POLITIK : Saifuddin umum sertai PKR

16 Oktober 2015 1:20 AM
PETALING JAYA 15 Okt. – Ura-ura mengatakan Datuk Seri Saifuddin Abdullah bakal bertukar parti menjadi realiti, apabila bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu secara rasmi mengesahkan penyertaan beliau dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini.
Saifuddin
Pengumuman itu dibuat Penasihat PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dalam sidang media di ibu pejabat parti itu di sini.
“Kami mengalu-alukan penyertaan beliau (Saifuddin)…penyertaannya bertepatan dengan strategi Keadilan untuk memberi fokus kepada isu-isu masyarakat Melayu dan Bumiputera agar kebajikan mereka terbela,” katanya.
Turut hadir Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali serta pemimpin-pemimpin tertinggi parti itu.
Dalam sidang media sama, Saifuddin yang juga bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi berkata, keputusannya didorong oleh kemahuan untuk melihat perubahan dalam arena politik negara.
“Saya sudah berfikir panjang lebar sebelum membuat keputusan.
“Saya mahu membina negara ini melalui pembaharuan institusi…ia tidak dibincangkan secara komprehensif dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN)…maka sudah sampai masa saya rasakan saya tidak lagi serasi dengan UMNO dan BN,” katanya.
Saifuddin sebelum ini dikatakan bakal menyertai PKR apabila beliau menghadiri Sidang Meja Bulat Pakatan 2.0 yang diadakan untuk memuktamadkan pembentukan pakatan pembangkang yang baharu. 
– BERNAMA
Advertisements

Siasat dakwaan DEIG mohon pinjam RM500j

ABDUL YAZID ALIAS | 22 September 2015 1:38 AM
SHAH ALAM 21 Sept. – Jawatankuasa Pilihan Agen­si, Badan Berkanun dan Anak Syarikat (JP-ABAS) Se­langor digesa memanggil Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali supaya memberikan jawapan sebenar me­ngenai dakwaan konon­nya Darul Ehsan Investment Group (DEIG) telah memohon cada­ngan pinjaman daripada tiga buah bank berjumlah RM500 juta.
BUDIMAN MOHD. ZOHDI
Setiausaha Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Selangor, Budiman Mohd. Zohdi berkata, tindakan sedemikian harus dilakukan bagi memastikan kesahihannya kerana cadangan pinjaman tersebut dikatakan bertujuan dijadikan modal kerja anak syarikat milik Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) itu.
Katanya, berdasarkan laporan sebuah portal, http://www.malaysia-today.net pada 8 September lalu, difahamkan sebuah bank telah mengeluarkan surat tawaran pinjaman kepada DEIG yang mana jika benar, berkemungkinan digunakan oleh syarikat itu untuk menampung operasinya.
“Kita melihat dakwaan ini satu perkara yang serius yang perlu disusuli dengan tindakan segera oleh JP-ABAS. Maka, untuk memastikan kesahihannya, jawatankuasa berkenaan perlu memanggil Menteri Besar termasuk pengurusan DEIG untuk memberikan keterangan yang sebenarnya di sebalik dakwaan ini.
“Kita tidak mahu perkara ini terus menjadi polemik lebih-le­bih lagi kemungkinan wujudnya unsur-unsur penipuan di sebalik penubuhan DEIG,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Budiman yang juga ADUN Sungai Panjang menambah, sekiranya dakwaan portal itu benar, maka tindakan tersebut dilihat bercanggah sama sekali dengan kenyataan yang dibuat oleh Mohamed Azmin pada 18 Ogos lalu semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menyatakan DEIG dari segi struktur modal tidak akan membuat sebarang pinjaman, tidak memiliki aset dan hanya akan beroperasi pada suku pertama tahun depan.
“Jika kita berpegang kepada kenyataan Menteri Besar ketika sesi DUN lalu, maka DEIG masih belum beroperasi dan tidak mempunyai aktiviti setakat ini. Namun, mengapa pula syarikat ini dikaitkan dengan dakwaan memohon pinjaman untuk modal kerja melibatkan jumlah kira-kira RM500 juta?
“Kita melihat seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena dalam soal ini. Maka sebab itu, kita gesa Menteri Besar tidak terus-menerus mengambil sikap berdiam diri, rakyat Selangor ingin tahu perkara yang sebenarnya,” tegas beliau.
Sementara itu, usaha untuk mendapatkan penjelasan daripada Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi DEIG, Soffan Affendi Aminudin gagal apabila beliau tidak membalas soalan menerusi aplikasi WhatsApp.

1MDB : Nurul Izzah disiasat ekoran pengakuan Justo

18 September 2015 1:57 AM
Nurul Izzah Anwar
KUALA LUMPUR 17 Sept. – Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan Naib Presi­den PKR, Nurul Izzah Anwar kini disiasat mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan kerana melakukan aktiviti yang boleh memudaratkan demokrasi berparlimen.
Nurul Izzah disiasat berhubung satu pendedahan oleh bekas Ketua Teknologi Maklumat (IT) PetroSaudi International (PetroSaudi), Xavier Andre Justo baru-baru ini yang mendakwa Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berminat membeli data berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dicuri daripada bekas majikannya.
“Ya saya mengesahkan Nurul Izzah disiasat dan pegawai polis memang ada pergi ke pejabatnya,” kata Khalid yang kini berada di Mekah untuk menunaikan ibadat haji melalui aplikasi WhatsApp hari ini.
Sementara itu, dalam sebuah portal propembangkang, peguam Nurul Izzah, Latheefa Koya memberitahu, pihak polis telah mencari Ahli Parlimen Lembah Pantai itu di pejabatnya untuk soal siasat.
Walau bagaimanapun Latheefa mendakwa, Nurul Izzah ketika ini berada di Amerika Syarikat untuk urusan tertentu dan hanya akan pulang pada Isnin depan.
Laporan beberapa akhbar sebelum ini yang memetik butiran siasatan kes membabitkan Justo, termasuk penga­kuan bertulis yang dibuat atas ke­re­laan sendiri mendedahkan Nurul Izzah berminat membeli data mengenai 1MDB yang dicurinya pada tahun 2011.

PKR tidak perlu jaga hati Pas?

15 September 2015 1:31 AM
Azmin Ali
SHAH ALAM 14 Sept. – PKR seolah-olah merasakan mereka tidak perlu menjaga hati sekutunya, Pas apabila memandang mudah polisi untuk ti­dak menerima ahli daripada parti lain dalam pakatan pembangkang.
Timbalan Presidennya, Mohamed Azmin Ali berkata, perkara itu tidak seharusnya diperbesar-besarkan asalkan semua parti dalam pakatan pembangkang mengamalkan sikap hormat-menghormati antara satu sama lain.
“Tidak apalah. Kita hormat-menghormati antara satu sama lain,” jawabnya ringkas ketika ditemui dalam majlis peletakan batu asas projek Hospital Wanita dan Kanak-Kanak di Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), di sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Besar diminta mengulas kekecewaan Dewan Pemuda Pas berhubung tindakan PKR mengkhianati polisi ti­dak menerima ahli daripada parti rakan seperti dipersetujui dalam pakatan pembangkang sebelum ini.
Semalam, Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz memberitahu, tindakan berkenaan dilihat bercanggah dengan pendekatan pihaknya selama ini yang tidak menerima ahli-ahli dan wakil rakyat daripada PKR meskipun terdapat segelintir daripada mereka berminat untuk menyertai Pas sebelum ini.
Kelmarin, Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan Ahli Parlimen Tumpat daripada Pas, Datuk Kamaruddin Jaffar dan bekas Menteri Besar, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib me­nyertai parti berkenaan.

Azmin tidak layak jadi negarawan – Khalid

07 April 2015 2:04 AM
SHAH ALAM 6 April – Bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menganggap penggantinya, Mo­hamed Azmin Ali tidak layak menjadi negarawan kerana masih bermain retorik dan sandiwara politik da­lam isu membabitkan rakyat.
Abdul Khalid berka­ta, sikap Mohamed Az­min itu dapat dilihat dalam isu pembatalan projek Lebuh Raya Kinrara-Damansara (Kidex) baru-baru ini.
Menurutnya, keputusan tersebut ternyata tidak kena dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan khusus­nya dalam Jadual Ke­sembilan yang menetapkan bidang kuasa dan prerogatif bagi kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan sama ada di bawah senarai Persekutuan, negeri atau bersama.
“Berdasarkan jadual tersebut, amat jelas bahawa projek Kidex terletak di bawah bidang kuasa penuh Kerajaan Persekutuan memandang­kan perkara-perkara berkaitan komunikasi, pengangkutan serta kontrak di bawahnya termasuk dalam senarai Persekutuan.
“Hakikatnya, skop dan capaian bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dalam hal-ehwal berkepentingan awam sangat meluas dan hampir mutlak.
“Dalam pembangunan infra­struktur dan kemudahan awam, peranan kerajaan negeri tidak lebih daripada memberi nasihat dan tiada kuasa menolak projek Kerajaan Persekutuan. Malah, walaupun sebarang perkara berkaitan tanah di bawah senarai negeri, perancangan pembangunan bandar dan desa masih tertakluk di bawah senarai bersama,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam masa sama, Abdul Khalid turut meragui serta berasa aneh dengan tindakan kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor membatalkan projek lebuh raya tersebut kerana pembatalan itu tidak membabitkan langsung perjanjian yang ditandatangani antara syarikat konsesi dan Kerajaan Persekutuan pada 16 November 2013.
Selain itu, katanya, terdapat percanggahan hujah oleh kerajaan negeri yang mendakwa syarikat konsesi gagal mematuhi semua syarat ditetapkan dalam tempoh diberi sehingga 14 Februari lalu sedangkan syarikat konsesi dan Kerajaan Persekutuan mendakwa sebaliknya.
“Berpandukan krisis Kidex, kita tidak dapat menolak kemungkinan pelabur swasta akan berfikir berulang kali sebelum membuat keputusan melabur di Selangor khususnya dalam pembinaan infrastruktur pengangkutan awam,” ujar beliau lagi.