Anwar, Azizah dicabar saman Christopher

KUALA LUMPUR 13 Mac – Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dicabar mengambil tindakan undang-undang ke atas Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong kerana mengeluarkan kenyataan perlakuan liwat Ketua Pembangkang itu dilakukan atas dasar suka sama suka.
Mursyidul Am Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI), Muhammad Zahid Md. Arip berkata, kenyataan Christopher yang diyakini dibuat atas dasar profesional itu secara langsung telah mengesahkanKetua Pembangkang itu terlibat dalam perlakuan homoseksual dan perkara tersebut perlu dijelaskan segera.
“Kenyataan ini adalah sesuatu yang serius apatah lagi dibuat Presiden Majlis Peguam. Walaupun Christopher mengkritik hukuman penjara ke atas Anwar tetapi beliau mengesahkan perlakuan liwat berlaku. Wan Azizah terutamanya perlu menjelaskan perkara ini kerana di Kajang beliau mendakwa kononnya Anwar telah dianiaya.
“Jika beliau merasakan suaminya ‘suci’, Wan Azizah perlu mengambil tindakan undang-undang ke atas Christopher. Saya percaya jika kenyataan begini dibuat pihak lain, pasti tindakan saman telah dibuat. Rakyat kini nak tengok sejauh mana keberanian Wan Azizah dan Anwar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pada 9 Mac lalu, menerusi kenyataan akhbar yang disiarkan di laman web rasmi Majlis Peguam, Christopher menyifatkan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan Mahkamah Rayuan ke atas Anwar sebagai tidak wajar kerana perbuatan liwat tersebut dakwanya ‘dilakukan atas dasar suka sama suka antara dua orang dewasa’.
Menurutnya, hukuman itu berasaskan kepada peruntukan ‘lapuk’ kerana kesalahan di bawah Seksyen 377A yang meletakkan liwat sebagai jenayah, hanya digunapakai jika perbuatan dilakukan atas dasar paksaan sedangkan dalam kes tersebut, perbuatan itu dilakukan atas dasar kerelaan mangsa.
Pada 7 Mac lalu, Anwar dihukum penjara setelah didapati bersalah oleh Mahkamah Rayuan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari 2012 yang melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan tersebut.
Dalam pada itu, Muhammad Zahid berkata, kenyataan Christopher dan keputusan Mahkamah Rayuan jelas membuktikan bahawa tindakan beliau dan sebahagian besar Pengasas Parti Keadilan Rakyat (PKR) meninggalkan Anwar adalah tepat kerana menyedari penyakit moral yang dihidapi Ketua Pembangkang itu sukar diubati.
“Pemimpin bukan sahaja perlu bersih dan mesti kelihatan bersih tetapi dalam kes Anwar ini, keputusan Mahkamah Rayuan serta kenyataan Christopher boleh diibaratkan sudah terang lagi bersuluh bahawa beliau menghadapi masalah moral yang kronik dan rakyat perlu insaf mengenai perkara ini,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140314/ma_03/Anwar-Azizah-dicabar-saman-Christopher#ixzz2vtwHyxFA  © Utusan Melayu (M) Bhd 


Kes Sodomi II: Bila hakim bicara salah arah diri

SALLEH BUANG





BAGI kebanyakan orang, andainya seorang itu disabitkan kesalahan yang membawa hukuman penjara, sebaik-baik sahaja tamat prosiding di mahkamah, dia akan terus dibawa ke penjara untuk menjalani hukumannya.
Tapi Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sebarangan orang. Dia mantan Timbalan Perdana Menteri, orang kuat PKR dan Ketua Pembangkang di Parlimen. Mengikut orang kanannya Azmin Ali, Anwar ialah “seorang figura awam terkemuka di peringkat global.”
Walaupun Anwar telah disabitkan kesalahan liwat pada Jumaat 7 Februari 2014 lalu oleh Mahkamah Rayuan dan dijatuhi hukuman penjara lima tahun, pasukan peguamnya telah segera memohon penangguhan pelaksanaan hukuman penjara itu sambil menunggu mendapatkan izin Mahkamah Persekutuan untuk membuat rayuan selanjutnya terhadap sabitan itu.
Pada Jumaat lalu, Mahkamah Rayuan telah mengetepikan keputusan hakim bicara Mohd Zabidin Mohd Diah, yang mendapati Anwar tidak bersalah meliwat bekas pembantunya Mohd. Saiful Bukhari Azlan. Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 9 Januari 2012.
Walaupun buat sementara waktu Anwar terus bebas dan tak perlu masuk penjara, beberapa persoalan penting terus menjadi tanda tanya. Apakah Anwar terpaksa mengosongkan kerusinya di Permatang Pauh? Apakah dia akan dibenarkan bertanding di Pilihan Raya Kecil Kajang yang akan berlangsung tidak lama lagi? Andainya dia boleh bertanding dan menang, apakah dia akan berjaya mencapai cita-citanya menjadi Menteri Besar Selangor yang baharu menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim?

Kes Sodomi II
Anwar dituduh melakukan kesalahan meliwat pembantunya (pada masa itu) Saiful Bukhari pada 7 Ogos 2008. Dua tahun berlalu sebelum akhirnya pada 1 Februari 2010 dia tampil di mahkamah untuk dibicarakan di hadapan Hakim Mohd Zabidin Mohd Diah.
Kes ini dipanggil sebagai kes ‘Sodomi II’ kerana sebelum ini Anwar telah pun menghadapi pertuduhan meliwat seorang lain (Azizan Abu Bakar, bekas pemandu isterinya), di mana dia disabitkan oleh Mahkamah bicara tetapi akhirnya dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan atas alasan manfaat keraguan (the benefit of the doubt) mesti diberi kepadanya.
Empat bulan selepas kes Sodomi II ini mula didengar, pada 16 Mei 2010 hakim bicara Mohd Zabidin mendapati pasukan pendakwa telah berjaya mengemukakan kes prima facie terhadap tertuduh. Oleh itu Anwar dipanggil membela diri.
Apa yang menghairankan banyak pihak adalah walaupun di peringkat awal hakim bicara puas hati ada kes prima facie terhadap Anwar, pada 9 Januari 2012 hakim mendapati Anwar tidak bersalah. Hakim memutuskan demikian kerana pada pendapatnya “integriti sampel yang diambil untuk ujian DNA daripada Saiful” tidak 100 peratus jelas dan meyakinkan.
Hakim bicara itu juga telah menyatakan adalah tidak selamat untuk mensabitkan tertuduh selepas mendapati tiada bukti kukuh bagi menyokong keterangan Saiful Bukhari selain tidak selamat untuk mahkamah bergantung kepada bukti DNA.
Prinsip penting ini perlu kita fahami, iaitu Anwar dibebas dan dilepaskan oleh hakim bicara kerana sebagai tertuduh dia berhak diberi the benefit of the doubt tentang kesahihan keputusan ujian sampel DNA berkenaan.
Terkilan dengan keputusan acquittal and discharge hakim bicara inilah pasukan pendakwa telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan. Sekarang, kira-kira dua tahun selepas itu, tiga hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara mendapati hakim bicara telah gagal membuat penilaian sewajarnya terhadap keterangan yang dikemukakan di mahkamah, termasuklah keterangan yang diberi oleh Jude Pereira, salah seorang saksi pasukan pendakwa.
Mengikut Mahkamah Rayuan, tidak ada alasan bagi hakim bicara membuat dapatan yang berbeza di peringkat prosiding yang berbeza. Jika dulu, sewaktu mendapati ada kes prima facie di penghujung kes pendakwaan, hakim bicara ada menyatakan Jude Pereira ialah seorang saksi yang boleh dipercayai, berkelayakan dan berpengalaman dalam keputusannya (an impeccable, qualified and experienced witness), kenapa kemudian (setelah mendengar pasukan pembelaan mengemukakan kesnya) hakim bicara berpendapat sebaliknya pula?
Mengikut Hakim Datuk Balia Yusof Wahi, yang menyampaikan keputusan bagi pihak panel tiga hakim Mahkamah Rayuan; “Tiada sebab Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur perlu berganjak dengan hasil penemuan yang dibuat di akhir kes pendakwaan yang sempurna, lengkap dan tanpa kecacatan,”.
Oleh yang demikian, Mahkamah Rayuan memutuskan – “Kita dapati hakim bicara telah membuat salah arah diri mengenai integriti keterangan. Kita benarkan rayuan dan ketepikan penghakiman Mahkamah Tinggi.”
Kes Sodomi II Anwar Ibrahim mengambil masa hampir enam tahun dari peringkat mula hingga peringkat pertengahan ini. Pastinya kini pasukan peguamnya akan merayu ke Mahkamah Persekutuan. Mengikut prosedur, mereka terpaksa mendapatkan izin Mahkamah Persekutuan terlebih dahulu. Ramai menjangka izin akan diberi, seperti yang telah berlaku dalam kes Sodomi I dulu.

Hakim fakta dan hakim undang-undang
Setelah sistem juri dimansuhkan di negara ini, setiap hakim bicara yang mengendalikan kes jenayah itu akan memainkan dua peranan penting – dia ialah hakim undang-undang (judge of law), dan dia juga ialah hakim fakta (judge of fact).
Apabila hakim bicara menerima keterangan di mahkamah (menerusi saksi biasa dan saksi pakar) serta menilai barang bukti (weight of the evidence) seperti sampel DNA dan sebagainya, hakim bicara (sebagai hakim fakta) akan membuat dapatan fakta (finding of fact). Dia akan melihatnya dari sudut soalan: “Apakah sudah cukup fakta untuk mensabitkan tertuduh?”
Selain itu, hakim bicara juga akan mendengar hujah daripada kedua-dua pihak (pasukan pendakwa dan pasukan peguam bela tertuduh) mengenai undang-undang. Setiap isu undang-undang, kecil atau besar, perlu diperhatikan, hujah kedua-dua pihak didengar dan dinilai, dan akhirnya barulah boleh diputuskan sama ada pasukan pendakwa telah dapat membuktikan hingga melampaui keraguan yang munasabah bahawa tertuduh benar-benar bersalah.
Tertuduh tidak boleh disabitkan hanya disebabkan syak sahaja (merely on suspicion). Tertuduh tidak boleh disabitkan jika hakim bicara masih ragu-ragu lagi tentang fakta dan tentang undang-undang.
Dalam kes Sodomi II ini, hakim bicara tidak yakin dengan integriti sampel DNA dan kredibiliti saksi pendakwa bernama Jude Pereira. Oleh itu dia menyatakan “adalah tidak selamat untuk mensabitkan tertuduh”.
Semasa kita masih mengamalkan sistem juri dulu, hakim bicara ialah hakim undang-undang manakala juri kita ialah hakim fakta. Persoalan sama ada tertuduh sabit ataupun tidak, keputusan ini akan dibuat oleh juri setelah juri mendengar ‘arahan’ daripada hakim bicara.
Kini bila sistem juri tidak diamalkan lagi, hakim bicara terpaksa memutuskan sendiri tentang fakta dan undang-undang. Dia akan membuat dapatan fakta (finding of fact) dan membuat keputusan tentang undang-undang (ruling on the law).
Di sinilah seorang hakim fakta itu boleh membuat khilaf atau silap, dan kesilapan inilah yang dipanggil ‘salah arah diri’ bila keputusannya itu diperiksa dan diteliti semula oleh mahkamah di peringkat rayuan.
Sekiranya salah arah diri hakim bicara itu didapati mencacatkan atau menjejaskan penghakimannya, keputusan hakim bicara itu terpaksa diketepikan. Inilah yang berlaku dalam kes Sodomi II.

* PENULIS ialah Penganalisis Undang-undang

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140309/re_08/Kes-Sodomi-II-Bila-hakim-bicara–salah-arah-diri#ixzz2vcpWjfBz  © Utusan Melayu (M) Bhd 


Anwar fail rayuan, bayar jaminan

Oleh AMIRUDDIN HARUN
pengarang@utusan.com.my




KUALA LUMPUR 10 Mac – Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun terhadapnya setelah didapati bersalah atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, hampir enam tahun lalu.
Notis rayuan tersebut difailkan melalui peguamnya, Ramkarpal Singh di kaunter pendaftaran Mahkamah Rayuan di sini kira-kira pukul 10.30 pagi dan salinannya turut diserahkan kepada Mahkamah Persekutuan.
Anwar mengemukakan rayuan setelah tidak berpuas hati dengan hukuman dan sabitan atas pertuduhan itu yang diputuskan oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Datuk Balia Yusof Wahi pada Jumaat lalu.
Menurut Ramkarpal, notis rayuan tersebut difailkan hari ini sebagaimana yang dikehendaki oleh mahkamah walaupun pihaknya mempunyai tempoh selama 14 hari untuk berbuat demikian.
Beliau turut memberitahu, pihaknya mempunyai tempoh 10 hari untuk memfailkan petisyen rayuan sebaik sahaja menerima alasan penghakiman daripada Mahkamah Rayuan.
Setakat ini tiada tarikh ditetapkan untuk sebarang prosiding di Mahkamah Persekutuan.
Sementara itu, Anwar hari ini turut membayar wang jaminan RM10,000 seperti yang diperintahkan oleh Mahkamah Rayuan, dengan seorang penjamin iaitu ketua staf di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ibrahim Yaakob.
Anwar menandatangani dokumen ikat jamin di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan (Bahagian Jenayah), Darmafikri Abu Adam setelah tiba di Istana Kehakiman di sini kira-kira pukul 12.25 tengah hari, hampir satu jam setengah lewat dari masa pukul 11 pagi yang ditetapkan oleh Mahkamah Rayuan, Jumaat lalu.
Kelewatan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu adalah disebabkan beliau menghadiri majlis pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua Parlimen Ke-13 oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muaazam Shah di ibu negara.
Yang turut hadir ialah abang Anwar, Rosli Ibrahim.
Pada 7 Mac lalu, Anwar dihukum penjara lima tahun setelah didapati bersalah oleh Mahkamah Rayuan kerana meliwat Mohd. Saiful Bukhari sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari 2012 yang melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan tersebut.
Panel tiga hakim berkenaan memutuskan demikian ketika membenarkan rayuan pihak pendakwaan setelah mendapati hakim bicara terkhilaf apabila menyatakan bahawa integriti sampel asid deoksiribonukleik (DNA) dalam kes itu telah tercemar.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan hukuman itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan dan memerintahkan Anwar membayar ikat jamin RM10,000.
Anwar, 67, disabit bersalah meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 28, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di ibu negara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.
Penasihat PKR itu didakwa di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140311/ma_01/Anwar-fail-rayuan-bayar-jaminan#ixzz2vcc7eiCy  © Utusan Melayu (M) Bhd 

KOMEN : PERCAYA KE DIA DENGAN HAKIM MAHKAMAH PERSEKUTUAN…

Anwar cuba raih simpati, dakwa wujud konspirasi

PUTRAJAYA 7 Mac – Datuk Seri Anwar Ibrahim terus cuba meraih simpati apabila sekali lagi mendakwa wujud konspirasi sehingga menyebabkan Mahkamah Rayuan hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadapnya kerana meliwat bekas pembantu peribadi, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 28.
Beliau yang sebelum ini berkali-kali memohon penangguhan kes tersebut turut menuduh barisan hakim yang bersidang membuat keputusan berdasarkan kepentingan politik bukannya mengikut fakta dan undang-undang.
Ketua Pembangkang itu mendakwa, keputusan tersebut telah ditetapkan oleh pemimpin Barisan Nasional (BN) untuk memastikan dia tidak dapat bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang 23 Mac ini.
“Secara terang-terangan keputusan ini tidak mengambil kira fakta dan undang-undang, namun saya mengucapkan terima kasih kepada pasukan peguam saya atas usaha yang baik.
“Namun malang sekali para hakim tidak mengambil kira fakta dan undang-undang, menunjukkan mereka seperti telah mendapat arahan dan hilang sabar ketika menjatuhkan hukuman,” dakwanya.
Beliau memberikan reaksi itu di luar mahkamah terhadap sabitan penjara yang dijatuhkan ke atasnya, di sini hari ini.
Sebelum itu, beberapa bekas rakan Anwar menyifatkan keputusan mengejut Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang bagi membolehkan Ketua Pembangkang itu bertanding di kawasan tersebut dipercayai satu sandiwara politik untuk menyelamatkannya daripada hukuman terhadap tuduhan liwat buat kali kedua.
Bekas Setiausaha Sulitnya, Muhammad Rahimi Osman mendakwa, beliau mendapat maklumat itu daripada sumber dalaman PKR bahawa perbalahan antara Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali adalah perkara biasa yang tidak akan menyebabkan Anwar mengambil langkah drastik itu sehingga membelakangkan pimpinan pakatan pembangkang.
“Tindakan Anwar bertanding di DUN Kajang merupakan langkah politik untuk memberi tekanan kepada pihak berkuasa dalam rayuan kes liwat beliau.
“Melalui pertandingan dalam pilihan raya kecil, populariti Anwar akan meningkat dan jika Anwar diletakkan menjadi Menteri Besar Selangor, maka akan terdapat satu tekanan kepada pihak berkuasa dalam kes liwat beliau,” dakwanya.
Ahli Dewan Negara, Ezam Mohd. Noor pula berkata, jawatan Menteri Besar Selangor bukan matlamat utama yang mendorong Anwar untuk bertanding bagi mengisi kekosongan kerusi DUN Kajang.
Beliau yang juga bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyifatkan tindakan Anwar itu sebagai ‘mempolitikkan kes liwat ke tahap maksimum’.
“Saya tidak hairan dengan ‘drama’ Anwar kali ini kerana Penasihat PKR itu cuma mengulangi episod yang sama dengan Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh pada 2008,” dakwanya.
Sementara itu, peguam Anwar, Karpal Singh berkata, pihaknya akan membayar wang jaminan dan mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan Isnin ini.
Menurut Karpal, keputusan itu juga menyebabkan Anwar hilang kelayakan untuk bertanding pada PRK DUN Kajang.
“Beliau tidak boleh dicalonkan pada penamaan calon 11 Mac ini. Kami akan kemuka rayuan untuk kes ini pada hari Isnin dan Anwar juga akan hadir,” katanya ringkas.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140308/ma_02/Anwar-cuba-raih-simpati-dakwa-wujud-konspirasi#ixzz2vcZyFUHb  © Utusan Melayu (M) Bhd 

KOMEN : DIA MANA NAK NGAKU SALAH…SEMUA SALAH UMNO… BAK KATA MAJLIS PEGUAM… DIA MELIWAT SUKA SAMA SUKA… KAT US BOLEH KOT KAT MALAYSIA TETAP JENAYAH…

‘Bukti terlebih cukup sabitkan Anwar’

Oleh SUWARNI MOKHTAR
pengarang@utusan.com.my




Muhammad Shafee Abdullah bercakap sesuatu kepada wartawan selepas penangguhan mendengar rayuan kes liwat Anwar Ibrahim di Mahkamah Rayuan Istana Kehakiman, Putrajaya, semalam. – UTUSAN/SAIFUL BAHARI ASHARI

PUTRAJAYA 6 Mac – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya disabitkan dengan pertuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan ekoran bukti-bukti yang dikemukakan mencukupi malah terlebih cukup untuk mendapatinya bersalah.
Peguam, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan kes terbabit menyatakan, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu walaupun menafikan melakukan perbuatan itu namun tidak pernah menyangkal bahawa beliau berada pada masa, tarikh dan tempat yang dinyatakan dalam tuduhan.
Selain itu, Muhammad Shafee menghujahkan, Anwar tidak pernah sekali pun memanggil saksi alibi bagi menyokong keterangannya di samping tidak berani untuk memberi keterangan secara bersumpah.
Tidak cukup dengan itu, keterangan bela diri Anwar dari kandang tertuduh lebih bersifat jahat kerana sebahagian besar kenyataannya hanyalah menyalahkan orang lain di samping menyatakan bahawa pertuduhan ke atasnya adalah konspirasi politik.
Beliau berkata demikian pada prosiding rayuan pihak pendakwaan di Mahkamah Rayuan di sini hari ini.
Anwar, 67, dilepas dan dibebaskan pada 9 Januari 2012 daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari, 28, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di ibu negara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.
Prosiding hari ini didengar oleh panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Balia Yusof Wahi yang bersidang bersama-sama Datuk Aziah Ali dan Datuk Mohd. Zawawi Salleh.
Terdahulu, peguam terbabit menyatakan persoalan utama yang perlu diputuskan ialah sama ada asid deoksiribonukleik (DNA) yang diperoleh telah dikacau ganggu (tempered).
Beliau berkata, Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf apabila tersalah faham bahawa botol-botol berisi spesimen telah dikacau ganggu oleh pegawai penyiasat, Supritendan Judy Blacious Pereira sedangkan saksi pendakwaan ke-25 itu hanya memotong beg plastik yang berisi 11 botol sampel.
Judy dalam keterangannya sebelum ini menyatakan, dia berbuat demikian kerana mematuhi Arahan Tetap Ketua Polis (IGSO) yang menetapkan bahawa setiap sampel perlu dibungkus dan ditanda secara berasingan sebelum dimasukkan di dalam beg plastik besar.
Ahli kimia, Dr. Seah Lay Hong dalam keterangannya juga mengesahkan bahawa botol-botol sampel yang berisi calitan putik kapas yang diambil dari pelbagai bahagian tubuh Mohd. Saiful Bukhari termasuk dubur dan rektum tidak mempunyai sebarang tanda telah dikacau ganggu.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah ketika membebaskan Anwar daripada pertuduhan tersebut menyatakan, adalah tidak selamat untuk mensabitkan tertuduh selepas mendapati tiada bukti kukuh bagi menyokong keterangan Mohd. Saiful Bukhari selain tidak selamat untuk mahkamah bergantung kepada bukti DNA.
Menurut beliau, selepas meneliti bahan bukti, mahkamah tidak boleh seratus peratus pasti bahawa integriti sampel DNA yang diambil daripada Mohd. Saiful Bukhari tidak terjejas menyebabkan mahkamah hanya mempunyai keterangan mangsa selaku saksi pendakwaan pertama.
Namun beliau berkata, bagi kesalahan seksual di peringkat kes pembelaan, mahkamah keberatan untuk mensabitkan tertuduh hanya berdasarkan kepada keterangan Mohd. Saiful Bukhari tanpa bukti sokongan lain. Muhammad Shafee dalam hujahnya turut menyatakan, segala dakwaan konspirasi Anwar adalah tidak berasas.
“Tiada bukti yang menunjukkan bahawa Judy telah bersubahat dengan ahli-ahli kimia untuk mengganggu sampel DNA.
“Sekiranya adapun, dari mana pegawai penyiasat hendak mendapatkan sampel air mani Anwar yang berusia empat hari bagi menunjukkan adanya kesan degredasi.
“Manusia biasa pun akan melindungi atau menjaga air maninya, inikan pula seorang kenamaan yang mendakwa sentiasa terdapatnya konspirasi untuk menjatuhkannya, maka mestilah beliau lebih menjaga dan melindungi air maninya daripada disalahgunakan,” katanya.
Tambahnya, kredibiliti saksi-saksi pakar yang dibawa dari luar negara oleh Anwar juga diragui kerana hanya bersandarkan kepada buku teks dan manual sedangkan saksi-saksi pakar pendakwaan terlibat sendiri dalam proses menganalisis DNA.
Sementara itu, peguam Karpal Singh yang mewakili Anwar menghujahkan bahawa mahkamah hari ini perlu mengambil kira bukan sahaja bukti yang telah dikemukakan tetapi juga pemerhatian yang dibuat oleh hakim yang menjalankan perbicaraan.
Tambahnya, Mahkamah Rayuan tidak seharusnya mendengar hujah pihak pendakwaan yang hanya bertujuan meracuni pemikiran mahkamah.
Seorang lagi peguam Anwar, Ramkarpal Singh pula ketika berhujah menyatakan, mahkamah seharusnya menolak rayuan ini atas alasan saksi pakar dalam keterangannya menyatakan telah berlaku pencemaran dalam sampel-sampel DNA yang diambil.
Pendengaran rayuan bersambung esok dengan Muhammad Shafee akan membalas hujah peguam-peguam Anwar.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140307/ma_03/Bukti-terlebih-cukup-sabitkan-Anwar#ixzz2vF6ItSJO  © Utusan Melayu (M) Bhd

Rayuan pendakwaan diteruskan

Oleh SUWARNI MOKHTAR
pengarang@utusan.com.my




PUTRAJAYA 5 Mac – Sehingga ke saat-saat akhir, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih berusaha untuk menangguhkan rayuan pihak pendakwaan terhadap perintah pembebasan Ketua Pembangkang itu daripada pertuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.
Percubaan ad-hoc di mahkamah tertinggi negara, Mahkamah Persekutuan itu bagaimanapun menemui kegagalan apabila panel lima hakim yang diketuai oleh Tan Sri Abdull Hamid Embong memutuskan bahawa permohonan penangguhan interim (sementara) yang didengar pada pukul 4.30 petang tidak mempunyai sebarang merit.
Panel tersebut juga sebulat suara menyatakan bahawa mereka tidak mempunyai sebarang alasan untuk mengganggu keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak permohonan Ahli Parlimen Permatang Pauh untuk menangguhkan pendengaran rayuan pihak pendakwaan yang dijadualkan esok dan lusa.
Yang turut bersidang ialah Hakim-Hakim Tan Sri Ahmad Maarop, Datuk Hasan Lah, Datuk Seri Zaleha Zahari dan Datuk Ramly Ali.
Anwar melalui peguam-peguamnya, Karpal Singh dan R. Sivarasa memohon penangguhan pendengaran rayuan itu hari ini selepas memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan, Isnin lalu yang menolak permohonan kali ketiganya untuk menyingkirkan peguam, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah daripada mengetuai pasukan pendakwaan.
Pendengaran permohonan ad hoc itu dibuat selepas Karpal menemui Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria di kamar hakim pada petang ini.
Alasan yang diberikan ialah panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Datuk Balia Yusof Wahi telah mengeluarkan penghakiman penuh berhubung keputusan yang dibuat pada 3 Mac lalu.
Selain itu, panel tersebut turut menolak permohonan Anwar untuk menangguhkan pendengaran rayuan itu atas alasan tiada sebarang keadaan istimewa yang membolehkan rayuan itu ditangguhkan walaupun pihak pembelaan ingin merayu di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan tersebut.
Mahkamah tersebut juga menyatakan terdapat elemen yang menunjukkan permohonan ketiga untuk menyingkirkan Muhammad Shafee dibuat atas tujuan melengah-lengahkan rayuan pihak pendakwaan yang pada ketika ini bergerak begitu perlahan seperti siput ekoran tiada sebarang perkembangan sejak Julai 2013.
Dua percubaan Anwar untuk menggugurkan Muhammad Shafee daripada mengetuai pihak pendakwaan dalam rayuan kes liwatnya sebelum ini telah ditolak sehingga ke peringkat Mahkamah Persekutuan.
Pendengaran rayuan itu pula sebelum ini telah tertangguh sebanyak tiga kali.
Anwar, 67, dilepas dan dibebaskan pada 9 Januari 2012 daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari, 28, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di ibu negara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.
Keputusan itu dibuat selepas perbicaraan kes liwat itu tertangguh sebanyak 69 kali.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140306/ma_02/Rayuan-pendakwaan-diteruskan#ixzz2v9C0QAlD  © Utusan Melayu (M) Bhd