Hadapi realiti musuh yang sentiasa cari jalan hancurkan Islam

Oleh HUSSAINI AMRAN
hussaini.amran@utusan.com.my


Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah ditemani Tuanku Hajah Haminah Hamidun dan Najib Tun Razak bersalaman bersama para peserta ketika menghadiri Majlis Tilawah dan Menghafal al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-56 di PWTC, Kuala Lumpur, malam tadi. Turut sama, Jamil Khir Baharom (kanan). – UTUSAN/MOHD. AZIM ABD. RAHMAN

KUALA LUMPUR 16 Jun – Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah menyeru umat Islam di negara ini agar bersatu-padu bagi menjadikan mereka kembali utuh dan mampu menghadapi rintangan serta ancaman musuh.
Seri Paduka bertitah, cabaran terbesar umat Islam masa kini adalah untuk bersatu hati dan bersepakat menghadapi realiti musuh-musuh Islam yang sentiasa mencari jalan bagi menghancurkan mereka.
Titah Tuanku Abdul Halim, permusuhan dalam masyarakat perlu dihindari dan mereka yang masih lena dibuai kelekaan fatamorgana duniawi perlu dibangkitkan.
“Selagi kesatuan ummah tidak mampu dicapai, selagi itulah kejayaan yang dijanjikan Allah SWT akan tertangguh.
“Telah dinyatakan dalam al-Quran bahawa Allah SWT tidak akan mengubah nasib sesuatu bangsa kecuali mereka berusaha untuk mengubah segala kepincangan dalam diri mereka sendiri,” titah Seri Paduka ketika merasmikan Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali Ke-56 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini malam ini.
Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah.
Yang turut hadir, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas; Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaacob dan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.
Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), Datuk Othman Mustapha.
Tuanku Abdul Halim bertitah, umat Islam juga diseru kembali berpegang teguh kepada prinsip dan nilai-nilai Islam sejati bagi mengembalikan kesatuan ummah.
Seri Paduka turut menyeru rakyat supaya kembali kepada ajaran Islam seperti yang telah termaktub di dalam al-Quran dan as-Sunnah.
Titah Tuanku Abdul Halim, Islam adalah agama yang membawa rahmat ke seluruh alam sekaligus menjadikan umatnya memiliki sikap atau watak yang berimbang.
“Berimbang bermaksud seluruh pertimbangan negatif dan positif diberi perhatian supaya jalan berfikir yang diambil selalu bersifat wasatiyyah,” titah Seri Paduka.
Tuanku Abdul Halim turut menasihatkan rakyat agar mengamalkan konsep ‘ummatan wa-satan’ dalam setiap amalan.
Seri Paduka bertitah, dakwah Islam hanya dapat tertegak dan berjalan lancar dalam masa kedamaian serta apabila demokrasi wujud, bukannya dalam situasi tertekan dan kezaliman berlaku.
Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa kali ini berlangsung mulai malam ini hingga 21 Jun ini.
Sebanyak 29 negara menyertai kategori tilawah manakala kategori hafazan disertai 27 negara.
Bagi kategori tilawah, Malaysia diwakili qari, Ahmad Tirmizi Ali dan qariah, Hanimzah Jalaluddin manakala kategori hafazan diwakili Mohd. Ersyad Abdullah serta Norhaafizah Mohd. Shafie.
Johan qari dan qariah kategori tilawah masing-masing akan membawa pulang hadiah berupa jongkong emas bernilai RM70,000 sumbangan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (Yapeim), piala iringan dan wang tunai RM40,000.
Sementara itu, johan qari dan qariah kategori hafazan masing-masing bakal menerima hadiah wang tunai RM30,000 termasuk RM10,000 yang disumbangkan Yapeim.
Kategori tilawah bermula malam ini dengan qari Palestin, Murad Y.M Abugharbia dan qariah Belgium, Sara El Azouti memperdengarkan bacaan masing-masing.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140617/dn_03/Hadapi-realiti-musuh-yang-sentiasa-cari-jalan-hancurkan-Islam#ixzz34rGJv69Z  © Utusan Melayu (M) Bhd 


Advertisements

Martabatkan institusi pondok – Najib

Najib Tun Razak menyampaikan Anugerah Pondok Progresif 2014 kepada Uztaz Kazim Elias Al – Hafiz ( kiri ) sambil diperhatikan Mukhriz Tun Mahathir, Jamil Khir Baharom ( kanan) dan Dr. Mashitah Ibrahim dalam Majlis Penutup Ijtimak Pondok Malaysia 2014, di Dewan Seri Mentaloon, Alor Setar, Kedah, semalam. – UTUSAN/Safrizal Azmi
ALOR SETAR 24 April – Datuk Seri Najib Tun Razak berharap institusi pondok tetap aktif dalam menyuarakan nasihat beraspirasikan ajaran agama yang murni tanpa terikat kepada sentimen politik kepartian.
Menurut Perdana Menteri, ini kerana para umarak (pemerintah) sebagai pemikul amanah kepimpinan pentadbiran memang sentiasa mengharapkan pandangan, nasihat dan doa restu para ulama dalam menjalankan tugas mereka.
“Tetapi situasi yang sebegini akan sukar dibentuk jika suara nasihat ataupun teguran yang dikemukakan terlalu menyerupai nada dan corak digunakan oleh persaingan politik kepartian.
“Para ulama harus menasihati dan menegur sesiapa sahaja tetapi sudah tentu dengan kaedah dan budaya yang sesuai dengan wibawa dan kedudukan mereka yang tinggi dalam neraca Islam.
“Adalah menjadi harapan saya agar warga pondok akan terus memainkan peranan sebagai benteng mempertahan kedaulatan dan kesucian Islam sebagai ad-din, berteraskan Perlembagaan Negara,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan Ijtimak Pondok Malaysia 2014 di Seri Mentaloon di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir dan Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM), Datuk Dr. Mashitah Ibrahim.
Ijtimak tersebut julung-julung kali dianjurkan oleh YPPM dengan menghimpunkan lebih 1,300 warga pondok bersama tokoh akademik dan cendekiawan agama dari dalam serta luar negara.
Perdana Menteri turut melahirkan kebimbangan tentang berlakunya ajaran liberalisme, sekularisme, pluralisme dan fahaman songsang yang bertentangan dengan Islam sejak kebelakangan ini.
“Percayalah bahawa kerajaan menolak sebarang ancaman terhadap akidah umat Islam dan sebarang usaha memecahbelahkan perpaduan antara rakyat. Kita juga tegas menolak sebarang gerakan dan fahaman yang bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
“Dalam konteks ini, saya amat menghargai pandangan dan pendirian para ulama dan warga pondok berserta badan bukan kerajaan (NGO) di dalam mempertahankan kesucian Islam.
“Realitinya, hari ini wujud sesetengah kelompok yang bersikap liberal, secara terbuka dan bebas bersuara tanpa mengambil kira perasaan atau sensitiviti pihak lain. Walaupun mengetahui bahawa Islam adalah agama Persekutuan yang dijamin dalam Perlembagaan, mereka terus mencabar dan mahu mengubah apa yang sudah termaktub selama ini,” katanya.
Najib turut menegaskan, kerajaan mahu melihat sistem pengajian pondok terus kekal dan relevan, serta pengiktirafan sewajarnya diberikan kepada para ulama dan guru pondok.
“Insya-Allah, kerajaan akan terus mengarusperdanakan institusi pondok bagi mengangkat agenda pendidikan Islam negara,” katanya.
Dalam majlis itu, Perdana Menteri turut mengumumkan geran sebanyak RM500,000 kepada YPPM bagi usaha mencari, memperoleh dan memulih semula kitab-kitab lama dan muktabar, yang berada di merata tempat di dalam dan luar negara.
“Semoga YPPM menjadi pusat rujukan yang penting kepada semua warga pondok dan para pelajar yang melakukan penyelidikan atau penulisan mengenai pondok, malah kepada sesiapa saja yang berminat.
“
Geran ini tidak tertakluk kepada aktiviti membaik pulih kitab-kitab lama sahaja, malah bahan-bahan ilmiah lain seperti manuskrip, jurnal dan dokumen peribadi,” katanya yang juga Penaung YPPM.
Sebagai sebagai menghargai peranan, jasa dan sumbangan pondok selama ini, Perdana Menteri turut mengumumkan akan membuka 100 tempat kepada warga pondok untuk melanjutkan pendidikan dan latihan dalam bidang pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan.
“Separuh daripada bilangan ini, iaitu 50 tempat, dikhususkan kepada guru-guru pondok yang layak ke Institut Pendidikan Guru, Kampus Pendidikan Islam di Bangi, Selangor. Manakala bakinya, juga 50 tempat adalah untuk 50 pelajar pondok yang memenuhi kelayakan minimum untuk ke universiti-universiti tempatan seperti Universiti Sains Islam Malaysia di Nilai, Negeri Sembilan.
“Insya-Allah, kemasukan pelajar pondok yang berkelayakan ke universiti dan institut perguruan agama dengan pembiayaan sepenuhnya oleh kerajaan akan bermula pada sesi 2015/2016,” kata beliau.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140425/dn_01/Martabatkan-institusi-pondok—Najib#ixzz2zrciR700  © Utusan Melayu (M) Bhd 


Masjid institusi penyatuan ummah

MUHYIDDIN Yassin menyampaikan anugerah Tokoh Imam Negeri kepada Mohd. Nor Saod pada Majlis Mesra Bersama Guru-Guru Agama dan Pegawai Masjid negeri Pulau Pinang di Kepala Batas, semalam. Turut kelihatan Zainol Abidin Osman (kiri) dan Dr. Hilmi Yahaya. – BERNAMA
KEPALA BATAS 17 April – Masjid seharusnya berperanan sebagai sebuah institusi penyatuan ummah bagi mengelak perbalahan sesama sendiri dan bukan sekadar menjadi tempat untuk umat Islam melakukan ibadat.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penyatuan ummah yang terbentuk melalui masjid itu secara langsung akan meningkatkan semangat juang dalam kalangan umat Islam agar Islam dihormati dan disegani.
“Kerajaan telah menyediakan semua kemudahan kerana hendak memperkukuhkan umat Islam, mahu umat Islam dihormati kerana kalau umat Islam lemah pasti tidak akan dihormati,” katanya di sini hari ini.
Beliau berucap pada Majlis Mesra Bersama Guru-Guru Agama dan Pegawai Masjid negeri Pulau Pinang di Dewan Perdana Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) sini.
Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainol Abidin Osman; Ketua Pembangkang, Datuk Jahara Hamid dan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya.
Muhyiddin berkata, segala tindakan yang dilakukan oleh kerajaan dalam pengukuhan umat Islam bertujuan memartabatkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan negara.
“Macam mana ada orang tuduh kita tak Islam? Kita sediakan banyak tenaga pengajar agama yang dilatih, menyediakan kemudahan seperti Tabung Haji, sistem perundangan syariah, Pusat Pengurusan Zakat dan sebagainya.
“Ini membuktikan komitmen kerajaan Barisan Nasional (BN) meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan. Prinsip perjuangan kita untuk tegakkan yang hak dan jauhkan yang mungkar dan kerana itu kita nak sebarkan dakwah,” katanya.
Menurut Muhyiddin, masyarakat Islam di Pulau Pinang perlu bersatu untuk terus maju dan tidak berpecah-belah supaya mereka tidak dipandang rendah.
“Walaupun peratusan orang Islam di Pulau Pinang hanya 40 peratus itu tidak mengapa, kerana ada kumpulan yang lebih kecil tetapi mereka menguasai, untuk menguasai, orang Islam di Pulau Pinang perlu mengukuhkan kedudukan ekonomi mereka dan penguasaan dalam pelbagai ilmu.
“Kalau umat Islam di Pulau Pinang hendak berjaya, jangan berpecah-belah, kalau dah berpecah-belah, orang lain yang akan kuasai, kalau nak letakkan Islam di atas, kita kena jaga jangan bagi orang pintas,” katanya.
Muhyiddin berkata, kerajaan Pusat memperuntukkan sebanyak RM16.37 juta bagi membantu sekolah Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di negeri itu membabitkan 255 buah sekolah dengan 34,180 orang murid serta 1,423 guru.
Pada majlis itu, Muhyiddin turut menyampaikan sumbangan penghargaan dan bantuan kepada para imam, bilal, siak, guru dan sekolah KAFA yang cemerlang.
Sumbangan dan bantuan itu adalah penyuntik semangat untuk mereka terus menyumbang dan berbakti demi agama dan bangsa.
Antara penerima sumbangan tersebut ialah Tokoh Imam Negeri diberikan kepada Mohd. Nor Saod dari Masjid Sungai Kecil, Seberang Perai Selatan; Bilal Unggul (Ahmad Kamaruluddi Mohd. Yusof dari Masjid Bagan Kecil Abdul Kadir); Siak Unggul – Shaharie Majid (Masjid Nurul Hidayah, Sungai Lokan); Tokoh Guru Tahmir (Ahmad Wahab Puteh dari Sungai Bakap) dan Sekolah KAFA Cemerlang (Madrasah Al-Hidayah Addiniah, Barat Daya).
Penerima lain ialah Guru KAFA Cemerlang (Badrinizar Abd. Rahman dari Nahdatul Islah, Kubang Semang) dan enam buah sekolah diberikan geran bernilai RM4,000 setiap satu bagi kategori Sekolah KAFA Harapan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140418/dn_03/Masjid-institusi-penyatuan-ummah#ixzz2zCDYAt3p  © Utusan Melayu (M) Bhd 


YADIM – Program Dakwah Negara

Jamil Khir Baharom (dua dari kiri) memukul gong bagi merasmikan prapelancaran Program Dakwah Negara 2014 di Karnival TV AlHijrah di Pantai Murni, Yan, Kedah, kelmarin. – MINGGUAN/ISMAIL KAMADIN.

JERAI 29 Mac – Bulan Dakwah Kebangsaan yang dianjurkan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) sejak 1978 kini dikenali sebagai Program Dakwah Negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, beliau percaya Yadim telah merencana aktiviti Program Dakwah Negara tahun ini dengan baik.
Katanya, tahun ini merupakan ulang tahun ke-40 Yadim yang kewujudannya dirasai di medan dakwah kebangsaan dan antarabangsa.
“Ini merupakan ruang dan peluang terbaik untuk kita bersama meningkatkan kesedaran, kefahaman dan penghayatan Islam sebagai agama kasih sayang demi kesatuan dan perpaduan umat.
“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Yadim atas penganjuran program ini dan mendoakan pelaksanaannya berjalan lancar serta mencapai objektifnya dengan impak positif kepada seluruh rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis prapelancaran Program Dakwah Negara 2014 di Karnival TV AlHijrah di Pantai Murni, Yan di sini semalam.
Menurut Jamil, Program Dakwah Negara itu dianjurkan tepat pada masanya untuk menyampaikan Islam sebagai agama yang menganjurkan kasih sayang sebagai asas kesatuan dan perpaduan umat.
“Kemelut perpecahan pada hari ini menggambarkan betapa kasih sayang telah dipinggirkan dalam mendepani isu yang tidak kunjung putus.
“Tambahan pula perbezaan yang wujud sesama kita diperbesarkan dengan api kebencian dan ini melahirkan sikap yang tidak sepatutnya dibudayakan,” ujarnya.
Tambah beliau, sekiranya perkara itu dibiarkan berterusan, maka kesatuan dan perpaduan umat sukar untuk dicapai.
“Islam sebagai agama yang menganjurkan kasih sayang dalam setiap tindak-tanduk kita dan kasih sayang disemai dalam umat akan melahirkan watak dengan sikap terhormat.
“Inilah asas kepada kesatuan dan perpaduan yang ingin kita tuai bersama,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140330/dn_11/Program-Dakwah-Negara#ixzz2xVfMuKjr  © Utusan Melayu (M) Bhd