ACA mahu Malaysia anjur semua acara pada Sukan SEA 2017

17 Jun 2015 1:14 AM
MOHD. HARRIF SALLEH menyumbangkan dua pingat emas buat skuad berbasikal dalam Sukan SEA 2015 menerusi acara kriterium dan lepas beramai-ramai.
MELAKA – Peluang skuad kebangsaan untuk meraih lebih tujuh pingat emas pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur tampak cerah selepas Kongres Persatuan Berbasikal Asean (ACA) merayu agar Malaysia menganjurkan semua acara berbasikal seperti lebuh raya, trek, BMX dan berbasikal bukit (MTB) pada temasya dwitahunan itu.
Presiden ACA, Datuk Abu Samah Abd. Wahab berkata, usul tersebut telah dibawa oleh beberapa negara termasuk Thailand, Indonesia serta Vietnam dan ia diluluskan sebulat suara dalam Kongres ACA yang diadakan di Singapura pada minggu lalu.
Tambahnya, Thailand misalnya kecewa dengan tindakan negara penganjur Sukan SEA 2015, Si­ngapura yang hanya menganjurkan acara lebuh raya dan mencicirkan acara tradisi lain seperti trek, BMX serta MTB.
“Thailand telah mendesak Malaysia selaku tuan rumah Sukan SEA 2017 agar kembali menjadikan lebuh raya, trek, BMX dan MTB sebagai acara wajib pada temasya di Kuala Lumpur. Usul tersebut kemudian dipanjangkan lagi oleh Vietnam dan Indonesia.
“Malah Myanmar juga menjelaskan bahawa, ia turut menjadikan lebuh raya, BMX dan MTB sebagai acara di Nay Pyi Taw pada 2013.
“Kongres kemudian secara sebulat suara meluluskan usul mendesak Malaysia menganjurkan acara lebuh raya, trek, BMX dan MTB pada pengunjuran akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Abu Samah yang juga Naib Pre­siden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) menjelaskan, andai usul tersebut diterima oleh Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA 2017, lebih 18 emas bakal diraih daripada disi­plin basikal.
Ujar beliau, sekurang-kurangnya sembilan atau sepuluh emas bakal dipertaruhkan menerusi acara trek, manakala tujuh emas dalam acara lebuh raya di samping tiga masing-masing dalam acara MTB dan BMX.
Beliau menjelaskan, ACA akan menulis kepada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) berhubung usul tersebut seterusnya akan mendesak perkara itu dibentangkan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Abu Samah yang juga Presiden PKBM percaya, penampilan semua acara trek pada Sukan SEA 2017 hampir pasti membolehkan Malaysia menuai lebih tujuh emas sebagaimana diraih pada edisi 2011 di Jakarta, Indonesia.
“Saya juga percaya acara trek Sukan SEA 2017 akan diadakan pada arena baru yang bertaraf Kategori Satu. Saya dimaklumkan Velodrom Nilai akan siap sebelum bermulanya Sukan SEA 2017,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memuji persembahan pasukan negara yang meraih lima pingat, termasuk dua emas dihadiahkan oleh Mohd. Ha­r­rif Salleh dalam Sukan SEA 2015.
Kemenangan tersebut menamatkan kemarau 10 tahun acara lebuh raya sejak kali terakhir Suhardi Hassan menang emas di Manila, Filipina pada 2005.
Raih banyak emas andai Malaysia anjur semua kategori berbasikal pada Sukan SEA 2017

SUKAN KOMANWEL XX – Buruan pingat bermula

GLASGOW – Pemburuan pingat oleh kontinjen negara dalam Sukan Komanwel di sini akan bermula secara rasmi hari ini.
Upacara perasmian temasya sukan yang melibatkan 6,500 atlet dari 71 buah negara itu diadakan di Celtic Park di sini kira-kira pukul 3 pagi tadi waktu Malaysia.
Edisi ke-20 ini adalah yang ketiga dianjurkan oleh Scotland selepas dua kali diadakan di Edinburgh pada 1970 dan 1986.
Sepanjang penyertaan Malaysia dalam temasya Sukan Komanwel sejak 1950, kontinjen negara meraih dua pingat emas di Victoria, Kanada pada 1994; 10 emas di Kuala Lumpur (1998), tujuh emas di Manchester, England (2002) dan Melbourne, Australia (2006) serta pencapaian terbaik iaitu 12 emas di New Delhi, India (2010).
Pada temasya kali ini, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menetapkan sasaran tujuh pingat emas, jauh lebih rendah daripada pencapaian di New Delhi dengan 12 pingat emas.
Bagaimanapun, jumlah sasaran itu dipersetujui Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Majlis Sukan Negara (MSN) disifatkan sebagai realistik berdasarkan situasi semasa dan pengguguran beberapa acara kegemaran Malaysia oleh negara penganjur.
Untuk edisi kali ini, kontinjen negara diwakili 269 orang atlet dan pegawai. Daripada sejumlah 179 orang atlet, 135 daripadanya adalah atlet elit, lima atlet pelapis, 30 atlet luar program Majlis Sukan Negara dan sembilan atlet paralimpik.
Malaysia hanya akan menyertai 14 daripda 17 jenis sukan yang merangkumi 130 acara iaitu 67 acara lelaki, 55 acara wanita serta lapan acara sukan para.
Acara sukan yang akan disertai Malaysia ialah akuatik (renang dan terjun), angkat berat, badminton, berbasikal, boling padang, gimnastik (artistik dan berirama), hoki, judo, menembak, olahraga, pingpong, ragbi, skuasy dan tinju.
Untuk makluman, kejayaan merangkul pingat oleh atlet-atlet kurang upaya juga akan dikira dalam jumlah kedudukan pingat negara.
Pencapaian terbaik atlet paralimpik negara dalam temasya Sukan Komanwel ialah merangkul satu perak dan tiga gangsa pada edisi 2002 di Manchester.
Pada tahun ini, sejumlah lima acara sukan menawarkan 22 pingat kepada atlet paralimpik dan ia merupakan jumlah tertinggi setakat ini.
Antara fakta menarik untuk edisi Sukan Komanwel kali ini ialah pingat emas ke-3,000 akan dianugerahkan pada temasya kali ini sejak ia diperkenalkan buat kali pertama pada 1930.
Sementara itu maskot Sukan Komanwel Glasgow, Clyde, bukanlah sejenis haiwan seperti dalam temasya-temasya terdahulu tetapi adalah pokok bunga Thistle yang menjadi lambang Scotland dan nama Clyde pula diinspirasikan daripada nama sungai yang mengalir di sekitar Glasgow. – BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140724/su_05/Buruan-pingat-bermula#ixzz38LObgWFJ  © Utusan Melayu (M) Bhd 



SUKAN KOMANWEL XX – Misi tebus kekecewaan di Delhi

Oleh FADHILUL IZMEL ISHAK
sukan@utusan.com.my
PASUKAN boling padang negara bergambar bersama Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (depan, lima dari kiri) di Perkampungan Atlet Sukan Komanwel di Glasgow semalam.
KUALA LUMPUR – Selepas gagal membawa pulang pingat emas pada Sukan Komanwel di New Delhi empat tahun lalu, skuad boling padang negara memasang impian untuk menebus kekecewaan mereka itu di Glasgow.
Skuad boling padang wanita yang diketuai Nor Hashimah Ismail optimis misi itu mampu direalisasikan di Glasgow berikutan prestasi pasukan negara kini di tahap yang menyakinkan.
“Berdasarkan prestasi dan sesi latihan yang dilakukan saya yakin pasukan negara mampu memperolehi pingat emas. Ini merupakan kali kelima saya menyertai Sukan Komanwel dan sudah pasti saya akan menggunakan pengalaman dan kepakaran yang dimiliki untuk memastikan emas menjadi milik negara.
“Empat tahun lalu kami tewas di tangan England dalam acara beregu wanita jadi tahun ini kami akan menggunakan keringat kami sepenuhnya bagi memastikan emas menjadi milik negara. Kami akan memberi fokus kepada pihak lawan terutamanya Australia, Scotland dan Afrika Selatan yang merupakan saingan kuat kami,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Skuad boling padang telah menjadi sandaran kontinjen negara untuk menuai emas di Sukan Komanwel setiap kali temasya itu berlangsung. Bagaimanapun untuk edisi kali ini Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM) hanya mensasarkan sebutir emas berikutan prestasi mereka dalam temasya 2010 di New Delhi.
Nor Hashimah, 43, pernah memenangi acara bertiga dalam Sukan Komanwel Melbourne 2006 nyata gembira apabila pada tahun ini dia menyertai acara beregu dan berempat, sekali gus memberi kelebihan untuk menambah koleksi pingat.
“Pada edisi kali ini kami berasa bertuah kerana setiap pemain diberi peluang untuk beraksi dalam dua acara, jadi kami lebih bersemangat untuk menambah bilangan pingat dan sudah pasti emas menjadi sasaran kami,”ujar Nor Hashimah lagi, yang perak bersama Zuraini Khalid empat tahun lalu.
Bagi acara beregu wakil negara diletakkan di Seksyen A dan akan bertemu Papua New Guinea pada Isnin depan, Ireland Utara pada hari berikutnya, Niue Island dan Australia pada 30 Julai.
Dalam acara berempat Malaysia ditempatkan di Seksyen B akan memulakan cabaran dengan bertemu Niue Island pada Isnin depan, diikuti India dan Ireland Utara pada 25 Julai serta Fiji sehari kemudian.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140724/su_02/Misi-tebus-kekecewaan-di-Delhi#ixzz38LLmmUr8  © Utusan Melayu (M) Bhd 



SUKAN KOMANWEL XX – Azizul tekad balas dendam

Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my
DUA pelumba negara, Mohd. Rizal Tisin (kanan) dan Edrus Yunos menjalani latihan di Velodrom Sir Chris Hoy di Arena Emirates, Glasgow semalam, untuk persiapan akhir sebelum acara berbasikal trek bermula hari ini. – AFP
KUALA LUMPUR – Jaguh basikal trek negara, Azizulhasni Awang bertekad untuk memenangi pingat emas acara keirin pada Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland bagi menebus kekecewaan dialaminya empat tahun lalu.
Ketika Sukan Komanwel 2010 di New Delhi, pingat emas keirin yang diraih Azizulhasni ditarik balik apabila pelumba itu dibatalkan oleh pegawai pertandingan atas dakwaan membuat kayuhan yang amat agresif hingga mengganggu pelumba lawan.
Bagaimanapun, Malaysia bernasib baik apabila pingat emas tersebut diberikan kepada rakan sepasukan Azizulhasni, Josiah Ng.
Kata Azizulhasni, persiapan untuk temasya Glasgow telah berlangsung dengan baik selain berpuas hati dengan prestasi semasanya ketika ini.
Tambah pelumba dari Terengganu itu, tumpuannya dalam penyertaan kali ini lebih kepada untuk menebus kekecewaan di New Delhi dalam acara keirin.
“Sasaran peribadi, saya sentiasa nak menang terutama kalau dalam saingan besar seperti ini (Sukan Komanwel) dan buat masa ini saya sasarkan pingat untuk acara keirin.
“Jika dapat meraih lebih banyak pingat itu adalah bonus kerana cabaran kali ini jauh lebih besar daripada edisi di New Delhi,” kata Azizulhasni.
Saingan trek dalam Sukan Komanwel 2014 dijadual bermula esok dengan acara pecut akan menjadi tumpuan utama manakala keirin akan bermula pada Ahad.
Azizulhasni menjangkakan bakal menerima saingan lebih sengit kali ini daripada pelumba Australia dan New Zealand.
“New Zealand ketika ini memegang status juara dunia dan prestasi mereka sejak dua tahun lalu memang banyak meningkat manakala pelumba-pelumba Australia memang sentiasa berada di tahap terbaik.
“Malah saingan pada Sukan Komanwel kali ini juga sukar untuk dijangka kerana semua pelumba yang hadir adalah bertaraf dunia selain telah mencipta pelbagai kejayaan,” jelas Azizulhasni.
Pada temasya sama empat tahun lalu pasukan berbasikal negara hanya mampu meraih satu emas, satu perak dan satu gangsa.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140724/su_01/Azizul-tekad-balas-dendam#ixzz38LKOr7bw  © Utusan Melayu (M) Bhd 



SUKAN KOMANWEL XX – Cabaran Nur Ayuni berakhir sebelum mula menembak

NUR Ayuni Farhana
GLASGOW – Nur Ayuni Farhana Abdul Halim datang ke sini dengan semangat berkobar-kobar tetapi kini berputih mata setelah disingkirkan daripada acara menembak selepas jaket pertandingannya hilang semasa dalam perjalanan ke sini.
Nur Ayuni memenangi pingat emas bersama Nur Suryani Taibi dalam acara air rifle 10 meter berpasangan di New Delhi empat tahun lalu turut mengambil acara itu pada edisi kali ini, selain rifle prone 50 meter.
Pengurus pasukan, Musa Omar berkata, penembak itu tidak mempunyai pilihan selain daripada menarik diri selepas bagasinya hilang dan dipercayai berada di London. Bagaimanapun bagasinya gagal dijumpai sehingga hari pendaftaran peserta semalam manakala pertandingan akan bermula esok.
“Dia merupakan pemenang pingat emas pada edisi lalu dan sekarang dia tidak berkesempatan untuk bertanding. Ini sudah pasti merungsingkannya dan saya berasa simpati terhadap Nur Ayuni,” kata Musa kepada media Malaysia semalam.
“Kami sudah membuat laporan mengenai kehilangan bagasinya. Kami menanti selama tiga hari dan hari ini (semalam) merupakan hari terakhir untuk membuat pengesahan nama peserta.
“Peraturan pertandingan jelas menyatakan penembak rifle perlu memakai jaket.
“Kami cuba untuk meminjam daripada peserta lain namun tidak muat dan kami berusaha untuk mendapatkan yang baharu namun Nur Ayuni mengatakan dia memerlukan dua bulan untuk membiasakan diri dengan jaket baharu,” katanya.
Tambah Musa, Nur Ayuni tidak berhenti menangis dan mahu segera pulang ke Malaysia apabila dimaklumkan dia tidak dapat bertanding.
Bagaimanapun Musa berkata, Nur Ayuni akan terus tinggal bersama pasukan di sini dan memberi sokongan kepada Muslifah Zulkifli yang dipertanggungjawabkan untuk menggalas tugasnya dalam acara air rifle 10 meter dan Suryani yang bertanding pada Sukan Olimpik 2012 ketika mengandung 30 minggu akan menggantikannya dalam acara rifle prone 50 meter. – REUTERS
“Lesen untuk senjata api semuanya menggunakan nama Nur Ayuni dan disebabkan itu kami tidak boleh menghantarnya pulang.
“Nasib tidak menyebelahi kami tambahan pula dia terlalu memikirkan hal ini. Kami sedih apabila melihat keadaannya,” kata Musa.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140723/su_06/Cabaran-Nur-Ayuni-berakhir-sebelum-mula-menembak#ixzz38GsZRqYz  © Utusan Melayu (M) Bhd 






Sukan Komanwel XX – 5 rebut emas badminton perseorangan lelaki

Rajiv Ouseph
GLASGOW – Jaguh badminton England, Rajiv Ouseph percaya terdapat lima pemain berpotensi meraih pingat emas acara perseorangan lelaki dalam Sukan Komanwel kali ini selepas jaguh nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei menarik diri daripada temasya tersebut.
Chong Wei yang telah memenangi empat pingat emas pada dua temasya lalu tidak dapat turut serta pada Sukan Komanwel kali ini kerana mengalami kecederaan paha.
Ketiadaan jaguh No.1 dunia itu menjadikan pemain seperti Chong Wei Feng dari Malaysia, Kashyap Parupalli dari India dan Ouseph antara pilihan dalam saingan perseorangan lelaki.
Ouseph yang tewas kepada Chong Wei dalam perlawanan akhir di New Delhi empat tahun lalu berpendapat ketiadaan jaguh utama dunia itu mampu menjadikan persaingan lebih terbuka.
“Kini semua berpeluang untuk menang. Ketiadaan pemain terbaik dunia pada saingan ini umpama satu kehilangan yang besar namun dalam masa sama mampu membuatkan anda lebih berusaha untuk menjadi yang terbaik.
“Di sini juga ada empat atau lima pemain yang dilihat berpotensi untuk muncul sebagai pemenang dan saya salah seorang daripada mereka.
“Mendapatkan pingat emas di sini adalah satu keutamaan dan apa sahaja boleh berlaku terutama dengan ketiadaan Chong Wei.
“Kami yang turut serta pada temasya ini mempunyai tahap permainan yang tidak terlalu jauh dan perlu bekerja keras andai mahu memenangi perlawanan,” kata Ouseph.
Sementara itu, dalam saingan perseorangan wanita juga menyaksikan saingan bakal berlangsung tanpa penyertaan penyandang pingat emas empat tahun lalu, Saina Nehwal dari India yang mengalami kecederaan kaki.
Ketiadaan pemain itu menjadikan rakan senegaranya, pemain berusia 19 tahun, PV Sindhu sebagai pilihan utama manakala Kirsty Gilmour dari Scotland sebagai pilihan kedua. – AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140723/su_05/5-rebut-emas-badminton-perseorangan-lelaki#ixzz38GqVQEhJ  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Mohd. Fauzan tangguh ke Glasgow kerana kemalangan

MOHD. Fauzan Ahmad Lutfi melihat kerosakan Proton Exora miliknya yang kemalangan dengan sebuah lori di KM247, Lebuh Raya Utara-Selatan, menghala utara, dekat Seremban malam semalam. – BERNAMA
KUALA LUMPUR – Mohd. Fauzan Ahmad Lutfi sepatutnya akan ke Glasgow semalam tetapi terpaksa menangguhkan pemergiannya kerana mengalami kemalangan jalan raya semalam.
Pelumba itu kemalangan di KM247 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Seremban, malam semalam, menyebabkan ketua jurulatih skuad lebuh raya, Aminuddin Sulaiman membuat keputusan menangguhkan pemergian pelumba itu ke Sukan Komanwel.
Katanya, ini bagi memberi ruang kepada Mohd. Fauzan untuk berehat secukupnya dan memulihkan mental dan fokusnya.
“Keadaan Fauzan baik, alhamdulillah. Dia hanya mengalami kecederaan ringan, tetapi isterinya dimasukkan ke wad tetapi tidak lama malam tadi (malam semalam).
“Buat masa ini, kami beri Fauzan rehat dahulu dan kami minta pihak (MSN) uruskan tiket untuk dia pergi kemudian. Lagipun tidak sempat kerana pukul 4 pagi tadi segala urusan baharu selesai,” katanya ketika dihubungi semalam.
Hanya dua pelumba lebuh raya akan mewakili negara iaitu Mohd. Fauzan dan Loh Sea Keong yang mengikuti latihan bersama pasukan Giant Shimano.
Atlet berusia 28 tahun itu sepatutnya berlepas ke Glasgow, Scotland bersama Aminuddin dalam penerbangan semalam manakala Sea Keong dari Amsterdam.
Dalam kejadian pada kira-kira 11.30 malam itu, Mohd. Fauzan nyaris maut apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora yang dipandunya merempuh sebuah lori yang melintang di tengah-tengah lebuh raya itu.
Pemandu lori berkenaan, Abas Baharom, 44, terbunuh di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan serius dan putus betis kanan.
Ketika kejadian Mohd. Fauzan bersama isteri Norasikin Omar, 31, sedang dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama pasukan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) di Melaka.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140723/su_04/Mohd-Fauzan-tangguh-ke-Glasgow-kerana-kemalangan#ixzz38GpKapdn  © Utusan Melayu (M) Bhd