AFF : Kualiti padang Stadium Nasional buat Dollah bimbang

DOLLAH Salleh (kanan) bersama Ketua Eksekutif One Goal Malaysia, Stuart Ramalingam bersama (kanan), bekas ratu cantik Deborah Henry (dua dari kanan) dan pengulas sukan Astro, Roshan Narayan bersama-sama melancarkan program One Goal iaitu kempen menamatkan pemakanan tidak seimbang dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia, di Petaling Jaya, semalam.
PETALING JAYA – Kualiti padang Stadium Nasional yang akan menjadi gelanggang Kejohanan AFF 2014 meresahkan jurulatih Harimau Malaya, Dollah Salleh yang bimbang Singapura akan menggunakannya sebagai alasan untuk mengubah tempat perlawanan.
Jika stadium itu diisytiharkan tidak sesuai untuk kejohanan itu, Singapura sudah pasti akan memindahkan tempat perlawanan ke Stadium Jalan Besar.
Dan, ini boleh memberi kelebihan kepada tuan rumah kejohanan itu kerana stadium kecil itu menggunakan rumput sintetik yang mereka sudah biasa bermain di atasnya.
Walaupun belum ada sebarang kenyataan daripada Singapura, namun kebimbangan Dollah itu berasas jika dilihat kepada kualiti padang Stadium Nasional yang menjadi gelanggang perlawanan persahabatan antara Brazil dan Jepun pada 14 Oktober.
Oleh itu, Dollah menggesa Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) menyelesaikan masalah itu secepat mungkin memandangkan Kejohanan AFF akan berlangsung dalam masa sebulan sahaja lagi.
“Berdasarkan laporan media Singapura, membuatkan saya khuatir apabila mengetahui mengenai kualiti padang Stadium Nasional begitu menghampakan.
“Saya bimbang kalau Singapura (menggunakan alasan ini) untuk menukar gelanggang perlawanan ke Stadium Jalan Besar pada saat-saat akhir dan ini pasti mendatangkan banyak masalah buat kita.
“Berdasarkan pengalaman saya, bermain di Stadium Jalan Besar memberi kelebihan besar kepada Singapura yang cukup selesa beraksi di atas padang tiruan.
“Saya amat berharap FAS dapat membuat sesuatu supaya tiada perubahan venue perlawanan dan kami mahu bermain di Stadium Nasional,” katanya ketika ditemui dalam sidang akhbar kempen One Goal Malaysia di Petaling Jaya semalam.
Ujar Dollah, dia pasti berdepan kesukaran merencanakan strategi terbaik sekiranya Jalan Besar menjadi medan perhitungan semua pasukan di dalam Kumpulan B kerana pergerakan bola yang terlalu laju dan sukar dikawal.
“Tidak banyak yang boleh diharapkan jika bermain di Jalan Besar dan pergerakan bola pasti akan menghampakan pemain kerana selama ini kita sudah biasa beraksi di atas rumput semulajadi.
“Bukan mudah jika mahu mengamalkan permainan hantaran pendek di atas padang tiruan dan banyak perkara perlu dilihat terutama pada corak latihan supaya pemain boleh menyesuaikan diri,” katanya.
Mutu padang di Stadium Nasional Singapura menjadi bahan perbualan hangat apabila pengendali Brazil, Dunga, kecewa dengan kualiti padang yang kelihatan lebih banyak pasir berbanding rumput sehingga menjejaskan aksi para pemain.
Malah, dia menegur mutu rumput yang digunakan iaitu terlalu banyak menggunakan rumput sintetik berbanding rumput semulajadi dan itu bukan sesuatu yang baik kepada bola sepak kerana menyukarkan pergerakan bola di atas padang selain berisiko mudah rosak ketika permainan berlangsung.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20141017/su_06/Kualiti-padang-Stadium-Nasional-buat-Dollah-bimbang#ixzz3GMCWVohe  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Advertisements

Jambatan persahabatan

NAJIB Tun Razak bersama delegasi Malaysia (kanan) bermesyuarat dengan delegasi Singapura yang diketuai Lee Hsien Loong (kiri) semasa Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura Ke-5 selama dua hari di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya, semalam. – BERNAMA
PUTRAJAYA 7 April – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia mengemukakan cadangan kepada Singapura untuk membina sebuah jambatan baharu yang dapat menghubungkan kedua-dua negara berjiran itu.
Beliau berkata, rancangan itu yang merupakan inisiatif jangka masa panjang dijangka meningkatkan hubungan jalan raya dan menambah baik keadaan alam sekitar.
“Salah satu rancangan jangka masa panjang adalah dengan membina jambatan persahabatan bagi meningkatkan hubungan jalan raya, menambah baik keadaan alam sekitar, sekali gus menjadi simbol persahabatan kedua-dua negara.
“Rancangan ini merupakan rancangan jangka masa panjang dan kedua-dua negara akan mengkaji lebih lanjut tentang inisiatif ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong sempena Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura kelima di Pejabat Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata, cadangan tersebut dibuat kerana kapasiti kenderaan yang melalui Tambak Johor untuk ke negara jiran itu semakin bertambah.
Menurut Najib, pembinaan jambatan tersebut merupakan salah satu daripada inisiatif baharu yang dirancang, selain untuk mewujudkan kawalan sempadan bersama antara kedua-dua negara berjiran itu.
Beliau berkata, menerusi pendekatan itu, rakyat kedua-dua negara yang hendak memasuki salah sebuah negara hanya perlu melalui sekali pemeriksaan sahaja.
Hsien Loong ketika mengulas perkara sama berkata, rancangan jambatan persahabatan itu telah dibincangkan, namun katanya, tumpuan utama Singapura pada masa ini adalah meningkatkan kemudahan laluan jalan raya antara kedua-dua negara.
Bagaimanapun, beliau berkata, cadangan untuk membina jambatan yang bakal menjadi simbol ikonik kepada kedua-dua negara itu akan tetap dikaji secara mendalam sebagai salah satu kaedah mengurangkan kesesakan.
Sementara itu, ditanya tentang inisiatif yang diambil oleh Singapura bagi mengurangkan kesesakan ketika memasuki ke negara itu, Hsien Loong berkata, pihaknya akan menggunakan kaedah biometrik untuk pengguna yang kerap memasuki negara itu.
“Pengguna yang kerap memasuki Singapura hanya perlu menggunakan kaedah biometrik dan hanya perlu mengimbas ibu jari dalam tempoh 10 saat dan semua data dan maklumat akan terpapar. Kita harap 90 hingga 95 peratus pengguna terbabit akan menggunakan kaedah ini,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140408/dn_03/Jambatan-persahabatan#ixzz2yFem4w4N  © Utusan Melayu (M) Bhd