dinturtle – Blogger PARTI MELAYU: Undi Tidak Percaya – Tun Mahathir Bidas Speaker ! …

dinturtle – Blogger PARTI MELAYU: Undi Tidak Percaya – Tun Mahathir Bidas Speaker ! …: astroawani Sebelum ni dah heboh mengenai cadangan Tun Mahathir yang mahu Usul Undi Tidak Percaya dibawa ke sidang Parlimen sebagai salah…

Advertisements

F1 : Hamilton kembali kepada rentak kemenangan

28 September 2015 12:01 AM
SUZUKA, Jepun – Lewis Hamilton meluru ke garisan penamat di hadapan rakan sepasukannya dalam Mercedes AMG Petronas, Nico Rosberg untuk memenangi Grand Prix Formula Satu Jepun semalam dan mengukuhkan peluangnya untuk memenangi gelaran dunia kali ketiga.
Lewis Hamilton melambung trofi di atas podium selepas memenangi Grand Prix Jepun di Litar Suzuka semalam. AFP
Pemandu dari Britain itu, yang memburu kejuaraan dunia berturut-turut, kini berada 48 mata di hadapan Rosberg dalam kedudukan keseluruhan pemandu ketika musim ini berbaki lima perlumbaan selepas memperagakan pemanduan mengkagumkan di Litar Suzuka.
Sebastian Vettel, yang mencipta kejutan apabila menang di Singapura minggu lalu, menduduki tempat ketiga manakala seorang lagi pemandu Ferrari, Kimi Raikkonen keempat.
“Sungguh hebat Lewis! Perlumbaan yang fantastik kawan!” kata jurutera pasukan Mercedes menerusi radio sewaktu Hamilton melintasi garisan penamat sambil menumbuk udara untuk meraikan kemenangan kelapannya musim ini.
Selepas kembali mencipta kejayaan selepas perlumbaannya tamat awal di Singapura minggu lalu, Hamilton membalas: “Kerja yang fantastik kawan. Rasa sungguh gembira dapat kembali menang.”
Bersemangat selepas kecewa di Singapura, Hamilton bermula dengan hebat, meluru ke hadapan di selekoh dua selepas Rosberg terbabas sedikit ke rumput dan tercicir ke tempat keempat setelah bermula dari petak pertama.
Pemandu Red Bull, Daniel Ricciardo mendapati tayarnya koyak ketika cuba memintas tetapi berlaga tayar dengan Felipe Massa, yang kemudian terpaksa memandu kereta Williamsnya kembali ke pit untuk menukar sayap depan.
Bagaimanapun, keadaan berjalan lancar untuk kelompok hadapan dengan kedua-dua pemandu Mercedes menguasai perlumbaan untuk membalas kekecewaan mereka di Singapura sehingga membuka peluang tipis kepada Vettel. – AFP

Vettel hidupkan persaingan rebut gelaran Formula Satu

21 September 2015 12:23 AM
SEBASTIAN VETTEL mencium trofi di atas podium selepas memenangi Grand Prix Formula Satu Singapura semalam. – AFP
SINGAPURA – Pemandu Ferrari, Sebastian Vettel memenangi perlumbaan Grand Prix (GP) Formula Satu Singapura setelah mengambil kesempatan terhadap ketiadaan pelumba pilihan utama Lewis Ha­milton yang gagal menamatkan persaingan semalam.
Kejayaan Vettel itu sekali gus menghidupkan semula persa­ingan untuk memburu kejuaraan F1 musim ini, yang kini berbaki enam perlumbaan.
Pelumba kelahiran Jerman itu mendahului dari awal hingga ke akhir perlumbaan dan menamatkan persaingan dengan masa dua jam, satu minit 22.118 saat dalam perlumbaan yang terganggu seketika oleh peminat yang berkeliaran di dalam trek.
Vettel melintasi garisan penamat untuk kemenangan ketiganya musim ini dengan berada 1.4 saat di hadapan naib juara Daniel Ricciardo dari pasukan Red Bull.
Rakan sepasukan Vettel, Kimi Raikkonen menduduki tempat ketiga, yang mana ketiga-tiga pelumba ini kekal di posisi sama sejak awal perlumbaan yang berlangsung di litar Marina Bay.
Pelumba Mercedes, Hamilton pula terpaksa berundur awal apabila jentera yang dipandunya mengalami masalah teknikal di pertengahan perlumbaan, namun penyandang juara itu masih meng­ungguli kedudukan keseluruhan dengan 252 mata.
Kejayaan Vettel bagaimanapun merapatkan kedudukannya di tempat ketiga keseluruhan dengan berada lapan mata di belakang rakan sepasukan Hamilton, Nico Rosberg yang menamatkan perlumbaan semalam di tempat keempat. – AGENSI

TMJ terus desak FAM

26 September 2015 11:39 PM
KUALA LUMPUR – Tunku Ismail Sul­tan Ibrahim terus menggesa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) supaya memberi hak penyiaran lebih tinggi kepada setiap pasukan dan kelab dalam Liga Malaysia (Liga-M).
TUNKU ISMAIL SULTAN IBRAHIM
Penaung Diraja Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) itu berkata, persatuan negeri dan kelab sepatutnya menerima minimum sebanyak 70 peratus atau 80 peratus daripada hasil penyiaran manakala bakinya diambil oleh FAM.
“Berkenaan hak penyiaran FAM dan jadual perlawanan liga, FAM dilihat masih berdegil. Hak penyiaran semua pasukan yang bertanding masih sedikit dan sama seperti tahun-tahun sebelumnya.
“Saya tidak faham, dan ingin tahu mengapa FAM perlu menerima sehingga 40 peratus daripada keseluruhan hasil penyiaran yang berjumlah lebih kurang RM30 juta, sedangkan pengurusan liga akan dijalankan oleh Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP),” katanya menerusi laman sosial Facebook Johor Darul Ta’zim (JDT).
Kenyataan terbaharu Tunku Mahkota Johor (TMJ) ini dilihat sebagai menyokong kekesalan yang disuarakan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa semalam, yang mendakwa FAM tidak adil apabila hanya menyerahkan RM600,000 kepada Kelantan sebagai honorarium daripada hasil jualan tiket berjumlah kira-kira RM3 juta untuk perlawanan akhir Piala FA Mei lalu.
Tunku Ismail berkata, jika dibandingkan di negara-negara Eropah, pasukan-pasukan yang bertanding menerima sebanyak 70-80 peratus daripada hasil penyiaran sedangkan pasukan tempatan hanya menerima 30 peratus.
“Saya berharap semua pasukan menggunakan dana daripada hak penyiaran ini dengan baik dan bijak menggunakannya mengikut kemampuan. Jangan berbelanja untuk mendapatkan pemain-pemain import sahaja. Keutamaan perlu diberi kepada pemain tempatan,” tegasnya.
Dalam pada itu, Tunku Ismail juga menyentuh tentang isu panggilan pemain-pemain untuk menyertai kem latihan skuad kebangsaan yang dianggap tempoh melaporkan diri terlalu awal.
“Di negara-negara Eropah seperti Jerman dan England, pemain akan melaporkan diri ke kem latihan empat atau lima hari sebelum perlawanan tetapi di Malaysia pula pemain perlu melapor diri sehingga dua minggu awal sebelum perlawanan.
“Pemain Malaysia mempunyai purata tempoh latihan yang panjang dan dua kali ganda berbanding pemain Jerman dan England untuk membuat persiapan perlawanan antarabangsa.
“Ini menyebabkan liga terhenti lama dan merosakkan momentum para pemain. Harus diingatkan bahawa pemain sudah cukup cergas dan mereka hanya perlu diasah dari segi taktikal bila di kem latihan kebangsaan.
“Apa yang berlaku sekarang, kita tidak menang tetapi sebaliknya sentiasa tewas. Jadi, lakukanlah seperti dilakukan oleh orang lain,” jelasnya.

PIALA MALAYSIA : Pahang kena belasah

Selangor, Felda dipaksa main dalam jerebu
MOHD. FIRDAUS ISMAIL | 27 September 2015 1:00 AM
PEMAIN Selangor dan Felda United minum pada pertengahan babak kedua atas kebenaran pengadil untuk mengurangkan kesan jerebu setelah penganjur pertandingan Piala Malaysia mengarahkan perlawanan di Stadium Shah Alam, Selangor itu tetap diteruskan malam tadi. MINGGUAN/Izham Jaafar
PULAU PINANG – Impian juara bertahan Pahang untuk menempah tempat ke suku akhir Piala Malaysia lebih awal terencat apabila mereka dibelasah 4-1 oleh Pulau Pinang sementara Selangor dan Felda United seri tanpa jaringan dalam perlawanan yang tetap diteruskan oleh penganjur walaupun keadaan berjerebu teruk.
Apa yang dibimbangi oleh Zainal Abidin Hassan mengenai pasukannya berkemungkinan keletihan kerana terpaksa bermain tiga perlawanan digelanggang lawan berturut-turut menjadi kenyataan di Stadium Bandaraya apabila pasukan tuan rumah yang dibimbing oleh Jacksen Tiago melancarkan serangan bertali arus sejak awal permainan dan berada di depan pada minit ke-39 menerusi percubaan dari luar kotak penalti oleh Mohd. Failee Ghazali.
Walaupun Pahang hanya memerlukan seminit kemudian untuk menyamakan kedudukan menerusi tandukan penyerang sensasinya Dickson Nwakaeme, namun mereka longlai selepas rehat.
Mohd. Failee sekali lagi menemui sasaran apabila menanduk bola sepakan bebas Lee Gil Hoon hanya seminit selepas babak kedua bermula dan Harimau Kumbang menambah derita pelawat apabila sepakan deras Mohd. Azinee Taib pada minit ke-81 gagal diselamatkan penjaga gol Pahang, Mohd. Nasril Nourdin untuk tuan rumah mendahului 3-1 dan tiga minit kemudian tandukan pemain gantian Alberto Goncalves menerjah gawang pelawat.
Sementara itu, Selangor dan Felda United telah meminta perlawanan ditangguhkan akibat jerebu tebal menyelubungi Stadium Shah Alam namun, permintaan mereka ditolak oleh penganjur.
Pengadil Muhd. Nazmi Nasaruddin bagaimanapun memberikan rehat kira-kira tiga minit pada pertengahan setiap babak permainan, yang berkesudahan seri 0-0, untuk membolehkan pemain minum dan membasuh muka bagi mengurangkan kesan buruk jerebu.
Red Giants hampir berada di depan pada minit ke-44 menerusi penyerang dari Brazil, Guilherme De Paula namun sepakan kencang­nya dari luar petak penalti ditepis keluar penjaga gol Felda, Farizal Harun.
The Fighter mempunyai peluang keemasan menerusi pemain tengah Zah Rahan Krangar pada minit ke-51 tetapi sepakan bebas dari luar petak penalti sekadar melewati palang gol tuan rumah.
Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, T-Team kembali bersaing untuk merebut slot dua pasukan terbaik dari Kumpulan C apabila mengejutkan pasukan pilihan Kelantan 3-1.
Bermula agresif, tuan rumah terus mengasak sebaik sahaja wisel ditiupkan dan berjaya mendahului pada minit ke-14 menerusi sentuhan penyerang muda Muhammad Zulhanizam Shafine yang mudah menolak masuk umpanan Mohd. Badrul Hisham Morris.
Zulhanizam sekali lagi mengukuhkan namanya selaku penjaring untuk T-Team tujuh minit kemudian apabila memanfaatkan hantaran lintang Josip Milardovic sebelum Tomislav Busic terus menambah derita pelawat dengan gol ketiga pada minit ke-30.
Kelantan yang berusaha bangkit bagaimanapun hanya mampu membalas menerusi jaringan Gilmar Jose da Silva Filho pada minit ke-87.
Di Stadium Perak, tuan rumah mensia-siakan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila tewas 2-0 kepada ATM.
Pasukan pelawat mendominasi permainan sebaik sahaja perlawanan dimulakan tetapi gagal mencipta sebarang peluang jaringan sehinggalah minit ke-38 apabila Jerry Palacios Suazo berjaya membolosi gawang Perak menerusi rembatan deras dari dalam kotak penalti.
Usaha Perak untuk sekurang-kurangnya menyamakan kedudukan dan mengutip satu mata punah apabila pemain sayap ATM, Venice Elphi menjaringkan gol kedua pasukan itu pada minit ke-90 perlawanan.
Di Stadium Jalan Besar, Singapura, tuan rumah beraksi cemerlang untuk meraih kemenangan 3-2 ke atas Terengganu dalam saingan Kumpulan A.
Tiga gol pasukan Lions XII dijaringkan oleh Sahil Suhim pada minit ke-35 dan dua jaringan Safuwan Baharudin sewaktu minit ke-54 dan ke-89 manakala dua jaringan Terengganu diperolehi melalui Paulo Rangel minit keempat dan ke-43.

AFC CUP : Tiada Figueroa, JDT tagih bisa Safee

29 September 2015 12:21 AM
JOHOR BAHRU – Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Mario Gomez yakin Safee Sali mampu menggalas tugas sebagai penggempur utama pasukan apabila me­reka menentang Qadsia SC dalam perlawanan separuh akhir Piala AFC ma­lam ini.
Safee Sali
Safee mendapat pe­luang un­tuk membuktikan kehebatannya dalam pertemuan di Stadium Mohammed Al-Hamad Hawally, Kuwait itu setelah penyerang dari Argentina, Luciano Figueroa menjalani penggantungan dua perlawanan kerana mengutip kad merah dalam perlawanan suku akhir menentang South China di Stadium Mong Kok, Hong Kong pada 15 September lalu.
Gomez percaya Safee mampu mengulangi permainan terbaiknya ketika menjaringkan dua gol sewaktu menentang South China yang sekali gus membantu Harimau Selatan menang dengan agregat 4-2 dan melakar sejarah menjadi pasukan pertama Malaysia layak ke separuh akhir Piala AFC.
“Ketiadaan Figueroa yang digantung dua perlawanan memberi ruang kepada Safee untuk menggalas tugas sebagai penyerang utama. Saya berasakan dia mampu menjalankan tugas yang baik di bahagian serangan dan bersedia untuk menggempur kubu lawan.
“Selain Safee, pemain lain turut mempamerkan semangat yang tinggi menjelang perlawanan menentang Qadsia. Saya yakin JDT mampu mencipta kejutan dan mendapat keputusan yang baik sebagai bekalan untuk perlawanan timbal balik nanti,” katanya ketika dihubungi semalam.
Secara keseluruhannya penyerang kebangsaan berusia 31 tahun itu sudah meledakkan empat gol dalam lapan penampilan bersama Harimau Selatan dalam kempen Piala AFC.
Gomez berkata, kudrat Safee amat ditagih untuk meneruskan prestasi cemerlang di peringkat Asia, lebih-lebih lagi turun menentang The Kings, iaitu penyandang juara Piala AFC musim lalu.
“Tidak dinafikan Qadsia merupakan lawan yang sukar dan kami sudah membuat persiapan rapi untuk berdepan juara musim lalu itu.
“Pemain juga sudah dapat membiasakan diri dengan keadaan cuaca di sini. Saya berharap segalanya berjalan lancar dan pemain mampu menampilkan prestasi terbaik,” katanya.
Perlawanan separuh akhir kedua dijadualkan berlangsung pada 20 Oktober di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

Panggil Duta Besar China amalan biasa – Anifah Aman

29 September 2015 1:08 AM
KUALA LUMPUR 28 Sept. – Kementerian Luar menjelaskan, tindakan memanggil Duta Besar China ke Malaysia, Dr. Huang Huikang adalah satu amalan biasa untuk meminta penjelasan tentang kenyataan yang dibuat oleh beliau semasa lawatan ke Jalan Petaling, baru-baru ini.
Anifah Aman
Menterinya, Datuk Seri Anifah Aman berkata, Wisma Putra cuma ingin meminta Huikang mengesahkan sama ada kenyataan beliau telah disalah tafsir atau sebaliknya.
Jelasnya, memanggil Duta Besar asing ke Wisma Putra bukanlah kali pertama dilakukan Malaysia kerana sebelum ini perkara sama dilakukan terhadap Duta Amerika Syarikat (AS), Duta Vatican dan Duta Singapura dan ia adalah amalan biasa dan selaras dengan Artikel 41, Vienna Convention on Diplomatic Relations 1961.
“Sebagai sebuah negara berdau­lat, kita juga perlu menyampaikan pendirian kita kepada China de­ngan jelas.
Dalam perkara ini, setelah berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, saya membuat keputusan untuk memanggil Duta Desar China untuk hadir di Wisma Putra bagi memberi penjelasan.
“Saya juga berpandangan bahawa isu ini tidak perlu dibawa ke peringkat menteri kerana sebagai amalan biasa, ia ditangani di pe­ringkat pegawai kanan di Wisma Putra sahaja,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.
Huikang sewaktu melawat Jalan Petaling telah membuat kenyataan yang dilihat sebagai mencampuri urusan dalaman Malaysia dan pelbagai pihak telah menuntut beliau membuat permohonan maaf.
Dalam pada itu, Anifah berkata, beliau amat dukacita kerana beberapa menteri Kabinet mengambil beberapa tindakan dan membuat kenyataan akhbar tanpa merujuk kepada beliau terlebih dahulu.
Tegasnya, beliau tidak pernah sekali pun membatalkan arahan untuk memanggil Duta Besar China ke Wisma Putra bagi memberi penjelasan.
“Sebenarnya perkara ini dapat diselesaikan dengan baik oleh Wisma Putra tanpa campur tangan menteri-menteri lain.
“Sebaliknya campur tangan mereka telah memberikan persepsi yang negatif di kaca mata orang ramai. Saya berharap perkara sebegini tidak akan berulang di masa akan datang,” katanya