POLITIK : Christopher tak wakili suara majoriti

23 Februari 2015 1:38 AM
Keratan Mingguan Malaysia semalam.
KUALA LUMPUR 22 Feb. – Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong tidak berhak menganggap kritikannya terhadap institusi kehakiman di negara ini mewakili suara majoriti ahli-ahli badan berkenaan.
Ahli Majlis Peguam, Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz berkata, tidak semua ahli badan berkenaan bersetuju dengan pandangan Christopher yang mempertikaikan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes liwat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini.
Menurut beliau, proses pemilihan yang menyaksikan Christopher dilantik sebagai Presiden Majlis Peguam pada 16 Mac 2013 cuma melibatkan sebanyak 1,304 ahli.
“Ada pihak berpandangan desakan yang disuarakan oleh lebih 100 ahli Majlis Peguam supaya Christopher menarik balik kenyataannya itu tidak mewakili kumpulan majoriti.
“Kalau begitu, pandangan Christopher juga tidak mewakili suara majoriti kerana jumlah ahli Majlis Peguam yang mengundi beliau sebenarnya tidak sampai 10 peratus daripada kira-kira 15,000 ahli pada 2013,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, lebih 100 peguam termasuk Mohd. Khairul Azam memberi kata dua kepada Christopher iaitu sama ada menarik balik kenyataan mempertikaikan keputusan mahkamah itu atau meletak jawatan.
Christopher sebelum ini pernah menyatakan menerusi media bahawa Anwar ‘dianiaya, bukan didakwa’ apabila Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari lalu mengekalkan sabitan dan hukuman penjara lima tahun terhadap Ahli Parlimen Permatang Pauh itu setelah menolak rayuan terakhir dalam kes meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.
Mohd. Khairul Azam menambah, usul undi tidak percaya akan dikemukakan terhadap Christopher sekiranya beliau gagal menarik balik kenyataan tersebut sebelum mesyuarat agung tahunan (AGM) Majlis Peguam diadakan pada 14 Mac ini.
“Kami juga sedang giat melancarkan gerakan mendapatkan sokongan ahli-ahli Majlis Peguam yang lain bagi mendesak Christopher untuk berundur,” katanya.
Advertisements

Apa lagi orang Melayu mahu? JANGAN SAMPAI DIBANGANGKAN?

ZAINI HASSAN | 03 Disember 2014 1:13 AM
Adakah kita terlalu “bangang”
UMNO telah selesai bersidang. Semua sudah pulang ke lubuk masing-masing. Tahun hadapan, insya-Allah bertemu semula.
Agenda akan berulang. Berulang dan berulang. Jika ada pemilihan pucuk kepemimpinan, maka suasana akan berbeza. Lebih panas, mendebarkan dan cah keting. Sekarang pun ada yang berkata bunga-bunga pemilihan sudah berputik.
Namun semalam saya menerima satu WhatsApp yang membuatkan saya berhenti sejenak untuk berfikir, merenung bagai Mat Jenin dan menginsafi diri sebagai Melayu. Di mana silapnya bangsa aku ini?
Begini bunyinya. Ia ditulis dalam bahasa Inggeris. Datang dari seorang bernama Melayu Islam, yang tidak perlulah saya siarkan namanya.
Katanya. UMNO telah memerintah Malaysia selama 57 tahun dan masih menangisi bagi mempertahankan (safeguard) hak keistimewaan Melayu, Melayu masih terancam, Melayu hidup di bawah kemiskinan dan lain-lain dan lain-lain.
Beliau bertanya:
Selama 57 tahun UMNO memerintah negara ini, Islam ialah agama rasmi, apa yang telah UMNO lakukan sekiranya Malaysia dan Islam berada di bawah ancaman?
Beliau berkata faktanya ialah:
– Malaysia ada sembilan Sultan dan Raja. Mereka semua Me­layu.
– PM dan TPM, memegang jawatan paling berkuasa di Malaysia adalah Melayu.
– Sejak 1974, Menteri Kewangan adalah Melayu.
– Selain Pulau Pinang, semua KM dan MB adalah Melayu.
– Majoriti Menteri Persekutuan ada­lah Melayu dan Kementerian-kementerian berpengaruh dan penting dikuasai Melayu.
– Daripada 222 Ahli Parlimen, le­bih daripada 50 peratus adalah Melayu.
– Lebih daripada 93 peratus Jabatan-jabatan Kerajaan, dari bawah ke jawatan tertinggi adalah Melayu.
– DEB dirangka untuk orang Melayu.
– Sebanyak 80 peratus kuota universiti diperuntukkan kepada Melayu.
– Diskaun istimewa untuk pembelian rumah dan saham-saham untuk orang Melayu.
– Pangkat tertinggi dalam polis dan tentera kepada orang Melayu.
– GLC atau syarikat-syarikat milik kerajaan dikuasai Melayu.
Beliau berkata, bagaimana Melayu yang menguasai sepenuhnya sedang diancam dan berkedudukan di bawah daripada kaum-kaum minoriti? Adakah ia satu strategi untuk pemerintah terus berkuasa dengan menjadikan orang lain sebagai kambing hitam? Apa sebenarnya berlaku. Adakah orang Melayu ini terlalu “bangang” sehingga mereka terus menerus perlu merayu, menagih, meminta untuk terus hidup di bumi bertuah ini.
Adakah kita ini semua masih menjadi bahan ujikaji sosio-politik? Di mana silapnya? Apa lagi kita mahu?
Bar Council memalukan!
SAYA mengikuti dengan begitu teliti perkembangan pemilihan barisan Exco Majlis Peguam atau Bar Council Malaysia. Sebanyak 23 calon telah mengemukakan kertas pencalonan dan bertanding.
Menurut maklumat terkini daripada rakan-rakan peguam, yang ada antaranya menghantar WhatsApp berbunyi: Pengiraan undi hari ini “Bar Council halang calon pantau pengiraan undi. Kamera litar memantau pengiraan turut ditutup”!
Sungguh memalukan. Majlis Peguam sememangnya cakap tak serupa bikin.
Sebuah laman Facebook diwujudkan oleh segolongan peguam bagi memantau proses pilihan raya itu. Ini bunyinya:
BAR(UA)-BAR(UA) Pakatan Haram yang menguasai BAR Council sedang membodohkan rakyat Malaysia kononnya mereka telus di dalam pemilihan organisasi mereka.
Calon-calon yang bertanding sedang dikenakan TEKANAN untuk menandatangani satu surat RAHSIA dan hanya 1 saluran kiraan sahaja yang dibenarkan Live Streaming dari 8 saluran.
Sehubungan itu, para peguam yang menentang hipokrasi di tahap gaban melancarkan kempen diberi nama #BubarkanBarCouncil.
Salah satu komen facebook itu:
– SEBARKAN! Seorang calon dinafikan melihat pengiraan pengundian selepas enggan tandatangani surat rahsia berkenaan!
– Sama-sama kita desak supaya #BubarkanBarCouncil dan ditubuhkan satu badan pemantau pengamal undang-undang yang memenuhi aspirasi rakyat dan kerajaan dan bukannya seperti BARUA Council yang menjadi alat pakatan haram dan para pemimpin mereka yang berusaha menghapuskan ASAS KENEGARAAN MALAYSIA.
Satu rakaman suara antara calon dan pegawai pemilihan juga dihantar kepada saya yang memperlihatkan calon itu perlu menandatangani surat akujanji jika mahu memantau proses itu.
Calon itu dirakam mengatakan bahawa surat itu bukan satu undang-undang dan ia tidak sah untuk diikuti. Sebagai orang awam saya mahukan Majlis Peguam yang tidak memihak dan bukan seperti sekarang. Ikuti perkembangan terkini dalam laporan akhbar ini.
Keputusan tidak rasmi yang saya terima. Calon-calon Pro COMANGO/Pakatan Pembangkang menang dan terus menguasai Majlis Peguam. Semua calon pro kerajaan kalah
Saya berhenti di sini sahaja dan telah melihat proses pe­rebutan kuasa antara puak pro pembangkang-kerajaan dengan penuh kesinisan.
Dalam bahasa peguam saya berkata: I rest my case!


– See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/apa-lagi-orang-melayu-mahu-1.32002#sthash.LHkxfpVd.dpuf


LIWAT : Kes Anwar: Majlis Peguam, Suhakam amal dwi standard

OLEH KAMIL MASLIH (PENGARANG@UTUSAN.COM.MY) | 06 November 2014 2:20 AM
RUSLAN KASSIM
KUALA LUMPUR 5 Nov. – Majlis Peguam dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) tidak sewajarnya bersikap ‘memilih bulu’ dengan membiarkan sahaja para penyokong Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar sistem undang-undang dan menggunakan demonstrasi jalan raya untuk mempertahankan Ketua Pembangkang itu.
Kedua-dua institusi tersebut perlu sedar bahawa bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd. Saiful Bukhari Azlan juga mempunyai hak untuk mendapatkan keadilan daripada sistem undang-undang di Malaysia tanpa dipengaruhi ugutan demonstrasi para penyokong Ketua Pembangkang itu serta provokasi terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dipertanggungjawab menjaga keselamatan mahkamah.
Peguam Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz berkata, Majlis Peguam sewajarnya ke hadapan bagi mempertahankan institusi undang-undang di negara ini dan mengecam tidak kira pihak mana pun yang membuat kenyataan menghina dan mengugut mahkamah.
“Sikap dwi standard dan berdiam diri terhadap tindakan pakatan pembangkang ini sangat jelas, saya melihat Majlis Peguam gagal memberi mesej yang betul kepada rakyat mengenai proses keadilan di negara ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Perbicaraan kes liwat Anwar dicemari dengan pelbagai provokasi penyokongnya yang cuba merempuh ke Istana Kehakiman, Putrajaya dan terbaru, beberapa pemimpin pembangkang didapati menghina mahkamah selain mengugut menga-dakan perhimpunan besar-besaran di Dataran Merdeka sekiranya Anwar didapati bersalah dalam kes liwat itu.
Menurut Khairul Azam, sikap dwi standard Majlis Peguam juga amat ketara apabila sanggup mengetepikan resolusinya mela-rang bekas hakim dilantik mewaki-li mana-mana pihak di mahkamah dan memilih berdiam diri sahaja mengenai pelantikan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram mewakili Anwar.
“Kita juga masih ingat betapa pantasnya Majlis Peguam mengecam tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menya-man portal Malaysiakini atas kononnya menyekat kebebasan media tetapi mereka membiarkan sahaja pemimpin-pemimpin pembangkang menyaman media arus perdana yang lain,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Negeri Sembilan, Ruslan Kasim berkata, kedua-dua pihak Majlis Peguam dan Suhakam perlu bertindak proaktif bagi mengutuk tindakan penyokong Anwar mencetuskan provokasi di Istana Kehakiman kerana dikhuatiri menjejaskan proses keadilan dilaksanakan.
“Kalau keadilan hanya untuk Anwar bagaimana pula keadilan untuk Mohd. Saiful, keadilan perlu diletakkan di tempatnya. Majlis Peguam dan Suhakam tidak boleh berdiam diri sahaja apabila pelbagai provokasi dilakukan penyokong Anwar sehingga mencabar pihak polis di Istana Kehakiman,” katanya.
Dalam pada itu, menurut Presiden Jaringan Cina Malaysia, Ng Lum Yong, sikap berdiam diri Suhakam terhadap kes Mohd. Saiful terlalu ketara seolah-olah kes tersebut tidak berprofil tinggi dan tidak melibatkan isu-isu hak asasi manusia.
“Siapa yang benar, siapa yang salah, itu terpulang kepada mahkamah tetapi Suhakam juga perlu tonjol ke hadapan supaya kes ini tidak dilihat berat sebelah dan mereka juga perlu mengeluarkan pendirian mengutuk mana-mana pihak yang mencetuskan provokasi serta cuba mengganggu proses mahkamah,” katanya.
Jelas beliau, sekiranya kes mendiang Teoh Beng Hock boleh diberikan perhatian oleh Suhakam, kes antara Anwar dengan Mohd. Saiful itu juga perlu diberikan tumpuan sewajarnya agar keadilan dapat ditegakkan dan tidak dicemari penyokong pembangkang yang hanya mahu melakukan demonstrasi.


– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/kes-anwar-majlis-peguam-suhakam-amal-dwi-standard-1.21317#sthash.iCvoekBb.dpuf


Karpal fail rayuan, ketepi hukuman

PUTRAJAYA 24 Mac – Pengerusi DAP, Karpal Singh yang didenda RM4,000 setelah didapati bersalah atas tuduhan mengeluarkan kenyataan menghasut, hari ini memfailkan rayuan bagi mengetepikan hukuman tersebut.
Menurut peguam Zaleha Sikkander Hayat, notis rayuan tersebut difailkan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta dekat sini pagi ini dan salinannya turut diserahkan ke Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di sini pada pukul 3.30 petang ini.
Pada 11 Mac lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Paduka Azman Abdullah menjatuhkan hukuman denda itu ke atas Karpal atas kesalahan mengeluarkan kenyataan menghasut terhadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah berhubung pengguguran Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar, lima tahun lalu.
Karpal, 73, didakwa menyebut kata-kata hasutan membabitkan Sultan Perak pada satu sidang akhbar antara pukul 12 dan 12.30 tengah hari, 6 Februari 2009 di pejabatnya, Tetuan Karpal Singh & Co, No.67, Jalan Pudu Lama, Dang Wangi di ibu negara.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman denda RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.
Sementara itu, Karpal yang juga peguam dan Majlis Peguam telah mengemukakan surat dakwaan salah laku ke Jabatan Peguam Negara berhubung cara Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin mengendalikan kes itu.
Melalui surat bertarikh 23 Mac lalu, Karpal dan Majlis Peguam memohon agar satu tindakan diambil ke atas Noorin yang dikatakan telah mengugut mahkamah agar menjatuhkan hukuman berat ke atas Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu.
Yang turut disertakan ialah nota ringkas yang dipersetujui sebulat suara oleh Badan Peguam dalam satu mesyuarat baru-baru ini.
Menurut nota terbabit, Noorin juga didakwa gagal bertindak secara adil dan mendokong integriti jabatan perundangan itu apabila memohon hukuman penjara dikenakan ke atas Karpal walaupun menerima laporan perubatan tertuduh dan mengetahui tertuduh menggunakan kerusi roda dalam kegiatan seharian.
Salinan surat itu turut diserahkan kepada Noorin dan beliau mengesahkan telah menerima surat tersebut.
Sementara itu, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail ketika dihubungi menyatakan, hakim yang mengendalikan kes tersebut telah mengambil pertimbangan yang sewajarnya atas segala dakwaan yang dibuat.
Dakwaan salah laku itu, ujar beliau, berlaku sewaktu prosiding terbuka dan sudah ditangani pada waktu yang sama oleh hakim berkenaan.
“Hakim telah menangani perkara (dakwaan salah laku). Beberapa bahagian dalam hujahan kedua-dua pihak telah dipadamkan oleh mahkamah. Saya difahamkan, pihak pembelaan juga ada membuat beberapa komen yang kemudiannya diketepikan oleh hakim.
“Bagi saya, tiada salah laku atau kesalahan dilakukan oleh kedua-dua pihak. Dan bagi saya, tidak salah bagi seorang timbalan pendakwa raya untuk memohon hukuman berat,” katanya ketika diminta mengulas mengenai surat dakwaan salah laku itu.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140325/ma_02/Karpal-fail-rayuan-ketepi-hukuman#ixzz2ww5xFCWk  © Utusan Melayu (M) Bhd

Anwar: Siapa zalimi siapa?

KUALA LUMPUR 20 Mac – Pembangkang dicabar menjawab tujuh fakta berkaitan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum membuat tuduhan kononnya Barisan Nasional (BN) menzalimi Ketua Pembangkang itu selepas beliau dijatuhkan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat.
Bekas peguam Anwar, Datuk Zulkifli Nordin berkata, Anwar telah melantik Karpal Singh bersama anak-anaknya untuk membela beliau dalam kes liwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan sedangkan pemimpin DAP itu pernah memberitahu Dewan Rakyat pada 1997 bahawa dia mempunyai bukti Anwar adalah seorang peliwat.
Katanya, dalam hal itu, tidakkah Anwar menzalimi diri sendiri apabila melantik Karpal sebagai peguamnya walaupun orang yang sama pernah menuduh dia meliwat.
“Anwar telah mengemukakan pembelaan alibi (mendakwa dia tiada di tempat kejadian) untuk menghadapi kes meliwat Mohd. Saiful dan telah diberi peluang oleh mahkamah untuk memberi keterangan bagi membuktikan dakwaan itu tetapi dia enggan berbuat demikian.
“Dengan keengganan memberi keterangan, Anwar telah menafikan peluang untuk membuktikan kebenaran, adakah Karpal yang menasihatkan Anwar supaya jangan memberi keterangan. Ini bukti jelas Anwar telah menzalimi diri sendiri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata, Anwar juga gagal mengemukakan tiga saksi dalam pembuktian pembelaan alibi itu namun mereka tidak datang ke mahkamah untuk memberi keterangan.
Selain itu katanya, pembangkang juga dicabar menjawab penangguhan kes Anwar melebihi 60 kali selepas Mohd. Saiful membuat laporan polis pada 2008 dan dia hanya disabitkan kesalahan selepas enam tahun.
Beliau turut mempersoalkan kenapa Anwar tidak menyaman Majlis Peguam kerana badan itu tidak menafikan kejadian liwat tersebut sebaliknya hanya mempertikaikan kenapa Mohd. Saiful tidak dituduh bersama Anwar atas dasar suka sama suka.
“Kes ini mencatat rekod penangguhan paling banyak dalam satu-satu perbicaraan iaitu melebihi 60 kali dan kebanyakannya atas permintaan Anwar, adakah ini satu kezaliman.
“Selama perbicaraan berlangsung sejak 2008, Anwar bebas atas jaminan dan masih bebas ke mana sahaja walaupun dijatuhkan hukuman lima tahun penjara sehingga rayuan di Mahkamah Persekutuan selesai, apakah ini juga kezaliman terhadap Anwar,” soalnya.
Zulkifli seterusnya berkata, Anwar diberi peluang untuk membersihkan namanya melalui sumpah, namun sehingga hari ini gagal dan enggan berbuat demikian walaupun tindakan itu merupakan peluang terbaik untuk dia menyerahkan sepenuhnya kepada Allah agar diberi petunjuk kebenaran dakwaan Saiful.
“Oleh itu, saya mencabar Anwar dan pembangkang menjawab fakta-fakta di atas atau mengakui Anwar sebenarnya telah menzalimi diri sendiri malah dia juga menzalimi umat Islam dan rakyat negara ini dengan mengheret mereka untuk menyelesaikan masalah peribadi antara dia dengan pembantunya sendiri,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140321/po_03/Anwar-Siapa-zalimi-siapa#ixzz2wYaSTt7f  © Utusan Melayu (M) Bhd 

KOMEN : HABIS SEMUA ORANG NAK DI KENCINGNYA… BAK KATA MAJLIS PEGUAM LIWAT TERJADI SEBAB SUKA SAMA SUKA….

Anwar, Azizah dicabar saman Christopher

KUALA LUMPUR 13 Mac – Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dicabar mengambil tindakan undang-undang ke atas Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong kerana mengeluarkan kenyataan perlakuan liwat Ketua Pembangkang itu dilakukan atas dasar suka sama suka.
Mursyidul Am Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI), Muhammad Zahid Md. Arip berkata, kenyataan Christopher yang diyakini dibuat atas dasar profesional itu secara langsung telah mengesahkanKetua Pembangkang itu terlibat dalam perlakuan homoseksual dan perkara tersebut perlu dijelaskan segera.
“Kenyataan ini adalah sesuatu yang serius apatah lagi dibuat Presiden Majlis Peguam. Walaupun Christopher mengkritik hukuman penjara ke atas Anwar tetapi beliau mengesahkan perlakuan liwat berlaku. Wan Azizah terutamanya perlu menjelaskan perkara ini kerana di Kajang beliau mendakwa kononnya Anwar telah dianiaya.
“Jika beliau merasakan suaminya ‘suci’, Wan Azizah perlu mengambil tindakan undang-undang ke atas Christopher. Saya percaya jika kenyataan begini dibuat pihak lain, pasti tindakan saman telah dibuat. Rakyat kini nak tengok sejauh mana keberanian Wan Azizah dan Anwar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pada 9 Mac lalu, menerusi kenyataan akhbar yang disiarkan di laman web rasmi Majlis Peguam, Christopher menyifatkan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan Mahkamah Rayuan ke atas Anwar sebagai tidak wajar kerana perbuatan liwat tersebut dakwanya ‘dilakukan atas dasar suka sama suka antara dua orang dewasa’.
Menurutnya, hukuman itu berasaskan kepada peruntukan ‘lapuk’ kerana kesalahan di bawah Seksyen 377A yang meletakkan liwat sebagai jenayah, hanya digunapakai jika perbuatan dilakukan atas dasar paksaan sedangkan dalam kes tersebut, perbuatan itu dilakukan atas dasar kerelaan mangsa.
Pada 7 Mac lalu, Anwar dihukum penjara setelah didapati bersalah oleh Mahkamah Rayuan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari 2012 yang melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan tersebut.
Dalam pada itu, Muhammad Zahid berkata, kenyataan Christopher dan keputusan Mahkamah Rayuan jelas membuktikan bahawa tindakan beliau dan sebahagian besar Pengasas Parti Keadilan Rakyat (PKR) meninggalkan Anwar adalah tepat kerana menyedari penyakit moral yang dihidapi Ketua Pembangkang itu sukar diubati.
“Pemimpin bukan sahaja perlu bersih dan mesti kelihatan bersih tetapi dalam kes Anwar ini, keputusan Mahkamah Rayuan serta kenyataan Christopher boleh diibaratkan sudah terang lagi bersuluh bahawa beliau menghadapi masalah moral yang kronik dan rakyat perlu insaf mengenai perkara ini,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140314/ma_03/Anwar-Azizah-dicabar-saman-Christopher#ixzz2vtwHyxFA  © Utusan Melayu (M) Bhd