Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 : Amri pastikan kemenangan sulung

FADHILUL IZMEL ISHAK | 14 Oktober 2015 12:05 AM
Amri Yahyah memastikan Malaysia membawa pulang tiga mata dari Dili apabila menjaringkan gol pada minit ke-10 dalam pertemuan dengan Timor Leste semalam.
KUALA LUMPUR – Jaringan Mohd. Amri Yahyah menghidupkan peluang tipis skuad Harimau Malaya apabila menumpaskan Timor Leste 1-0 untuk meraih kemenangan pertama mereka dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019.
Kemenangan itu menyaksikan pasukan negara melonjak satu anak tangga ke tempat keempat Kumpulan A, di belakang Palestin, selepas mengutip empat mata daripada lima perlawanan dengan mencatat satu kemenangan, seri sekali dan tewas tiga kali. Arab Saudi terus unggul di anak tangga pertama setelah menang semua perlawanan mereka dan diikuti oleh Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
Ini adalah kemenangan pertama jurulatih sementara skuad negara Datuk Ong Kim Swee dalam perlawanan kompetitif daripada dua perlawanan sejak menggantikan Dollah Salleh.
Bagaimanapun, ini adalah kemenangan kedua jurulatih Harimau Muda itu, setelah pasukan negara menang 3-1 ke atas Laos di Bangkok minggu lalu.
Malaysia akan menentang Palestin dalam perlawanan seterusnya pada 12 November.
Kejayaan menewaskan Timor Leste tersebut memberi kepuasan kepada Kim Swee apabila skuad negara kini kembali memberi saingan kepada pasukan lain dalam aksi dwi kelayakan tersebut setelah memulakan kempen dengan aksi longlai, termasuk seri dengan Timor Leste di Bukit Jalil.
“Sangat penting untuk kita mendapatkan tiga mata pertama di pe­ringkat kelayakan kerana kita tahu skuad negara memerlukan kemenangan untuk menghidupkan kembali peluang terutamanya untuk ber­akhir di tempat ketiga.
“Satu situasi yang sukar dengan cuaca yang panas (ketika perlawanan). Kita nampak pemain berusaha bersungguh-sungguh jadi gol yang diperoleh bagi saya cukup baik dan kami berjaya bertahan (tidak dibolosi) selama 90 minit permainan,” kata Kim Swee menerusi telefon.
Ketika ditanya mengenai hanya satu gol yang dihasilkan meskipun skuad negara mencipta beberapa peluang bagus, Kim Swee berkata: “Saya tidak peduli tentang apa yang berlaku dalam padang kerana yang penting kita dapat tiga mata.
“Kalau dapat tiga gol tapi dibolosi empat gol kita masih kalah. Apa yang mustahak adalah kita menang dan pemain perlu menjaga disiplin mereka. Saya fikir ini, untuk sekian lama, ini kali pertama kita tidak dibolosi… jadi bahagian pertahanan dan pemain lain telah membuktikan mereka boleh bertahan.”
Skuad negara hanya memerlukan 10 minit untuk berada di depan apabila penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Mohd. Amri, yang menjadi ketua pasukan menggantikan Mohd. Safiq Rahim yang tidak boleh disenaraikan pada saat-saat akhir, menjaringkan gol tunggal perlawanan selepas menerima hantaran lintang daripada Nazirul Naim Che Hashim.
Ketika perlawanan memasuki babak kedua gawang skuad negara berada dalam bahaya apabila Timor Leste kerap melakukan asakan, terutama percubaan daripada Rodrigro Sausa serta Ramon Saro hampir menyamakan kedudukan.
Mengulas mengenai ketiadaan arkitek Harimau Malaya, Mohd. Safiq dalam kesebelasan pasukan, Kim Swee memberitahu bahawa ia adalah disebabkan keputusan komisioner perlawanan yang tidak membenarkan pemain JDT itu diturunkan kerana mengutip kad kuning sewaktu menentang Palestin (16 Jun) dan Arab Saudi (8 September).
“Kita dimaklumkan oleh FIFA bahawa perlawanan menentang Arab Saudi digantung jadi pemain lawan yang menerima kad kuning dilupuskan. Kita menunggu sehingga pada saat akhir iaitu dalam mesyuarat komisioner perlawanan di sebelah petang (kelmarin) dan diberitahu Safiq boleh diturunkan.
“Bagaimanapun semalam (kelmarin) komsioner perlawanan memaklumkan Safiq tidak boleh bermain. Jadi saya terpaksa membuat sedikit pertukaran,” jelasnya.
Tambah Kim Swee keputusannya untuk membawa Safiq adalah bukan disebabkan salah faham cuma tidak mahu terlepas peluang untuk menggunakan khidmat pemain JDT itu sekira­nya kad kuning yang diterima­nya ketika menentang Arab Saudi tempoh hari tidak dikira.
Advertisements

Kelayakan ­Piala Dunia ­2018/Piala Asia 2019 : Tak gentar samba Timor Leste

Harimau Malaya turun dengan misi cari kemenangan di Dili
MOHAMMAD ROZAIDI ZULKIFLI | 13 Oktober 2015 12:14 AM












PASUKAN Harimau Malaya sempat bergambar di Dili semalam, sehari sebelum menghadapi Timor Leste hari ini.
KUALA LUMPUR – WALAUPUN Timor Leste membariskan ramai pemain naturalisasi, terutama dari Brazil, namun itu tidak menggetarkan Harimau Malaya apabila berdepan pasukan itu dalam kelayakan ­Piala Dunia ­2018/Piala Asia 2019 di Dili, hari ini.
Jurulatih Malaysia, Datuk Ong Kim Swee menegaskan, anak-anak buahnya sudah bersedia untuk bangkit daripada kekecewaan diikat Timor Leste 1-1 dalam perlawanan pertama mereka, Julai lalu.
Namun, beliau tetap mengi­ngatkan anak-anak buahnya supaya berwaspada dengan ancaman Timor Leste, yang sudah menunjukkan peningkatan berbanding pertemuan pertama kedua-dua pasukan, tiga bulan lalu.
“Persiapan kita berjalan baik, di mana kita sampai ke Dili dua hari lepas dan semua mengikut perancangan apa yang ingin saya lakukan. Saya harap esok (hari ini) kita akan dapat mempamer aksi terbaik.
“Timor Leste bertambah baik..kita nampak yang mereka mempunyai ramai pemain naturalisasi da­ripada Brazil.
“Kejayaan mereka mendapatkan mata ketika menentang Palestin (1-1) menunjukkan bahawa mereka pasukan yang cukup baik tetapi kita juga melakukan persiapan yang rapi kali ini,” katanya dalam sidang akhbar di Dili, semalam.
Dalam aksi pertama Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019, skuad negara diikat 1-1 dengan Timor Leste di Bukit Jalil.
Malaysia kini berada di kedudukan tercorot kumpulan A selepas sekadar mengumpul satu mata dengan tiga kekalahan berturut-turut.
Skuad Kim Swee membawa misi wajib menang ke atas Timor Leste untuk memperbaiki kedudukan, sekali gus mencerahkan peluang beraksi pada pusingan akhir Piala Asia 2019 nanti.
Mengulas mengenai jumlah ja­ringan, Kim Swee berkata, itu tidak penting kerana yang mustahak pa­sukannya menampilkan aksi terbaik dan menunjukkan disiplin serta fokus tinggi dalam perlawanan itu.
“Setiap kali kita bermain semestinya kita akan menjaringkan gol dan terpulanglah berapa jumlah gol dapat dihasilkan, tetapi yang pen­ting kita mendapat keputusan yang baik tidak kira satu, dua atau tiga gol.
“Kalau daripada segi fizikal, Timor Leste mempunyai kelebihan namun sebelum ini ketika perlawanan dengan Arab Saudi mereka juga mempunyai fizikal yang baik .
“Banyak lagi pasukan yang ada fizikal yang bagus, tetapi itu tidak boleh dijadikan alasan untuk pasukan negara tidak menampilkan aksi terbaik dan kita mempunyai kelebihan kita sendiri,” ujarnya.
Sementara itu, Kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim menuntut rakan-rakan sepasukan menunjukkan semangat juang yang tinggi dalam perlawanan menentang Timor Leste dan berharap dapat meneruskan momentum kemenangan ke atas Laos minggu lalu.
“Pertama sekali kita tahu pa­sukan Timor Leste bukan pasukan yang sama seperti dulu dan jelas sangat berbeza.
“Jadi kami perlu bersedia daripada segala aspek sama ada taktikal, posisi, kawalan bola dan sebagainya.
“Moral pemain lebih baik ketika ini selepas berjaya melakar kemenangan dengan Laos tempoh hari dan saya harap momentum itu dapat diteruskan dalam perlawanan esok.
“Saya percaya rakan-rakan pa­sukan mahu keputusan yang baik agar kita berada dalam landasan baik untuk saingan ke Piala Asia,” katanya.

WORLD CUP/PIALA ASIA : Jangan burukkan lagi keadaan

FADHILUL IZMEL ISHAK | 08 September 2015 12:29 AM
ONG KIM SWEE (baju merah) memberi arahan kepada pemain negara dalam latihan terakhir Harimau Malaya menjelang pertemuan dengan Arab Saudi di Stadium Shah Alam, semalam. utusan/Nasirruddin Yazid
KUALA LUMPUR – Sudahlah diaibkan 10-0 oleh Emiriyah Arab Bersatu (UAE), hilang jurulatih dan berdepan kemungkinan hilang Presiden, pa­sukan Malaysia bakal berdepan Arab Saudi pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 hari ini dalam keadaan serba tidak kena.
Justeru, jurulatih sementara Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee merayu kepada penyokong bola sepak negara agar tidak memburukkan lagi keadaan pasukannya dengan membuat kacau di Stadium Shah Alam.
Kata Kim Swee, pasukannya mungkin tidak mampu menjanjikan kemenangan, namun mereka berjanji akan mempamer aksi terbaik dan memberi tentangan kepada Arab Saudi, sekali gus me­nebus aib di Abu Dhabi.
“Sudah pasti tidak mudah buat kami melupakan mimpi ngeri (kalah kepada UAE) dalam masa yang singkat, tetapi pemain masih mempunyai satu hari lagi untuk bangkit dan saya harap mereka akan melakukannya.
“Kami perlukan peluang kedua, malah menagih sokongan daripada penyokong,” kata Kim Swee dalam sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Pada ketika Kim Swee merayu sokongan diberikan kepada skuad Harimau Malaya, pemainnya sendiri sebenarnya perlu melakukan sesuatu untuk kembali mendapat kepercayaan seluruh rakyat negara ini.
Mereka hanya akan memburukkan lagi keadaan sekiranya masih mempamer persembahan tidak bersemangat apabila menentang Arab Saudi, pasukan yang sama handal dengan UAE.
Kebanyakan peminat bola sepak Malaysia sedar untuk menewaskan gergasi Asia yang pernah beberapa kali merasai pentas Piala Dunia itu bukan perkara mudah.
Namun, apa yang dimahukan oleh mereka adalah satu persembahan bersungguh-sungguh ditunjukkan oleh pemain bola sepak negara.
Dalam erti kata lain, sekali pun tewas, usahlah sampai dibelasah dan tumbanglah dalam keadaan bermaruah.
“Saya harap menjelang perlawanan esok (hari ini) tiada sebarang gangguan diterima oleh pasukan. Anda perlu ingat banyak ­aspek serta faktor yang perlu dipertimbangkan sekiranya berlaku kekecohan.
“Peraturan sangat ketat dan saya harap peminat dapat datang memberi sokongan kepada pasukan negara. Saya harap dalam perlawanan esok tiada sebarang insiden yang tidak ­diingini berlaku dan semua orang akan pulang ke rumah dengan selamat,” kata Kim Swee lagi.
Katanya, meskipun Arab Saudi mendapat sentuhan bekas jurulatih Belanda, Bert van Marwijk yang pernah memimpin pasukan lama­nya layak ke final Piala Dunia 2010, namun faktor itu tidak akan menggentarkan Harimau Malaya.
Mereka pasti tidak mahu menghampakan penyokong di Stadium Shah Alam.