UiTM kekal gelaran ‘Raja Libas IPT’ 2012

DARI UTUSAN MALAYSIA
26/9/2012

Johan setiap kategori Karnival Sepaktakraw Kebangsaan KPT- UiTM 2012 bersama trofi dan hadiah iringan di Kompleks Sukan UiTM, Shah Alam, kelmarin.

SHAH ALAM – Universiti Teknologi Mara (UiTM) membuktikan keunggulan sebagai jaguh kategori institusi pengajian tinggi (IPT) apabila membolot gelaran juara dan naib juara Karnival Sepaktakraw Kebangsaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)-UiTM Ke-6 2012, kelmarin.
UiTM D (Mohd. Noorhakimi Marzukhi dan pelibas kebangsaan, Al Alhamidi Ayob serta bekas pemain negara, Kamarudin Mat Arshad) berentap sengit dalam tempoh 45 minit untuk menewaskan UiTM B (Mohd. Md. Rashid, Badri Abdul Rahman, Fakarudin Mohamad Zain) 2-1 (17-15, 15-11, 15-13).
Mereka membawa pulang ganjaran kemenangan RM2,300, piala dan pingat selepas perlawanan akhir di Kompleks Sukan UiTM, Shah Alam, Selangor itu yang turut disaksikan Presiden Persatuan Sepaktakraw Selangor, Datuk Abdul Rahman Palil dan Pengarah Pusat Sukan UiTM, Mustaza Ahmad.
Inilah gelaran keempat kategori IPT karnival yang berjaya dikuasai tuan rumah dengan mengatasi 23 regu lain, selepas 2008, 2009 dan tahun lalu sementara Universiti Raja Mongkut dan Majlis Sukan Politeknik meraihnya pada 2007 dan 2010.
Staf UiTM yang dibarisi bekas pemain negara bagaimanapun terlepas peluang untuk meneruskan rentak cemerlang tuan rumah apabila disekat dalam perlawanan akhir kategori Terbuka oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) B 0-2.
Kejayaan regu Yussyairil Amir, Mohamad Arif Busu dan Mohd. Najib Iman itu membolehkan mereka meraih RM1,500 selain piala dan pingat sementara lawan, Syazwan Husin, Hamikhairi Roslan dan Zulhafizazudin Rosslan memenangi RM1,000.
MPSJ memerlukan 50 minit untuk memastikan kejuaraan acara kemuncak itu setelah menang 15-7, 15-10 manakala seperti diduga, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) pula membuktikan keunggulannya sebagai jaguh peringkat sekolah dengan status sekolah projek sepaktakraw nasionalnya.
SSTMI yang dibimbing bekas pemain negara, Ismail Atan menjuarai kategori Bawah 15 dan 18 Tahun setelah masing-masing menewaskan Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 11 ‘C’ dan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) 2-0 (15-11, 15-10) dan (15-10, 16-14).
Sebanyak 104 regu menyertai karnival selama tiga hari melibatkan tujuh kategori ini iaitu 15 bagi Terbuka, 24 IPT, 14 Kampus UiTM, 16 Bawah 15, 15 Bawah 18, sembilan Wanita dan sembilan Media yang menawarkan ganjaran kemenangan hampir RM20,000.

KOMEN : TAHNIAH KEPADA YANG BERJAYA…

Advertisements

BUDGET AIR LIOR BASI PEMBANGKANG

Pembangkang didakwa tidak hormati Parlimen
DARI UTUSAN MALAYSIA
26/9/2012

KUALA LUMPUR 25 Sept. – Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali membidas tindakan pembangkang yang tidak menghormati institusi Parlimen kerana mahu mengumumkan bajet mereka sebelum pembentangan Bajet 2013 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Jumaat ini.
Beliau yang juga wakil rakyat Bebas berkata, walaupun tindakan pakatan pembangkang itu tidak menyalahi undang-undang atau mana-mana peraturan tetapi dari segi moralnya, ia adalah perbuatan mengenepikan hak kerajaan memerintah yang dipilih secara demokrasi oleh rakyat.
Sambil menyifatkan ia perbuatan terdesak pembangkang untuk mendapat publisiti politik murahan, Ibrahim berkata, sejak pakatan itu diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim pelbagai perkara mengarut telah dilakukan oleh Ketua Pembangkang itu.
“Mengumumkan bajet rekaan sendiri sebelum bajet rasmi kerajaan dibentangkan jelas menunjukkan tindakan terdesak pembangkang yang mahu mencari publisiti murahan. Ini kerana mereka menyedari sokongan rakyat semakin kukuh terhadap Barisan Nasional (BN),” katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.
Beliau mengulas mengenai rancangan pakatan pembangkang untuk membentangkan bajet mereka di Parlimen esok.
Ibrahim berkata, pembangkang bertindak demikian kerana bimbang Bajet 2013 yang akan diumumkan nanti mesra rakyat dan seterusnya memberi kesan buruk kepada pakatan pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13.
“Sebab itu, pembangkang akan membentangkan bajet mereka terlebih dahulu supaya sekiranya ada persamaan dengan Bajet 2013 nanti, sudah pasti Anwar akan mendakwa kerajaan meniru dan mencedok idea mereka.
“Sebab itu, saya tegaskan rakyat jangan mudah terpengaruh dengan gimik politik murahan pembangkang kerana segala dilakukan itu sebenarnya memberi kesan buruk bukan sahaja kepada ekonomi negara tetapi turut menjejaskan imej Malaysia di mata dunia,” katanya.
KUALA LUMPUR, 26 Sept — Pakatan Rakyat (PR) menjanjikan untuk meningkatkan pendapatan boleh guna oleh rakyat Malaysia dalam Bajet Alternatif mereka yang diumumkan dua hari sebelum Barisan Nasional (BN) membentangkan Bajet 2013.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendapatan boleh guna akan meningkat melalui penurunan harga kereta, pemansuhan tol, dan pemansuhan pinjaman pelajaran, melalui bajet yang dibentangkan beliau hari ini.
Anwar turut berkata, kerajaan PR akan berupaya untuk menampung cadangan mereka itu tanpa meningkatkan kadar cukai, sebaliknya hanya mengawal ketirisan yang meningkat sebagai akibat daripada gejala rasuah dan ketidakcekapan.
“Kami akan memastikan polisi kerajaan PR lebih telus untuk mengelakkan sebarang ketirisan dan pembaziran kerana gejala rasuah,” katanya sewaktu pembentangan Bajet Alternatif 2012 di sini.
“Kami juga akan memastikan proses pemberian kontrak kerajaan akan lebih telus melalui tender terbuka,” katanya lagi.
Ahli Parlimen Permatang Pauh ini juga menegaskan PR akan membentangkan situasi ekonomi Malaysia yang lebih “realistik” tahun hadapan, dengan saiz ekonomi Malaysia RM1,064 bilion dengan perkembangan ekonomi pada 5.2 peratus, kadar inflasi tiga peratus dan bajet defisit pada kadar 3.5 peratus.
“BN tidak pernah memenuhi ramalan ekonomi mereka. Mereka tidak jujur tentang angka,” katanya
“PR akan lebih jujur tentang angka dan akan menunjukkan cadangan ekonomi yang lebih realistik,” tambahnya.
Dalam Bajet Alternatif yang diumumkan hari ini, Anwar juga turut mengumumkan akan memastikan Khazanah Nasional Berhad membayar RM2 bilion kepada kerajaannya sekiranya mereka memerintah kerana syarikat milik kerajaan itu tidak membayar sebarang dividen sejak ditubuhkan.
“1MDB akan dihapuskan supaya tidak bertindih dengan fungsi Khazanah. Khazanah juga akan mula membayar RM2 bilion kepada kerajaan mulai tahun depan sekiranya kami memerintah,” kata Penasihat Ekonomi Selangor itu lagi.
Perdana Menteri (PM) juga dijangka akan membentangkan bajet kerajaan Jumaat ini berkemungkinan  menarik undi dan meletakkan harapan untuk memenangi pilihan raya walaupun kadar hutang negara yang semakin meningkat.
Pakar ekonomi berkata Najib akan melengahkan pembaharuan untuk meluaskan dasar cukai Malaysia dan mengurangkan kebergantungan terhadap simpanan minyak untuk sekurang-kurangnya setahun, dan mengumumkan langkah untuk membantu rakyat berpendapatan rendah yang bertarung dengan kenaikan harga barang.
Anwar dan Najib dilihat menggunakan pendekatan populis untuk menarik undi dalam pilihan raya yang dijangka paling sengit dalam sejarah tanah air, dan kedua-duanya dilihat cuba untuk mengelakkan daripada menjanjikan langkah perubahan drastik.

KOMEN : FIKIRLAH SENDIRI…

Taman tema air tarikan baru di i-City

DARI UTUSAN MALAYSIA
26/9/2012

Monica Ong (kiri) menunjukkan lakaran pelan pembangunan WaterWorld@i-City kepada Pengarah Eksekutif I-Bhd, Tey Siew Thuan pada sidang akhbar mengenai taman tema air terbaru i-City itu di Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM 25 Sept. – i-Berhad, pemaju bandar pintar i-City dijangka memperoleh pulangan pelaburan bagi taman tema airnya dalam tempoh tiga tahun akan datang, selepas beroperasi mulai November ini.
Pengarahnya, Monica Ong berkata, syarikat telah melabur sebanyak RM25 juta bagi membina taman tema air, WaterWorld@i-City di atas tanah berkeluasan 4 hektar.
“Kami sentiasa menawarkan pembaharuan bagi perniagaan liburan yang merangkumi segmen api iaitu pameran lampu digital dan taman tema luar, segmen ais (taman tema salji Snowalk) dan taman tema air, WaterWorld bagi menarik lebih ramai pengunjung ke sini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada taklimat media berhubung tarikan terbaru di i-City di sini hari ini.
WaterWorld@i-City merupakan satu-satunya taman tema air di rantau Asia Tenggara yang menawarkan permainan air terkenal, Tornado Ride yang dipelopori di Kanada sejak sembilan tahun lalu.
Tornado setinggi tujuh tingkat itu kini sudah lebih 80 peratus siap.
Menurut Monica, WaterWorld yang boleh menampung kira-kira 5,000 pengunjung pada satu-satu masa itu turut menawarkan jakuzi gergasi dan pantai buatan dan skrin LCD bagi penganjuran konsert ataupun majlis.
WaterWorld dijangka beroperasi dari pukul 11 pagi sehingga 7 malam setiap hari.
Tambahnya, dengan pelancaran taman tema terbaru itu, Ong menjangkakan bilangan pengunjung meningkat 30 peratus terutama pada waktu siang.
Ketika ini i-City berjaya menarik 90,000 pengunjung setiap minggu.

Proaspirasi kuasai pemilihan MPP

Barisan kepimpinan kumpulan proaspirasi yang memenangi 34 daripada 36 kerusi yang dipertandingkan meraikan kemenangan mereka bersama Naib Canselor UUM, Datuk Dr. Mohamed Mustaffa Ishak (barisan belakang, tengah) di universiti tersebut di Sintok, Kedah, semalam.

KUALA LUMPUR 25 Sept. – Keputusan pilihan raya kampus bagi pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2012/2013 di 16 daripada 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) hari ini menyaksikan kemenangan besar bagi kumpulan proaspirasi.
Dalam keputusan yang diumumkan setakat pukul 10 malam ini, kumpulan berkenaan mencapai kejayaan besar di tujuh buah IPTA iaitu Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).
Berdasarkan kedudukan itu, ia bermakna kumpulan proaspirasi menerajui 11 dari 20 IPTA di seluruh negara. Sebelum ini kumpulan tersebut menguasai empat IPTA berikutan kemenangan calon-calonnya termasuk tanpa bertanding pada Khamis lalu.
Empat IPTA tersebut ialah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan memenangi 26 daripada 27 kerusi, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) 30 kerusi, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) (28 kerusi) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) (226 kerusi).
Terdapat empat universiti yang sudah selesai melakukan pengundian menggunakan calon individu tanpa kecenderungan mana-mana kumpulan iaitu Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Di Universiti Malaya (UM), daripada 43 kerusi yang dipertandingkan kumpulan proaspirasi menguasai 19 kerusi, promahasiswa (20 kerusi), bebas (dua kerusi) dan dua kerusi lagi mencatatkan jumlah undi yang sama antara calon proaspirasi dan promahasiswa.
Bagaimanapun keputusan di tiga lagi IPTA masih belum diketahui iaitu Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Pemilihan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pula terpaksa dilakukan semula dalam tempoh seminggu dari hari ini selepas berlaku masalah teknikal.
Di UMK, kumpulan proaspirasi menguasai pemilihan apabila memenangi 10 daripada 14 kerusi yang dipertandingkan manakala di UTM kumpulan itu menang majoriti dengan 32 kerusi dan promahasiswa hanya 4 kerusi.
Kejayaan kumpulan proaspirasi berterusan di UPNM, apabila memenangi 11 kerusi lagi setelah tiga kerusi menang tanpa bertanding pada hari penamaan calon Jumaat lalu.
Kumpulan proaspirasi turut mencapai kejayaan di UMP apabila memenangi 18 kerusi berbanding promahasiswa enam kerusi.
Di UUM, calon proaspirasi mencapai kejayaan cemerlang membolot 34 daripada 36 kerusi yang dipertandingkan.
Keputusan pengundian tidak rasmi di UPM pula menyaksikan kumpulan cenderung proaspirasi memenangi 40 kerusi daripada 47 yang dipertandingkan dengan 80.37 peratus daripada 14,706 pelajar keluar mengundi.
Di UPSI, kumpulan proaspirasi mencatat peningkatan apabila memenangi 25 kerusi daripada 29 kerusi yang dipertandingkan berbanding hanya 21 kerusi pada tahun lalu.
Dalam pada itu, di UMS menunjukkan jumlah peratusan tertinggi warga kampus keluar mengundi iaitu 72.3 peratus atau hampir 11,000 orang, berbanding sebanyak 62 peratus sebelum ini.

KOMEN : TAHNIAH KEPADA YANG BERJAYA…

Misi bantuan bukti komitmen rakyat Malaysia – Muhyiddin

DARI UTUSAN MALAYSIA
26/9/2012

Muhyiddin Yassin bersama Abdul Azeez Abdul Rahim melihat kapal membawa bantuan kemanusiaan ke rakhine, myanmar 2012 di pelabuhan klang, semalam. – UTUSAN/Mohd. Shaharani Saibi

PELABUHAN KLANG 25 Sept. – Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin inisiatif Malaysia menyalurkan bantuan kepada masyarakat Rohingya di Myanmar akan menjadi isyarat kepada dunia mengenai komitmen berterusan rakyat negara ini dalam isu kemanusiaan sejagat.
Timbalan Perdana Menteri berkata, penglibatan Malaysia dalam misi kemanusiaan di negara bergolak telah lama dilakukan termasuk misi-misi yang dilaksanakan Kelab Putera 1Malaysia (KP1M).
Beliau berkata, KP1M sehingga kini telah melaksanakan 26 misi bantuan kemanusiaan di negara-negara luar antaranya di Gaza, Palestin dan Somalia.
“Usaha sebegini bukan hanya mendapat sokongan penuh kerajaan, malah, melibatkan pertubuhan bukan kerajaan dan sektor swasta yang mana masing-masing mengumpulkan dana untuk menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan,” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Pelepasan Misi Bantuan Kemanusiaan KP1M ke Myanmar di Pelabuhan Barat, di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi KP1M, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dan Duta Myanmar ke Malaysia, U Tin Latt.
Misi bantuan itu merupakan usaha kelab tersebut membantu masyarakat pelbagai etnik dan agama termasuk masyarakat Rohingya di Rakhine, Myanmar yang kini berhadapan kemelut penindasan etnik.
Bantuan berupa makanan, ubat-ubatan serta peralatan penjagaan diri membabitkan 40 kontena itu dihantar menerusi laluan laut dari Pelabuhan Klang, di sini menggunakan kapal kontena, Sinar Bima dan dijangka tiba di Pelabuhan Yangon, Myanmar pada 29 September ini sebelum ditunda ke Pelabuhan Sittwi di Rakhine.
Seramai 50 sukarelawan KP1M dijangka berlepas pada 1 Oktober ini bagi melaksanakan misi kemanusiaan tersebut di Rakhine yang turut terdiri daripada pegawai-pegawai perubatan dan petugas media.
Pada masa sama, Muhyiddin berharap, bantuan kemanusiaan itu dapat meringankan penderitaan yang dihadapi masyarakat pelbagai etnik serta latar belakang yang terlibat dalam kancah pergolakan selaras dengan prinsip serta semangat negara-negara anggota ASEAN.
Bagaimanapun beliau berkata, misi bantuan kemanusiaan itu hanya bersifat sementara, namun ia tidak akan terhenti sekiranya rakyat Malaysia terus menyalurkan bantuan kepada mereka yang terlibat.
Kita yakin kerajaan Myanmar dapat mencari jalan penyelesaian dan mengekalkan kestabilan dan keamanan di kawasan berkenaan.
Ketika masalah itu masih berlaku, masyarakat di kawasan berkenaan terus memerlukan bantuan termasuk pelajaran,” katanya.

Etika berpakaian

Sentiasalah menjadikan Allah SWT dan Rasulullah SAW sebagai kemuncak kecintaan yang paling tinggi, dan tiada yang boleh mengatasi kecintaan tersebut. – Gambar hiasan

APABILA Islam mengharamkan sesuatu perkara, ia juga akan mengharamkan apa sahaja yang akan membawa kepada terjadinya perkara haram tersebut.
Dengan maksud yang lain, Islam turut mengharamkan punca dan penyebab kepada berlakunya sesuatu yang haram, walaupun punca dan penyebab tersebut tidak dinyatakan secara jelas dalam al-Quran dan sunnah.
Sebagai orang yang beriman, kita perlu menutup ruang-ruang berlakunya perkara haram dengan meninggalkannya dan memastikan masyarakat di sekeliling juga dapat menjauhinya.
Demikian yang boleh kita perhatikan kepada hukum pengharaman arak yang bukan sahaja peminum arak sahaja yang berdosa, bahkan terdapat 10 golongan yang terlibat dengan aktiviti tersebut juga berdosa sebagaimana yang dinyatakan oleh Nabi SAW.
Perkara yang sama juga berlaku ke atas pengharaman riba. Bukan sahaja orang yang memakan riba tersebut terkena dengan laknat Allah SWT, bahkan mereka yang menjayakan atau membantu pengamalan riba seperti pemberi makan, saksi dan penulis juga terpalit dengan laknat tersebut.
Demikian juga yang berlaku kepada hukum pengharaman zina. (rujuk al-Israa’: 32)
Dalam ayat tersebut, Allah SWT melarang kita melakukan perkara-perkara yang boleh menyebabkan diri terjebak ke kancah penzinaan. Ini bermaksud, Allah SWT bukan sahaja mengharamkan zina, Dia juga mengharamkan setiap perkara yang boleh membuka ruang kepada penzinaan.
Justeru, Allah SWT menurunkan hukum-hakam untuk mengawal manusia, menetapkan laluan yang betul dan benar agar mereka terhindar daripada penzinaan. Antaranya ialah etika berpakaian dalam Islam.
Orang yang benar-benar beriman akan suka kepada apa yang disukai oleh Allah SWT. Mereka juga akan benci kepada apa yang dibenci oleh Allah SWT. Ini adalah kerana, orang yang telah mempunyai kemanisan iman (halawatul iman) akan menjadikan Allah SWT dan Rasulullah SAW sebagai kemuncak kecintaan yang paling tinggi, dan tiada yang boleh mengatasi kecintaan tersebut. Demikian juga dalam berpakaian. Mereka yang beriman hanya akan suka kepada pakaian yang disukai oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW.
Secara asasnya, Islam membenarkan kita untuk berpakaian sebagaimana yang kita kehendaki. Namun, Islam menetapkan beberapa garis panduan dalam berpakaian. Antaranya;
1. Menutup aurat.
Pakaian yang ingin dipakai hendaklah dipastikan menutup aurat. Aurat bagi kaum lelaki ialah dari pusat ke lutut dalam keadaan apa sekalipun. Namun, untuk golongan wanita, mereka mempunyai aurat yang berbeza mengikut keadaan dan situasi. Aurat ketika solat dan ketika berada bersama orang yang bukan mahram ialah seluruh tubuh kecuali muka dan dua tapak tangan. (rujuk an-Nur: 31)
Daripada ayat ini, Allah SWT memerintahkan untuk menutup seluruh tubuh wanita, kecuali muka dan dua tapak tangan. Inilah pandangan yang dikeluarkan oleh Saidina Umar ra dan Aisyah ra.
2. Longgar dan tidak terlalu ketat atau sempit sehingga menampakkan bentuk tubuh.
Ramai wanita Muslimah yang terlepas pandang garis panduan ini. Mereka telah memakai pakaian yang menutup aurat-aurat mereka, namun tetap menampakkan bentuk badan kerana terlalu ketat. Elakkan juga memakai kain yang terlalu lembut sehingga menampakkan susuk tubuh.
3. Pakaian tersebut tidak nipis sehingga menampakkan bayangan tubuh.
Sekiranya kita memakai pakaian yang agak nipis sehingga memungkinkan orang lain nampak bayangan melalui kain yang dipakai, maka perlulah dilapik atau dialas dengan pakaian yang lain. Ini telah diajar oleh Nabi SAW kepada Usamah bin Zaid ra.
Rasulullah SAW pernah menghadiahkan kain jenis Qibtiah yang kurang tebal kepada Usamah bin Zaid. Namun Usamah memberikan pula kain tersebut kepada isterinya untuk dipakai. Suatu hari Rasulullah SAW bertanyakan Usamah : “Kenapa engkau tidak memakai kain Qibtiah itu?” Usamah menjawab: “Saya telah berikan kepada isteri saya.”
Lalu Rasulullah SAW bersabda kepada Usamah: “Suruhlah isterimu mengalaskan kain tersebut dengan kain yang lain di bawahnya, kerana aku bimbang jika kain Qibtiah itu tidak dialas, maka akan kelihatanlah besar kecil tulang-tulang badan isterimu (bentuk tubuh badan isterimu).”
4. Tidak memakai perhiasan yang boleh menarik perhatian orang yang melihatnya.
Kita perlu pastikan pakaian yang dipakai tidak terlalu menarik perhatian sehingga boleh mendatangkan fitnah pada diri. Dalam hal ini, kadang-kadang kita perlu berhati-hati dalam memilih pakaian dari segi warna dan corak yang terdapat padanya.
Begitu juga perhiasan lain yang dipakai contohnya; anting-anting seperti rantai, gelang dan cincin yang mungkin boleh menyebabkan hati kita merasa riak, boleh menarik perhatian orang lain, sekali gus ini boleh membahayakan keselamatan diri.
5. Pakaian tersebut tidak menyerupai pakaian berlainan jantina.
Sekiranya dia seorang lelaki, janganlah dia memakai pakaian yang menyerupai pakaian perempuan. Begitu juga sebaliknya.
Daripada Abu Hurairah ra berkata: Rasulullah SAW telah melaknat orang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan perempuan yang memakai pakaian lelaki. (riwayat Abu Daud)
Rasulullah SAW juga telah bersabda: “Bukan daripada golongan kami siapa saja wanita yang menyerupai lelaki dan siapa saja lelaki yang menyerupai wanita.” (riwayat Ahmad).
6. Pakaian tersebut tidak menyerupai pakaian orang-orang musyrik.
Ini juga penting untuk kita jaga dan pelihara. Pastikan pakaian yang dipakai tidak menyerupai pakaian yang dikhususkan untuk agama-agama lain. Pastikan juga pakaian kita tidak mengandungi perkataan lucah atau kalimah yang berunsurkan syirik.
Demikianlah beberapa panduan yang perlu dipelihara dalam memastikan pakaian yang kita pakai tidak membawa kesan yang buruk kepada diri dan masyarakat. Apa yang kita mahukan ialah pakaian yang dipakai melambangkan nilai diri yang terpelihara, sekali gus mendapat keredaan daripada Allah SWT.

Tingkatkan kekuatan parti

Najib Tun Razak dan Muhyiddin Yassin mengibarkan Jalur Gemilang pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim. – bernama

KUALA LUMPUR 14 Sept. – Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan ketiga-tiga sayap parti itu, Wanita, Pemuda dan Puteri agar bersama-sama meningkatkan kekuatan parti dan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Menurutnya, selain jentera, kekuatan parti boleh dimaksimumkan melalui usaha ketiga-tiga sayap berkenaan mendekati golongan masyarakat yang diwakili serta mencadang dan melakukan penyelesaian terbaik buat kelompok berkenaan.
Katanya, peranan sayap berkenaan dalam menterjemahkan hasrat dan cita rasa kelompok rakyat tertentu amat penting bagi memastikan UMNO serta BN mengetahui perubahan diinginkan masyarakat seterusnya kekal sebagai parti berwibawa dalam negara.
“Jika setiap daripada kita memainkan peranan, saya yakin kita akan dapat melaksanakan dasar-dasar yang lebih inklusif dan kesannya akan meliputi semua kelompok masyarakat.
“Kita mesti faham apa cita rasa wanita dan kita mesti faham apa pengharapan generasi muda kepada kita dan jika kita selam lubuk hati mereka, itu akan menjadikan kita sebagai sebuah parti yang dekat di hati mereka,” katanya.
Beliau yang ditemani isteri, Datin Seri Rosmah Mansor berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, ketiga-tiga Naib Presiden dan ketua sayap UMNO.
Kira-kira 10,000 hadirin memeriahkan rumah terbuka berkenaan bermula pukul 2 hingga 4 petang yang turut diselang-seli persembahan artis-artis popular tanah air.
Najib berkata, perjuangan UMNO dan BN sejak kemerdekaan yang tidak teragak-agak membawa perubahan ketika melalui peredaran zaman membuktikan kerajaan sentiasa berada dalam keadaan stabil dan ia berbeza dengan perubahan yang dilakukan di sesetengah negara Afrika Utara, Asia Barat serta Eropah.
Menurutnya, dasar baru kerajaan seperti Pelan Transformasi Kerajaan (GTP), Pelan Transformasi Politik (PTP), Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) dan terbaru, Pelan Pembangunan Pendidikan Negara adalah bukti kukuh pentadbiran negara memandang serius kemahuan rakyat.
Beliau menegaskan, kesemua usaha itu merupakan jawapan terbaik kepada janji-janji bersifat populis yang ditabur pembangkang tanpa melaksanakan kesemua perkara yang dijanjikan tersebut.
“Kita sudah buktikan perubahan tidak semestinya menuntut kita menolak parti yang sudah memerintah atau struktur yang ada hari ini, kalau perubahan yang dituntut rakyat mampu dibawa parti kita, maka, kita mampu mendapat sokongan padu daripada rakyat,” katanya.