Perkabungan, Jalur Gemilang, Melayu

Oleh Hassan Mohd. Noor
JANGAN MENGGURIS PERASAAN
HARI Perkabungan Negara berjalan lancar dan berlangsung dengan baik. Inilah kali pertama hari perkabungan melibatkan orang awam. Sudah tentu banyak cabaran yang dihadapi dalam memastikan hari bersejarah itu akan diingati bukan sahaja oleh keluarga mangsa MH17 tetapi juga rakyat seluruhnya. Hari perkabungan ini memanglah sesuatu yang luar biasa kerana ia melibatkan orang awam. Usahlah dipertikaikan apa yang sudah berlaku. Macam-macam isu dibangkitkan sama ada soal warna pakaian dan acara yang disusun sebagai tanda penghormatan. Acara yang berlangsung mungkin tidak diminta oleh keluarga mangsa tetapi hakikatnya, kerajaan mahu memastikan semua mangsa diberi penghormatan. Mereka bukannya anggota pasukan keselamatan yang gugur di medan perang. Mereka hanyalah penumpang dan petugas di dalam pesawat komersial, bukannya pesawat tentera.
Mereka menjadi mangsa akibat konflik yang berlaku di negara orang. Tidak keterlaluan jika dikatakan mereka mangsa pembunuhan beramai-ramai. Malangnya ada pihak yang cuba mengadu-domba masyarakat dengan menuduh kerajaan mempunyai agenda tertentu dan mengaitkannya pula dengan penghormatan terhadap perwira Lahad Datu. Tidak perlulah kita bercakap perkara yang bukan-bukan sehingga menjurus kepada penyebaran fitnah walaupun ia bertujuan meraih simpati orang ramai dan pihak tertentu.
Hotrmatilah keluarga mangsa serangan terhadap MH17. Inilah salah satu sikap orang kita yang suka mencari kekurangan dan kelebihan dalam satu-satu perkara, seolah-olah ‘tidak ada kerja’. Lebih mendukacitakan apabila ada yang menyifatkan anggota tentera terlibat dalam istiadat penghormatan Jumaat lepas seperti hamba abdi. Dalam hal ini Selak tertarik dengan kenyataan Lans Koperal Mohd Sadiq Zakariah semalam yang mengawal diri menahan sebak ketika mengusung jenazah bapa saudara pupunya, penyelia penerbangan kabin, Mohd Ghafar Abu Bakar kerana tidak mahu ‘mencacatkan’ perjalanan istiadat penghormatan jenazah.
Beliau begitu cekal mengingatkan diri bahawa kegagalan menahan diri akan menghilangkan kepercayaan kepadanya, memandangkan beliau sendiri membuat permohonan supaya dibenarkan untuk mengusung arwah. Anggota tentera daripada Unit Istiadat 1 Regimen Askar Melayu Diraja itu berkata ia juga merupakan jasa terakhir yang boleh disumbangkan kepada keluarga arwah.
Sehari sebelum itu, beliau mengakui begitu sedih ketika mengusung jenazah orang yang tidak dikenalinya, iaitu keranda Foo Ming Lee. Begitulah perasaan sedih seorang anggota tentera yang terlibat dalam urusan pada Hari Perkabungan Negara. Hentikanlah berkata sesuka hati kononnya untuk menegakkan kebenaran sedangkan hakikatnya, ia lebih banyak mengguris perasaan banyak pihak. Ingatlah jika anda berada dalam kedudukan keluarga mangsa. Apakah perasaan anda jika mangsa tragedi itu adalah suami, isteri, ibu, bapa, anak, cucu, adik, abang, kakak, nenek, saudara mara, sahabat atau sesiapa sahaja yang mempunyai pertalian rapat dengan anda.
SEKAKI PAYUNG PERCUMA
KETIKA ini, kita memasuki minggu terakhir menjelang 31 Ogos 2014, menandakan genap 57 tahun negara mencapai kemerdekaan. Sudahkah anda sekurang-kurangnya mengibarkan Jalur Gemilang sama ada di kenderaan, rumah atau di mana sahaja? Mungkin kibaran bendera itu tidak semeriah hebatnya bendera parti politik menjelang pilihan raya umum (PRU) atau pilihan raya kecil (PRK). Jika pada PRU atau PRK, kita dapat melihat bendera parti politik berkibar megah sehingga di puncak bukit atau di pucuk pokok tetapi kibaran Jalur Gemilang mungkin tidak sehebat itu.
Walaupun tidak sehebat semasa pilihan raya, sekurang-kurangnya masih ada yang bersedia mengibarkan Jalur Gemilang. Ada juga yang memperkecilkan Jalur Gemilang ini dengan nama yang memalukan. Ada juga Jalur Gemilang yang dimamah usia, koyak rabak dan lusuh. Adakah tidak mampu untuk membeli?
Berapa banyak syarikat yang menyumbang bendera secara percuma? Dalam hal ini, saya tertarik dengan kempen pembelian petrol anjuran Petronas. Setiap petrol yang disi bernilai RM20 akan mendapat cop di dalam satu kad penyertaan. Kad yang lengkap dengan 10 cop (bermakna RM200) akan mendapat sekaki payung yang boleh ditukar di mana-mana Kedai Mesra.
Malangnya banyak rungutan yang didengar. Sejak awal lagi, saya sudah menduga perkara ini akan berlaku. Tempoh pengumpulan cop bermula pada 20 Julai hingga 15 September manakala penebusan sehingga 30 September 2014 atau stok masih ada. Apabila ‘diikat’ sehingga stok masih ada, maka pihak berkenaan boleh menghentikan tawaran itu pada bila-bila masa. Rungutan yang diterima, setiap kali mahu ditukar, petugas akan berkata, stok sudah habis, esok pagi ada; pagi tadi sampai tapi sekarang sudah habis; boleh tukar di mana-mana stesen dan macam-macam lagi. Ada juga yang memberitahu, seorang petugas melekatkan ayat ini di bajunya: Jangan tanya saya pasal payung, stress.Ada rakan memberitahu, beliau sudah lengkap 10 kad tetapi sekaki payung pun tidak dapat. Mungkinkah jumlah payung terhad disebabkan kos tinggi. Ada juga yang berkata, tawaran itu hanyalah gimik. Sepatutnya stok sentiasa ada, mengikut jumlah kad. Jika satu juta kad dikeluarkan, biarlah satu juta kaki payung tersedia. Biarlah setiap pemilik kad yang lengkap memperolehnya.
Sebenarnya, bukanlah pengguna kemaruk dengan payung tetapi apabila barang percuma di depan mata, ambil sajalah. Jika tidak ada tawaran itu pun, pengguna tetap mengisi petrol. Eloklah sebagai menghargai setiap pelanggan yang setia, Petronas menyediakan `hadiah’ yang benar-benar mencukupi. Mungkin sediakan Jalur Gemilang yang kosnya lebih murah supaya setiap pelanggan memperolehnya. Seperkara lagi, cuba selak balik apakah ganjaran yang diberikan oleh syarikat yang menjual petrol jenama lain. Amat malang, khidmat mesra bertukar tidak mesra hanya kerana sekaki payung, lebih-lebih lagi pada hari hujan.
BANGSA YANG MENUMPANG
SEMALAM, berlangsung lagi beberapa Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian di seluruh negara. Salah satu ucapan yang menarik perhatian ialah yang disampaikan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Mohamad Hasan. Dalam ucapannya di Paroi, Menteri Besar itu berkata, perjuangan UMNO yang dibanggakan selama ini akan menemui noktah menyedihkan sekiranya kuasa politik Melayu lenyap dalam PRU akan datang. Beliau menjelaskan, krisis perpecahan Melayu yang hanya disebabkan perbezaan ideologi politik bukan sahaja merugikan bangsa sendiri bahkan dijadikan sebagai ‘peluru’ besar yang menguntungkan musuh politik. Kebimbangan itu kata beliau, mempunyai asas kerana pelbagai usaha sedang dilakukan oleh pakatan pembangkang menerusi fitnah, tohmahan dan paling dibimbanginya usaha memasukkan Singapura ke dalam negara ini.
Berhubung perkara yang sama, Selak tertarik dengan petikan kata-kata oleh Prof. Datuk Dr. Zulkifli Mohammad. Tidak pasti sama ada itu kata-kata itu benar atau sebaliknya. Begini bunyinya: Kalau bangsa Melayu tidak menyedari hakikat perjuangan, dalam masa yang tidak lama lagi, bangsa Melayu akan tenggelam dalam gelombang bangsa yang menumpang. Terserah kepada orang Melayu untuk membuat penilaian. Bukanlah tujuan untuk membangkitkan sesuatu yang dianggap rasis tetapi sekadar untuk mengingatkan tentang sesuatu yang harus diperjuangkan oleh orang Melayu demi agama, bangsa dan tanah air.
Selak juga ingin berkongsi lagu Tanah Melayu Tanah Airku, lagu lama yang muncul dalam facebook. Walaupun Tanah Melayu sudah hilang, tetapi mengambil semangat merdeka ini, elok diturunkan antara bait-bait lagu itu iaitu Aduhai bangsa Melayu, bangunlah kawan-kawanku, marilah bersama-sama, kita bela Tanah Melayu, aduhai bangsa Melayu, bangunlah kawan-kawan ku. marilah bersama-sama kita bela Tanah Melayu, lautnya biru terhampar, pasirnya putih memanjang, Semenajnung Tanah Melayu, memang indah dipandang, siapa yang tak kasih sayang, siapa yang tak rindu dendam, Semenanjung Tanah Melayu, tanah tumpah darahku, itulah kawan-kawanku, marilah kita bersatu. berkerja, sama berdoa, agar Tanah Melayu jaya.
Selamat menyambut Hari Kemerdekaan Ke-57.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140825/re_03/Perkabungan-Jalur-Gemilang-Melayu#ixzz3BNnMCqE0  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Advertisements

Wajib menghormati simbol negara

Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my
SEBAHAGIAN daripada 500 pelajar Sekolah Kebangsaan Laksamana, Kuching, Sarawak mengibarkan Jalur Gemilang dalam satu majlis yang diadakan di sekolah itu. – GAMBAR HIASAN
SEBAHAGIAN daripada kita sudah pasti masih ingat perbuatan biadab beberapa aktivis propembangkang yang cuba menukar Jalur Gemilang dengan bendera Sang Saka Malaya.
Mereka dengan bangganya mengibarkan bendera yang menyerupai bendera Indonesia dan Singapura pada malam sambutan hari kemerdekaan di Dataran Merdeka selama dua tahun berturut-turut pada 2012 dan 2013.
Antara alasan yang diberikan oleh kumpulan berkenaan untuk bertindak sedemikian adalah kerana Jalur Gemilang cukup sinonim dengan Barisan Nasional (BN) yang telah memerintah negara sejak merdeka.
Oleh itu, bukan sahaja kerajaan yang perlu ditukar, malah ia juga harus melibatkan bendera walaupun pada hakikatnya Jalur Gemilang telah dipilih majoriti rakyat menerusi satu pertandingan.
Cukup menyedihkan, perbuatan kumpulan terbabit yang mengguris hati banyak pihak terlepas daripada hukuman walaupun terdapat peruntukan di bawah Akta Hasutan 1948 dan Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 yang boleh digunakan.
Ekoran itu, perlakuan menghina simbol negara terus menjadi-jadi termasuk perbuatan kira-kira 100 pelajar Malaysia di Taiwan berpakaian serba hitam sambil memegang Jalur Gemilang dalam keadaan terbalik.
Apabila kita menghina Jalur Gemilang, ia bererti kita memperlekehkan maksud tersirat yang terdapat pada bendera berkenaan seperti warna biru yang melambangkan perpaduan rakyat, bulan sabit sebagai tanda Islam agama rasmi dan warna kuning yang melambangkan raja-raja Melayu.
Sebenarnya, bukan sahaja bendera diperlekehkan, malah ia telah merebak untuk mencaci Malaysia, kaum Melayu, orang Islam dan agama Islam semata-mata kerana marahkan UMNO dan BN.
Perkara itu didedahkan oleh pengendali Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin dalam artikel yang dimuat naik dalam portal berkenaan pada 23 Jun lalu.
Hasil pemantauan beliau terhadap komen-komen dan bahan-bahan yang dimuat naik dalam Facebook serta Twitter mendapati jurang antara kaum dan agama kini semakin melebar sehingga ke tahap melampaui batas.
Menurutnya, rakyat Malaysia kini seolah-olah tidak lagi kisah apa yang keluar dari mulut mereka dan sama ada apa yang diperkatakan itu menyinggung atau melukakan perasaan orang lain.
Penganalisis politik dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Datuk Dr. Zainal Kling yang diminta mengulas pandangan Raja Petra itu berkata, apa yang didedahkan bukanlah sesuatu yang baharu kerana komen sedemikian sudah lama berlegar di ruang siber.
Beliau melihat fenomena itu semakin ketara setelah DAP memenangi banyak kerusi di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam beberapa siri pilihan raya sebelum ini termasuk berjaya memerintah Pulau Pinang.
“Bagi saya komen-komen yang memburukkan negara, raja, agama Islam dan mengaitkan Malaysia sebagai kerajaan Melayu merupakan agenda tersusun pihak-pihak berkenaan bagi memburukkan BN.
“Yang cukup menyedihkan, terdapat juga segelintir orang Melayu yang terlibat sama dalam perbuatan memburuk-burukkan negara,” ujarnya kepada Utusan Malaysia.
Beliau menegaskan, tragedi 13 Mei tidak akan berulang jika kerajaan dapat bertindak terhadap pihak-pihak yang jelas sekali cuba menghasut dan mencetuskan huru-hara.
“Saya melihat pertubuhan Melayu seperti Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mempunyai tahap kesabaran yang tinggi sehingga tidak melakukan tindak balas yang akan mencetuskan huru-hara.
Pertubuhan-pertubuhan Melayu ini masih meletak harapan kepada kerajaan untuk bertindak termasuk melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
“Harapan ini tidak harus disia-siakan. Pihak kerajaan tidak boleh menjadikan faktor Facebook dan Twitter dikendali syarikat asing sebagai alasan untuk tidak menyekat komen-komen sedemikian.
“Walaupun tidak mendapat kerjasama syarikat yang mengurus laman sosial terbabit, kerajaan masih boleh mendapat perintah mahkamah supaya individu terbabit menarik balik komen-komen mereka yang menghina negara,” katanya.
Mengulas isu sama, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. P. Sivamurugan yakin 13 Mei versi kedua seperti yang diramalkan itu tidak akan berlaku kerana semakin ramai yang mula sedar bahawa komen-komen bercorak sedemikian tidak baik untuk perpaduan kaum.
“Pengguna Internet sudah semakin matang dan saya dapati ramai di kalangan mereka yang tidak bersetuju dengan komen-komen yang menghina orang Melayu, raja dan Islam,” katanya.
Kepada segelintir yang masih tidak mahu menggunakan Internet dengan berhemah, beliau bagaimanapun berharap kerajaan agar mengenal pasti dan mengambil tindakan terhadap mereka.
Dalam pada itu, Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, secara peribadi sebagai rakyat Malaysia dan presiden pertubuhan itu, beliau berharap tragedi berkenaan tidak berulang.
Beliau berkata, terdapat tiga faktor yang akan menentukan sama ada tragedi berkenaan akan berulang atau tidak.
Pertamanya, kerajaan tegas dalam mengurus perkara-perkara yang berkaitan dengan undang-undang dan keselamatan.
Kedua, jika rakyat termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif dan lantang, masih lagi dapat mengawal keadaan dan diri bagi mengelak detik hitam itu daripada berulang.
Bagaimanapun, jelasnya, terdapat faktor ketiga yang dibimbangi boleh mencetuskan huru-hara iaitu ‘nila setitik yang merosakkan susu sebelanga’.
Beliau menarik perhatian keadaan huru-hara yang tercetus di Mesir dan Tunisia semasa Arab Spring, gara-gara provokasi seorang dua yang terlibat dalam perhimpunan haram.
“Perkasa insya-Allah tetap (inginkan keamanan). Selagi mana saya masih menjadi Presiden, saya seboleh mungkin akan mengawal ahli-ahli agar tidak termakan provokasi yang boleh mencetuskan anarki,” katanya.



Setuju lucut kerakyatan



KUALA LUMPUR 18 Dis. – Ahli-ahli Dewan Negara hari ini bersetuju agar kerajaan melucutkan taraf kewarganegaraan mana-mana pihak yang menghina Jalur Gemilang termasuk dengan mengibarkan bendera Sang Saka Malaya.

Senator Muhammad Olian Abdullah (gambar) ketika mencadangkan hukuman keras tersebut berkata, perbuatan menghina bendera negara adalah kesalahan serius dan tidak boleh dimaafkan kerana Jalur Gemilang merupakan lambang kedaulatan negara.

Katanya, motif kumpulan tertentu yang berulang kali mengibarkan bendera Sang Saka Malaya termasuk pada malam sambutan ulang tahun kemerdekaan negara yang lalu jelas bertujuan mahu mencetuskan suasana perpecahan dalam kalangan rakyat.

“Motif jahatnya kita semua tahu, jadi setujukah mereka ini kita lucutkan kewarganegaraan,” katanya ketika mencelah semasa Senator Datuk Noriah Manaf membahaskan Rang Undang-undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2013 dalam sidang Dewan Negara hari ini.

Cadangan itu kemudian mendapat sokongan Noriah yang berpendapat perbuatan mengibarkan bendera Sang Saka Malaya adalah bertujuan mahu mengembalikan semula sejarah hitam negara sedangkan dunia sudah mengiktiraf Jalur Gemilang.

Bagaimanapun, Senator Syed Husin Ali yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat ketika sesi perbahasan sebelum dewan berhenti rehat dilihat cuba mempertahan perbuatan pihak yang mengibarkan Sang Saka Malaya apabila berkata, tindakan tersebut hanya lontaran idea daripada rakyat.

“Kita kena hormati hak bersuara setiap rakyat termasuk dalam soal memberi pandangan dalam perkara Sang Saka Malaya kerana bendera ini berkait dengan sejarah kemerdekaan negara,” katanya sebelum tercetus sedikit perdebatan dalam kalangan ahli dewan.

YANG INI AKU SOKONG 100%… BAGAIMANA PULA DENGAN PENGKHIANAT YANG MEMPERSOALKAN DAN MEMPERSENDAKAN PERLEMBAGAAN NEGARA???

JALUR GEMILANG – Malaysiaku Berdaulat Tanah Tumpahnya Darahku

Berlambak ‘bendera’ semasa PRU, susah sangat Jalur Gemilang setahun sekali

DUA belas hari lagi, Malaysia akan meraikan sambutan Hari Kemerdekaan ke-56 yang bertemakan Malaysiaku Berdaulat Tanah Tumpahnya Darahku. Sambutan kali ini berlangsung dalam suasana umat Islam masih meraikan Hari Raya Aidilfitri, hari ke-24 dalam bulan Syawal. Adakah kemeriahan Aidilfitri akan menenggelamkan semangat mengingati sambutan kemerdekaan negara? Setiap kali menjelang kemerdekaan, kerajaan akan mengadakan program untuk menggalakkan rakyat mengibarkan bendera kita, Jalur Gemilang. Kenapa rakyat perlu diperingatkan tentang kibaran bendera setiap kali negara mahu menyambut Hari Kemerdekaan?
 Tentulah, kebanyakan orang sering lupa untuk mengibarkan bendera ini. Cuba lihat sekeliling. Lihat rumah anda sendiri, rumah jiran, bangunan pejabat, kediaman, bangunan perniagaan termasuk hotel, kenderaan sama ada lori, kereta, bas, teksi atau motosikal. Bolehkah anda melihat sehelai kain berjalur merah putih berkibar megah di bangunan atau kenderaan? Jika ada, bagus tetapi bagaimana kalau tidak ada? Suasana tentu berubah jika setiap bangunan kediaman, pejabat serta kenderaan awam dan persendirian mengibarkan bendera. Bayangkan jika 1.4 juta kakitangan awam memasang Jalur Gemilang. Khabarnya, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman telah meminta penjawat awam memasang Jalur Gemilang di kenderaan masing-masing sebagai lambang semangat cintakan negara.
Langkah itu menurut beliau sebagai penghargaan kepada kerajaan yang sering menambah baik sektor perkhidmatan awam melalui pelbagai inisiatif dan insentif.
Kata Omar: “Saya selalu dapat aduan menyatakan penjawat awam kalau hal hendak naik gaji, bonus atau elaun semua bersemangat tapi bila hendak meriahkan sambutan hari kemerdekaan setahun sekali pasang bendera susah. Baru-baru ini kerajaan dah bagi bonus RM500 untuk penjawat awam dan RM250 untuk pesara, takkan hendak beli bendera sebatang pun tak boleh,’’
Benar kata Omar. Bukan senang untuk membeli sebatang bendera. Kalau boleh hendak percuma. Menjelang hari raya, orang ramai boleh berbelanja besar untuk menghias rumah dengan lampu hiasan berwarna warni atau pelita minyak tanah. Mereka mampu berbelanja untuk membeli kain berwarna warni bagi menggantikan langsir yang masih elok. Begitu juga dengan alas meja. Alangkah eloknya menjelang hari raya lalu, keghairahan membeli-belah itu memasukkan juga senarai membeli Jalur Gemilang. Bagaimanapun ada juga pemimpin yang mengambil kesempatan mengedarkan Jalur Gemilang semasa rumah terbuka Aidilfitri seperti ditunjukkan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Ismail Sabri Yaakob di kawasan Parlimennya, Bera.
Apalah ada pada Jalur Gemilang? Memang benar, ramai yang tidak tahu nilai secebis kain berjalur merah putih itu. Jalur Gemilang bukan sekadar sehelai kain berwarna dan bercorak yang dinamakan bendera, tetapi lambang kedaulatan dan identiti negara. Seperti kata Perdana Menteri, Najib Tun Razak, mengibarkan Jalur Gemilang dengan pengertian sepenuhnya menunjukkan semangat patriotik serta melambangkan kedaulatan dan jati diri negara. Janganlah kita mengibar bendera kebanggaan negara sejak 1950 itu sebagai ikut-ikutan. Kibarlah bendera dengan rasa megah bahawa bendera adalah identiti jati diri rakyat, lambang rakyat Malaysia yang bersyukur atas kejayaan negara.
Bendera amat bermakna kepada sesebuah negara. Cuba selak kembali, apakah reaksi kita apabila Jalur Gemilang dibakar oleh penunjuk perasaan yang tidak berpuas hati terhadap negara? Selak juga tindakan penunjuk perasaan di mana-mana sahaja di dunia yang akan memijak, mengoyak atau membakar bendera sebagai tanda protes. Kenapa mereka melepaskan geram kepada bendera? Jika bendera tidak ada nilainya, sudah tentu tindakan pijak dan bakar tidak memberi sebarang kesan.
Malang sekali, di negara kita, ada pihak yang cuba memperkecilkan Jalur Gemilang ini. Disebabkan politik kepartian, Jalur Gemilang diperlekehkan. Sejarah negara telah mencatatkan peristiwa memperkecilkan bendera ini. Selak teringat pada tahun 2011 bagaimana ketika itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Kota Alam Shah, M. Manoharan mahu Jalur Gemilang ditukar kepada bendera baru jika mereka memerintah. Beliau memperkecilkan bendera Malaysia kononnya ia ditiru daripada bendera Amerika Syarikat dan terlalu melambangkan Barisan Nasional (BN). Dia dilaporkan enggan mengibarkan bendera kebangsaan itu sebaliknya mengedarkan bendera DAP di kawasannya.
Tahun lalu, timbul pula isu berkibarnya bendera yang dinamakan Sang Saka Malaya yang diadaptasi daripada bendera Indonesia dan Singapura. Bendera itu dikibar di beberapa lokasi di Shah Alam, Selangor serta pada Himpunan Janji Bersih di Dataran Merdeka. Bendera ini juga didakwa akan menggantikan Jalur Gemilang jika pembangkang berkuasa. Begitulah nasib Jalur Gemilang, bendera kebanggaan kita. Sepatutnya parti-parti politik turut memainkan peranan untuk menggalakkan rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman politik turut sama mengibarkan Jalur Gemilang. Semangat mengibarkan bendera menjelang pilihan raya umum (PRU) perlu dihidupkan dalam suasana menyambut kemerdekaan ini. 
Lihat sahaja semasa kempen PRU lalu, bermacam-macam saiz bendera parti politik dapat dilihat. Lebih hebat, ada bendera parti yang dijulang sehingga ke pucuk pokok, di lereng bukit dan pelbagai lagi yang menampakkan kesungguhan untuk menonjolkan simbol parti masing-masing.
Eloklah dalam suasana menyambut kemerdekaan ini, parti-parti politik turut mempunyai semangat yang sama iaitu di samping membekalkan bendera, kali ini Jalur Gemilang, pasanglah seberapa banyak yang mungkin dengan kreativiti masing-masing. Mungkin juga di bawah bendera Malaysia itu, tertera nama parti politik atau lambang parti bersaiz kecil sebagai tanda sumbangan mereka. 
Mungkin Pas yang benderanya boleh kelihatan di sana sini walaupun di luar musim PRU dapat mempelopori langkah ini. Siapa tahu, di setiap kenderaan berkibar Jalur Gemilang beserta lambang bulan yang secara tidak langsung akan mempromosi parti berkenaan. Bukan setakat bendera, pelekat kereta juga boleh dikeluarkan. Berbaki 12 hari lagi, pemasangan Jalur Gemilang diharap dapat disemarakkan lagi. Semoga rakyat Malaysia tidak segan atau malu mengibarkan Jalur Gemilang. Selamat menyambut Hari Kemerdekaan ke-56. Semoga Malaysia, negara tanah tumpah darah kita ini terus bermaruah dan berdaulat.