Rusia layak ke Euro 2016, England terus cemerlang

14 Oktober 2015 12:04 AM
PENYERANG Rusia, Artem Dzyuba (dua dari kiri) bersaing dengan pemain tengah Montenegro, Mladen Kascelan (kiri) dan Esteban Saveljich dalam perlawanan kelayakan Euro 2016 di Otkrytie Arena, Moscow semalam. AFP
PARIS – Rusia dan Slovakia layak ke pusingan akhir Kejohanan Eropah (Euro) 2016, manakala juara bertahan, Sepanyol dan England masing-masing menamatkan kempen dengan kemenangan.
Rusia mempamer kebangkitan di bawah bimbingan Leonid Slutsky apabila menewaskan Montenegro 2-0 di laman sendiri untuk mendapat kelayakan automatik selaku naib juara Kumpulan G di belakang Austria dan memaksa Sweden untuk bermain dalam playoff.
Pemain pertahanan veteran, Oleg Kuzmin menjaringkan gol pertamanya dalam kejohanan antarabangsa untuk meletakkan Rusia di depan pada minit ke-33 di Arena Otkrytie sebelum Aleksandr Kokorin menyempurnakan sepakan penalti selepas Dmitri Kombarov dikasari oleh Vladimir Rodic.
Kejayaan itu merupakan kemenangan keempat berturut-turut sejak Slutsky mengambil alih tugas Fabio Capello yang telah dipecat serta memastikan Rusia mengatasi Sweden meskipun mereka menewaskan Moldova 2-0 di laman sendiri.
“Pemain saya sangat hebat. Mereka telah berjaya keluar daripada masalah yang membelenggu pa­sukan sewaktu menyertai kempen kelayakan Euro 2016,” kata Slutsky.
Sementara itu, Zlatan Ibrahimovic meletakkan Sweden di depan menerusi jaringannya yang ke-59 di pentas antarabangsa dan yang kelapan dalam kempen kelayakan sebelum Erkan Zengin mengukuhkan kedudukan.
Bagaimanapun, skuad kendalian Erik Hamren itu perlu berdepan dengan dua perlawanan playoff, bulan depan dan seandainya mereka menang, Sweden layak ke pusingan akhir Euro untuk kali kelima.
Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan G, Marko Arnautovic menjaringkan satu gol sebelum Marc Janko meledak dua gol untuk memastikan Austria menumpaskan Liechtenstein 3-0 di Vienna, sekali gus muncul juara kumpulan.
Sementara itu, Slovakia menyertai Euro 2016 sebagai negara merdeka buat kali pertama selepas menumpaskan Luxembourg 4-2, sekali gus menduduki tempat ke­dua dalam Kumpulan C di belakang Sepanyol.
Sebelum perlawanan bermula Slovakia berkongsi mata dengan Ukraine dan hanya kemenangan dapat memastikan mereka layak ke Perancis .
Skuad bimbingan Jan Kozak berjaya melakukannya hasil jaringan Adam Nemec, Robert Mak serta Marek Hamsik (dua gol) dalam perlawanan terakhir kumpulan, manakala Ukraine tewas 0-1 kepada Sepanyol di Kiev.
England yang sudah layak lebih awal menamatkan kempen kelayakan dengan cukup apabila mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 10 perlawanan di bawah kendalian Roy Hodgson setelah menewaskan Lithuania 3-0.
“Ini satu pencapaian. Saya bangga dengan prestasi pemain. Kualiti permainan bagus dan memenangi 10 perlawanan memberikan kepuasan. Kami bangga dengan kejayaan ini,” kata Hodgson. – AFP
Advertisements

EURO 2016 : Belanda tersingkir, Turki mara

Turki dan Croatia layak ke Euro 2016
15 Oktober 2015 12:01 AM
Pemain-pemain Turki meraikan kejayaan mereka menumpaskan Iceland dalam kelayakan Euro 2016 di Stadium Konya Arena, Konya, Turki semalam sekali gus mara ke pusingan akhir di Perancis. AFP
LONDON – Turki dan Croatia merebut slot automatik terakhir ke Kejohanan Eropah (Euro 2016) dengan cara cukup dramatik namun malang menimpa Belanda apabila untuk pertama kalinya gagal ke pusingan akhir kejohanan itu setelah tewas kepada Republik Czech di laman sendiri.
Belanda, juara Eropah pada 1988 serta finalis Piala Dunia tahun lalu menamatkan kempen kelayakan Euro 2016 di tempat keempat dalam Kumpulan A untuk kali pertamanya tersingkir daripada kejohanan tersebut sejak 1984.
Turki dan Belanda masing-ma­sing memburu tempat ketiga terbaik dalam kumpulan, di belakang Iceland dan Republik Czech yang telah pun layak, namun nasib menyebelahi Turki apabila muncul sebagai pasukan ketiga terbaik kumpulan dan layak secara automatik setelah menewaskan Iceland 1-0 di laman sendiri.
Mereka perlu mengelak daripada kalah kepada Iceland, sebagai bekalan sekiranya Belanda menewaskan Republik Czech, dan memiliki peluang tipis untuk menamatkan kempen selaku pasukan ketiga terbaik yang memiliki rekod terbaik dalam sembilan kumpulan di peringkat kelayakan sekiranya mereka menang dan Kazakhstan turut menewaskan Latvia.
Dan itulah yang berlaku semalam. Turki menang, Belanda kalah 2-3 dan Kazakhstan menang 1-0 di Latvia untuk membolehkan Turki layak ke pusingan akhir Euro buat kali keempat.
Sebelum perlawanan semalam, Hungary memiliki rekod pasukan ketiga terbaik tetapi mereka kini terpaksa bersaing dalam playoff.
Turki, yang menamatkan permainan dengan 10 pemain, menang menerusi sepakan bebas Selcuk Inan pada minit ke-89.
“Sebagai sebuah negara kami memerlukan kemenangan ini untuk berasa gembira, walaupun untuk hanya beberapa jam. Kami sangat gembira kerana dapat memberikan kegembiraan kepada orang Turki,” kata jurulatih Fatih Terim, yang me­rujuk kepada insiden pengeboman di ibu negara Ankara yang membunuh hampir 100 orang minggu lalu.
Skuad Oranje memulakan kempen kelayakan Euro 2016 dengan longlai selepas diaibkan 1-5 oleh Sepanyol malah mereka turut me­ngalami lima kekalahan dalam 10 perlawanan peringkat kelayakan.
Harapan Belanda untuk beraksi di pentas Eropah musnah apabila dibolosi dua gol serta ditambah pula de­ngan kesilapan Robin Van Persie yang tertanduk bola ke dalam gawang sendiri sekali gus meletakkan Repu­blik Czech di depan dengan tiga gol.
“Kami telah mensia-siakan peluang. Kami perlu lebih berdisiplin dan tajam sebab kami tidak memiliki banyak peluang. Kami tahu keadaan menjadi sukar namun melepaskan gol dengan mudah bermakna harapan kami dalam perlawanan tersebut telah pun musnah,” kata pemain tengah, Wesley Sneijder kepada radio Belanda NOS.
Croatia pula mara ke pusingan akhir Euro 2016 apabila menca­tat kemenangan 1-0 ke atas Malta meskipun pada mulanya kedudukan mereka belum selamat.
Croatia, yang memulakan perlawanan semalam dengan 17 mata, dan Norway, 19, masing-masing memburu tiket kelayakan automatik kedua di dalam Kumpulan H di belakang juara kumpulan Itali.
Sementara Croatia menang di Malta hasil jaringan Ivan Perisic pada minit ke-25, keadaan masih mencemaskan apabila Norway sedang mendahului Itali menerusi ja­ringan Alexander Tettey pada minit ke-23 di Rom.
Bagaimanapun, ketika perlawanan semakin menuju penghujung, Norway tumbang apabila dibolosi gol Alessandro Florenzi pada minit ke-73 dan Graziano Pelle lapan minit sebelum permainan berakhir, untuk kalah 1-2 dan membenarkan Croatia me­mintas mereka.
Norway sekurang-kurangnya masih boleh berusaha untuk layak apabila berada dalam undian untuk playoff.
Dua puluh pasukan, termasuk tuan rumah Perancis, telah layak ke pusingan akhir Euro 2016 manakala lapan pasukan perlu beraksi dalam playoff yang undiannya akan berlangsung Ahad ini. – REUTERS

EURO 2016 : Belgium jadi pasukan No 1. dunia 5 November ini

15 Oktober 2015 12:01 AM
PENYERANG Belgium, Dries Mertens (tengah) meraikan jaringannya ketika menentang Israel dalam kelayakan Euro 2016 di Stadium King Baudouin di Brussels, Belgium semalam. Belgium menang 3-1. AFP
BRUSSELS – Belgium bakal melonjak ke kedudukan No. 1 dunia dalam ranking FIFA selepas muncul juara Kumpulan B dalam aksi kelayakan Euro 2016 dengan menumbangkan Israel 3-1 semalam.
Kemenangan yang dilakar skuad bimbingan Marc Wilmots itu bermakna Belgium, yang telahpun mengesahkan tempat ke pusingan akhir Euro 2016 di Perancis lebih awal, bakal memintas Argentina dan Jerman yang kini menghuni kedudukan No. 1 dan No. 2 dunia dalam ranking FIFA.
Senarai terbaharu bakal diumumkan 5 November ini dan Belgium akan mengambil alih kedudukan tersebut daripada Argentina yang sekadar mengutip satu mata dalam dua perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018.
Argentina dikejutkan oleh kekalahan 0-2 kepada Ecuador dalam perlawanan pertama kelayakan Piala Dunia Jumaat lalu dan semalam skuad bimbingan Gerardo Martino itu sekadar seri 0-0 dengan Paraguay di Asuncion.
“Saya amat berpuas hati. Ya! No. 1 di dunia,” kata penyerang Belgium, Dries Mertens mengenai pasukan negaranya yang sekadar menghuni kedudukan No. 71 dunia pada 2007.
Selain Mertens, turut memberi reaksi mengenai kedudukan terbaharu ranking FIFA itu ialah penjaga gol Liverpool, Simon Mignolet yang melahirkan rasa bangganya menjadi sebahagian daripada anggota skuad kebangsaan Belgium.
“Memang hebat dapat menjadi sebahagian daripada anggota skuad No. 1 @BelRedDevils. Berkongsi kegembiraan ini dengan penyokong juga,” kata Mig­nolet menerusi laman sosial Twitter.
Pemain pertahanan Barcelona, Thomas Vermaelen dalam akaun Twitter miliknya pula berkata: “La­yak ke Perancis, muncul juara kumpulan dan menjadi No. 1 dalam ranking dunia FIFA. Satu detik yang cukup hebat buat @BelRedDevils.” – AGENSI
Sementara itu, kekalahan 3-1 kepada Belgium semalam sekali gus memusnahkan impian skuad bimbingan Eli Guttman itu untuk menjejakkan kaki ke pusingan akhir Euro di Perancis tahun depan.
Malah, kekalahan tersebut turut memusnahkan impian Israel untuk ke aksi playoff, setelah Bosnia menamatkan saingan di kedudukan ketiga Kumpulan B hasil melakar kemenangan 2-0 ke atas Cyprus menerusi jaringan pemain tengah Haris Medunjanin dan pemain gantian Milan Djuric. – AGENSI

EURO 2016 : ‘Saya tidak akan lari’

Van Persie enggan bersara selepas Oranje tersingkir
16 Oktober 2015 12:13 AM
KEKECEWAAN jelas di wajah Robin van Persie apabila Belanda gagal melayakkan diri ke Euro 2016 selepas tewas 2-3 kepada Republik Czech dalam aksi kelayakan di Amsterdam Arena, kelmarin. – AFP
LONDON – Robin van Persie menegaskan, dia tidak akan lari daripada tanggungjawab dan tidak akan bersara daripada bola sepak antarabangsa hanya kerana Belanda dimalukan apabila gagal mela­yakkan diri Kejohanan Eropah (Euro) 2016.
Bekas bintang penyerang Arsenal dan Manchester United itu menegaskan, dia tetap teguh bersama skuad negaranya sama ada dalam keadaan suka atau duka.
Van Persie, 32, yang kini beraksi bersama kelab Turki, Fenerbahce melakukan kesilapan dengan menjaringkan gol sendiri ketika Oranje tewas 2-3 kepada Republik Czech dalam kelayakan Euro 2016 kelmarin, sekali gus menyebabkan Belanda menghuni tangga keempat Kumpulan A.
Apa yang lebih memalukan, Czech menamatkan perlawanan tersebut dengan 10 pemain.
“Saya tidak akan lari daripada detik sukar yang sedang kami hadapi sekarang. Saya akan teguh berdiri di sini dan sentiasa bersedia untuk menawarkan khidmat saya pada bila-bila masa yang diperlukan.
“Dapat menyarung jersi Oranje adalah satu penghormatan buat saya, tidak kiralah sama ada kami berada dalam situasi suka atau duka.
“Saya bukan jenis yang akan lari daripada tanggungjawab. Berputus asa tiada dalam kamus saya, namun sudah tentu peluang itu (beraksi buat Belanda) bergantung kepada jurulatih, sama ada mahukan saya atau tidak,” kata Van Persie kepada akhbar Belanda, De Telegraaf.
Menurut Van Persie lagi, sebagai manusia biasa sudah pasti dia amat kecewa apabila skuad Oranje yang sarat dengan sejarah hebat gagal layak ke Euro buat kali pertama sejak 1984.
“Sebagai ahli sukan, hati saya menangis. Kegagalan layak ke Euro sangat mengecewakan dan ia detik terburuk buat Belanda.
“Namun, kami perlu kekal positif biarpun berdepan situasi sukar. Kesakitan akan dirasai untuk tempoh yang lama, tetapi kami harus bangkit selepas ini,” ujar Van Persie lagi.
Walaupun Van Persie meraikan penampilan ke-101 bersama Belanda kelmarin, namun perkara itu tidak langsung menggembirakannya kerana tiada apa yang mampu dilakukan untuk menyelamatkan Oranje.
Kekalahan ini cukup memalukan buat sebuah pasukan yang memiliki reputasi besar seperti Belanda.
Mereka menamatkan kempen Piala Dunia 2014 di tangga ketiga dan merupakan juara Eropah 1988.
Sementara itu, bekas bintang tengah Oranje, Bolo Zenden berkata, gol sendiri Van Persie hanya memburukkan lagi situasi Belanda yang sudahpun teruk.
“Kami tiada kualiti. Perlawanan diakhiri dengan gol sendiri dan itu memburukkan lagi keadaan,” kata Zenden kepada BBC Radio 5. 
– AGENSI

EURO 2016 : England tidak boleh hanyut dibuai kejayaan – Walcott

12 Oktober 2015 12:11 AM
Theo Walcott
VILNIUS, Lithuania – Theo Walcott memberi amaran kepada rakan sepasukannya dalam skuad England bahawa melakar rekod kemenangan bersejarah 100 peratus dalam kempen kelayakan Euro 2016 tidak memberi sebarang makna me­lainkan jika mereka menjadi pencabar terkuat pada pusingan akhir nanti.
Skuad bimbingan Roy Hodgson berpeluang berada dalam enam pasukan terbaik yang melakar kemenangan dalam semua perlawanan kelayakan Kejuaraan Eropah, jika mereka me­numpaskan Lithuania dalam aksi ke-10 dan juga pertemuan terakhir Kumpulan E di Stadium LFF, hari ini.
Pencapaian melayakkan diri merupakan kali pertama dicipta England dalam format pertan­dingan yang diguna pakai sekarang, tanpa keciciran walau satu mata.
Namun Walcott, yang memastikan England berada di landasan tepat untuk mencipta kena­ngan yang akan terus diingati menerusi jaringan pembukaan sewaktu England menundukkan Estonia 2-0 kelmarin, bersikap jujur apabila me­ngakui skuad bimbingan Hodgson hanya bertemu lawan yang lemah di peringkat kumpulan.
Katanya, ujian lebih getir bakal menanti England dalam pusingan akhir di Perancis nanti.
“Kami mahu menjadikannya kepada 10 kemenangan pada malam Isnin (subuh Selasa waktu Malaysia). Ia satu pencapaian kecil yang cukup manis untuk dilakukan. Kami mahu menang dalam kesemua perlawanan.
“Namun, kekuatan pasukan kami bakal menerima ujian sebenar dalam aksi persahabatan akan datang (menentang Perancis dan Sepanyol, bulan depan) dan semua orang mahu mencipta kemenangan dalam mana-mana pertandingan serta menjadi kebanggaan negara.
“Terdapat segelintir pemain muda yang begitu teruja di dalam bilik persalinan dan cukup bersemangat untuk bermain baik, tetapi kami hanya akan benar-benar diadili apabila melangkah dalam pertandingan sebenar bola sepak,” kata penyerang Arsenal itu.
Walaupun Walcott lebih selesa bersikap berhati-hati mengingatkan England, yang se­ring mempamerkan prestasi kurang baik dalam pertandingan besar, dia bagaimanapun turut memuji Hodgson dan para pemain yang layak menerima pujian kerana mampu bangkit selepas kekecewaan terkandas seawal saingan kumpulan semasa Piala Dunia tahun lalu. – AFP

EURO 2016 : Wales tamat penantian 57 tahun

12 Oktober 2015 12:11 AM
PENYERANG Itali, Eder (kanan) meraikan jaringannya bersama pemain tengah Antonio Candreva sewaktu menentang Azerbaijan dalam perlawanan Kumpulan H kelayakan Euro 2016 di Baku, Azerbaijan semalam. Itali menang 3-1. AFP
PARIS – Wales mengesahkan tempat ke pusingan akhir pertandingan antarabangsa untuk kali pertama sejak Piala Dunia 1958, setelah melayakkan diri ke Euro 2016 meskipun tewas 0-2 kepada Bosnia semalam.
The Dragons memastikan tempat mereka ke Euro 2016 terjamin setelah Isreal tewas 1-2 kepada Cyprus di laman sendiri.
Belgium turut menempah slot ke Euro 2016 dalam aksi Kumpulan B selepas membelasah Andorra 4-1. Itali juga memastikan tempat mereka di Perancis pada musim panas tahun depan setelah me­nundukkan Azerbaijan 3-1.
Wales, Balgium dan Itali menyertai Austria, Republik Czech, England, Perancis, Iceland, Ireland Utara, Portugal, Sepanyol dan Switzerland yang terlebih dahulu melayakkan diri ke pusingan akhir 24 pasukan itu.
Bosnia berada di depan selepas 71 minit permainan berlangsung di Zenica, apabila Miralem Pja­nic melakukan rembatan jarak jauh ke dalam petak penalti untuk membolehkan pemain gantian Milan Djuric menanduk masuk menewaskan penjaga gol Wayne Hennessey.
Vedad Ibisevic menyumbat gol kedua pada hujung permainan, sekali gus menghidupkan peluang Bosnia beraksi dalam playoff. Namun, kekalahan itu tidak menjejaskan peluang Wales, setelah Cyprus mengejutkan Israel 2-1 di Jerusalem, terima kasih kepada jaringan Jason Demetriou pada minit ke-80.
“Inilah kekalahan paling indah sepanjang hidup saya. Untuk membuat pencapaian ini merupakan satu impian yang menjadi kenyataan dan sekarang kami perlu bersedia untuk ke Perancis. Ini membuktikan kemampuan sebenar kami. Kami seperti mempunyai ikatan persaudaraan ketika di dalam padang,” kata bintang Real Madrid, Gareth Bale.
Sementara itu, Belgium menambah derita Andorra, yang ditimpa kekalahan ke-49 dalam kelayakan Euro, sewaktu beraksi dalam hujan di padang sintetik dan melayakkan diri buat ke kelima ke pusingan akhir.
Skuad bimbingan Marc Wilmot memperoleh gol sulung selepas 19 minit perlawanan bermula apabila pemain Roma, Radja Nainggolan meledakkan gol menerusi rembatan jarak jauh, sebelum bintang Manchester City, Kevin De Bruyne menambah gol kedua dari jarak 22 meter tiga minit sebelum rehat.
Pemain Andorra, Ildefons Lima merapatkan jurang menerusi sepakan penalti pada minit ke-51, sebelum Eden Hazard kembali meletakkan Belgium dua gol di depan yang turut disempurnakan dari petak penalti lima minit kemudian.
Laurent Depoitre menyumbat gol keempat Belgium, manakala Hazard yang sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti gagal menyempurnakan amanah tersebut.
Dalam pada itu, bagi aksi Kumpulan A, Belanda melakar kemenangan 2-1 ke atas Kazakhstan, namun berdepan saingan untuk merebut slot playoff setelah Turki membenam Republik Czech 2-0 untuk mengekalkan kelebihan jurang dua mata di depan. – AFP

EURO 2016 : Norway tak dapat simpati Azzurri

13 Oktober 2015 12:12 AM
Antonio Conte
MILAN – Walaupun sudah mengesahkan tiket ke Kejohanan Eropah (Euro) 2016, Sabtu lalu, namun Itali tidak akan memberi ‘ihsan’ kepada Norway yang masih memburu tempat ke Perancis apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam perlawanan terakhir Kumpulan H di Rom, hari ini.
Pengendali Azzurri, Antonio Conte berkata, pasukannya turun untuk memburu kemenangan ketujuh daripada 10 perlawanan peringkat kumpulan, sekali gus melengkapkan kecemerlangan selepas menumpaskan Azerbaijan 3-1, minggu lalu.
Malah katanya, kemenangan amat penting untuk membolehkan juara 1968 itu menamatkan kempen kelayakan selaku juara kumpulan.
“Kami mahu Norway hormat kami. Aksi di Rom akan menjadi satu perlawanan yang menarik,” kata pengendali berusia 46 tahun itu.
Kenyataan Conte nyata bukan berita baik buat Norway, yang bersaing sengit dengan Croatia untuk memburu tiket automatik ke Euro 2016 atau terpaksa memburu tempat menerusi playoff.
Norway kini hanya meninggalkan Croatia dengan dua mata selepas mengumpul 19 mata daripada sembilan perlawanan, dua mata di belakang Itali.
Croatia dijangka tiada masalah untuk mengalahkan pasukan kerdil, Malta apabila bertandang ke tempat lawan hari ini, sekali gus memberi tekanan kepada Norway bahawa mereka perlu pulang dari Rom dengan tiga mata.
Bagaimanapun, misi itu tidak mudah kerana kali terakhir Norway menang ke atas Itali adalah adalah pada 2000.
Dalam perlawanan di Oslo ketika itu, Gianluigi Buffon menjadi penjaga gol dan Conte bermain di bahagian tengah. Mereka menang tipis 1-0.
Jika Norway dan Itali seri manakala Croatia menang ke atas Malta, mereka akan berkongsi 20 mata, namun Croatia akan menamatkan saingan selaku naib juara kerana memiliki kelebihan jaringan yang baik. – AFP