KEDAH – Enakmen jenayah syariah diwarta

Oleh SAFINA RAMLI
pengarang@utusan.com.my


KHAIRIL Akmal Hanafi (kiri) menerangkan hotel berkonsep taman kepada Mohd. Rawi Abdul Hamid (kanan) dan Dennis Cheng sempena praperasmian Tune Hotel Alor Setar di Jalan Putra Alor Setar, Kedah, semalam. – UTUSAN/Ismail Kamadin

ALOR SETAR 2 Jun – Para pengikut ajaran yang menyimpang daripada ajaran Islam termasuk Syiah di negeri ini perlu bersedia berdepan dengan tindakan undang-undang berdasarkan Enakmen Jenayah Syariah Kedah 2014 yang kini telah dikuatkuasakan.
Exco Agama, Pelancongan dan Tenaga Manusia negeri, Datuk Mohd. Rawi Abdul Hamid berkata, rang undang-undang itu telah diwarta dan dikuatkuasakan sepenuhnya di negeri ini bagi menjaga kesucian agama Islam.
“Dalam Enakmen Jenayah Syariah Kedah 2014, ada Seksyen 9 dan 11 iaitu sekiranya mana-mana orang berdakwah dan menyebarkan ajaran yang menyalahi fatwa bukan sahaja Syiah bahkan mana-mana ajaran yang jauh menyimpang daripada ajaran Islam iaitu fahaman Ahli Sunnah Wal Jammah boleh dikenakan tindakan.
“Bila-bila masa sahaja apabila dapat aduan bukan sahaja di Pendang tetapi di mana-mana kawasan di Kedah kita akan ambil tindakan sewajarnya bagi mempertahankan agama Islam,” katanya selepas menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian Kumpulan HBR dengan Bank Rakyat untuk Tune Hotel Alor Setar dan Praperasmian Tune Hotel Alor Setar di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Eksekutif Kumpulan HBR Khairil Akmal Hanafi dan Pengurus Tune Hotel Wilayah Utara, Dennis Cheng.
Dalam perkembangan lain, ketika diminta mengulas mengenai satu perhimpunan pengikut Syiah yang dikatakan berlaku di sebuah rumah di Kampung Alor Berala, Pendang pada Sabtu dan Ahad lalu, Mohd. Rawi berkata, perhimpunan itu tidak seperti yang digembar-gemburkan.
“Melalui risikan yang kita jalankan, rombongan pengikut Syiah dari negeri-negeri lain membatalkan hasrat mereka untuk menyambut perayaan yang ada di dalam kalendar Syiah itu apabila ada laporan polis dibuat mengenainya.
“Yang ada di situ pada hari tersebut cuma orang tempatan yang berjumpa secara biasa dan tiada pembesar suara ataupun majlis keramaian di buat pada hari tersebut,” ujarnya.
Khamis lalu, Pemuda UMNO Pendang membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang bagi menghalang satu perhimpunan didakwa melibatkan pengikut Syiah yang akan diadakan di Kampung Alor Berala.
Ketuanya, Mohamad Fadzil Zulkipli berkata, perhimpunan tertutup itu akan diadakan di sebuah rumah, yang dipercayai menjadi pusat penyebaran fahaman Syiah sejak lima tahun lalu.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140603/ma_02/Enakmen-jenayah-syariah-diwarta#ixzz33Y3S4PMp  © Utusan Melayu (M) Bhd

 

Advertisements

APA HAK YANG HARAM UNTUK DILAYAN?

Comango tidak berdaftar – KDN

Datuk Mohamad Khalid Sharif


KUALA LUMPUR 8 Jan. – Kementerian Dalam Negeri mengesahkan Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango) sebagai gabungan pertubuhan yang tidak berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335). Ketua Setiausahanya, Datuk Mohamad Khalid Shariff berkata, pengesahan itu dibuat berdasarkan semakan rekod oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Beliau memberitahu, sebahagian besar daripada 54 pertubuhan yang menganggotai gabungan itu merupakan pertubuhan bukan berasaskan Islam dan hanya 15 sahaja yang berdaftar dengan ROS.
“Setiap pertubuhan yang hendak menjalankan aktiviti secara sah di dalam negara ini hendaklah berdaftar dengan ROS seperti yang ditetapkan di bawah Seksyen 7 Akta Pertubuhan 1966.
“Mana-mana pertubuhan yang tidak memenuhi keperluan seksyen tersebut boleh diambil tindakan sebagai pertubuhan yang tidak berdaftar dan menyalahi undang-undang di bawah Seksyen 41(1)(b) akta tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah Comango yang disenaraikan Kementerian Dalam Negeri sebagai tidak berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966 ialah SIS Forum (Malaysia) Bhd. (SIS), Amnesty International Malaysia, Persekutuan Kristian Malaysia, Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), Seksualiti Merdeka, Persatuan Guru-guru Tadika Semenanjung Malaysia (PGGT), Rainbow Genders Society, Tenaganita dan Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM).
Comango merupakan gabungan NGO di negara ini yang menghantar laporan kepada Majlis Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi tujuan semakan berkala sejagat (UPR) yang berlangsung di Geneva, Switzerland setiap empat tahun sekali mulai 2009.
Matlamat pertubuhan berkenaan antara lain adalah memperjuangkan hak yang menyeleweng daripada ajaran Islam iaitu orientasi seksual dan identiti jantina (SOGI) merangkumi hak-hak golongan lesbian, gay, biseksual, transgender dan interseks serta bukan heteroseksual (LGBTIQ).
Sebahagian daripada tuntutan yang dikemukakan Comango pada pusingan kedua UPR ke atas Malaysia pada 24 Oktober lalu adalah hak kebebasan orientasi seks, lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), hak kebebasan murtad bagi orang Islam dan hak kesamarataan agama di negara ini.
Pada sesi UPR itu, Comango turut mempersoalkan kes tuntutan penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian, larangan terhadap penganut ajaran Syiah dan hak seorang bapa beragama Islam untuk mengislamkan anak-anak di bawah umur.
Gabungan itu turut menuntut undang-undang jenayah syariah dihapuskan, memberi persepsi negatif terhadap tindakan penguatkuasaan oleh jabatan agama Islam negeri dan usaha berdakwah kepada masyarakat Orang Asli serta mendesak kerajaan menarik balik pengharaman buku terjemahan Allah, Kebebasan dan Cinta, karya Irshad Manji.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140109/dn_02/Comango-tidak-berdaftar—KDN#ixzz2prJ8RfYS  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Isu Syiah ialah isu akidah, keselamatan

APABILA Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi membangkitkan isu Syiah dan kaitannya dengan pemimpin Pas, beliau menyatakan isu Syiah ialah persoalan akidah dan keselamatan negara.
Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu memberi respons bahawa ia adalah isu sementara tanpa menyedari bahawa dari segi sejarah perkembangan Syiah dari sudut akidah, syariah dan fikah banyak perkara yang menyalahi dan bukan isu sementara.
Ramai pemimpin Pas membuat anggapan bahawa tidak salah mengagumi Ayotullah Khomeini. Pemimpin Pas patut merujuk juga wasiat Khomeini dalam majalah Dustur terbitan Lebanon (1 Ogos 1983, edisi 197, hal. 16-18) memberikan wasiat supaya memerangi negara-negara Islam sampai mereka menjadi negara Syiah.
Kata Khomeini, “Ketika perang dengan Iraq telah selesai, maka kita wajib memulai perang dengan negara lainnya. Saya mengimpikan bendera kita berkibar di Amman, Riyadh, Damsyik, Kaherah dan Kuwait”.
Profesor Yusof al Qardawi ‘sahabat baik’ Anwar Ibrahim dan tempat rujukan Haji Hadi Awang yang sekian lama lunak dengan isu Syiah, akhirnya menyatakan Syiah membawa ajaran yang menyesatkan dan kafir (Aljazeera-9.3.2013) selepas menyaksikan pembunuhan ratusan ribu umat Islam di Syria.
Wasiat Khomeini dan penegasan Qardawi amat penting diteliti oleh golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berada dalam Pas dan parti-parti politik dan NGO Islam yang lain, kerana apa yang sedang berlaku di Iraq, Syria dan Bahrain adalah gambaran apa yang diwasiatkan oleh Khomeini dan dibimbangi oleh Qardawi. 
Apakah mengagumi Khomeini mengagumi wasiat dan ajarannya?
Banyak kitab Syiah sudah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Antaranya termasuk kitab-kitab Khomeini, Kasyful Asrar, Al Hukumah al Islamiah dan Tahrir al Wasilah yang menjadi rujukan utama penganut Syiah di Malaysia. Apakah kitab Khomeini ini selari dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah?
Tidak mustahil Indonesia yang semakin subur pengaruh Syiahnya dengan penerbitan al Mizan, Bandung sebagai penerbit utamanya dan Malaysia yang mempunyai penganut Syiah dikatakan suku juta orang bakal jadi ancaman kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah dan keselamatan negara di rantau ini.
Menurut kaca mata Ahli Sunnah Wal Jamaah, ajaran Syiah didapati bercanggah dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar. Pengikut Syiah mempercayai jawatan Imam telah ditentukan Allah melalui lisan Rasulnya secara nas. Ini dijelaskan dalam kitab Aqaid al-Imamah oleh Syeikh Muhammad Redha al Muzaffar (hal.78).
Syiah juga mempercayai bahawa orang yang dilantik menunaikan wasiat Rasulullah SAW adalah Saidina Ali. Usul ini disebutkan dalam kitab Aslu Al-Syiah Wa Usluha oleh Muhamad bin Husiain Ali Kasyif al-Ghita (hal.136).
Imamah dan Khilafah dianggap sebahagian daripada Rukun Islam dan ia berlaku melalui nas. Perkara ini dinyatakan dalam buku Minhaj Kebenaran dan Pendedahannya (Fiqh Lima Mazhab Di antara Nas dan Ijtihad) oleh al Hasan bin Yusuf al-Mutahhar al Hulliyy, terjemahan Dr. Lutfi Ibrahim, (hal. 145-146).
Banyak lagi buku tentang akidah Syiah ini menyimpang daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah. Umat Islam di Malaysia merupakan umat ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah iaitu berpegang dengan cara Abu Hassan al-Asya‘ri dan al Matruridi dalam akidah.
Menggunakan pendekatan Mazhab al-Shafie dalam penentuan hukum fikah dan meraikan mazhab muktabar yang lain.
Banyak lagi ajaran Syiah yang menyeleweng dari sudut Ahli Sunnah Wal Jamaah iaitu menyatakan semua imam adalah maksum, Ilmu Allah berubah-ubah mengikut sesuatu peristiwa yang berlaku kepada manusia, kemunculan semula Imam Mahdi dan kumpulan orang yang telah mati untuk memberi keadilan, taqiyyah (berpura-pura), menyamakan Saidina Ali dengan Allah SAW (kitab al Usul Min al Kafi oleh al Kulaini, Jilid 1, hal. 197), mengkafirkan para Sahabat (kitab al Anwar al-Nu‘maniah, oleh Syed Nikmatullah al Musawi, hal. 81).
Perpecahan yang berlaku di Malaysia tidak saja dilatari oleh faham politik yang berbeza tetapi juga anutan fahaman dan aliran keagamaan yang tidak sama.
Pertentangan Syiah dan Ahli Sunnah Wal Jamaah boleh menghasilkan pertentangan yang tajam. Menjadi kewajipan bagi kerajaan, parti politik dan NGO Islam yang masih meyakini kebenaran faham Ahli Sunnah Wal Jamaah tidak memandang ringan akan pengaruh Syiah ini.
Langkah-langkah keselamatan perlu diambil supaya faham yang bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah ditangani dengan tegas supaya perpecahan yang lebih parah dapat dibendung.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131217/re_02/Isu-Syiah-ialah-isu-akidah-keselamatan#ixzz2nnDeqeFR  © Utusan Melayu (M) Bhd 

Harap Mat Sabu tidak ‘bertaqiyyah’ – Zahid



ORANG KALAU DAH BIASA BERBOHONG, SEKALI TAK BERBOHONG DAH MACAM ZOMBI… HIDUP  MENYUSAHKAN ORANG  MATI TAK MAHU… 



KUALA LUMPUR 12 Dis. – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berharap Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang disahkan cenderung serta terlibat dengan fahaman Syiah di negara ini agar tidak bertaqiyyah.
Dalam nada sinis, beliau berharap pemimpin nombor dua Pas itu tidak tergolong dalam kumpulan itu walaupun fahaman Syiah membenarkan pengikut mereka bertaqiyyah dengan berpura-pura menjadi Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Sindiran itu dibuat berikutan Mohamad atau lebih dikenali sebagai ‘Mat Sabu’ mendakwa beliau bukan pengamal fahaman Syiah tetapi pengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah ketika menafikan pendedahan Ahmad Zahid pada Perhimpunan Agung UMNO 2013, Sabtu lalu.
“Saya harap Mat Sabu tidak termasuk dalam kumpulan taqiyyah ini,” katanya sinis sebagai menjawab pandangan Mohamad semalam bahawa propaganda anti-Syiah hanya bersifat sementara dalam sidang akhbar di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Sebelum itu, Ahmad Zahid merasmikan Ekspo Buku 1Malaysia anjuran Yayasan Pembangunan Buku Negara dan menyampaikan Anugerah Buku Negara 2013 kepada para pemenang.
Sementara itu, Ahmad Zahid pada sidang akhbar sempena lawatannya ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, hari ini berkata, tindakan yang diambil terhadap penganut fahaman Syiah bukan bersifat serangan terbuka tetapi kerana perkara itu perlu dibendung demi keselamatan negara.
Menurut beliau, kementeriannya dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) masing-masing bertindak mengikut peranan tertentu.
Jelas beliau, KDN bertindak atas alasan keselamatan negara yang ditimbulkan oleh penganut fahaman itu manakala Jakim dan pihak berkuasa agama negeri memantau aspek akidah.
“Isu Syiah ini bukanlah satu serangan terbuka terhadap penganut fahamannya atau pemimpin politik tertentu tetapi lebih menjurus kepada keselamatan negara.
“Jadi kalau nak berdialog, saya minta pihak terbabit buat dialog sendiri,” katanya.
Beliau mengulas saranan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF), Datuk Saifuddin Abdullah yang mahu isu penularan fahaman dan ajaran Syiah ditangani secara toleransi iaitu dengan mengadakan dialog atau perbincangan, bukannya secara terbuka.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20131213/po_02/Harap-Mat-Sabu-tidak-bertaqiyyah—Zahid#ixzz2nJYGl33H © Utusan Melayu (M) Bhd


 

KDN kemuka 10 maklumat

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN 

pengarang@utusan.com.my

MOHAMAD Sabu mengangkat tangan setelah memenangi pemilihan jawatan Timbalan Presiden Pas dalam Muktamar Tahunan Pas di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini. – UTUSAN/MOHD. AZIM ABD. RAHMAN
PUTRAJAYA 12 Dis. – Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini mengemukakan 10 maklumat yang didakwa mengaitkan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu dengan fahaman Syiah.
Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi menegaskan, Mat Sabu pernah menggesa umat Islam mencontohi kepemimpinan Islam berdasarkan cara Ayatollah Khomeini melalui tulisannya bertajuk ‘Teladan pemerintahan Nabi Yusuf, Khomeini’ dalam ruangan Fikrah akhbar Harakah keluaran 15 Julai 2008.
Beliau berkata, pemimpin Pas itu juga menyatakan kekagumannya terhadap kepimpinan dan perjuangan Khomeini yang banyak mencorakkan pemikirannya dalam ucapannya sebagai Timbalan Presiden Pas pada 13 Jun 2011.
“Ketika mengulas perutusan sempena Hari Krismas tahun 2008 bagi penganut Kristian di Malaysia, beliau telah menggunakan pendekatan ulama Syiah iaitu Imam Khomeini sebagai terma rujukan untuk meraih sokongan politik dan agenda perpaduan,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar khas di KDN di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Rahim berkata, temu ramah yang dibuat oleh agensi berita Antara Pos dengan Timbalan Presiden JATI, Datuk Aidit Ghazali menjelaskan bahawa Mat Sabu merupakan ikon Syiah dan gagal menafikan diri beliau mempunyai kaitan dengan Syiah.
Seterusnya beliau berkata, Mat Sabu secara terang-terangan memuji Setiausaha Agung Syiah Lubnan iaitu Saiyyid Hassan Nasrullah dan mengaku beliau dan isterinya kerap bertemu dengan pemimpin Syiah berkenaan lebih daripada empat hingga lima kali.
Katanya, berdasarkan maklumat, Mat Sabu didapati membuat lawatan ke sebuah masjid Syiah di Kampung Aluar, Wilayah Satun, Selatan Thailand pada 2011 serta melakukan kunjungan ke atas pemimpin Syiah dan menghadiri Majlis Ramah Mesra di sana.
“Beliau juga didapati telah beberapa kali menghadiri majlis pengajian di sebuah rumah di Bukit Merah, Semanggol, Perak pada 2011.
“Kelas pengajian tersebut dikendalikan oleh dua orang ustaz berfahaman Syiah yang bertugas di salah sebuah sekolah agama di Gunung Semanggol,” katanya
Abdul Rahim menambah, berdasarkan temu ramah pegawai kementerian, Zamihan Mat Zin bersama C.N Afghani (sahabat Mat Sabu selama hampir 20 tahun) di Masjid Jamek Kuala Lumpur pada 9 Disember lalu, C.N Afghani menjelaskan bahawa pemimpin Pas itu kerap kali melawat Iran dan pernah terlibat dalam program penghantaran pelajar Malaysia di Qom, Iran.
Selain itu, katanya, berdasarkan temu ramah Zamihan bersama Dr. Abdul Aziz Hanafi pada 11 Disember lalu, Dr. Abdul Aziz menjelaskan bahawa Mat Sabu pernah melafazkan selawat sebagai mana yang diamalkan oleh penganut Syiah pada satu sesi ceramah Pas di Madrasah Diniah, Arau, Perlis pada 2005.
“Tuan Guru Haji Abd. Rahim dari Sungai Jagung, Pendang, Kedah juga menjelaskan bahawa Mat Sabu merupakan salah seorang penganut Syiah.
“Ini kerana beliau sendiri beberapa kali pernah melihat Mat Sabu menunaikan solat dengan menggunakan sebiji batu kecil leper di tempat sujudnya. Amalan ini sinonim dengan golongan Syiah,” katanya.
Justeru kata Abdul Rahim, maklumat yang dikemukakan jelas menunjukkan bahawa Mat Sabu mempunyai kaitan dengan fahaman dan aktiviti Syiah.
Di samping itu katanya, Mat Sabu didapati menggesa umat Islam di negara ini untuk mencontohi pemikiran dan corak pemerintahan Imam Khomeini yang jelas berasaskan Syiah.
Selain itu, jelasnya, keterangan Mat Sabu sendiri melalui kata-kata, penulisan, rakaman ceramah dan aktiviti yang disertainya sama ada di dalam dan luar negara tidak dapat sama sekali menyembunyikan kaitan beliau dengan Syiah.
“Manakala keterangan dari rakan-rakan beliau yang pernah bersama-sama berjuang dalam lapangan politik yang sama juga turut memperakui bahawa beliau seorang yang mempunyai kaitan dengan Syiah.
“Maklumat yang dikemukakan ini jelas menunjukkan bahawa KDN dan agensi-agensi kerajaan lain sentiasa memantau dan peka dengan ancaman kegiatan serta fahaman Syiah yang boleh menjejaskan aspek keselamatan dan ketenteraman awam termasuklah gejala perpecahan dan keruntuhan nilai persaudaraan ummah,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan KDN termasuk polis serta agensi-agensi kerajaan lain seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri akan terus bekerjasama membendung pengaruh fahaman dan gerakan Syiah dalam kalangan rakyat Malaysia.
“KDN akan bertanggungjawab terhadap aspek keselamatan manakala Jakim dan Jabatan Agama Islam Negeri melihat dari aspek akidah dan penguatkuasaan di peringkat negeri,” katanya.


Pemikiran orang Melayu terus bercelaru…

APA sudah jadi ni? Orang kita, Melayu terus bercelaru fikiran dalam pelbagai hal.
Oleh kerana mereka tidak hebat dalam hal-hal ekonomi, perniagaan atau hal-hal berkaitan dengan duniawi, mereka kini bercelaru pula dalam hal-hal membabitkan akhirat.
Orang kita ini mahu menjadi lebih alim daripada orang alim, mahu menjadi penghuni syurga di tahap yang paling tinggi.
Kalau tidak takkanlah mereka sanggup mewujudkan agama-agama sendiri, sehingga ada yang mahu mendakwa diri sebagai tuhan.
Yang pelik dan ajaibnya ada pula pengikut yang mahu mengikuti ajaran itu.
Harun Mat Saat, 47 tahun macam kita sahaja. Tak ada beza. Ada mata, telinga, mata, mulut, tangan dan kaki. Apabila dia mengangkat dirinya sebagai tuhan dan dikenali sebagai Tuhan Harun, maka ada orang yang mahu menjadi pengikutnya.
Apakah kira-kira 31 pengikutnya mahu mencari syurga tertinggi itu? Kesemua mereka ialah orang Melayu. 
Dulu kita dengar Ayah Pin, pun ada ramai pengikut juga. Rata-ratanya orang Melayu.
Maka itu, tak hairanlah jika ada orang Melayu kita yang sering tercari-cari kepuasan lain.
Bagi mereka, menjadi sebahagian daripada pengikut Ahlil Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) sebagaimana yang kita amalkan sejak lahir, sudah tidak mencukupi. Mereka mahu lebih supaya dapat masuk ke syurga teratas.
Jika bukan soal syurga atau akhirat apa lagi yang mereka cari? Maka Syiah pula yang mereka temui.
Yang hairan mereka tidak mencari Hambali, Hanafi atau Maliki, tetapi sesuatu yang luar sama sekali dalam lingkungannya. Mereka merasakan Syiah ialah jawapannya.
Mengapa? Apakah ajaran itu mempunyai tawaran yang cukup lumayan selain untuk mencari syurga dan akhirat?
Tapi persoalan saya di sini ialah mengapa orang Melayu (dalam konteks negara ini) sahaja paling mudah terpesong dengan perkara-perkara seumpama ini?
Itu pasal soal-soal ranting dan kecil, berkenaan soal bubur asyura pun, kadang-kala diperbahaskan secara serius, seolah-olah Allah SWT tidak faham niat kita semua.
Apakah nanti masyarakat kita akan menjadi seperti di negara-negara lain. Sanggup menjadi pengebom berani mati dan meletupkan diri di dalam masjid, hanya kerana berbeza fahaman agama. Puak Syiah bom dalam masjid Sunni dan puak Sunni bom dalam masjid Syiah. Malangnya, pengebom berani mati itu yakin, atau diyakinkan oleh maulananya, bahawa apa yang dilakukannya itu adalah syahid!
Semasa saya di Mekah, saya ditunjukkan tanah perkuburan khusus untuk golongan Wahabi dan tanah perkuburan ASWJ. Saya tertanya-tanya mengapa perlu ada perbezaan?
Dalam heboh-heboh soal kecelaruan ini, seorang pegawai agama kita dibunuh kejam kerana ada kaitan dengan soal-soal yang kita bincangkan itu. Jika benar kaitan itu, maka amat malanglah sekali.
Orang Melayu kini sedang bercelaru pemikiran mereka. Dalam politik pun mereka celaru habis, dalam strata sosial pun celaru dan dalam soal agama pun kalut bercelaru.
Apakah tanda-tandanya itu?

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131113/re_06/Pemikiran-orang-Melayu-terus-bercelaru#ixzz2kU6V7HNP © Utusan Melayu (M) Bhd 

‘Sanggup mohon tukar agama’ – JAUH SESATNYA…

RAZALI Shahabudin (kiri) bersalaman dengan peserta Nadwah Ulama Nusantara Kelima di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bandar Baru Bangi, Selangor, semalam.

KUALA LUMPUR 9 Sept. – Pengikut-pengikut tegar Syiah sanggup memohon untuk diisytiharkan keluar daripada Islam semata-mata bagi mengamalkan ajaran itu secara terbuka.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Razali Shahabudin berkata, perkara itu diketahui menerusi ratusan salinan surat permohonan yang diterima pihak Jakim.
Katanya, surat-surat yang turut disertakan bersama salinan kad pengenalan pengikut itu dengan jelas berniat untuk mendapatkan perkenan atau kelulusan Jakim bagi menukar agama.
“Kita tidak boleh berkompromi dalam konteks membanteras Syiah yang semakin serius ini, sama ada sedar atau tidak, kita betul-betul dicabar.
“Secara terang-terangan mereka menguji kekuatan iman dan kekuatan pegangan kita sebagai Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya ketika berucap dalam Nadwah Ulama Nusantara Kelima di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dekat sini hari ini.
Yang hadir sama, Dekan Fakulti Pengajian Islam UKM, Prof. Dr. Mohd. Nasran Mohamad. Nadwah Ulama Nusantara yang bertemakan ‘Ulama dan Cabaran Idealisme Semasa’ itu antara lain membincangkan cabaran yang dihadapi golongan ulama dalam menangani permasalahan yang dihadapi masyarakat kini.
Dalam perkembangan sama, menurut Razali, semua pihak harus mengambil tanggungjawab memerangi Syiah secara lebih agresif menerusi penjelasan kepada masyarakat tentang penyelewengan ajaran itu.
Katanya, langkah itu penting kerana isu penyelewengan fahaman Syiah melibatkan persoalan fundamental iaitu kedudukan pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Memerangi Syiah dan mempertahankan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah merupakan tanggungjawab fardu seluruh masyarakat terutama para ulama dan cendekiawan Islam, justeru Jakim menyeru golongan ini supaya perlu dan mesti sentiasa ke hadapan.
“Oleh itu, golongan ulama tidak boleh berselisih faham walaupun berbeza ideologi, sehingga mengabaikan penyatuan akidah dan melemahkan kedudukan agama,” katanya.
Sementara itu, Razali berkata, Jakim komited melaksanakan forum dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai salah satu usaha menjelaskan kepada golongan muda tentang isu-isu semasa Islam.
“Ruang dan peluang selama dua jam yang diberikan itu cukup istimewa kerana dapat berbincang dan menjelaskan secara terperinci tentang isu Syiah dan lain-lain permasalahan agama kepada pelajar-pelajar baharu,” katanya.