SUKAN KOMANWEL : Memang aksi terburuk Malaysia

Oleh AIZAWATI AHMAD
aizawati.ahmad@utusan.com.my
Khairy Jamaluddin
KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengakui, pencapaian kontinjen negara pada Sukan Komanwel XX yang berakhir di Glasgow, Ahad lalu antara yang terburuk pernah dilakar dalam sejarah penyertaan Malaysia pada temasya tersebut.
Justeru, satu program baharu perlu dirangka bagi mengelak kemerosotan daripada terus berlaku, apatah lagi Malaysia bakal menjadi tuan rumah Sukan SEA pada 2017.
“Saya akui kita memang memerlukan satu program baharu dan kita tidak lagi boleh mengikut program lama yang telah pun kita tahu hasilnya.
“Program sekarang yang telah kita bentuk sejak 2010 dan akan berakhir pada hujung 2014 adalah untuk persediaan Sukan Komanwel serta Sukan Asia.
“Memandangkan kita telah melihat hasilnya pada Sukan Komanwel, maka kita tidak boleh lagi mengguna pakai program lama ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Malaysia menamatkan kempen Sukan Komanwel XX di Glasgow dengan sekadar meraih enam pingat emas, tujuh perak dan enam gangsa.
Pencapaian itu bukan sahaja gagal memenuhi sasaran rendah tujuh emas yang ditetapkan, malah ia merupakan rekod terburuk kontinjen negara pada temasya tersebut dalam tempoh 16 tahun.
Menurut Khairy, pihaknya akan turut mengambil kira pandangan yang dilontarkan oleh Datuk Wira Mazlan Ahmad kerana teguran bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) itu ada kebenarannya dan memang kontinjen Malaysia telah mempamer aksi terburuk mereka pada Temasya Glasgow.
Jelas beliau, program baharu yang akan disusun untuk tahun depan perlulah dipastikan keberkesanannya, agar ia dapat membantu meningkatkan prestasi atlet.
Mengulas mengenai kemerosotan prestasi beberapa acara sukan pada Sukan Komanwel kali ini, Khairy memberitahu, sukan seperti boling padang dan berbasikal telah gagal mencapai sasaran yang diletakkan.
“Seperti boling padang, kemerosotan yang berlaku memang ketara apabila mereka pernah memenangi dua emas di Melbourne, tetapi sejak aksi di New Delhi dan Scotland mereka gagal menjelmakan pingat emas buat Malaysia.
“Begitu juga dengan sukan berbasikal yang pada empat tahun lalu Malaysia telah meraih emas menerusi Josiah Ng (acara keirin), namun pada penyertaan di Scotland, kita hanya mampu memenangi gangsa menerusi Azizulhasni (Awang),” ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140806/su_02/Memang-aksi-terburuk-Malaysia#ixzz39ZX3xRZS  © Utusan Melayu (M) Bhd 



SUKAN KOMANWEL : Tidak adil saya dikecam – Jurulatih

Muhammad Dhaarma
GLASGOW – Jurulatih skuad hoki negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah menyifatkan kritikan yang dilemparkan terhadap dirinya ekoran persembahan buruk skuad hoki kebangsaan pada Sukan Komanwel adalah tidak adil memandangkan temasya tersebut hanya dijadikan platfrom bagi memilih pemain ke Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan, September ini.
Beliau berkata, dirinya tidak harus menjadi mangsa kecaman kerana sasaran skuad negara bukanlah pada Sukan Komanwel, tetapi sebaliknya pada pentas Sukan Asia.
“Tidak adil saya dikecam, jika benar Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mahu bersaing untuk tempat keempat atau kelima kita seharusnya menghantar skuad utama bukannya pasukan kedua.
“Jika diikutkan, pencapaian pasukan tahun ini lebih bagus berbanding empat tahun lepas. Di India, skuad hoki yang senior meraih kedudukan kelapan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan skuad kendaliannya menewaskan pasukan tuan rumah, Scotland 2-1 pada aksi penentuan tempat ketujuh dan kelapan Sukan Komanwel di Stadium Hoki Nasional Glasgow, kelmarin.
Mengulas mengenai pemilihan pemain ke Sukan Asia, Muhammad Dharma memberitahu, dia sudah pun mengenal pasti barisan pemain untuk dibawa ke temasya tersebut nanti.
Malah, Dhaarma turut memuji persembahan positif yang dipamerkan skuad negara meskipun berdepan kritikan hebat ekoran prestasi hambar dalam aksi Kumpulan B.
“Saya berpuas hati dengan persembahan pasukan ketika menentang Scotland, ini kerana menentang pasukan tuan rumah bukan satu tugas yang mudah tambahan lagi tekanan semakin tinggi selepas tewas kepada Trinidad & Tobago 2-4.
“Bagaimanapun anak-anak buah saya menunjukkan moral yang begitu baik dengan memenangi perlawanan ini. Apa yang jelas saya telah mengenal pasti pemain untuk ke Sukan Asia,” ujarnya. – BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140804/su_07/Tidak-adil-saya-dikecam—Jurulatih#ixzz39UkoAMGE  © Utusan Melayu (M) Bhd 






SUKAN KOMANWEL : Faktor kepenatan gangsa terlepas daripada genggaman

PEMAIN beregu wanita negara Lai Pei Jing (kiri) mengakui kepenatan setelah terpaksa beraksi dalam empat perlawanan dalam hari yang sama menyebabkan dia dan pasangannya Lim Yin Loo gagal untuk meraih gangsa buat Malaysia pada Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland, semalam. – BERNAMA
GLASGOW – Faktor kepenatan menjadi punca kekalahan tiga wakil badminton negara dalam perlawanan penentuan pingat gangsa pada Sukan Komanwel di Emirates Arena, semalam.
Belum sempat berehat daripada aksi separuh akhir, beregu campuran negara Chan Peng Soon-Lai Pei Jing perlu menentang pasukan tuan rumah, Scotland, Robert Blair-Imogien Bankier, namun keputusan tidak memihak kepada mereka apabila tewas 17-21, 11-21.
Pei Jing juga perlu memikul satu lagi tugas iaitu bergandingan dengan Lim Yin Loo dalam saingan beregu wanita menentang Gabriel Adcock-Lauren Smith dari England.
Pei Jing-Yin Loo terpaksa akur dengan kelebihan pencabar mereka, Gabriel-Lauren, walaupun mendahului set pertama 21-16, namun kalah dalam dua set seterusnya iaitu 15-21 dan 16-21.
Turut mengalami nasib sama ialah pemain perseorangan wanita Tee Jing Yi apabila dikecewakan wakil dari India P V Sindhu dengan kekalahan straight set 21-23, 9-21.
Bagi Pei Jing, dia mengakui terlalu penat kerana perlu beraksi dalam empat pertemuan, semalam iaitu dua dalam pusingan separuh akhir serta dua aksi lagi perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.
“Saya tidak tahu kenapa pihak pengurusan mengadakan perlawanan separuh akhir dan perlawanan penentuan gangsa pada hari yang sama. Saya hanya sempat berehat selama dua jam sahaja.
“Kalau perlawanan penentuan pingat gangsa tidak diadakan hari ini (semalam) saya yakin kami (beregu campuran dan beregu wanita) mempunyai peluang untuk meraih pingat untuk kontinjen negara,” kata Pei Jing. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140804/su_08/Faktor-kepenatan-gangsa-terlepas-daripada-genggaman#ixzz39UjTQSnN  © Utusan Melayu (M) Bhd 


SUKAN KOMANWEL : Ganjaran lumayan buat Hafifi

Oleh RADHUAN HUSSAIN
sukan@utusan.com.my
AHMAD Raziff Abd. Rahman menyampaikan sumbangan kepada Mohd. Hafifi Mansor yang memenangi pingat emas pertama Malaysia pada Sukan Komanwel di Glasgow ketika majlis sambutan kepulangannya di Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala Terengganu, Terengganu, semalam. – UTUSAN/SHAIFUDIN MOHD NOR
KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri, semalam memberi pengiktirafan kepada jaguh angkat berat negara kelahiran Terengganu, Mohd. Hafifi Mansor atas kecemerlangannya menyumbang pingat emas pada Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland.
Sebagai bukti pengiktirafan itu, Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abd. Rahman menunaikan janjinya mengumumkan bentuk insentif kepada atlet tersebut iaitu satu lot tanah di kawasan Tok Jembal dekat sini serta cek bernilai RM10,000. Selain itu, Mohd. Hafifi, 24, turut menerima insentif berjumlah RM80,000 daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas sumbangannya kepada negara.
Ahmad Razif mengumumkan perkara itu pada majlis menyambut kepulangan Mohd. Hafifi di pekarangan balai ketibaan Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) dekat sini, semalam.
Ketika ditemui pemberita selepas itu, Ahmad Razif berkata, proses pemberian tanah lot banglo kepada Mohd. Hafifi dijangka dapat diselesaikan dalam masa dua hingga tiga minggu ini.
“Dalam tempoh dua tiga minggu ini kita akan selesaikan urusan memberi insentif tanah lot banglo di kawasan Tok Jembal yang saya telah kenal pasti untuk kita serahkan kepada Mohd. Hafifi.
“Saya difahamkan yang dia ingin pulang ke Terengganu untuk tabur bakti di sini sebagai jurulatih, jadi eloklah dengan lot rumah ini dia tidak perlu berhijrah ke tempat lain, dia akan tinggal di Terengganu dan boleh bantu atlet sukan angkat berat di negeri ini,” katanya.
Beliau menyifatkan kejayaan Mohd. Hafifi serta beberapa atlet lain negeri ini termasuk dalam sukan lumba basikal dan kanu telah mengharumkan Terengganu ke peringkat dunia.
“Alhamdulillah saya sangat bersyukur kerana hari ini (semalam) merupakan satu detik bersejarah kerana tidak secara langsung Terengganu sudah dikenali di persada dunia dan kita bukan lagi ‘jaguh kampung’.
“Hari ini kita sudah jadi jaguh antarabangsa dengan kehebatan altlet lumba basikal, kanu dan angkat berat. Selepas ini kita akan turut memberi fokus kepada sukan lain termasuk hoki dan bola sepak,” jelasnya.
Sementara itu, sejurus selepas majlis menyambut kepulangan Mohd. Hafifi berakhir, atlet itu kemudian diarak dengan 10 buah kenderaan pacuan empat roda ke sekitar kawasan tempat kelahirannya di Seberang Takir.
Anak keempat daripada enam beradik itu menyumbang pingat emas pertama negara dalam kategori 69 kilogram pada Sukan Komanwel 2014 di Glasgow yang telah pun masuk hari terakhir temasya, semalam.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140804/su_03/Ganjaran-lumayan-buat-Hafifi#ixzz39UfZ33ya  © Utusan Melayu (M) Bhd 




SUKAN KOMANWEL – Hanya perak mampu dijelmakan Tze Liang

PENERJUN negara, Ooi Tze Liang menunjukkan pingat perak yang dimenanginya dalam acara terjun 10 meter platfom individu lelaki pada Sukan Komanwel XX di Glasgow, Scotland, semalam. – BERNAMA
EDINBURGH – Skuad terjun negara mengakhiri perjuangan mereka pada temasya Sukan Komanwel XX dengan kilauan pingat perak menerusi penerjun muda negara, Ooi Tze Liang dalam acara akhir 10 meter platform individu lelaki di Kolam Renang Diraja Komanwel di sini, semalam.
Keputusan itu bermakna, peluang kontinjen negara untuk mencapai sasaran tujuh emas sudah pun tertutup. Dalam aksi, semalam Tze Liang berjaya mengumpul 433.70 mata iaitu 82.85 mata di belakang jaguh Olimpik England, Tom Daley yang memungut 516.55 mata. Pingat gangsa dimenangi Vincent Riendeau dari Kanada dengan 429.25 mata.
“Macam dalam pertandingan lain saya cuba memberi fokus terbaik dalam setiap terjunan. Saya cuba sedaya upaya untuk tenang dan tidak panik,” katanya selepas menamatkan saingan di sini, semalam. Dalam saingan 3m papan anjal individu lelaki pada Khamis lepas, Tze Liang menghadiahkan pingat emas keempat Malaysia bagi temasya kali ini.
“Saya mahu menghadiahkan kemenangan ini kepada ibu bapa dan jurulatih saya, Huang Qiang yang banyak mengajar saya supaya tidak gugup semasa bertanding,” kata penerjun berusia 20 tahun dari Pulau Pinang itu.
Seorang lagi penerjun Malaysia yang beraksi dalam saingan peringkat akhir, Chew Yiwei sekadar di tempat ke-10 dengan 358.55 mata. Secara keseluruhan, Malaysia menamatkan saingan acara terjun di Sukan Komanwel dengan satu pingat emas, dua perak dan satu gangsa.
Sementara itu, dalam saingan 3m papan anjal individu wanita, penerjun negara, Ng Yan Yee terlepas peluang meraih pingat gangsa setelah dia sekadar terikat di kedudukan keempat bersama penerjun Australia, Maddison Keeney dengan 308.20 mata.
Selain Yan Yee, Malaysia turut memiliki dua lagi wakil dalam pertandingan tersebut iaitu Nur Dhabitah Sabri dan Cheong Jun Hoong. Kedua-dua atlet berkenaan sekadar menamatkan saingan di tempat ke-11 setelah mengumpul 284.20 mata, manakala Jun Hoong di tempat terakhir dengan 271.95 mata.
“Saya merasa sedikit terkilan kerana melakukan kesilapan pada terjunan ketiga dan ia menyebabkan kedudukan saya jatuh, kalau tidak saya boleh menghadiahkan pingat buat Malaysia,” katanya.
Pingat emas acara itu dimenangi Esther Qin dari Australia apabila mengumpul 347.25 mata dan diikuti Jennifer Abel (Kanada) serta Hannah Starling (England) yang masing-masing meraih perak serta gangsa dengan pungutan 324.70 mata dan 316.95 mata.
“Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan pencapaian di sini. Saingan di sini agak sukar juga dengan adanya penerjun dari England, Kanada dan Australia. Selepas ini, saya akan tumpukan latihan menghadapi Sukan Asia pula. Bagaimanapun, saya belum tahu acara apa yang saya akan sertai kerana semua bergantung kepada keputusan jurulatih dan persatuan (Persatuan Renang Amatur Malaysia),” katanya.
Menurut Yan Yee, saingan di Sukan Asia tidak jauh berbeza dengan Sukan Komanwel berikutan kehadiran penerjun dari China, Jepun dan Korea Selatan. – BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140804/su_02/Hanya-perak-mampu-dijelmakan-Tze-Liang#ixzz39UZKy5vt  © Utusan Melayu (M) Bhd 



SUKAN KOMANWEL – Sasaran 7 emas lebur

GANDINGAN Malaysia, Tan Wee Kiong (kiri) dan Goh V Shem menunjukkan pingat yang dimenangi selepas menundukkan pasangan Singapura, Danny Chrisnanta- Chayut Triyachart pada temasya Sukan Komanwel XX diGlasgow, Scotland, semalam.
KUALA LUMPUR – Dua pingat emas yang dihadiahkan oleh pasukan badminton negara pada hari terakhir Sukan Komanwel XX di Glasgow, Scotland, semalam hanya menggembirakan kem negara untuk seketika berikutan terpaksa menerima hakikat Malaysia gagal mencapai sasaran tujuh emas.
Malaysia hanya mampu menamatkan kempen Sukan Komanwel 2014 dengan enam pingat emas dan catatan di Glasgow adalah yang terendah berbanding penyertaan negara dalam empat edisi sebelum ini iaitu di Kuala Lumpur (1998, 10 emas), Manchester (2002, tujuh emas), Melbourne (2006, tujuh emas) dan New Delhi (2010, 12 emas).
Pingat emas, semalam hadir menerusi acara beregu wanita, Vivian Hoo-Woon Khe Wei yang menewaskan gandingan India, Jwala Gutta-Ashwini Ponnappa dengan keputusan 21-17, 23-21 dan sekali gus mengulangi pencapaian pasangan Chin Eei Hui-Wong Pei Tty di Melbourne lapan tahun lalu.
Sementara itu, dalam aksi lelaki pasangan negara, Tan Wee Kiong-Goh V Shem menghadiahkan emas keenam Malaysia selepas menewaskan Danny Chrisnanta-Chayut Triyachart dari Singapura dengan keputusan 21-12, 12-21, 21-15.
BEREGU wanita negara, Vivian Hoo (kanan) dan Woon Khe Wei meraikan kejayaan memenangi pingat emas selepas menewaskan beregu India, Jwala Gutta-Ashwini Ponnappa ditemasya Sukan Komanwel XX, Glasgow, Scotland, semalam. – BERNAMA
Kempen Malaysia di Glasgow bermula penuh semangat apabila atlet angkat berat, Mohd. Hafifi Mansor menghadiahkan kilauan emas pertama menerusi kategori 69 kilogram (kg) lelaki dalam aksi final di Scottish Exhibition and Conference Centre Precint, Scotland, 26 Julai lalu.
Atlet Terengganu berusia 24 tahun itu juga antara prospek pingat emas yang berjaya menepati sasaran pada temasya kali ini, selain dapat memperbaiki pencapaian gangsa dalam kategori sama di Sukan Komanwel 2010.
Dua hari selepas Mohd. Hafifi membuktikan kecemerlangan, kem negara terus ceria apabila pemain No. 1 dunia, Datuk Nicol David berjaya menepati ramalan dengan menghadiahkan pingat emas kedua Malaysia menerusi acara skuasy perseorangan selepas menewaskan Laura Massaro dari England, 3-0 pada final 28 Julai lepas. Nicol, 30, menunaikan janji awalnya mempertahankan gelaran yang dimenangi pada temasya sama di New Delhi, India empat tahun lalu.
Pemburuan tujuh pingat emas pada Sukan Komanwel 2014 kelihatan berada di landasan selepas skuad badminton berjaya mempertahankan kejuaraan dalam acara berpasukan campuran pada Selasa lalu untuk pingat emas ketiga Malaysia.
Bagaimanapun selepas memasuki hari ketujuh temasya, sumbangan pingat emas dalam kalangan atlet negara nampak kurang memberangsangkan sekali gus menimbulkan keraguan untuk mencapai sasaran tujuh pingat emas yang telah ditetapkan sebelum ini.
Pingat emas keempat negara yang dihadiahkan oleh atlet terjun negara, Ooi Tze Liang pada 31 Julai lalu dalam acara akhir 3m papan anjal lelaki di Kolam Renang Diraja Komanwel seakan-akan menghidupkan kembali peluang untuk mencapai sasaran kontinjen negara.
Namun, kegembiraan itu tidak kekal lama apabila sandaran Malaysia menerusi pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2012, Pandelela Rinong pada temasya kali ini nampaknya tidak menjadi setelah anak kelahiran Sarawak itu hanya menjelmakan pingat perak dan turut gagal mempertahan emas Sukan Komanwel 2010 dalam acara 10 meter platform wanita.
Harapan untuk melihat skuad terjun menghadiahkan lebih banyak pingat emas terkubur selepas Tze Liang hanya mampu meraih perak dalam acara akhir 10m platform lelaki, semalam yang sekali gus menutup terus pintu kontinjen negara melengkapkan sasaran tujuh emas.
Pulang dengan enam emas bermakna kontinjen Malaysia bukan sahaja gagal memperbaiki pencapaian 12 pingat emas pada Sukan Komanwel 2010 di New Delhi, India tetapi boleh dianggap sebagai pencapaian hambar selepas Sukan Komanwel 1994 di Kanada.
Sewaktu di Kanada, Malaysia hanya mampu membawa pulang dua emas, bagaimanapun prestasi kontinjen negara meningkat naik sewaktu penyertaan edisi temasya 1998 di Kuala Lumpur apabila berupaya meraih 10 pingat emas dan pencapaian terbaik negara adalah pada empat tahun lalu di India.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140804/su_01/Sasaran-7-emas-lebur#ixzz39UWUm3jP  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Bolt curi tumpuan raih emas Sukan Komanwel

Usain Bolt mempamerkan gaya yang menjadi trademarknya selepas memenangi acara 4×100 meter berganti-ganti di Hampden Park pada Sukan Komanwel, semalam. – AFP
GLASGOW – Juara Sukan Olimpik, Usain Bolt mencuri tumpuan apabila dia menyumbangkan pingat emas buat Jamaica setelah dia mengetuai kuartet 4×100 meter negaranya dalam aksi akhir acara itu pada Sukan Komanwel, semalam.
Selepas mengharungi kontroversi dan harapan menggunung yang diletakkan ke atasnya, juara dunia lapan kali, Bolt telah membuat penonton di Hampden Park cukup teruja menyaksikan dia beraksi untuk membantu Jamaica melakar rekod baru temasya iaitu 37.58 saat.
Malah, kejayaan tersebut membolehkan pelari tinggi lampai itu meraih pingat Komanwel pertama sepanjang kariernya yang cukup gemilang itu.
“Saya gembira untuk penyokong dan saya juga gembira kerana dapat pingat emas dalam Sukan Komanwel. Temasya ini (Sukan Komanwel) sentiasa berada dalam senarai pertandingan yang perlu saya sertai.
“Saya selalu mengidamkan untuk beraksi dalam Sukan Komanwel. Saya mahu berlari dalam acara individu di sini, namun saya mengalami kecederaan, maka saya membuat keputusan untuk menyertai 4×100 meter sahaja,” kata kepada pemberita.
Kehadiran atlet pecut Jamaica berjaya mencuri tumpuan apabila diramal menguasai lapangan olahraga berikutan ketiadaan begitu ramai jaguh pada temasya tersebut, dan mereka nyata tidak menghampakan apabila mempamerkan kehebatan dengan karisma yang tersendiri.
Selepas mengetuai kuartet Jamaica yang turut disertai Jason Livermore, Kemar Bailey-Cole dan Nikel Ashmeade, Bolt telah meraikan kejayaan pasukan negaranya dengan melakukan aksi trademarknya ‘lightning bolt’ sambil memakai topi tartan dan berselfie. – REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140804/sl_03/Bolt-curi-tumpuan-raih-emas-Sukan-Komanwel#ixzz39UTF93Eh  © Utusan Melayu (M) Bhd