PAU 2014 : Jangan ada kerengga dalam perjuangan parti

Nampak segak tapi suka ‘kencing’ dalam mata

28 November 2014 2:41 AM

Badruddin Amiruldin menunjukan akhbar Utusan Malaysia semasa membacakan petikan amanat Tunku Abdul Rahman sebelum bermula ucapan dasar Presiden UMNO pada Perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2014 di Dewan Merdeka, PWTC, semalam.

KUALA LUMPUR 27 Nov. – Kerengga sering kali dikaitkan dengan keindahan sehinggakan ada perumpamaan Melayu menyebut ‘pinggang ramping bak kerengga’ iaitu bagi menggambarkan kecantikan bentuk badan seorang wanita hingga menjadi dambaan lelaki.
Namun dalam perjuangan politik, sifat kerengga perlu dijauhi kerana walaupun nampak cantik dan segak pada luarannya tetapi serangga itu mempunyai sifat buruk, iaitu suka memancut cecair kepada sesiapa sahaja jika buah yang dihurung cuba diambil.
Bagi Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruldin, tabiat suka menghurung buah dan memancut cecair yang beliau labelkan sebagai ‘kencing’ perlu dibuang jauh-jauh dalam perjuangan UMNO jika semua pihak mahu parti menjadi kukuh.
“Saya nak habaq (beritahu) kat (kepada) Puteri, Pemuda dan Wanita jangan jadi semut kerengga. Badan cantik, pinggang ramping, misai dok (pun) ada (tapi) perangai kotor. Dia hurung buah, bukan boleh makan tapi bila kita ambil, dia kencing dalam mata kita.
“Lebih teruk kalau kerengga masuk dalam kain, dia ketik (gigit) merata. Dalam UMNO jangan ada semut kerengga, semut api takpa (boleh), semut hitam pun (kerana) dia dok hurung gula sahaja, habis gula kena kencing manis, tapi kencing manis ada ubat.
“Tapi kalau kencing kawan tiada ubat. Jadi dalam perjuangan kena ada solidariti, jangan kencing kawan,” katanya ketika memberikan analogi kerengga bagi memperingatkan seluruh ahli UMNO ketika mempengerusi Perhimpunan Agung UMNO, 2014 di sini hari ini.
Beliau bagaimanapun memuji langkah Pergerakan Puteri UMNO menubuhkan Barisan Semut Api bagi mengatur strategi untuk menepis propaganda, penipuan dan fitnah dalam media sosial kerana jelas Badruddin, sifat semut api adalah setia serta tidak suka membuat kacau.
Katanya dalam bahasa berkias, semut api adalah serangga yang taat kepada ketua, gemar berjalan beriringan mengikut susunan langkah dan walaupun gigitannya memeritkan tetapi semut tersebut hanya mempertahankan diri jika ada pihak cuba mengancam.
Terdahulu, wakil Puteri UMNO, Nazliah Ali, ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden menjelaskan, nama semut api dipilih kerana serangga itu mengajar manusia tentang budaya positif dalam hidup.
“Melalui perjuangan semut api, kami akan terus mendekati orang muda khususnya wanita muda. Kami insya-Allah akan membersihkan pemikiran mereka agar tidak terpedaya dengan pembohongan daripada pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.


– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/jangan-ada-kerengga-dalam-perjuangan-parti-1.30196#sthash.vCh0uBmK.dpuf


PAU 2014 : Sabah akan berdiri teguh sebagai perisai UMNO

JUMAAT, 28 NOVEMBER 2014 @ 3:01 PM


WAKIL UMNO Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan. – Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Sabah akan tetap berdiri teguh sebagai perisai UMNO dan berjuang bermati-matian mempertahankan setiap inci negeri itu daripada dicerobohi anasir jahat.
Wakil Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan, berkata walaupun terdapat segelintir pihak cuba menanam kebencian dalam kalangan rakyat negeri itu terhadap kepimpinan Presiden, Datuk Seri Najib Razak, namum UMNO Sabah akan tetap bekerja keras dan berdiri teguh di belakang kepimpinan beliau.
“UMNO Sabah membuat pendirian 100 peratus untuk menyokong kepimpinan presiden dan terus bekerja keras supaya Sabah terus jadi kubu kuat UMNO. Presiden kita bukan seorang ‘hercules’, bukan superman, bukan si badang. Kita semua kena bantu beliau. Kalau kita bantu beliau, kita bantu UMNO. Inilah bukti solidariti saf yang mantap.
“Sudah pasti Sabah tetap akan jaga Datuk Seri (Najib Razak). Andai Gunung Tahan tak cukup jadi perisai Datuk Seri, orang Sabah ada Gunung Kinabalu untuk jadi perisai,” katanya yang mendapat tepukan gemuruh perwakilan ketika ketika membahaskan ucapan presiden di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, sebentar tadi.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Tawau berkata, dalam kesedihan negara mengenang insiden pencerobohan Lahad Datu, Mac lalu, terdapat segelintir pihak mengambil kesempatan menghidupkan api kebencian dengan cuba mengkucar-kacirkan keamanan rakyat negeri itu dan menghasut supaya Sabah keluar daripada Malaysia.
“Insiden Lahad Datu adalah kenangan pahit kepada orang Sabah malah ia juga turut dirasai oleh rakyat negeri lain. Oleh itu, kita perlu bersatu. Bersatu ini solidariti… bukan sekadar bersatu dari segi fizikal tetapi bersatu hati, bersatu fikiran, kerisauan dan melaksanakan dengan jelas apa yang dirancang.
“Sumbang tenaga material dan buah fikiran untuk kebaikan. Untuk parti kekal dan terus utuh. Kita semua perlu menyumbang… bukannya menumbang,” tegasnya.
Mengakhiri perbahasan beliau, Tawfiq menyeru supaya ahli UMNO mengambil iktibar dan lebih sensitif terhadap senario yang berlaku di dalam negara dan tidak terus duduk selesa dengan keadaan sekarang.
“Kita mesti ambil iktibar… dengan suara akan umbi. Jangan hanya suara-suara ini sekadar tertulis dalam buku. Ia mesti dilaksanakan… kita mesti merakyatkan UMNO bermula dari atas hingga di bawah. Yang pasti, rakyat di luar sana menjadi hakim dan penentu kita di mana kelak,” katanya

PAU 2014 : Elemen kualiti sebagai asas perjuangan bela nasib orang Melayu

JUMAAT, 28 NOVEMBER 2014 @ 12:35 PM
KUALA LUMPUR: UMNO harus meletakkan elemen kualiti sebagai asas perjuangan supaya parti yang mempunyai 3,477,365 ahli itu terus utuh membela nasib kaum Melayu.
Wakil Kedah, Dr Mohammad Nawar Ariffin, berkata UMNO kini berada dalam keadaan tenat dan harus bangkit memperkuatkan saf kepimpinan supaya parti itu lebih diterima oleh golongan muda dan profesional.
“UMNO kini berada dalam keadaan sakit… kita tidak segagah dulu, kita tidak sekuat dulu. Jadi, mari kita lihat bagaimana nak betulkan perkara ini… Jika ia kronik, kita kena cari ubat… Insya-Allah penyakit ini dapat sembuh,” katanya katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, sebentar tadi.
Beliau yang juga Ketua Cawangan Kampung Menerong, Pokok Sena menegaskan ahli UMNO ketika ini tidak lagi bertolak ansur dengan kualiti.
“Mulai sekarang, kita tidak boleh bertolak ansur dalam kualiti. Yang lepas itu adalah sejarah tetapi kualiti pada masa kini yang akan tentukan sejarah pada masa depan.
“Kita mesti cari kualiti… contohnya dalam sektor perubatan, kita nak ubat yang autentik…yang asli, kita tak nak ubat yang palsu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga menggariskan enam kunci utama bagi memantapkan lagi kepimpinan parti.
“Yang pertama… integriti. Laporan audit mesti diambil kira. Jangan pandang remeh setiap perkara yang ditegur. Yang kedua, Ambil sesuatu isu secara terperinci… jangan hanya bagi kepimpinan kepada individu itu tetapi hasilnya masih tidak berubah.
“Yang ketiga, lihat pada hasilnya… jika dalam sektor perubatan, kita bagi ubat… lancar program… kesannya mesti ada. Jika bagi ubat tapi dua, tiga tahun tak berubah, ‘something wrong’ la tu,” katanya.
Manakala katanya, yang keempat ialah kualiti. ‘Yang bawah harus rasa kualiti di atas… yang di atas pula harus rasa kualiti di bawah. Jangan hanya syok sendiri saja,” katanya.
Sementara itu, elemen kelima ialah sesuatu tindakan lahir dari hati.
“Seorang pejuang UMNO harus buat kerja tanpa harapkan balasan, jangan harapkan wang ringgit. Setiap tindakan harus ikhlas dan lahir dari hati.
“Terakhir adalah setiap daripada kita kena balik kepada agama… lambang kepada parti bukan kerana pengikut tetapi kerana pemimpin. Jadikan agama sebagai asas dalam memimpin. Doakan kita dapat perbetulkan keadaan, supaya lebih ramai anak muda dan golongan profesional kembali tertarik kepada UMNO kerana kualitinya,” tegasnya.
Beliau juga mengingatkan kepada golongan muda supaya tidak terus-menerus menentang kerajaan dan menggelarkan parti UMNO sebagai parti rasuah.
“Jangan tuduh parti ini parti rasuah… kita hantar belajar tetapi tuduh UMNO parti macam-macam. Kita bantu mereka daripada susah tetapi bila dah berjaya, mereka tentang kerajaan.
“Anak muda kena tengok balik apa yang mereka perjuangkan. Sepatutnya kena bantu kerajaan bangunkan ekonomi anak muda yang lain… bantu dan perbetulkan ekonomi mereka.
“Ingat anak-anak, setiap butir beras yang kamu makan itu adalah kerana UMNO… itu peringatan kepada anak-anak muda di luar sana,” tegasnya.
TIMBALAN Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (dua dari kiri) membuat lawatan ke Pameran Wanita Kreatif 2014 bersempena Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini. – Foto Asyraf Hamzah


PAU 2014 : UMNO: Realiti kehidupan rakyat luar bandar perlu diteliti – Perwakilan

JUMAAT, 28 NOVEMBER 2014 @ 11:26 AM
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu meneliti realiti kehidupan rakyat berpendapatan rendah terutamanya di luar bandar dan tidak hanya berbangga dengan statistik berhubung peningkatan pendapatan isi rumah yang dikeluarkan agensi tertentu.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Setiu, Terengganu, Mohd Iskandar Jaafar berkata hakikatnya, statistik itu tidak melambangkan kehidupan sebenar rakyat kerana masih ramai yang hidup kais pagi makan pagi.
“Walaupun kita sudah bekerja bertungkus lumus, kadang-kadang kita rasa sedih…tiba-tiba keluar dalam surat khabar, di kaca televisyen, purata pendapatan isi rumah rakyat Malaysia meningkat RM5,900, amboi…
“Betullah menjadi sebuah negara maju menjelang 2020 kita kena ada statistik yang menunjukkan kita bergerak ‘in progress’ (di landasan yang betul) tetapi bila rakyat dengar mereka tanya pendapatan ini pendapatan siapa?” katanya ketika membahaskan usul ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.
Mohd Iskandar menarik perhatian misalnya golongan penoreh getah di kawasan Setiu yang masih ramai antaranya berpendapatan RM25 seminggu ekoran harga getah yang tidak menentu selain faktor cuaca.
“Di tempat saya hari ini, harga getah cukup teruk, ada pernah sampai RM1.60 sekilogram, semalam saya telefon di kampung tanya berapa harga getah hari ini, katanya RM1.70 sekilogram, seminggu motong (menoreh) getah tak dapat sampai RM50 pun.
“Makanya kita tidak boleh terlalu bergantung kepada statistik untuk nak meyakinkan kepada rakyat bahawa beban sara hidup mereka ini sudah dibantu,” kata Mohd Iskandar.
Pandangan sama turut disuarakan Ketua UMNO Bahagian Kampar, Perak, Datuk Mohd Radzi Manan yang mahu kerajaan menambah baik pendekatan dalam meningkatkan taraf hidup Melayu dan Bumiputera di luar bandar.
Mengambil contoh hasil keluaran padi yang bernilai hampir RM70 juta setahun, beliau mahu pendapatan dan keuntungan yang diperoleh disalurkan secara adil kepada petani yang terlibat.
“Katakan harga padi daripada petani sebanyak RM600 satu tan dan bila ditolak ke pasaran harganya menjadi RM3,000. Nilai tambah kira-kira RM2,000 itu siapa yang dapat? Bukan kita Bumiputera. Saya minta kita fikirkan perkara ini,” tegasnya.
Menyifatkan golongan Melayu dan Bumiputera sebagai ‘simpanan tetap’ sebenar bagi UMNO, Mohd Radzi berkata golongan itulah yang sepatutnya diberi perhatian, berbanding Melayu di bandar yang seakan-akan telah menjauhi parti itu.
“Akar umbi kita di luar bandar masih kuat. Mereka ini kalau lari, tentu kita kalah,” katanya.
– BERNAMA
PERWAKILAN Terengganu, Mohd Iskandar Jaafar ketika membahaskan usul pada Perhimpunan Agung UMNO Ke-68 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini. – Foto BERNAMA


PAU 2014 : Peremajaan UMNO perlu ‘zuriat’ berkualiti – Perwakilan

JUMAAT, 28 NOVEMBER 2014 @ 10:49 AM
PERWAKILAN Wanita UMNO berkumpul di ruang legar pada hari keempat Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PTWC) hari ini. – Foto Ghazali Kori
KUALA LUMPUR: Proses peremajaan parti memerlukan pemimpin pelapis yang berani, tidak cepat melatah, bersifat terbuka dan sentiasa ingin belajar untuk menambah pengetahuan selok-belok politik.
Wakil Umno Pahang, Mohd Shahrir@Shaharir Abdullah, berkata golongan pelapis perlu mempunyai ciri-ciri berkenaan kerana mereka akan menghadapi suasana politik negara yang semakin mencabar.
“Anak-anak muda belum pernah merasai pahit getir perjuangan dan ‘sepak terajang’ politik. Mereka ini perlu dibimbing melalui proses pembelajaran berterusan.
“Jangan cepat melatah, jangan jadi pengecut. Politik ini ada seni yang perlu dan sentiasa dipelajari dari semasa ke semasa,” katanya ketika membahaskan usul Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.
WAKIL UMNO Pahang, Mohd Shahrir@Shaharir Abdullah. – Foto Abdullah Yusof
Beliau berkata agenda peremajaan parti bukanlah sekadar bermaksud menukar atau mengganti kepimpinan sedia ada secara keseluruhannya sebaliknya dilakukan bagi mengembalikan maruah serta menjamin kelangsungan perjuangan parti pada masa depan.
“Anak-anak muda perlu tunjuk semangat tinggi. Kita nak tengok pemimpin pelapis yang dinamik, berkarisma serta lantang bersuara dan berjuang dalam satu saf bersama ‘orang lama’,” katanya. – BERNAMA

PAU 2014 : UMNO perlu lebih berhati-hati bagi pastikan kelangsungan perjuangan parti

JUMAAT, 28 NOVEMBER 2014 @ 10:42 AM
WAKIL UMNO Perak, Datuk Mohd Radzi Manan. – Foto Abdullah Yusof
KUALA LUMPUR: UMNO perlu tegas dan lebih berhati-hati apabila menerima isyarat daripada pihak luar bagi memastikan kelangsungan perjuangan parti terus terpelihara dan kekal relevan pada masa hadapan.
Peringatan itu disampaikan oleh wakil Perak, Datuk Mohd Radzi Manan supaya UMNO tidak lari daripada dasar perjuangannya iaitu untuk membela nasib kaum Melayu.
“Kita kena kenal pasti signal yang diterima… pastikan kita dapat signal yang betul dan baca signal ini dengan nada yang serius bagi memastikan kelangsungan perjuangan parti tidak dipengaruhi oleh pihak luar,” katanya ketika membahaskan ucapan presiden di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, sebentar tadi.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kampar menegaskan UMNO perlu mengenal pasti pemimpin yang berkelayakan untuk terus memimpin parti terbesar kaum Melayu itu dan tidak hanya mendengar pandangan segelintir pihak ketika sesi pemilihan.
“Kenal pasti individu yang perjuangkan hak kaum Melayu, jangan kita tunduk pada kaum-kaum lain jika mahu UMNO terus gah dilihat sebagai pembela nasib Melayu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga menyeru parti supaya membuat keputusan berdasarkan musyawarah parti dan tidak membelakangkan kesengsaraan golongan pertengahan dan bawahan.
“Contohnya isu harga minyak naik… minyak naik sehari sebelum Hari Raya Haji, inilah yang kita katakan ‘timing failed’. Sepatutnya kerajaan lebih prihatin… jangan dengar nasihat yang salah,” tegasnya.
Bercakap mengenai peremajaan parti, Mohd Radzi berkata, Ketua Pemuda dan Puteri harus diberi peluang dalam pentadbiran kerajaan.
“Tukarkan jawatan Ketua Puteri, beri mereka jawatan. Jangan hanya sekadar mencari Ahli Parlimen… Kalau kita tak bagi mereka kenderaan macam mana mereka nak berjalan? Lepas tu mulalah bersuara kata puteri ni tak bergerak, tak berjalan.
“Saya juga seru Pusat buat tindakan positif, tindakan yang lebih berkesan… bukan hanya bercakap dan berjalan tetapi tengoklah yang berada di bawah… kalau kita nak betulkan UMNO, kita kena betulkan dari atas,” katanya.
Dalam pada itu, bagi memastikan proses peremajaan parti dapat dilakukan dengan kadar segera, beliau meminta supaya pemuda dan puteri di dalam UMNO supaya bangun dari tidur dan menunjukkan taring mereka sebagai seorang pemimpin.
“Saya minta orang muda bangun tunjuk kewibawaan mereka dahulu… apa yang mereka boleh buat. Buktikan kepada pucuk pimpinan,” katanya.

PAU 2014 : Najib berikrar terus komited perjuang nasib Melayu, Bumiputera

KHAMIS, 27 NOVEMBER 2014 @ 6:37 PM
SEMANGAT… Datuk Seri Najib Razak ketika berucap pada majlis perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2014 di Dewan Merdeka, PWTC, Kuala Lumpur hari ini. – Foto Effendy Rashid
KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, hari ini berikrar untuk terus komited memperjuangkan nasib kaum Melayu dan Bumiputera.
Semasa berucap merasmikan Perhimpunan Agung UMNO 2014, Najib berkata komitmen itu bukan sekadar di bibir, tetapi beliau dan rakan-rakannya dalam parti serta kerajaan, telah melakukan segala yang termampu untuk membuktikannya.
“Ketahuilah, saya berdiri di sini, tidak sama sekali sekadar (sebagai) Perdana Menteri, saya juga berdiri di hadapan ini, bukan setakat Presiden UMNO, tapi saya berdiri dan berbicara di hadapan saudara sekalian, sebagai penyambung lidah dan warisan perjuangan Melayu Bumiputera.
“Dari itu, mana mungkin, saya sanggup membiarkan keturunan dan bangsa saya melarat, terhina, hingga terbangsat menjadi celaka di tanah sendiri,” katanya dalam ucapan dasar bertemakan Solidariti Melayu dan Bumiputera, Solidariti UMNO, Solidariti Malaysia.
Perhimpunan agung yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu dihadiri 2,752 perwakilan.
Turut hadir dua bekas perdana menteri dan presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Najib yang berbaju Melayu berwarna jingga menegaskan bahawa komitmen berkenaan adalah antara cara UMNO membayar balik harga pengorbanan dan harga kesetiaan anggotanya.
“Kepada akar umbi UMNO pula yang sejak dahulu istiqamah dan iltizam dalam perjuangan, kita harus membayar balik harga pengorbanan dan harga kesetiaan mereka dengan cara terus membela untung nasib bangsa, kerana UMNOlah satu-satunya parti tempat berlindung dan bergantung harap demi masa depan kita semua,” katanya.
Perdana Menteri menegaskan bahawa ahli UMNO tidak perlu apologetik dan berasa segan silu, jika ada pihak cuba memperlekeh dan mencemuh kononnya parti itu sudah jumud dan tidak relevan lagi.
Sebaliknya, beliau berkata ahli UMNO mesti berhijrah ke arah yang lebih baik supaya parti itu menjadi platform kepada perjuangan masa depan dan menjadi parti berguna kepada generasi akan datang.
“Oleh yang demikian, saya selaku presiden ingin menyeru, kembalikanlah semangat UMNO yang kian pudar, pulihkanlah jiwa UMNO yang sudah hampir malap, nyalakanlah semangat perjuangan asal serta roh UMNO yang sudah makin menghilang.
“Sematkanlah, rasa sayang dan kasih kepada parti, kerana di situlah kita akan bertemu jawapannya,” katanya.
Najib turut menggariskan tiga formula yang perlu terus diamalkan UMNO dalam pembinaan negara bangsa termasuk konsep wasatiyyah, pendekatan berimbang dan mementingkan kecemerlangan.
“Orang-orang UMNO sewajibnya menjadi golongan yang terunggul atau memperoleh tahap tiada tolok banding. Tapi, janganlah pula jadi “Pak Maun” macam dalam cerita P Ramlee, Nasib Do Re Mi,” katanya.
Beliau mengingatkan ahli UMNO agar tidak sekali-kali berasa berpuas hati tidak kira sebanyak mana kejayaan dan setinggi manapun pengiktirafan yang diterima.
“Ini kerana, musuh daripada dalaman mahupun luar, akan terus mengintai-intai, cuba menerobos apa jua celah dan ruang untuk menjatuh-jatuhkan perjuangan kita, bagi merapuh-rapuhkan semangat kita, seterusnya untuk mengapi-apikan persengketaan supaya kita retak dan berpecah-belah.
Sebelum mengakhiri ucapan selama sejam 10 minit itu, Najib sekali lagi mengingatkan anggota UMNO agar tidak berasa kecewa dan lesu apabila perjuangan mereka dikritik dan diragui bangsa sendiri.
“Sedarlah, insaflah, sesungguhnya kita tidak berhadapan dengan banyak pilihan, hanya satu sahaja. Seandainya parti ini rebah, sekiranya parti ini jatuh dan tumbang, keindukan Melayu Bumiputera akan turut tersungkur dan terkubur bersamanya. Nauzubillah.
“Oleh itu saudara seperjuanganku sekalian, marilah kita bangun, marilah kita berdiri. Tegakkan kepalamu, jangan mundur, pandang ke depan, sekali layar sudah dikembangkan, sekali sauh sudah dinaikkan, bahtera UMNO tidak boleh berpatah balik.
“Kita akan pastikan, panji-panji Sang Saka Bangsa akan terus berkibar megah di persada,” katanya.
– BERNAMA