TIBAI dibubar selepas Anwar dipenjara

Masa terbaik Azmin ambil alih kepemimpinan PKR
MOHD. ASRON MUSTAPHA | 12 Februari 2015 1:48 AM
MUHAMMAD Zahid Md. Arip (kanan) mengumumkan pembubaran pertubuhan Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI) setelah Anwar Ibrahim dijatuhkan hukuman penjara lima tahun di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, semalam. – UTUSAN /Hafiz Johari
KUALA LUMPUR 11 Feb. – Sekarang adalah waktu paling sesuai untuk Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali, melakukan gerakan politik bagi mengambil alih kepemimpinan parti itu daripada Presiden, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Bekas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan, Muhammad Zahid Md. Arip berkata, ketiadaan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dihukum penjara lima tahun atas kesalahan liwat kini membuka seluas peluang untuk Azmin meruntuhkan dinasti Ketua Pembangkang itu dalam PKR.
Katanya dalam politik, jika Azmin lambat menggunakan peluang yang terhidang itu, dibimbangi kebarangkalian untuk beliau mendaki puncak tertinggi PKR sebagaimana diimpinya, akan terhalang kerana sudah pasti kumpulan pro-Wan Azizah tidak akan berdiam diri.
“Sebagai seorang berkuasa di Selangor dan berjawatan Timbalan Presiden, saya galakkan supaya Azmin bertindak segera meruntuhkan dinasti Anwar dalam PKR kerana adalah tidak mustahil selepas ini, calon di Permatang Pauh juga ahli keluarga Anwar.
“Jika itu berlaku, semakin sukarlah untuk Azmin memenuhi impiannya menjadi Presiden PKR, sesuatu yang telah sekian lama menjadi idamannya tetapi terhalang kerana Anwar ada,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas mengumumkan pembubaran pertubuhan Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI) yang ditubuhkan sejak dua tahun lalu, berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan penjara lima tahun ke atas Anwar kerana meliwat.
Menurut Muhammad Zahid, beliau mendapat maklumat bahawa ramai dalam kalangan pemimpin PKR gembira dengan hukuman penjara yang dikenakan ke atas Anwar, walaupun terdapat segelintir daripada mereka cuba memperlihatkan rasa sedih dengan mengecam kerajaan.
“Ramai pemimpin dalam PKR ini, kesedihan yang mereka paparkan apabila Anwar dihukum penjara hanyalah lakonan kerana sebenarnya mereka gembira. Ini kerana setelah Anwar terpaksa meringkuk dalam penjara, gerakan politik mereka akan lebih berjaya,” katanya.
Mengenai pembubaran TIBAI pula beliau berkata, kewujudan pertubuhan itu tidak lagi relevan selepas Anwar dipenjarakan kerana objektif TIBAI ditubuhkan pada 22 April 2012 adalah bagi mendedahkan kepada rakyat siapa sebenarnya Ketua Pembangkang tersebut.
Bagaimanapun katanya, beliau dan bekas Ahli Majlis Syura TIBAI yang rata-rata merupakan bekas ahli dan penyokong kuat PKR ketika zaman reformasi akan terus berjuang menggunakan kapasiti peribadi, untuk menyedarkan rakyat mengenai keburukan pembangkang.
“Kami berpendapat tugas kami untuk menyedarkan rakyat mengenai siapa sebenarnya Anwar sudah selesai, walaupun tidak sebesar mana sumbangan itu tetapi jauh di sudut hati, kami semua berpuas hati dengan apa yang telah diperjuangkan selama ini,” katanya.

POLITIK : Rafizi, Khalid Samad perlu keluar dari bumi Selangor terlebih dahulu

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
mohdasron.mustapha@utusan.com.my

MUHAMMAD ZAHID
KUALA LUMPUR 29 Ogos – Rafizi Ramli dan Khalid Abdul Samad perlu keluar dari bumi Selangor sebagaimana mereka mencabar ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas meninggalkan parti jika tidak setuju dengan usaha melantik Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar di negeri itu.
Hal demikian kerana, Rafizi yang merupakan Pengarah Strategi PKR dan Khalid selaku Ahli Jawatankuasa Pas Pusat bukan sahaja ingkar dengan titah Sultan Selangor tetapi berlaku biadab terhadap Sultan Sharafuddin Idris Shah melalui tindakan serta kenyataan-kenyataan bersifat kontroversi.
Mursyidul Am Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI), Muhammad Zahid Md. Arip berkata, Selangor sebenarnya tidak memerlukan pemimpin yang biadab sehingga menimbulkan kemurkaan Sultan Sharafuddin sebagaimana pernah disuarakan secara terbuka oleh baginda terhadap wakil rakyat Pas itu.
“Sebelum Rafizi serta Khalid meminta ahli PKR dan Pas meninggalkan parti jika tidak setuju dengan usaha melantik Wan Azizah, mereka ini terlebih dahulu perlu keluar dari bumi Selangor atas prinsip yang sama, kerana kedua-duanya juga ingkar dan berlaku biadab terhadap titah Sultan Sharafuddin selaku ketua negeri.
“Selangor pun tidak memerlukan pemimpin yang sanggup menderhaka kepada Istana hanya kerana kepentingan politik, sedangkan kedua-duanya bertanding dalam kawasan Parlimen di Selangor,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Rafizi yang juga Naib Presiden PKR sebelum ini mencabar ahli yang menyalahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu Menteri Besar Selangor supaya meninggalkan parti berkenaan sekiranya tidak berpuas hati, kerana dakwanya perbuatan tersebut sama seperti bersekongkol dengan Barisan Nasional (BN) dan UMNO.
Dalam usaha menyokong usaha Anwar itu, Rafizi yang merupakan arkitek bersama ‘Langkah Kajang’ berkata, isu nepotisme dan kronisme juga tidak berbangkit dalam soal menjatuhkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, biar pun hakikat sebenar ialah Wan Azizah merupakan isteri kepada Ketua Pembangkang tersebut.
Terbaharu, Khalid pula menggesa ahli Pas yang tidak bersetuju dengan kerjasama politik pakatan pembangkang sehingga cuba menggagalkan usaha menjadikan Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor boleh meninggalkan parti itu dan menyertai UMNO.
Mengulas lanjut, Muhammad Zahid dalam nada sinis mengucapkan tahniah kepada Khalid kerana Ahli Parlimen Shah Alam itu telah membuktikan kepada seluruh ahli Pas bahawa taat setia beliau bukan kepada Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tetapi ditumpahkan sepenuhnya kepada Anwar.
“Pada masa yang sama, kenyataan Rafizi serta Khalid ini juga membuktikan kepada rakyat bahawa demokrasi telah mati dalam parti berkenaan kerana baik Pas mahu pun PKR terutamanya, mereka tidak boleh melihat ahli bersuara bagi menegur kesilapan pucuk pimpinan,” ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140830/po_04/Rafizi-Khalid-Samad-perlu-keluar-dari-bumi-Selangor-terlebih-dahulu#ixzz3C7gKVcQa  © Utusan Melayu (M) Bhd 



POLITIK : RM3.2b biayai demonstrasi?

Oleh HUSSAINI AMRAN
hussaini.amran@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 20 Ogos – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta menjelaskan sama ada rizab kerajaan negeri Selangor yang dianggarkan berjumlah RM3.2 bilion akan digunakan untuk membiayai demonstrasi jalanan secara besar-besaran jika isterinya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dilantik sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.
Mursyidul Am Kelab Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI), Muhammad Zahid Md. Arip (gambar) berkata, Anwar perlu memberi penjelasan sama ada persoalan yang ditimbulkan oleh sumber dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu benar atau sebaliknya.
Beliau mendakwa, terdapat kemungkinan demonstrasi besar-besaran tersebut dirancang pada skala yang menyerupai tunjuk perasaan antikerajaan di Bangkok, Thailand pada awal Jun lalu.
“Apakah benar dana sebanyak RM3.2 bilion itu akan digunakan untuk penganjuran demonstrasi yang bertujuan menghuru-harakan negara dan memberi tekanan terhadap mahkamah sebelum rayuan akhir Anwar bagi mengetepikan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat Mohd. Saiful Bukhari Azlan didengar pada 28 dan 29 Oktober ini?.
“Saya meminta Anwar menjawab persoalan yang timbul ini secara jujur agar rakyat tahu kisah yang sebenar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Muhammad Zahid menambah, sekiranya Anwar mempunyai niat sebegitu, beliau mesti melupakan rancangan itu kerana wang rizab kerajaan negeri Selangor adalah milik rakyat dan bukannya milik keluarganya.
Sekiranya dakwaan sumber dalaman PKR itu benar, beliau menggesa Anwar membatalkan penganjuran demonstrasi jalanan yang boleh menjejaskan ekonomi negara dan menyusahkan rakyat.
“Saya amat mengenali Anwar, beliau sanggup melakukan apa sahaja untuk mencapai cita-cita peribadinya,” jelasnya.
Muhammad Zahid turut mempersoalkan sama ada rizab kerajaan negeri Selangor itu akan digunakan oleh pengganti Abdul Khalid untuk tujuan lain yang tidak memberi manfaat kepada rakyat di negeri itu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140821/po_03/RM32b-biayai-demonstrasi#ixzz3B0L3sgLg  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Anwar, Azizah dicabar saman Christopher

KUALA LUMPUR 13 Mac – Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dicabar mengambil tindakan undang-undang ke atas Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong kerana mengeluarkan kenyataan perlakuan liwat Ketua Pembangkang itu dilakukan atas dasar suka sama suka.
Mursyidul Am Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI), Muhammad Zahid Md. Arip berkata, kenyataan Christopher yang diyakini dibuat atas dasar profesional itu secara langsung telah mengesahkanKetua Pembangkang itu terlibat dalam perlakuan homoseksual dan perkara tersebut perlu dijelaskan segera.
“Kenyataan ini adalah sesuatu yang serius apatah lagi dibuat Presiden Majlis Peguam. Walaupun Christopher mengkritik hukuman penjara ke atas Anwar tetapi beliau mengesahkan perlakuan liwat berlaku. Wan Azizah terutamanya perlu menjelaskan perkara ini kerana di Kajang beliau mendakwa kononnya Anwar telah dianiaya.
“Jika beliau merasakan suaminya ‘suci’, Wan Azizah perlu mengambil tindakan undang-undang ke atas Christopher. Saya percaya jika kenyataan begini dibuat pihak lain, pasti tindakan saman telah dibuat. Rakyat kini nak tengok sejauh mana keberanian Wan Azizah dan Anwar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pada 9 Mac lalu, menerusi kenyataan akhbar yang disiarkan di laman web rasmi Majlis Peguam, Christopher menyifatkan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan Mahkamah Rayuan ke atas Anwar sebagai tidak wajar kerana perbuatan liwat tersebut dakwanya ‘dilakukan atas dasar suka sama suka antara dua orang dewasa’.
Menurutnya, hukuman itu berasaskan kepada peruntukan ‘lapuk’ kerana kesalahan di bawah Seksyen 377A yang meletakkan liwat sebagai jenayah, hanya digunapakai jika perbuatan dilakukan atas dasar paksaan sedangkan dalam kes tersebut, perbuatan itu dilakukan atas dasar kerelaan mangsa.
Pada 7 Mac lalu, Anwar dihukum penjara setelah didapati bersalah oleh Mahkamah Rayuan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari 2012 yang melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan tersebut.
Dalam pada itu, Muhammad Zahid berkata, kenyataan Christopher dan keputusan Mahkamah Rayuan jelas membuktikan bahawa tindakan beliau dan sebahagian besar Pengasas Parti Keadilan Rakyat (PKR) meninggalkan Anwar adalah tepat kerana menyedari penyakit moral yang dihidapi Ketua Pembangkang itu sukar diubati.
“Pemimpin bukan sahaja perlu bersih dan mesti kelihatan bersih tetapi dalam kes Anwar ini, keputusan Mahkamah Rayuan serta kenyataan Christopher boleh diibaratkan sudah terang lagi bersuluh bahawa beliau menghadapi masalah moral yang kronik dan rakyat perlu insaf mengenai perkara ini,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140314/ma_03/Anwar-Azizah-dicabar-saman-Christopher#ixzz2vtwHyxFA  © Utusan Melayu (M) Bhd