Tolak Anwar di Kajang

Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI dan SUFIAN HADI MOHD. SOJAK
pengarang@utusan.com.my




KUALA LUMPUR 3 Mac – Lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam utama negara hari ini menggesa pengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang agar menolak Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada memenangi pilihan raya itu.

Mereka membayangkan masalah besar akan timbul kepada rakyat Selangor dan juga negara ini, sekiranya Anwar menang dalam pilihan raya itu dan seterusnya melantik dirinya untuk menjadi Menteri Besar Selangor yang baharu.
Sehubungan itu, kumpulan itu yang terdiri daripada Jalur Tiga Malaysia (Jati), Yayasan Murni Aqidah, Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Gabungan Pertubuhan-pertubuhan Islam Dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (Muslim UPRo) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa pengundi menolak Anwar, sekali gus menghalang hasratnya untuk menerajui Selangor.
NGO-NGO Islam berkenaan turut sepakat akan menggerakkan seluruh kekuatan kolektif yang ada untuk turun padang bagi memberikan penerangan kepada penduduk DUN Kajang mengenai kemungkinan langkah-langkah yang akan diambil Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu jika beliau menang di DUN Kajang.
Jurucakap kumpulan tersebut, Datuk Dr. Hassan Ali berkata, berdasarkan kenyataan-kenyataan Anwar yang dilaporkan sebelum ini, pihaknya bimbang beliau akan menggunakan kuasa Menteri Besar untuk menstruktur semula sistem perundangan dan pentadbiran negeri bagi disesuaikan dengan prinsip liberalisme, pluralisme serta tuntutan sosial yang berselindung di sebalik nama hak asasi manusia.
Selain itu, dakwanya, strategi turun ke jalan raya mungkin sekali lagi digunakan oleh Anwar untuk meruntuhkan sistem sedia ada dan keadaan itu dikhuatiri boleh mewujudkan pergolakan antara rakyat Selangor yang mungkin merebak ke seluruh negara.
“Pengundi DUN Kajang terutamanya umat Islam diminta tidak termakan dengan ‘gula-gula’ Anwar, sebaliknya menolak beliau atas nama akidah Islamiah,” katanya dalam satu sidang akhbar di kediaman beliau di sini hari ini.
Yang turut serta, Pengerusi Yayasan Murni Aqidah, Datuk Aidit Ghazali; Pengerusi Pembela, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin, Pengerusi Muslim UPRo, Azril Mohd. Amin dan Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam Perkasa, Kapten (B) Dr. Shamsuddin Moner.
Menurut Hasan, pengkaji politik di kalangan NGO Islam juga mengenal pasti 20 alasan syarie mengapa pengundi perlu menolak Anwar dalam PRK DUN Kajang pada 23 Mac ini.
Katanya, antara alasan tersebut adalah berhubung pandangan Anwar dalam pluralisme agama, pergerakan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT), penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam dan konsep penyelesaian dua negara bagi menyelesaikan konflik Israel-Palestin.
“Itu hanya sebahagian sahaja daripada fakta-fakta pokok lain seperti persoalan moral dan akhlak termasuk integriti dan kredibiliti yang akan kami dedahkan menjelang PRK DUN Kajang nanti.
“Fakta-fakta ini jika dicantumkan akan menjadi hujah yang paling kental mengapa pengundi Kajang khasnya dan rakyat Malaysia umumnya mesti menolak hasrat Anwar untuk menerajui Selangor,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140304/po_02/Tolak-Anwar-di-Kajang#ixzz2ux8DEhQK  © Utusan Melayu (M) Bhd 

KOMEN : SUSAH SANGAT KE NAK PERCAYA FAKTA DARI TEMBERANG?????

Penduduk Shah Alam hanya minta sambungan dua kilometer LRT

Khabar Dari Shah Alam
Oleh Zabry Mohamad Madzlan




SEAWAL pukul 6.15 pagi setiap hari, Sobri Awang Abu, 46, akan keluar dari rumahnya di Seksyen 19 untuk ke pejabat yang terletak di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, keluar awal tidak menjamin pegawai di sebuah bank pelaburan itu boleh sampai sebelum waktu pejabat yang bermula 8.15 pagi.
Meskipun jarak di antara rumahnya dengan pejabat hanya kira-kira 35 kilometer, dia terpaksa menghabiskan masa hampir dua jam di atas jalan raya berikutan kesesakan lalu lintas.
Bukan sahaja membuang masa, dia juga perlu menanggung kos agak tinggi untuk petrol dan bayaran tol kerana menggunakan beberapa lebuh raya.
Kos pergi-balik untuk tol sahaja hampir mencecah RM10 manakala petrol kira-kira RM12 sehari. Bukan dia tidak mahu menggunakan pengangkutan awam tetapi kemudahan tersebut tidak banyak dan kurang efisien.
Tidak hairanlah apabila UMNO Bahagian Shah Alam mencadangkan supaya dibina laluan transit aliran ringan (LRT) antara Glenmarie dan Seksyen 7 baru-baru ini, Sobri amat mengalu-alukannya.
Dia merupakan antara sejuta penduduk Shah Alam atau dikenali juga sebagai Bandaraya Anggerik yang amat berharap cadangan tersebut dapat direalisasikan.
Bagi Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George, adalah tidak masuk akal apabila pembinaan trek LRT 3 dari Kelana Jaya (berdasarkan Pelan Induk Pengangkutan Awam Kuala Lumpur/Lembah Klang) menuju Putra Heights hanya melalui Subang Jaya (berhampiran Glenmarie), bukan sehingga ke pusat bandar Shah Alam.
Ini kerana jelasnya, Shah Alam merupakan ibu negeri Selangor yang menjadi nadi pentadbiran dan pembangunan.
“Kemudahan LRT sepatutnya digalakkan penggunaannya di Shah Alam. Kalau boleh sambung hingga ke Klang,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Pandangan beliau itu ada kebenarannya.
Penduduk Shah Alam seolah-olah terperangkap di tengah-tengah antara Kuala Lumpur dan Klang.
Untuk menuju keluar dari Shah Alam ternyata satu ‘azab’ buat mereka berikutan kesesakan lalu lintas teruk selain kos tol yang perlu dibayar.
Menurut Jacob George, cadangan berkenaan tidak seharusnya dilihat dari sudut politik tetapi lebih kepada konsep mesra rakyat.
Di Shah Alam juga katanya, banyak institusi pengajian tinggi seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Selangor, Management and Science University (MSU), Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah serta Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) dan pastinya kemudahan LRT akan membolehkan bandar raya tersebut menjadi hab pendidikan.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Azhari Shaari dalam sidang akhbar di pejabatnya baru-baru ini memberitahu, apabila siap trek LRT 3 nanti, pihak terbabit hanya perlu menyambung laluan baharu dari stesen di Subang Jaya ke Shah Alam.
Katanya, langkah berkenaan adalah lebih sesuai memandangkan jarak di antara stesen itu dengan bandar raya ini hanya kira-kira dua kilometer.
Beliau menambah, memorandum mengenai cadangan pembinaan LRT itu turut diserahkan kepada Syarikat Prasarana Negara Berhad (SPNB) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
“Inilah masa yang sesuai dalam usaha kerajaan Pusat mahu membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat. Lagipun, inilah isu yang diperjuangkan oleh penduduk Shah Alam selama ini,” ujarnya.
Shah Alam kini semakin padat, ditambah dengan projek pembangunan perumahan dan komersial pada masa hadapan.
Keadaan sebegitu sudah tentu akan menambah jumlah kenderaan milik persendirian, seterusnya mengakibatkan kesesakan jalan raya lebih serius.
Dengan adanya sistem LRT jelas Azhari, penduduk bandar raya ini dapat berulang-alik ke bandar-bandar lain dengan lebih mudah, cepat dan murah.
“Dengan wujudnya jaringan LRT, projek pembangunan berasaskan pengangkutan bagi perumahan mampu milik juga boleh dilaksanakan,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140219/re_06/Penduduk-Shah-Alam-hanya-minta-sambungan-dua-kilometer-LRT#ixzz2tjwQmNeu  © Utusan Melayu (M) Bhd