Cipta budaya baharu, hina Islam

OLEH AQILAH MIOR KAMARULBAID (PENGARANG@UTUSAN.COM.MY) | 21 Oktober 2014 3:37 AM
Othman Mustapha
KUALA LUMPUR 20 Okt. – Penganjuran Kempen ‘Saya Mahu Sentuh Anjing’ dikhuatiri mempunyai agenda terselindung dan secara jelas dilihat seolah-olah cubaan mencipta budaya baharu sekali gus membawa kepada perbuatan menghina Islam.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha berkata, hal ini sekali gus telah menimbulkan keresahan awam khususnya dalam kalangan umat Islam kerana secara jelas bercanggah dengan pegangan mazhab dan adat di negara ini.
Beliau berkata, Mazhab Syafie melarang umat Islam menyentuh anjing secara sengaja kerana ‘menajiskan’ diri tanpa tujuan munasabah adalah haram di sisi Islam.
“Walaupun islam meletakkan kaedah sertu (samak) apabila terkena najis yang dikategorikan sebagai mughallazah, namun kaedah tersebut bukanlah alasan untuk membolehkan seseorang itu memegang najis berkenaan secara sengaja.
“Tindakan tersebut samalah seperti orang yang sengaja melakukan dosa dengan alasan akan bertaubat kemudiannya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas penganjuran kempen ‘Saya Mahu Sentuh Anjing’ di Central Park, Bandar Utama, Petaling Jaya semalam yang dikatakan bagi menepis persepsi negatif orang ramai terutamanya umat Islam terhadap haiwan berkenaan sebagai haiwan peliharaan seperti kucing.
Dalam pada itu, Othman turut menegur pihak penganjur yang mengadakan kempen memegang anjing secara sengaja dan terbuka kepada umum termasuk mereka yang beragama Islam tanpa sebarang sebab yang munasabah.
“Suka Jakim tegaskan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang berpegang kepada Mazhab Syafie sebagai mazhab rasmi. Justeru, peranan Jakim adalah untuk memastikan umat Islam di negara ini mengamalkan syariat yang tidak menyalahi mazhab tersebut,” jelasnya.
Munurut Othman, Islam pada dasarnya tidak memandang keji kepada anjing sebagai salah satu makhluk Allah, apatah lagi untuk menyeksa, memukul dan membunuh haiwan tersebut tanpa sebab yang secara terangan bertentangan dengan ajaran Islam.
“Sebaliknya, anjing wajar diberi kasih sayang. Walau bagaimanapun, Mazhab Syafie tidak membenarkan haiwan tersebut dijadikan binatang peliharaan.
“Dalam perkembangan ini, penganjur kempen tersebut akan dipanggil untuk memberi penjelasan,” katanya.

– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/cipta-budaya-baharu-hina-islam-1.15240#sthash.3Yb0l8l9.dpuf


Advertisements

SOSMA dan ISA; syurga Evangelisme; oh bahasaku!

Zaini Hassan

Benarkah undang-undang menggantikan ISA terlalu lembik?
Benarkah ada banyak kelompongan yang membebankan pihak keselamatan, terutamanya dalam menangani cabaran keganasan, kebencian kaum, sosial, agama yang semakin sofistikated?
Ada yang masih percaya walaupun ISA diwujudkan pada tahun 1960, namun ia masih mampu menangani cabaran semasa.
Jika pun dihapuskan ISA mengapa tidak diperkasakan SOSMA – Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 – sama ada setaraf atau lebih mantap?
Semasa pihak polis dalam proses membuat penahanan demi penahanan kumpulan militan berani mati sekarang, ke mana akhirnya mereka itu akan dihantar?
Jika didapati bersalah kelak, adakah mereka sekadar akan meringkuk dalam penjara?
Apakah ada proses pemulihan (rehabilitation) seperti dalam tahanan ISA dahulu?
Kumpulan militan tegar itu perlukan pemulihan ideologi dan psikologi serta akidah – bukannya diperap dalam penjara semata-mata.
Pihak Peguam Negara harus mengkaji lagi hal ini. Rujuk dengan pihak polis yang sudah mempunyai pengalaman berpuluh-puluh tahun.
Dalam masa yang sama, apakah SOSMA ini setaraf ISA yang sepatutnya menjadi instrumen bagi mempertahankan Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan?
Perkara 149 adalah perundangan bagi menentang perbuatan subversif, tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam:
(a) untuk menyebabkan keganasan terancang terhadap orang atau harta, atau untuk menyebabkan sebilangan besar warganegara takut akan keganasan itu; atau
(b) untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana Kerajaan di dalam Persekutuan; atau
(c) untuk menggalakkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum yang berlainan atau golongan penduduk yang berlainan yang mungkin menyebabkan keganasan; atau
(d) untuk mendapatkan perubahan, selain dengan cara yang sah, apa-apa jua yang ditetapkan melalui undang-undang; atau
(e) yang memudaratkan penyenggaraan atau perjalanan apa-apa bekalan atau perkhidmatan kepada orang awam atau mana-mana golongan orang awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya; atau
(f) yang memudaratkan ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, atau yang memudaratkan keselamatannya.
Persoalannya adakah SOSMA yang diwujudkan itu berperanan sama seperti ISA sebagai instrumen kepada Perkara 149 itu? Adakah SOSMA dan Perkara 149 berjalan seiring?
Jika tidak, adakah pemansuhan ISA itu sah?

Saya difahamkan ada pihak yang akan mencabar isu pemansuhan ISA itu ke mahkamah.

Benarkah? Siapakah mereka itu? Kita tunggu dan lihat.

BENARKAH Malaysia ialah syurga aktiviti ‘evangelist’ Kristian?

Saya menerima satu dokumen penyelidikan daripada seorang sahabat, bukan berbangsa Melayu, tetapi seorang Mat Salleh yang sudah menganut agama Islam. Biar saya rahsiakan identitinya.
Dia bekas pensyarah universiti dan seorang scholar atau sarjana yang tidak putus-putus menyelidik, membaca, menulis, melukis. Beliau ialah seorang Mat Salleh yang tipikal dan hidup dengan penuh kasih sayang bersama isterinya di sore hari.
Dia memberi penyelidikannya kepada saya untuk dibaca. Saya merasakan menjadi tanggungjawab saya untuk menulis di sini. Kerana penemuannya cukup memeranjatkan.
Aktiviti oleh aktivis evangelist Kristian ini umpama anai-anai yang memakan kayu secara senyap-senyap sehingga meranapkan keseluruhan rumah – atau dalam konteks ini meranapkan akidah orang Islam dan institusi itu sendiri.
Beliau menulis: Di antara kebanjiran pelancong beragama Kristian yang melawat negara ini, satu kumpulan cukup menarik perhatian: peserta persidangan. Sejak 2000, lebih 100 persidangan Kristian antarabangsa telah diadakan di Malaysia. (Beliau turut menyenaraikan satu-persatu daripada beratus persidangan itu).
Persidangan itu mewakili seluruh spektrum pergerakan evangelikal global daripada yang berhaluan karismatik radikal kepada gereja-gereja arus perdana tradisional dan individu kecil-kecilan, daripada pelbagai negara.
Banyak daripada persidangan ini dalam jumlah yang sederhana, namun ada antaranya yang besar – Perhimpunan WEF General Assembly 2001, misalnya, telah membawa lebih 600 pemimpin pendakwah Kristian dari 108 negara, dan 2013 World Pentecostal Conference telah mengumpulkan sebanyak 3,500 ahli.
Jadi amat mudah disebut, sejak 2000, lebih 10,000 aktivis Kristian telah datang ke Malaysia untuk tujuan yang besar iaitu menghadiri persidangan Kristian.
Untuk peserta persidangan (conference goers) ini, tujuannya hanyalah untuk berdakwah dan Malaysia ialah destinasi pilihan untuk tujuan keagamaan!
Beliau memetik satu carian internet (daripada banyak lagi): http://www.necf.org.my/newsmaster.cfm?&menuid=43&action=view&retrieveid=1344 berbunyi:
Malaysia… bukan sahaja sebuah makmal bagi pemuda-pemudi Barat merasai pertukaran-budaya Kristian (evangelizing). Malaysia juga pusat latihan dan sebagai sumber ‘pertukaran-budaya evangelist’ untuk seluruh dunia. David Demian, pengasas Watchmen for the Nations, berkata begini kepada peserta di KL:
“Malaysia adalah jambatan dalam menyediakan kemudahan bagi Gospel pulang semula ke Asia Barat berdasarkan negara ini yang pelbagai-budaya dan komposisi agama… Dalam permainan catur, walaupun peranan buah itu tidak penting ia harus digerakkan untuk menentukan (trigger) pergerakan yang lain. Jika Malaysia tidak bergerak, seluruh permainan akan terhenti.”
Dokumen lengkap ini akan dimuat naik dalam bentuk pdf untuk bacaan umum tidak lama lagi.

Wahai umat Islam sekelian, bangkitlah dan bersatulah, sebelum kita diubah…

SEMASA menaip kolum ini menggunakan Blackberry, telefon itu tidak putus-putus bergema. Kumpulan-kumpulan whatsapp saya cukup-cukup aktif.
Salah satu kumpulan itu ialah Penasihat GPMS. Kebetu­lan saya juga salah seorang ahli kumpulan itu.
Berikut petikan perbincang­an itu yang saya mahu kongsikan dengan pembaca sekelian. Panjang sebenarnya, tapi saya pendekkan.
Sebenarnya soal perbahasan mengenai bahasa Melayu ini tak habis-habis lagi diperbincangkan. Mengapa ya? Apakah lemah sangat mutu bahasa Melayu ini? Atau mulai dipinggirkan? Sudah tidak dihormati? Atau sudah hilang daya saing?

Renung-renungkanlah…

SASTERAWAN NEGARA, Usman Awang tamat sekolah Melayu darjah 6; menulis dalam bahasa Melayu; karya dalam bahasa Melayunya diterjemahkan hampir dalam 10 bahasa.
Novel Salina ditulis oleh Samad Said dalam bahasa Melayu; turut diterjemahkan dalam 10 bahasa.
Paulo Coelho; menghasilkan pelbagai karya dalam bahasa Portugis. Novel tersohornya The Alchemist diterjemahkan ke dalam 67 bahasa mencapai jualan sekitar 150 juta naskhah seluruh dunia.
Kawan saya Mr. Katano cakap orang Melayu kurang berjaya sebab bila ada satu ilmu moden seperti kejuruteraan mahu disampaikan, maka orang Melayu majoriti tidak faham. Sebab Melayu yang tahu ilmu tersebut hanya boleh sampaikan dalam bahasa Inggeris kerana belajar di England.
Manakala orang Jepun yang pergi belajar di Jerman dan Amerika, apabila pulang mereka mengajar ilmu yang dipelajari dalam bahasa Jepun, maka majoriti orang Jepun fahamlah.
Kita sibuk bahasa Inggeris, bahasa Melayu mahu dicampak ke mana?
Bimbang, bahasa Melayunya tidak mencecah bumi; bahasa asingnya tak sampai ke langit.
Saya sokong sepenuhnya memartabatkan bahasa Melayu. Kepada orang Melayu yang kurang fasih bercakap atau menulis bahasa Melayu kena belajar lagi. Kita mesti tunjukkan kepada orang bukan Melayu bahawa orang Melayu pun kena mencuba dan terus belajar menguasai Melayu. Jangan marah kalau terasa. Nanti kena jual.
Tidak salah belajar bahasa, jangan taksub dengan budaya mereka. Pejuang bahasa Melayu pun rata-rata Inggeris mereka hebat. Masalah kita adalah mengamalkan budaya mereka lebih daripada belajar bahasa.
Isu bahasa akan terus berlarutan lama lagi, selagi sistem pendidikan negara masih ada pelbagai cabang. Masing-masing kaum di Malaysia mengakui bahasa mereka lebih baik.
Mereka mendakwa, bahasa Cina dan India ditutur oleh berbilion orang. Siapa lebih hebat? Aduhai…

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140507/re_06/SOSMA-dan-ISA-syurga-Evangelisme-oh-bahasaku#ixzz31BZhxp1m  © Utusan Melayu (M) Bhd

Khutbah Jakim sentuh kejadian MH370, cuaca jerebu

KUALA LUMPUR 14 Mac – Kejadian kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dan keadaan cuaca berjerebu yang melanda beberapa kawasan di negara ini menjadi isi khutbah Jumaat dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini.
Khutbah bertajuk Hikmah di Sebalik Ujian Allah itu mengingatkan semua pihak supaya bertenang dan tidak memanipulasikan kejadian kehilangan pesawat MH370 dengan menyebarkan berita-berita palsu menerusi pelbagai medium termasuk internet.
Menurut Jakim, umat Islam yang bertakwa kepada Allah dan percaya kepada hari akhirat hendaklah menjaga akhlak serta adab-adab ketika berbicara bagi menjaga perasaan keluarga mangsa kejadian berkenaan.
Jabatan itu turut menyeru masjid dan surau di seluruh negara agar terus mengadakan solat hajat dan berdoa kepada Allah SWT memohon misteri kehilangan pesawat berkenaan dapat diselesaikan segera.
“Marilah kita sama-sama bermuafakat untuk membantu menenangkan hati dan perasaan keluarga mangsa yang terlibat. Sebagai seorang muslim yang prihatin dan beriman serta kepada seluruh masjid dan surau dalam negara ini, marilah sama-sama kita menunaikan solat hajat dan berdoa kepada Allah SWT agar segala kemelut ini dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin,” seru Jakim.
Khutbah Jumaat berkenaan turut dibacakan di Masjid Negara, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Masjid Putra, Putrajaya dan disiarkan secara langsung menerusi saluran TV1 Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Jelas Jakim, kehidupan di dunia merupakan satu ujian daripada Allah SWT melalui pelbagai bentuk sama ada kesenangan, kebahagiaan, kesedihan dan malapetaka yang menimpa diri sendiri, kaum keluarga, masyarakat atau negara.
Khutbah itu mengimbas sejarah Nabi Ayub AS yang banyak menerima ujian dalam hidupnya seperti kehilangan anak kesayangan, kehabisan harta, menghidap penyakit dan dijauhi kaum kerabat serta isterinya sendiri.
Namun jelas Jakim, Nabi Ayub AS menghadapi ujian-ujian tersebut dengan penuh kesabaran dan berkeyakinan bahawa semua ketentuan Allah SWT mengandungi pelbagai hikmah di sebaliknya.
“Ketahuilah bahawa setiap ujian yang menimpa manusia mempunyai beberapa pengajaran berbeza. Bagi mereka yang beriman, maka ujian ditimpakan merupakan satu iktibar dan merupakan satu peringatan dalam bentuk kasih sayang dari Allah SWT agar mereka kembali pada jalan-Nya.
“Yang penting kita harus sabar menghadapinya. Ujian yang diturunkan Allah SWT kepada kita, pasti sudah ditetapkan dengan penuh keadilan. Tak mungkin ujian yang menimpa itu, melampaui batas kemampuan kita kerana Allah tidak pernah menzalimi hamba-Nya,” jelas Jakim.
Dalam pada itu, Jakim turut mengambil kesempatan menerusi khutbah Jumaat berkenaan untuk menyeru orang ramai supaya sama-sama mengambil peranan bagi memastikan keadaan berjerebu yang melanda negara pada masa ini tidak berpanjangan.
Menurut Jakim, beberapa langkah boleh diambil iaitu mematuhi amaran dan nasihat pihak berwajib dalam menangani masalah jerebu, mengurangkan aktiviti luar yang dapat menjejaskan kesihatan dan kehidupan serta mengawal pencemaran udara seperti melakukan pembakaran terbuka.
“Di samping itu kita perlu memastikan minum air bersih lebih banyak daripada biasa dan kerap membersihkan diri selain memakai alat perlindungan pernafasan apabila berada di luar rumah,” katanya.
Khutbah itu diakhiri dengan meminta semua pihak supaya mengambil iktibar dengan yakin bahawa setiap ujian merupakan tanda kasih Allah SWT pada hamba-Nya dan sentiasa optimistik bahawa boleh menyelesaikan setiap ujian hidup diberikan.
“Hadapilah ujian hidup dengan usaha dan doa. Apa-apa pun perkara yang menimpa kita, Insya-Allah ia akan menjadi kebaikan kalau dihadapi dengan sikap positif, optimistik, ikhtiar yang maksimum serta diikuti dengan doa,” jelas Jakim.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140315/dn_05/Khutbah-Jakim-sentuh-kejadian-MH370-cuaca-jerebu#ixzz2wB7HVS1Z  © Utusan Melayu (M) Bhd