LIGA SUPER : JDT hampiri gelaran kali kedua

20 Ogos 2015 2:17 AM
PENYERANG JDT, Luciano Figueroa (kanan) menjaringkan gol pertama pasukannya setelah tandukannya melepasi jangkauan penjaga gol Perak, Muhamad Zamir Selamat dalam perlawanan Liga Super di Johor Bahru semalam. UTUSAN/Raja Jaafar Ali
KUALA LUMPUR – Watak peneraju Liga Super sekali lagi bertukar tangan semalam apabila penyandang juara Johor Darul Ta’zim (JDT) membelasah Perak 4-1 manakala Pahang sekadar mengutip satu mata selepas seri 2-2 dengan Felda United ketika persaingan semakin sengit menuju hari terakhir hujung minggu ini.
Kemenangan besar Harimau Selatan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos itu membolehkan mereka menghampiri gelaran kali kedua setelah mengumpul 46 mata, dua di hadapan Pahang ketika juara liga musim ini akan ditentukan menerusi perlawanan Sabtu ini.
Skuad kendalian Mario Gomez, yang prestasinya kelihatan merosot dalam tiga perlawanan sebelum ini, termasuk dibelasah 4-1 oleh Kelantan hujung minggu lalu, bagaimana­pun terpaksa menunggu sehingga minit ke-44 perlawanan semalam.
Penyerang sensasi dari Argentina, Luciano Figueroa sekali lagi menjadi tunjang kepada barisan hadapan JDT apabila menanduk ma­suk dari jarak dekat sebelum pemain sayap Mohd. Nazrin Mohd Nawi meletakkan skuad Harimau Selatan mendahului 2-0 pada minit kedua masa kece­deraan menerusi rembatan kencang dari jarak 25 meter.
Bersambung babak kedua, pertahanan dari Brazil, Thiago Junio menyalakan kembali semangat skuad The Bos Gaurus dengan merapatkan jurang jaringan pada minit ke-60, namun S. Chanturu dan Mohd. Safiq Rahim memadamkan sisa-sisa perjuangan Perak apabila masing-masing menyumbangkan gol pada minit ke-65 dan 71.
Bagaimanapun, kejayaan mereka dicemari insiden kekecohan di perkarangan stadium selepas tamat perlawanan kira-kira pukul 11.15 malam apabila sebahagian penyokong JDT menjerit kepada pihak polis, dipercayai kerana tidak berpuas hati dengan penahanan beberapa individu.
Mereka menjerit meminta individu berkenaan dibebaskan selain membaling objek ke arah anggota polis.
Sementara itu, Pahang meletakkan diri mereka dalam kedudukan sukar untuk menjulang trofi Liga Super selepas 11 tahun apabila sekadar mengutip satu mata di Stadium Darul Makmur.
Kedua-dua pasukan hanya dapat menjaringkan gol pada separuh masa kedua dengan Tok Gajah terlebih dahulu membuka jaringan menerusi orang besinya Dickson Nwakaeme pada minit ke-48 setelah gerakan solonya berjaya menewaskan kapten Felda United, Muhammad Shukur Adan.
Felda United bagaimanapun enggan menyerah kalah dan berjaya mendahului menerusi dua gol oleh Thiago Augusto pada minit ke-61 dan 68, tetapi tandukan Damion Steward pada minit ke-78 membantu Tok Gajah sekurang-kurangnya terus memberikan saingan kepada JDT.
Di Stadium Shah Alam, Selangor tidak berdepan masalah membelasah Kelantan 3-0.
Gol tuan rumah diperoleh menerusi jaringan Ahmad Hazwan Bakri pada minit ke-23 hasil sepakan bebas setelah penyerang dari Brazil, Guilherme de Paula dijatuhkan oleh pertahanan Kelantan, Mohd. Farisham Ismail.
Sela­ngor mengukuhkan kedudukan apabila Guilherme menja­ringkan gol kedua selepas me­lakukan sepakan lambung untuk menewaskan penjaga gol Mohd. Shahrizan Ismail pada minit ke-49 dan terjahan kasar Shahrizan terhadap Hazwan dalam kotak penalti membawa padah apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada The Red Giants yang di­sempurnakan oleh Guilherme pada minit ke-63.
Terengganu pula memanfaatkan aksi di laman sendiri dengan mengutip tiga mata penuh selepas menundukkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 1-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin manakala di Stadium Negeri, Sarawak menang 2-1 ke atas Lions XII sementara Sime Darby juga melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

LIGA SUPER : Kelantan belasah JDT

Buka laluan kepada Pahang rampas kembali takhta
16 Ogos 2015 12:19 AM
MOHD. BADHRI RADZI (tengah) diraikan oleh rakan-rakan sepasukan selepas menjaringkan gol kedua untuk membantu Kelantan menumpasksan JDT 4-1 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, semalam. – MINGGUAN/Wahidin Salim
KUALA LUMPUR – KELANTAN mempamer kebangkitan hebat apabila membenam Johor Darul Ta’zim (JDT) 4-1 di Kota Bharu, semalam, sekali gus membuka laluan kepada Pahang memintas kedudukan pendahulu Liga Super.
Selepas tewas 5-3 kepada Pahang dalam aksi terakhir liga, The Red Warriors cemerlang di Stadium Sultan Muhammad IV bermula dengan membuka jaringan menerusi Gilmar Jose Dos Santos seawal minit keempat.
Mohd. Badhri Radzi menjadikan kedudukan 2-0 melalui sepakan penalti pada minit ke-17 dan Nor Farhan Muhammad menambah gol ketiga di minit ke-51, sebelum Dos Santos melengkapkan gol keempat, lima minit sebelum tamat.
Gol saguhati JDT diraih Mahali Jasuli pada minit ke-50.
Pahang gagal mengutip mata penuh di Stadium Perak, namun kejayaan mengikat tuan rumah 1-1 sudah cukup membantu skuad Zainal Abidin Hassan kembali meneraju liga dengan perbezaan gol.
Dalam aksi di Ipoh, Tok Gajah terlebih dahulu berada di hadapan menerusi Mohammad Hafiz Kamal pada minit ke-31, namun Bobby Gonzales menyekat hasrat mereka untuk membawa pulang tiga mata menerusi jaringan pada minit ke-79.
Di Stadium Jalan Besar, Lions XII bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat Selangor 1-1.
The Red Giants terlebih dahulu berada di hadapan menerusi ja­ringan Mohd. Afiq Azmi pada minit ke-60, namun ketika perlawanan berbaki tiga minit, Khairul Nizam Mohd. Kamal menyamakan kedudukan untuk membolehkan wakil Singapura itu meraih satu mata di laman sendiri.
Felda United turut meraih tiga mata berharga selepas menundukkan Terengganu 1-0 menerusi jari­ngan tunggal pemain import dari Zambia, Ndumba Makeche pada minit ke-59 dalam perlawanan di Stadium Selayang.
Aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi menyaksikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM)terikat 1-1 dengan Sarawak, meskipun mendahului permainan seawal minit kelima menerusi jaringan pemain Nigeria, Abdulafees Abdulsalam.
Tommy Mawat menjadi penyelamat dengan menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-54 bagi memastikan skuad Bujang Se­nang membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata.
Sime Darby dilihat sudah pasti akan tersingkir ke saingan Liga Perdana musim depan selepas menca­tat keputusan seri 1-1 dengan PDRM dalam aksi yang berlangsung di Stadium Shah Alam.
PDRM terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-23 menerusi Dramane Traore tetapi ketika perlawanan berbaki satu minit untuk ditamatkan, Mohd. Nizad Ayub berjaya menyamakan kedudukan untuk Sime Darby meraih mata ketujuh saingan liga musim ini.

LIGA SUPER : Perak, Felda bakal tentukan nasib JDT

Harimau Selatan belum mengalah
YATIMIN ABDULLAH | 17 Ogos 2015 1:23 AM
KOTA BHARU – Walaupun dibelasah 4-1 oleh Kelantan dan terpaksa melepaskan takhta pendahulu Liga Super kepada Pahang kelmarin, namun Johor Darul Ta’zim (JDT) belum mengalah kerana sai­ngan masih berbaki dua perlawanan.
Skuad bimbingan Mario Gomez hanya dipisahkan oleh perbezaan gol di belakang Tok Gajah selepas kedua-dua pasukan terikat dengan 43 mata.
Baki dua perlawanan menentang Perak di Larkin, Rabu ini, diikuti Felda United (Stadium Selayang) pada Sabtu akan menjadi penentu nasib JDT untuk mempertahankan kejuaraan.
Pahang yang seri 1-1 dengan Pe­rak akan menerima kunjungan Felda di Kuantan pada Rabu ini, sebelum berdepan cabaran getir skuad jiran, Terengganu di Kuala Terengganu pada Sabtu.
“Peluang masih terbuka kerana kami berkongsi mata dengan Pahang dan hanya dibezakan oleh jumlah jaringan.
“Masih terlalu awal untuk JDT mengaku kalah daripada perebutan kejuaraan kerana saingan belum tamat,” kata Gomez.
Katanya lagi, apa yang penting JDT perlu fokus dalam baki dua perlawanan walaupun bakal beraksi tanpa Marcos Antonio Santos akibat penggantungan selepas mengumpul kad kuning.
Dalam perlawanan kelmarin, The Red Warriors hanya memerlukan empat minit untuk mendapatkan jaringan pertama menerusi pemain import dari Brazil, Gilmar Dos Santos Filho yang bijak menguis masuk bola hantaran Mohd. Norfarhan Mohamad untuk menewaskan Mohd. Farizal Marlias.
Ketua Pasukan, Mohd. Badhri Radzi menambah jaringan Kelantan pada minit ke-13 selepas tenang menyempurkan sepakan penalti sebelum Mahali Jasuli merapatkan kedudukan 2-1 pada minit ke-50.
Dua minit berselang, Mohd. Norfarhan menjarakkan kedudukan selepas meledakan gol ketiga Kelantan disusuli jaringan keempat oleh Filho pada minit ke-85, sekali gus membunuh sisa-sisa perjuangan JDT.
Sementara itu, Gomez mengakui jaringan ke­tiga The Red Warriors melunturkan semangat barisan pemainnya untuk bangkit melakar kejutan pada perlawanan tersebut.
“Selepas Mahali menjaringkan gol pertama saya nampak semangat pemain mula meningkat. Ketika itu saya amat yakin kita mampu me­lakukan kejutan sama ada menang atau seri.
“Namun semua itu berubah selepas Kelantan mendapat jaringan ketiga mereka dan ia memberikan kesukaran kepada kita untuk bangkit semula,” ujarya.
Ini merupakan kekalahan pertama dirakamkan oleh Gomez sejak mengambil alih tugas jurulatih JDT daripada pengendali sebelum itu Bojan Hodak.

Jaringan Figueroa selamatkan JDT

13 Ogos 2015 12:34 AM
PENYERANG Pahang, Matias Ruben Conti (dua dari kanan) meraikan kejayaannya menjaringkan gol dalam perlawanan Liga Super menentang Kelantan di Stadium Darul Makmur, Kuantan semalam. Pahang menang 5-3. UTUSAN/MAHATHIR ALI
KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta’zim (JDT) mengukuhkan cengkaman selaku pendahulu Liga Super selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Lions XII dalam aksi yang berlangsung di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, semalam.
Jaringan tunggal penyerang dari Argentina, Luciano Figueroa pada minit ke-55 sudah mencukupi buat skuad kendalian Mario Gomez untuk terus berada di puncak liga, mengatasi Pahang dengan perbezaan satu mata.
Aksi di Stadium Darul Makmur menyaksikan tuan rumah, Pahang mencipta kemenangan besar 5-3 sekali gus membolehkan mereka terus mengekori rapat JDT dalam persaingan merebut kejuaraan Liga Super musim ini.
Tok Gajah terlebih dahulu membuka jaringan menerusi R. Surendren pada minit keenam, disusuli Dickson Nwakaeme (minit ke-8), Matias Conti (minit ke-43), Zesh Rehman (minit ke-53) dan Azamuddin Akil pada minit ke-93.
Hatrik Md. Nor Farhan Muhammad pada minit ke 11, 70 dan 90 bagaimanapun masih belum mencukupi untuk membantu The Red Warriors untuk mencipta kemenangan selepas mereka terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Khairul Izuan Rosli dibuang padang pada minit ke-73.
Selangor berjaya meraih tiga mata berharga selepas merekodkan kemenangan 3-2 ke atas ATM dalam aksi yang berlangsung di Stadium Shah Alam.
Skuad Red Giants terlebih dahulu berada di hadapan pada minit ke-32 menerusi jaringan penyerang Brazil, Guilherme De Paula setelah menyempurnakan sepakan penalti selepas Ahmad Hazwan Bakri dikasari pertahanan lawan dalam kotak penalti sebelum The Gladiators menyamakan kedudukan menerusi Abdulafees Abdul Salam pada masa kecederaan separuh masa pertama.
Ahmad Hazwan menjaringkan gol kedua tuan rumah selepas babak kedua bersambung tiga minit sebelum kapten Red Giants, Shahrom Abdul Kalam menjaringkan gol ketiga pada minit ke-55.
Jaringan kedua pasukan pelawat menerusi Shukor Jusoh di masa kecederaan bagaimanapun tidak dapat membantu ATM untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata.
Aksi di Stadium Sultan Zainal Abidin menyaksikan Terengganu turut meraih tiga mata selepas menewaskan Perak 2-1.
Ismail Faruqi meletakkan tuan rumah di hadapan seawal minit keenam sebelum Issey Nakajima melebarkan jurang pada minit ke-27 dan jaringan saguhati Bos Gaurus diperoleh menerusi Bobby Gonzales, 10 minit kemudian.
Sementara itu, di Stadium Selayang, pasukan tercorot liga Sime Darby masih gagal mencipta sebarang kemenangan apabila sekadar seri 1-1 dengan Sarawak.

LIGA SUPER : Pahang, JDT berentap hingga ke hujung musim?

08 Ogos 2015 1:03 AM
PENYERANG JDT Luciano Gabriel Figueroa meraikan jaringan keduanya bersama Mohd. Nazrin Mohd. Nawi ketika menentang Sime Darby di Johor Bahru Rabu lalu , yang dimenangi Harimau Selatan 4-0.
KUALA LUMPUR – Selepas 17 perlawanan dan hanya berbaki lima aksi musim ini, pertarungan merebut gelaran juara Liga Super kelihatan hanya akan ditentukan dalam perlawanan terakhir musim oleh Pahang dan pencabar terdekatnya Johor Darul Ta’zim yang terus konsisten untuk menguasai dua tempat teratas dalam carta.
Ketika ini, peluang pasukan lain untuk memintas Tok Gajah dan Harimau Selatan kelihatan mustahil.
Perak selaku pasukan di anak tangga ketiga ketinggalan 10 mata dan lebih realistik untuk skuad Bos Gaurus mempertahankan kedudukan semasa mereka daripada asakan pencabar terdekatnya yang terdiri daripada Selangor, Felda United, Terengganu dan Lions XII.
Bekas ketua pasukan kebangsaan, Ahmad Shahrul Azhar Sofian menyifatkan perebutan kejuaraan liga hanya dapat diramalkan dalam dua perlawanan terakhir kerana perbezaan mata terlalu dekat.
Bagaimanapun, dia melihat pendahulu liga Pahang dalam kedudukan tertekan ketika ini kerana tidak boleh tercicir sebarang mata dalam lima perlawanan terakhir ini.
“Persaingan cukup kritikal sekarang dan Pahang pasti tertekan kerana tidak boleh tercicir mata andai mahu merangkul kejuaraan tetapi JDT dilihat lebih selesa untuk mengejar apabila akan menentang pasukan yang terlebih dahulu bermain dengan Pahang sebelum menentang mereka.
“Beza dua mata bersamaan satu perlawanan sahaja. Jadi, bagi saya juara Liga Super hanya dapat diramalkan dalam dua atau satu perlawanan terakhir,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini semalam.
Dalam perlawanan liga hari ini, Pahang dijangka menghadapi tugas sukar untuk memungut tiga mata berharga apabila bertandang ke Stadium Jalan Besar untuk menentang Lions.
Kebanyakkan pasukan menghadapi kesukaran untuk mencipta kemenangan di laman keramat skuad Fandi Ahmad itu, manakala JDT dijangka tidak sukar untuk terus meraih tiga mata mudah apabila menentang pasukan kedua tercorot liga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Selepas menentang Lions malam ini, Pahang akan menghadapi Kelantan, Perak, Felda United dan Terengganu, dan kesemua pasukan itu kemudiannya akan menghadapi JDT, yang membelasah Sime Darby 4-0 Rabu lalu.

JDT rampas teraju Liga Super

09 Ogos 2015 1:03 AM
PENYERANG JDT, Luciano Figueroa melompat untuk menanduk bola sambil cuba dihalang oleh pemain ATM, Nor Fazly Alias dalam perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Seremban semalam. JDT menang 1-0. BERNAMA
CARTA Liga Super mendapat peneraju baharu apabila ja­ringan tunggal perlawanan oleh Safee Sali sudah cukup untuk memastikan Johor Darul Ta’zim (JDT) memintas Pahang yang kalah teruk kepada Lions XII semalam.
JDT, yang sekian lama mengekori Tok Gajah dengan dua mata, menggunakan kelebihan menentang pasukan ke­dua tercorot Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mencatat kemenangan tipis 1-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Seremban.
Skuad Harimau Selatan itu bagaimanapun terpaksa menunggu hingga minit ke-70 apabila penyerang kebangsaan Safee muncul wira setelah meledak jaringan, sekali gus menghadiahkan kekalahan keenam berturut-turut untuk ATM.
Kemenangan ke atas The Gladiators itu membolehkan JDT mengumpul 40 mata, satu mata mendahului Pahang selepas 18 perlawanan.
JDT mendapat kelebihan kerana mereka dapat mengetahui kekalahan 2-4 Tok Gajah kepada Lions XII lebih awal kerana Pahang bermain di Stadium Jalan Besar yang bermula pukul 7.45 malam.
Gol juara Piala FA, Lions XII dijaringkan oleh Faris Ramli pada minit ke-17 dan 59, Madhu Mohana (minit ke-30), Safuwan Baharudin (minit ke-85), manakala Pahang menerusi Matias Conti (minit ke-43) dan Surendran (minit ke-90).
Di Stadium Perak, Ipoh, Felda United menumpaskan tuan rumah 2-0 untuk memberikan kekalahan keempat berturut-turut kepada The Bos Gaurus, sekali gus men­yingkirkan Perak dari kedudukan ketiga carta.
Hambar dalam babak pertama permainan, pasukan pelawat terpaksa menunggu hingga minit ke-60 untuk memecahkan kebuntuan menerusi ketua pasukan Muhd. Shukor Adan yang menolak ma­suk bola ke gawang setelah penjaga gol Muhd. Zamir Selamat gagal menangkap kemas bola sepakan sudut Indra Putra Mahayuddin.
Kesilapan sendiri sekali lagi menghukum Perak pada minit ke-69 apabila Mohd. Raffi Nagor Ghani tertampan bola ke gawang sendiri ketika cuba menahan hantaran lintang Cristie Jayaseelan untuk gol kedua Felda United.
Sementara itu, dua gol pada penghujung perlawanan yang dijaringkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyebabkan Sarawak berputih mata di Stadium Negeri, Kuching setelah tewas 3-2.
Gol-gol The Cops dihasilkan oleh Ahmed Ezrie Shafizie pada minit ke-20, Dramane Traore (minit ke-86) dan Afif Amiruddin (minit ke-89) manakala gol Sarawak disumbangkan oleh Joseph Kalang Tie (minit ke-49) dan Ryan Griffiths (minit ke-79).
Dalam aksi di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan terus gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri apabila kalah 1-2 kepada Terengganu walaupun mendahului awal.
The Red Warriors bermula garang apabila mendahului skuad Penyu ketika permainan baru berlangsung 13 saat menerusi jari­ngan Ahmad Fakri Saarani.
Tonggak pertahanan pelawat Vincent Bikana yang tidak dikawal menanduk masuk bola sepakan sudut Gustavo Lopez untuk me­nyamakan kedudukan pada minit ke-24 dan hasrat Terengganu untuk menambah jaringan akhirnya berhasil menerusi pemain gantian Ashaari Shamsudin yang menanduk masuk bola sepakan sudut Lopez pada minit ke-74.
Sementara itu, Selangor menggunakan peluang bersemuka de­ngan pasukan tercorot Sime Darby untuk meraih tiga mata berharga di Stadium MP Selayang apabila menang 3-1.
Selangor bermula garang dan mendahului dua gol menerusi Rizal Fahmi Rosid yang menanduk masuk bola sepakan bebas Andik Vermansah pada minit ke-19 sebelum Guilherme De Paula menyudahkan sepakan penalti pada minit ke-25.
Sime Darby cuba memberi sa­ingan sengit dengan beberapa gerakan berbahaya dan pemain import Reinaldo Da Costa merapatkan jurang gol pada minit ke-32 selepas menanduk masuk bola sepakan penjuru Fahrul Razi Kamaruddin.
Selangor bagaimanapun kembali selesa apabila Abdul Hadi Yahaya menambah gol ketiga pada minit ke-80.

LIGA SUPER : Selangor tumbang di Johor

MOHAMAD FAIZAL HASHIM | 14 Julai 2015 1:51 AM
PENYERANG Selangor, Ahmad Hazwan Bakri (kiri) cuba melepasi halangan pemain JDT, Mahali Jasuli dalam aksi Liga Perdana di Larkin, semalam. – UTUSAN/NUR AISYAH MAZALAN
JOHOR BAHRU – Johor Darul Ta’zim (JDT) terus menghambat pendahulu Liga Super, Pahang selepas me­numpaskan Selangor 3-1 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, semalam.
Kemenangan tersebut menyaksikan Harimau Selatan mengutip 31 mata selepas 15 perlawanan, dua mata di belakang Tok Gajah.
Dalam perlawanan itu, kedua-dua pasukan bermula garang seawal sepak mula dan tuan rumah terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-10 menerusi bekas bintang penyerang Selangor, Mohd. Amri Yahyah.
Gol pertama dihasilkan menerusi gerakan satu dua antara Amri dan Luciano Figueroa, sebelum Amri mudah menewaskan penjaga gawang Red Giants, Mohd. Hamsani Ahmad.
Skuad kendalian Mario Gomez hampir menambah jaringan 10 minit berselang, namun kapten mereka Safiq Rahim gagal memanfaatkan lorongan cantik yang dilakukan Amri dari sayap kanan.
Perlawanan yang disaksikan 11,340 penonton berubah menjadi tegang apabila pengadil tidak memberikan sepakan penalti kepada JDT apabila Figueroa dikasari Mohd. Hamsani dalam kotak penalti.
Keadaan bertambah buruk apabila pengadil Samsudin Ibrahim melayang kad kuning kepada Jasa­z­­rin Jamaludin kerana melakukan terjahan keras pada minit ke-30 dan Safiq yang menjatuhkan diri dalam kotak penalti tiga minit kemudian.
Red Giants memperoleh gol penyamaan pada minit ke-45 menerusi sepakan percuma jarak jauh yang diambil Andik Vermansah, yang memperdayakan penjaga gol lawan, Mohd. Farizal Marlias.
Sebelum babak pertama berak­hir, Figueroa meletakkan Harimau Selatan di depan selepas memanfaatkan hantaran lintang S. Kunanlan dengan melakukan tandukan deras menerjah gawang lawan pada masa kecederaan.
Bersambung babak kedua, perlawanan bertambah rancak apabila kedua-dua pasukan saling berbalas serangan mengasak kubu lawan masing-masing.
Serangan bertali arus yang dilakukan Harimau Selatan berjaya membuahkan hasil apabila Figue­roa menjaringkan gol keduanya menerusi sepakan percuma pada minit ke-77 menewaskan penjaga gol gantian, Muhd. Syamim Othman.
Figueroa hampir melengkapkan hatrik, namun tandukan pada minit ke-81 berjaya ditepis Syamim dan keputusan kekal ke wisel penamat.