1MDB : Pengakuan Justo: Siasatan dijalankan

THOMAS CHONG | 09 September 2015 12:53 AM
Xavier Andre Justo
PUTRAJAYA 8 Sept. – Pengakuan Xavier Andre Justo seperti yang didedahkan oleh media jelas menunjukkan terdapat usaha terperinci untuk mengguling kerajaan dan siasatan akan dilakukan
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengakuan Justo yang dilaporkan akhbar tempatan diperoleh daripada pihak berkuasa Thailand dan Malaysia juga bekerjasama dengan negara jiran tersebut dalam siasatan yang akan dijalankan.
Ditanya sama ada kertas siasatan telah dibuka atau sebaliknya, Ahmad Zahid berkata, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar tidak memaklumkan kepadanya mengenai perkembangan kes tersebut.
“Saya tidak diberitahu oleh Ke­tua Polis Negara, tetapi adalah menjadi prosedur biasa untuk membuka kertas siasatan.
“Polis mendapat kerjasama dari Thailand untuk ambil tindakan selanjut termasuk membuka kertas siasatan sebelum dokumen ber­kenaan diserah kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan pendakwaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Pusat di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dilaporkan akhbar tempatan berminat membeli data berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) daripada Justo.
Dalam pengakuan yang dilaporkan akhbar tertentu, Justo juga menyebut Nurul Izzah menawarkan bayaran dalam bentuk kontrak sekiranya pembangkang mengambil alih Kerajaan Persekutuan daripada pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Tawaran tersebut bagaimanapun ditolak kerana Justo mahukan bayaran tunai berjumlah AS$2 juta (RM8.62 juta).
Nurul Izzah bagaimanapun telah menafikan pernah menawarkan kontrak kepada Justo untuk membeli maklumat berkenaan.
Advertisements

BERSIH 4 : Polis awasi kumpulan anarki

NORLIZA ABD. RAHMAN | 28 Ogos 2015 1:37 AM
PUTRAJAYA 27 Ogos – Kementerian Dalam Negeri tidak menolak kemungkinan akan wujud kumpulan anarki yang mahu mencetuskan huru-hara dalam perhimpunan haram Bersih 4.0 pada Jumaat dan Sabtu ini.
Nur Jazlan
Timbalan Menteri Dalam Negeri 1, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, kumpulan berkenaan mahu mencetuskan provokasi terhadap polis supaya pihak berkuasa menggunakan kekerasan terhadap peserta.
“Tindakan provokasi itu untuk menyebabkan polis dipersalahkan kerana menggunakan kekerasan terhadap peserta perhimpunan haram, sekali gus akan meningkatkan kebencian terhadap pihak berkuasa dan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Nur Jazlan berkata, polis akan menggerakkan kira-kira 4,000 anggotanya bagi memastikan ketenteraman awam serta keselamatan rakyat ketika perhimpunan haram berkenaan dan tidak akan bertolak ansur bagi mengelakkan berlaku sebarang tindakan yang mengancam nyawa masyarakat.
Selain Kuala Lumpur katanya, perhimpunan haram berkenaan turut dirancang diadakan di Ku­ching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah.
Katanya, tindakan itu pasti membabitkan kos tinggi ke atas kerajaan kerana perlu menggerakkan sejumlah besar anggota polis serta kelengkapan semata-mata untuk mengawasi peserta perhimpunan berkenaan.
Beliau berkata, lebih menyedihkan apabila peserta perhimpunan haram itu sebenarnya diperalatkan pembangkang yang menjadikan mereka sebagai alat politik untuk menumbangkan kerajaan.
“Sebenarnya, apa yang diperkatakan penganjur perhimpunan haram berkenaan sebagai hak untuk berhimpun serta mempunyai usaha murni adalah pembohongan semata-mata kerana terbukti ia didalangi ahli politik pembangkang,” katanya.
Nur Jazlan berkata, jika rakyat benar-benar sudah tidak mempercayai kerajaan Barisan Nasional (BN), mereka hanya perlu menunggu dua tahun lagi sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 diadakan.
Katanya, motif berhimpun secara haram itu dengan cuba mengambil semangat menyambut Hari Kebangsaan 2015 demi kepentingan segelintir pihak, jelas mengetepikan hak majoriti rakyat Malaysia yang hidup aman dan tenteram selama ini.
“Saya benar-benar berharap rakyat Malaysia tidak terpedaya dengan menyertai perhimpunan haram itu kerana kemungkinan kekacauan berlaku amat tinggi disebabkan kita tidak mengetahui latar belakang peserta demonstrasi berkenaan yang mungkin terdiri daripada kumpulan yang mahu mengambil kesempatan menimbulkan huru hara.
“Polis tidak bersetuju dengan kaedah demonstrasi kali ini kerana tiada siapa yang jelas boleh dipertanggungjawabkan apabila berlaku sesuatu seperti kecederaan dan kerosakan harta benda,” katanya.

Bersih 4.0 
pertubuhan haram – KDN

SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH 
DAN MASZUREEN HADZMAN | 26 Ogos 2015 1:47 AM
Alwi Ibrahim
PUTRAJAYA 25 Ogos – Kementerian Dalam Negeri menasihatkan orang ramai supaya tidak hadir dan menyertai perhimpunan yang akan dianjurkan oleh sebuah pertubuhan tidak berdaftar di Dataran Merdeka pada Sabtu dan Ahad ini.
Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati Bersih 4.0 bukan sebuah pertubuhan berdaftar dan tidak mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa untuk menganjurkan perhimpunan tersebut.
“Kita juga mendapati Bersih 4.0 bergiat secara tidak sah dan mencetuskan suasana gelisah serta membangkitkan kebimbangan orang ramai khususnya rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan keturunan.
“Selain itu, pertubuhan tidak berdaftar ini turut menyebarkan propaganda untuk menghasut rakyat bagi tujuan negatif terhadap kerajaan dengan mengedarkan risalah-risalah tertentu yang boleh mendatangkan keburukan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Alwi, pihaknya turut mendapati pelbagai kegiatan yang dianjurkannya bukan sahaja telah memberi kesan buruk kepada imej negara, bahkan boleh mengancam dan menggugat ketenteraman awam, keselamatan, kemakmuran ekonomi dan kedaulatan negara.
Pada masa sama katanya, kegiatan pertubuhan yang tidak berdaftar itu juga boleh menjejaskan keharmonian hidup masyarakat majmuk di Malaysia.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajudin Md. Isa berkata, perhimpunan Bersih 4.0 diisytiharkan sebagai perhimpunan haram selepas penganjurnya gagal mematuhi peruntukan yang diperlukan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Menurut beliau, perkara itu diputuskan termasuk mengambil kira penganjur gagal mendapatkan kelulusan daripada pemilik lokasi berkenaan iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
 Beliau memberitahu, polis tidak mempunyai masalah membantu penganjur perhimpunan sekiranya mereka mengikut sepenuhnya undang-undang dan mengadakan perhimpunan di tempat tertutup seperti stadium yang dicadangkan DBKL.

“Bersih 4.0 adalah haram dan sekiranya ia diteruskan tindakan tegas akan diambil berdasarkan akta sedia ada
.
 “Amaran telah diberikan kepada umum agar tidak menyertai perhimpunan itu. Perhimpunan sememangnya dibenarkan, tetapi ia perlu dibuat mengikut peruntukan undang-undang yang ada,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Tajudin memberitahu, polis akan memantau setiap ucapan yang dibuat pada perhimpunan itu terutamanya kenyataan yang memberi kesan kepada demokrasi berparlimen serta menggugat ketenteraman awam.

 “Kami akan bekerjasama dengan DBKL dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap sesiapa yang melanggar undang-undang,” ujarnya.