CELAH GELEGAR: [JAWAPAN ANNUAR MUSA: "Mereka Terlambat"] NOW dakw…

CELAH GELEGAR: [JAWAPAN ANNUAR MUSA: “Mereka Terlambat”] NOW dakw…: KUALA LUMPUR : Selepas pembelian hartanah Dudley House dan 333 Exhibition Street, Majlis Amanah Rakyat (Mara) kembali menjadi perhatian …

Advertisements

Mara terus jadi penggerak

Oleh ASRON MUSTAPHA dan NAWWAR ABDUL RAHIM
pengarang@utusan.com.my




Najib Tun Razak menekan butang merasmikan Menara Mara di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, malam tadi. Turut sama Mohd. Shafie Apdal, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi (dua dari kanan), Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa (dua dari kiri), Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Ibrahim Muhammad (kiri), Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa (empat dari kiri) dan Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Ahmad (kanan).

KUALA LUMPUR 3 Mac – Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan terus menjadi penggerak dan jentera utama kepada aspirasi kerajaan dalam membangunkan masyarakat bumiputera di negara ini terutamanya dalam bidang pendidikan, keusahawanan serta pelaburan.
Aspirasi tersebut bukan omongan tetapi dirangka dengan jelas menerusi Pelan Transformasi Mara 2011-2015 yang merupakan pelan strategik lima tahun badan itu bagi memastikan kesinambungan kejayaan mengangkat martabat masyarakat bumiputera terus diperkasakan.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, pelan strategik yang digerakkan melalui pendekatan bersepadu dengan menterjemah agenda transformasi negara dilaksanakan secara integrasi bagi memaksimumkan hasil.
“Mara mahu melahirkan sekurang-kurangnya satu keluarga satu usahawan menjelang tahun 2020 kerana kita yakin mampu merubah suasana sosioekonomi dan pemikiran masyarakat bumiputera daripada menjadi pekerja kepada mencipta peluang pekerjaan.
“Kita mahu anak-anak kita pada masa akan datang bukan sahaja mempunyai kekuatan dalam pelbagai bidang tetapi menjadi tulang belakang kepada setiap pembangunan negara,” katanya semasa berucap dalam majlis perasmian Menara Mara di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini malam ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merasmikan Menara Mara itu.
Dalam pada itu, Mohd. Shafie memberitahu, sejak diwujudkan, Mara telah banyak menyumbang kepada kejayaan bumiputera terutama dalam aspek modal insan apabila ramai bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MSRM) kini menerajui industri terkemuka.
Jelasnya, hal yang sama juga diraih dalam sektor pelaburan apabila anak-anak syarikat Mara berjaya mencatat pendapatan sebanyak RM1.05 bilion manakala prestasi kutipan pembiayaan pula meningkat sebanyak RM786 juta, jauh melepasi sasaran awal RM550 juta.
Pada masa sama, beliau menambah, Mara kini turut memberikan fokus kepada pembangunan industri makanan halal merangkumi aktiviti penyelidikan serta pembangunan Halal Park di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
“Bagi tujuan ini, sebanyak RM260 juta diperuntukkan bagi penyediaan pembiayaan yang merangkumi Skim Pembiayaan Peningkatan Perniagaan (SPiM), Skim Pembiayaan Kontrak Ekspress (SPiKE) dan Skim Jaminan Usahawan MARA (SJUM),” ujarnya.
Mengenai perancangan pengurusan Mara pula, Mohd. Shafie berkata, organisasi itu yang memiliki 18,563 kakitangan kini agresif dalam meningkatkan keupayaan intelektual warganya melalui pelbagai program terutama melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Menurutnya, keupayaan intelektual penting untuk memastikan Mara sentiasa bersedia menghadapi cabaran selain turut berusaha menambah baik skim perkhidmatan sedia ada agar organisasi itu berupaya menarik lebih ramai tenaga kerja yang terbaik demi kelangsungan bumiputera.
Sementara itu, Mohd. Shafie berkata, Mara akan turut mewujudkan ekosistem yang mampu membuka peluang baharu kepada bumiputera melalui pembangunan projek di bawah konsep Edubizpark.
Katanya, projek Mara di bawah Edubizpark ialah Asia Aerospace City Subang yang memberi tumpuan pada pusat kejuruteraan aeroangkasa.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140304/dn_03/Mara-terus-jadi-penggerak#ixzz2ux40AFa4  © Utusan Melayu (M) Bhd 


Usaha bantu bumiputera wajar – PM

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA dan NAWWAR ABDUL RAHIM
pengarang@utusan.com.my




Najib Tun Razak bersalaman dengan orang ramai selepas merasmikan Menara Mara di Kuala Lumpur, malam tadi. – Utusan/ZAINI HUSIN

KUALA LUMPUR 3 Mac – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, agenda pemerkasaan ekonomi bumiputera adalah agenda nasional yang akan sentiasa dipertahan dan diperjuangkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).
Sehubungan itu beliau menegaskan, sebarang bantuan kerajaan ke atas masyarakat bumiputera sejak dahulu, sekarang dan pada masa hadapan adalah wajar dan tidak perlu dipersoalkan mana-mana pihak kerana langkah tersebut diambil demi keadilan sosial.
Katanya, berbanding pembangkang yang tidak mempunyai sebarang perancangan untuk memperkasakan ekonomi bumiputera, kerajaan BN di bawah kepimpinan beliau beriltizam dan berjanji akan menyokong serta membantu kaum majoriti itu.
“Api perjuangan hasil Kongres Ekonomi 1965 yang dicetuskan Tun Abdul Razak masih terus menyala dalam hati sanubari saya. Yakinlah atas semangat itu, saya dan barisan Kabinet pimpinan saya akan terus memperjuangkan pemerkasaan ekonomi bumiputera.
“Sebab itu apabila Mara memohon dana RM400 juta, saya bagi RM800 juta kerana saya tidak mahu program bagi membantu masyarakat bumiputera terbantut. Saya mahu kesinambungan dan kelancaran program yang dilaksanakan Mara lancar.
“Tetapi saya mahu lihat bumiputera yang dibantu ini layak secara merit iaitu mereka memiliki keupayaan dan kebolehan untuk terus berjaya, bukan pelobi,” katanya semasa berucap merasmikan Menara Mara di sini malam ini.
Majlis perasmian tersebut yang bersempena dengan Sambutan 48 Tahun Mara berlangsung dalam suasana yang penuh bersejarah dan gemilang selain turut diserikan dengan persembahan artis tersohor tempatan serta percikan pelbagai jenis bunga api.
Yang turut hadir, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa dan Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa.
Dalam pada itu, Najib berkata, Mara adalah sebuah kisah perjuangan yang panjang hasil komitmen serta kesungguhan politik kerajaan BN dan sepanjang 48 tahun kewujudannya, agensi berkenaan telah membantu kira-kira empat juta bumiputera.
Menurutnya, jumlah tersebut adalah besar dan ramai dalam kalangan usahawan dan profesional bumiputera yang berjaya pada hari ini termasuk orang Melayu terkaya di Malaysia iaitu Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary, antara produk yang dibantu Mara.
“Inilah yang saya mahu lihat. Usahawan bumiputera yang berjaya dan kemudian mengenang jasa Mara dengan menjelaskan kebaikan Mara dan kerajaan kepada rakyat dan saya mahu lebih ramai anak-anak Mara dilahirkan pada masa akan datang.
“Mereka wajar dibantu kerana sudah tentu tidak adil untuk membandingkan anak-anak yang lahir di Bukit Tunku dengan Hulu Tembeling. Kalau tidak dibantu, nasib anak-anak ini kekal seperti mana kehidupan sedia kala tanpa perubahan,” jelasnya.
Menyentuh mengenai Menara Mara, Najib berkata, bangunan setinggi 30 tingkat itu adalah lambang kejayaan kerajaan dan agensi berkenaan membantu serta mengangkat martabat bumiputera agar berupaya bersaing dengan kaum lain.
Beliau seterusnya berdoa Mara terus menjadi salah sebuah agensi terunggul bagi menjulang masyarakat bumiputera dalam bidang pendidikan serta keusahawanan melalui pelbagai program komprehensif yang telah dan sedang dijalankan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140304/dn_01/Usaha-bantu-bumiputera-wajar—PM#ixzz2ux1Ed2YT  © Utusan Melayu (M) Bhd 


Antara budi bicara dan bicara budi

Oleh ABDUL RAZAK IDRIS





Pusat GiatMara melatih anak-anak muda Melayu yang tidak berkemampuan mendapat kemahiran dalam pelbagai bidang dalam usaha memudahkan mereka mendapat pekerjaan.
MAJLIS Amanah Rakyat (Mara) adalah sebuah agensi kerajaan dibentuk pada 1 Mac 1966 di bawah Akta Parlimen sebagai sebuah badan berkanun dan mempunyai autonomi. Mara bukan sahaja menawarkan biasiswa bagi yang layak tetapi turut menubuhkan beberapa institut pendidikannya sendiri.
Antara institusi pendidikan yang ditubuh di bawah Mara adalah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang kini menjadi rebutan ibu bapa menghantar anak mereka. Diwujudkan bagi pelajar bumiputera yang berumur 13 hingga 17 tahun yang mempunyai keputusan peperiksaan awam yang cemerlang.
Selain MRSM, Mara turut menubuhkan Kolej Mara, bagi persediaan pelajar bumiputera untuk melanjutkan pelajaran bagi peringkat pra-universiti seperti A-level, program matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Asasi Universiti. Mara juga menubuhkan Kolej Polytech Mara (KPTM) untuk melatih anak bumiputera dengan kemahiran peringkat tinggi.
Setelah negara ini bertukar dari ekonomi berasas pertanian kepada negara berasas industri di bawah pentadbiran Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, Mara ibarat namanya terus mara ke depan menubuhkan GiatMara, Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM), Institut Kemahiran Mara (IKM), mengadakan kerjasama dengan pihak luar dan swasta dengan penubuhan German-Malaysian Institute (GMI) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).
Namun yang paling masyhur adalah penubuhan Universiti Teknologi Mara (UiTM), atau dahulunya Institut Teknologi Mara (ITM) yang kini sudah diambil alih oleh Kementerian Pendidikan. Institut ini hebat kerana melahirkan ratusan ribu profesional dan separa profesional termasuk yang kini menjadi pemimpin pembangkang.
UiTM bukan sahaja menjadi rebutan pelajar untuk masuk setiap kali ada sesi kemasukan malahan ia ibarat satu kemestian untuk setiap rumah di negara ini mempunyai seorang Alumni dari universiti untuk bumiputera 100 peratus itu.
Kini Mara yang begitu berjasa menempuh gelora akibat ada pihak yang enggan menggunakan budi bicara untuk memberi kebenaran agar GiatMara di Taman Baru Selayang terus dibenarkan beroperasi selama-lamanya atas alasan tanah yang diduduki institusi pendidikan untuk anak bumiputera terutama orang Melayu Selangor itu milik kerajaan negeri.
Soalnya, tidak adakah lagi budi bicara dalam diri seorang yang memanggil diri mereka pemimpin untuk meneruskan legasi GiatMara yang ditubuhkan untuk ‘mengajar memancing ikan’ bukannya belajar cara meminta ikan dengan lebih banyak lagi seperti tindakan pihak pembangkang mahu menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan menjadikan ia biasiswa.
Jika budi yang yang ditabur oleh Mara dan kerajaan Barisan Nasional (BN) atau Parti Perikatan selama 47 tahun ini (sejak 1966) boleh berbicara sudah pasti ia akan berkata adakah berdosa besar mewujudkan ‘sekolah’ untuk belajar mencari rezeki untuk anak-anak orang Melayu yang tidak mampu belajar seperti pemimpin-pemimpin mereka yang dahulunya juga mendapat biasiswa Mara hingga sampai ke London?
Apakah selama 47 tahun ini kerajaan menabur wang untuk melahirkan pemimpin yang lupa akan akar umbinya dan pesan nenek moyang yang mahu bangsa Bumiputera terus dibela dengan apa cara sekalipun. Jangan jadikan Mara kambing hitam kerana ia institusi pendidikan milik Kerajaan Pusat.
Kita takut satu hari nanti banyak Sekolah Agama Rakyat yang turut mendapat bantuan Kerajaan Pusat ditutup oleh kerajaan pembangkang. Apa akan jadi pula pada akidah anak kita.
Sudahlah tempat belajar untuk mereka belajar kemahiran industri ditutup kini kemungkinan banyak sekolah bantuan penuh Kerajaan akan menjadi mangsa kerana mungkin ada satu dua sekolah yang masih berstatus pertanian di Selangor.
Justeru, kepada pemimpin politik sama ada di pihak BN mahupun pembangkang dengarlah suara hati rakyat marhaen yang dahagakan peluang pendidikan. Sepatutnya kerajaan negeri memperbanyakkan institusi pendidikan bukannya mengurangkannya.
Jika tiada lagi budi bicara dengarlah bicara budi dalam bentuk pepatah ciptaan nenek moyang kita suatu masa dahulu. Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa. Kalau dalam Bahasa Inggeris disebut ‘What you give you get back’.
Dalam konsep pertanian berbudi kepada tanah, kita akan mendapat hasilnya. Namun dalam soal pendidikan budi Mara tidak terkira banyak membantu orang Melayu di negara ini dan di Selangor. Apa salahnya tanah yang menjadi milik Kerajaan Negeri ‘dipinjam’ untuk anak kepada pengundi mereka untuk belajar.
Bukankah pulau pandan jauh ke tengah, gunung daik bercabang tiga, hancur badan dikandung tanah, budi yang baik dikenang juga.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140122/re_07/Antara-budi-bicara-dan-bicara-budi#ixzz2r5QR7jXa  © Utusan Melayu (M) Bhd 


KOMEN : HAIWAN PUN TAHU MEMBALAS BUDI…