kaki ketam tadi… jangan kasi keluar. Dia mau dia seekor saja keluar… yang lain biar dalam bekas. Kalau dia sudah keluar, dia terus lari, tak mau ajar yang lain macam mana mau keluar.
MORAL:
Begitulah cerita ketam Melayu dengan ketam Cina. Hakikatnya, jika orang Cina berniaga, Cina lain tak kacau, dia tengok saja dan belajar macam mana boleh berjaya.
Cina yang sudah berjaya itu pula, akan ajar Cina lain agar berjaya juga.
Kalau orang Melayu, bila satu Melayu nak berjaya, Melayu lain akan guna apa saja supaya Melayu tu jatuh balik. Macam ketam Melayu, apabila seekor ketam berjaya hendak naik, ketam lain tarik kaki dia, akhirnya seorang pun tak dapat naik. Lepas tu mulalah bergaduh sesama sendiri.
Benarkah begitu? Adakah kerana sifat itu orang Melayu tidak senang-senang sampai sekarang? Adakah oleh kerana itu, matlamat 30 peratus penguasaan ekonomi masih tidak tercapai?
Saya diberitahu di pasar raya IT di Plaza Low Yat misalnya, peniaga-peniaga Cina tolong-menolong antara satu sama lain bagi memastikan supply chain dikongsi dan dikuasai bersama. Begitu juga dalam bidang-bidang lain. Jika sudah ada rantai, pastikan rantai itu tidak putus, malah disambung-sambung sehingga lebih utuh dan besar.
Wallahualam…

Ambil tindakan ke atas blog hasut rakyat – NGO

26 Februari 2015 1:37 AM
Zaparuddin Abdul Rahim (tengah) menujukkan laporan polis yang dibuat di IPD Shah Alam terhadap penulis blog Sakmongkol AK47 yang berunsur fitnah dan berbaur hasutan seperti diterbitkan di laman portal The Malaysian Insider. – Utusan/Saharuddin Abdullah
SHAH ALAM 25 Feb. – Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pemantau Media Sosial Pasukan Semut Malaysia membuat laporan polis berhubung penyiaran artikel bertajuk ‘The White and Black Minstrel Show will end as a huge embarassment’ yang didakwa berbaur hasutan dan menghina mahkamah oleh sebuah blog, Sakmongkol AK47.
Pengerusinya, Zaparudin Abd. Rahim mendakwa, artikel yang dipercayai ditulis oleh Ahli Parlimen Raub daripada DAP, Datuk Mohd. Ariff Sabri Abdul Aziz itu amat berbahaya dan berunsur fitnah.
Dakwanya, artikel itu adalah satu pembohongan bagi mengelirukan rakyat berhubung keputusan kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut disiarkan oleh sebuah portal berita, The Malaysian Insider baru-baru ini.
“Artikel itu bukan sahaja berunsur fitnah dan bohong, malah berbaur hasutan supaya rakyat menggulingkan kerajaan tanpa melalui proses demokrasi seperti tercatat pada ayat terakhir ‘Once we have Federal power, we don’t need to go before King to free Anwar”.
“Ternyata kenyataan ini amat berbahaya sekali. Adakah jika pakatan pembangkang menjadi Kerajaan Persekutuan maka Anwar sudah tentu dibebaskan? Adakah pembangkang memang berniat membebaskan beliau sahaja walaupun ternyata dibuktikan bersalah oleh Mahkamah Persekutuan?” soalnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Zaparudin berkata, pihaknya juga mahu tindakan diambil terhadap blogger tersebut kerana artikel itu didakwanya jelas menghina mahkamah dan memperlekehkan pasukan penguatkuasaan negara.
Katanya, ini terbukti menerusi kenyataan dalam artikel itu yang berbunyi ‘As we know, the ones who did that are the two policemen – whom as the courts and the law enforcement agencies would have us believe, on a frolic on their own, suddenly thought of killing someone today’.
“Kenyataan di atas menghina mahkamah dan memperlekehkan pasukan penguatkuasaan terutama pihak pendakwa raya dan polis yang kononnya tidak profesional dalam menjalankan tugas dan bertujuan mengaburi pandangan dan kepercayaan rakyat.
“Blog itu juga mempertikai kes yang telah diputuskan oleh mahkamah. Ini bagi kami satu penghinaan terhadap institusi kehakiman negara yang semua tahu adalah badan yang bebas,” katanya.
Tambah Zaparudin, artikel itu juga didakwanya bertujuan menanam persepsi buruk dalam minda rakyat agar mempercayai Kerajaan Persekutuan bersubahat dengan pihak berkuasa dan institusi kehakiman untuk menghukum Anwar dan mengajak rakyat bangkit menentang kerajaan,” dakwanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Azisman Alias ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut.

‘Kitab Kristian’ bentuk komik diedar bersama bantuan banjir

06 Februari 2015 2:07 AM
NOOR AZMAWI ABD. RAHMAN (tengah) menunjukkan laporan polis berhubung pengedaran dua kitab agama Kristian yang diletakkan bersama bantuan banjir di Kampung Slow Machang, Pasir Mas, semalam. – UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
PASIR MAS 5 Feb. – Penduduk Kampung Slow Machang di sini dikejutkan dengan pengedaran ‘kitab’ agama Kristian yang dipercayai dilakukan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ketika men­yampaikan bantuan banjir kepada mereka pada 21 Januari lalu.
Kedua-dua buku berbahasa Melayu dalam bentuk komik itu berjudul Isa Al-Masih Kalimatullah dan Kisah Tentang Yesus Kristus.
Difahamkan kedua-dua buku itu ditemukan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Suhaimi Mustafa sebaik sahaja membuka plastik bantuan banjir yang mengandungi barangan makanan dan keperluan harian.
Menyedari perkara tersebut boleh menggugat akidah umat Islam, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Mas bersama beberapa NGO tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, petang semalam.
Ketuanya, Noor Azmawi Abd. Rahman berkata, tujuan laporan itu dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut berhubung pengedaran buku tersebut.
Menurutnya, kedua-dua buku berbahasa Melayu itu mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan umat Islam di kampung berkenaan.
“Jadi, saya bersama dengan beberapa buah NGO membuat laporan polis di IPD Pasir Mas berhubung pengedaran kedua-dua naskhah buku ini.
“Sehubungan itu, saya menggesa pihak polis menjalankan siasatan terperinci berhubung perkara tersebut dan mencari dalang sebenar. Bukan itu sahaja, kita juga mahu tahu apa tujuan mereka menyebarkan ‘kitab’ Kristian kepada orang Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan polis berhubung pengedaran ‘kitab’ tersebut yang disertai hampir 100 ahli Pergerakan Pemuda UMNO Pasir Mas.
Selain Pergerakan Pemuda UMNO dan Biro Agama UMNO Bahagian, turut serta membuat laporan polis berhubung isu tersebut ialah Kelab Sukan dan Rekreasi Parlimen Pasir Mas (SRCC), Majlis Belia Jajahan (MBJ) Pasir Mas, Gerakan Belia 4B Pasir Mas dan Jawatankuasa Kemajuan, Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Pasir Mas.
Sementara itu, seorang penduduk, Abdul Hamid Awang mendakwa, dia menerima buku itu bersama dengan bantuan daripada sebuah NGO yang dipercayai dari Sabah.
“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku dan seharusnya pihak yang terlibat perlu menjaga sensitiviti dan menghormati agama orang yang mereka ingin bantu,” katanya.

Usaha bekukan saya daripada berceramah – Ustaz Kazim

05 Februari 2015 1:53 AM
Mohd. Kazim Elias
IPOH 4 Feb. – Pendakwah terkenal, Datuk Mohd. Kazim Elias menyifatkan penyebaran rakaman ceramahnya yang didakwa sebagai berbaur perkauman merupakan usaha pihak tertentu untuk ‘membekukannya’ daripada muncul bercera­mah di khalayak ramai.
Menurut beliau, penyebaran rakaman video selama 2 minit 27 saat itu juga dilihat sengaja ditimbulkan bagi mengalihkan perhatian masyarakat terhadap isu lain yang sedang hangat diperkatakan dalam negara.
“Kebangkitan masyarakat untuk mendengar ceramah sangat hebat dan bukan semua orang suka perkara ini. Jika boleh, orang ini (Ustaz Kazim) diperamkan.
“Saya nampak usaha membekukan saya supaya tidak lagi boleh keluar di khalayak kerana bercakap isu perkauman padahal sebelum ini tidak pernah pun bercakap isu tersebut.
‘‘Isu ini ditimbulkan sebab Ustaz Kazim seorang yang dikenali, jika saya tidak dikenali orang tidak akan timbulkan isu ini. Kalau mahu ditimbulkan sejak 2009 lagi,’’ katanya dalam sidang akhbar di Pusat Pendidikan Al-Barakah di Manjoi dekat sini hari ini.
Terdahulu, Mohd. Kazim menyertai wakil 22 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melibatkan lebih 500 orang yang berhimpun di hadapan pusat pendidikan itu sebagai tanda sokongan terhadap beliau.
Mengulas lanjut, beliau berkata, rakaman ceramah pada Disember 2009 di sebuah surau di Kemensah Heights, Kuala Lumpur itu hanya menjawab persoalan mengenai isu-isu yang hangat diperkatakan ketika itu tentang hak keistimewaan orang Melayu, ketuanan Melayu, raja dan anggota keselamatan.
“Adalah menjadi kewajipan sebagai seorang Islam untuk mempertahankan pemerintah dan mempertahankan sesuatu yang disuruh oleh agama. Oleh itu, saya huraikan dan tidak lama pun huraian itu dalam dua minit lebih.
“Sudah lama benda ini, saya pun tidak tahu kenapa dibongkar dan dijadikan isu selepas sehari saya dianugerahkan dengan gelaran Datuk.
“Saya menafikan sekerasnya tuduhan ini yang merupakan satu bentuk fitnah dan tuduhan melulu tanpa melihat kepada isi keseluruhan ceramah tersebut. Saya rasa pengadu tidak faham apa yang saya cakap atau dia faham yang dua minit itu dan tidak melihat sebelum dan selepas daripada dua minit,’’ katanya.