Piala FA: Kelantan, Perak, PP, JDT II dan Sime Darby mara suku akhir

SELASA, 17 MAC 2015 @ 11:14 PM
Oleh Wan Fakhrul Bakar I Shamsul Kamal Amarudin I Nor Izuan Shamsuddin I Amin Jalil I Bashah Zainol Abidin  bhsukan@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Sime Darby FC mencipta kejutan apabila membenam pasukan pilihan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) 4-2, malam ini untuk gah mara ke suku akhir kejohanan bola sepak Piala FA, musim ini.
Turut layak ke kelompok lapan terakhir selepas tamat pusingan ketiga ini adalah Kelantan, Perak, Pulau Pinang dan Johor Darul Ta’zim (JDT II) yang masing-masing merakamkan kemenangan penting.
Di Stadium Selayang, pasukan tercorot Liga Super, Sime Darby menyingkirkan pasukan tangga kedua liga, PDRM untuk melangkah bergaya ke suku akhir bertemu Kelantan.
Ketinggalan seawal 39 saat permainan dimulakan menerusi penyudah kemas penyerang import PDRM, Dramane Traore, Sime Darby kendalian Ismail Zakaria bangkit membalas dua gol hasil tandukan Dilshod Sharofetdinov pada minit ke-44 dan tandukan Ivan Dragicevic m-48.
Biarpun PDRM kendalian Azman Adnan berjaya menyamakan kedudukan 2-2 menerusi Mohamadou Sumareh pada minit ke-63, Sime Darby yang muncul naib juara pada 2012 kembali garang menambah dua lagi gol menerusi Nemanja Vidakovic pada minit ke-75 dan 79.
Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, gol daripada Lee Gil Hoon pada minit ke-80 mengesahkan Pulau Pinang kemenangan selepas menewaskan Negeri Sembilan Matrix 2-1.
Terdahulu, pemain tuan rumah, Shahrizal Mohd Saad memberi gol pendahuluan seawal minit kedua sebelum pemain Pulau Pinang, Alberto Goncalves tampil menyamakan kedudukan pada minit ke-12.
Di Stadium Sultan Muhammad IV, Kelantan layak selepas menewaskan Kuala Lumpur 1-0 dengan gol tunggal menerusi Wan Zack Haikal pada minit ke-64.
Di Stadium Perak, Woong Nam Kung menjaringkan dua gol pada minit ke-16 dan 31 membantu Perak menewaskan T-Team 2-1.
Terdahulu, pelawat mendahului pada minit ke-14 menerusi jaringan Farhod Tadjiev.
Di Stadium Darulaman, JDT II menewaskan tuan rumah, Kedah 1-0 dengan Muhammad Akram muncul wira pasukan menerusi jaringan tunggal pada minit ke-88.
PEMAIN Kedah, Seungwhan Bang (kiri) diasak oleh pemain Johor Darul Ta’zim II, Che Rashid Che Halim ketika perlawanan pusingan ketiga, Piala FA di di Stadium Darul Aman, malam ini. – Foto Sharul Hafiz Zam


PIALA FA : Khairul Azhan wira Tok Gajah

Selamatkan dua penalti, Pahang singkir JDT
MOHAMAD SHOFI MAT ISA | 03 Mac 2015 1:18 AM
Pemain Pahang meraikan kejayaan menyingkirkan JDT pada pusingan kedua Piala FA di Kuantan, semalam. – UTUSAN/AHMAD ZAKKIJILAN
KUANTAN – KHAIRUL Azhan Md. Khalid muncul wira Tok Gajah apabila menyelamatkan dua sepakan penalti untuk membantu Pahang menyingkirkan Johor Darul Ta’zim (JDT) daripada saingan Piala FA di Stadium Darul Makmur, semalam.
Pahang yang turun selaku juara bertahan menang menerusi penentuan sepakan penalti 4-2 selepas masa penuh permainan terikat 1-1.
Khairul Azhan yang tenang menjaga gawang, menyelamatkan ten­dangan Luciano Figueroa dan Junior Eldstal, sekali gus membawa Pahang menempah pertemuan de­ngan MISC-MIFA di pusingan ketiga.
Sebulan selepas tumpas 0-2 kepada JDT dalam perlawanan sumbangsih di Larkin, kemenangan ini melunaskan dendam Tok Gajah.
Sepakan penalti Pahang berjaya disempurnakan Matias Conti, Damion Steward, Zeshan Rehman dan Mohd. Razman Roslan, manakala penalti JDT dijaringkan Safee Sali dan Hariss Harun.
Dalam perlawanan itu, tuan rumah terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-20 apabila Conti melakukan tandukan deras menewaskan penjaga gol JDT, Mohd. Farizal Marlias.
Jaringan tersebut berpunca daripada hantaran cantik orang besi Pahang, Dickson Nwakame yang me­lakukan gerakan solo menewaskan pertahanan lawan sebelum membuat hantaran yang disambar Conti yang tidak dikawal di depan gawang lawan.
Bermula separuh masa pertama, Pahang tidak menunggu lama de­ngan asakan berterusan dilakukan ke kubu lawan dan beberapa kali berjaya memperoleh sepakan penjuru.
Minit ke-15, Pahang memiliki peluang cantik untuk membuka jaringan, namun tolakan pemain tengah, R. Gopinathan yang berjaya melepasi pertahanan JDT, Marcos Antonio Elias Santos dapat ditepis oleh Mohd. Farizal.
Selepas itu, kedua-dua pasukan saling melakukan serangan de­ngan Pahang lebih mendominasi permainan, namun JDT turut memiliki peluang me­nyamakan kedudukan dan pada minit ke-38 tandukan Mohd. Fadli Shas melepasi gawang.
Taktik Bojan Hodak memasukkan Figueroa pada minit ke-78 bagi menggantikan Mahali Jasuli berjaya menambahkan bisa serangan Harimau Selatan.
Pada minit ke-80 JDT akhirnya mendapatkan gol penyamaan yang dijaringkan Hariss melalui rembatan deras menewaskan Khairul Azhan.
Turut menyaksikan perlawanan itu, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah dan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin.

PIALA FA : Tolong jangan buat kacau

700 anggota polis, rela kawal aksi Pahang – JDT

MOHAMAD SHOFI MAT ISA | 02 Mac 2015 12:42 AM
PENYOKONG Pahang dan JDT diharap mampu mengawal diri apabila menonton aksi ‘panas’ kedua-dua pasukan dalam perlawanan Piala FA di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam ini.
KUANTAN – Sejarah ‘panas’ antara Pahang dan Johor Darul Ta’zim (JDT) memaksa penganjur meletakkan 700 anggota keselamatan untuk mengawal perlawanan dua gergasi bola sepak tempatan itu dalam sai­ngan Piala FA di Stadium Darul Makmur, malam ini.
Jika Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini berjanji akan menugaskan pengadil terbaik untuk mengendalikan perlawanan tersebut, Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) pula memberi jaminan akan menyediakan keselamatan terbaik.
Hubungan tegang dua jaguh bola sepak tempatan ini sudah berlaku sejak musim lalu, namun ia bertambah panas sejak insiden penyokong JDT memaparkan kain rentang gergasi manusia berkepala anjing dalam perlawanan sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah di Larkin, Januari lalu.
Malah, baru-baru ini, Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) tidak berpuas hati dengan alasan penundaan perlawanan Piala FA yang yang pada mulanya dijadualkan semalam dengan mendakwa PBNP ‘menipu’ berhubung kepulangan mereka di tanah air.
“Kita mengambil kira segala isu yang timbul antara kedua-dua pasukan, termasuk apa sahaja yang dinyatakan dalam laman sosial yang menjangkakan perlawanan bakal panas dan sengit.
“Kita sentiasa berjaga-jaga dan melakukan kawalan sehingga penyokong kedua-dua pasukan me­ninggalkan stadium. Harap tiada insiden yang tidak diingini berlaku.
“Apapun kawalan pasti rapi pada malam itu kerana apa yang kita mahu perlawanan berlangsung dengan aman serta lancar tanpa timbul provokasi melampau antara penyokong Pahang dan JDT,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Perlawanan PBNP, Raja Mustafa Shah Raja Jalil Shah kepada Utusan Malaysia semalam.
Menurut Raja Mustafa, lebih 700 anggota yang terdiri daripada polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) akan mula berkawal di Stadium Darul Makmur seawal jam 2 petang sehingga perlawanan tamat.
Kawalan itu bagi memastikan perlawanan berlangsung aman tanpa insiden tidak diingini, terutama membabitkan penyokong di dalam dan luar stadium.
Raja Mustafa Shah dalam pada itu berkata, PBNP menyeru penyokong mengekalkan disiplin baik dan mengelakkan insiden tidak diingini bagi memastikan perlawanan antara Pahang dan JDT berlangsung dengan lancar.
Sebelum ini, persatuan tersebut kesal dengan tindakan segelintir penyokong membakar suar selepas tamat perlawanan berdepan Selangor di stadium itu pada 14 Februari lalu.
Beliau berkata, persatuan itu berharap penyokong mematuhi peraturan yang ditetapkan dengan tidak membawa bahan-bahan terlarang seperti suar dan bom asap ke dalam stadium.
“Kita telah pun mengadakan perjumpaan dengan wakil kelab penyokong bola sepak Pahang, termasuk Elephant Army (EA). Pihak polis telah meminta mereka supaya tidak membawa suar sertabos asap ke stadium dan mereka telah berjanji tidak akan berbuat demikian.
“Kita telah menyatakan perkara ini kepada mereka dan harap mereka tidak akan melakukannya. Jika ia masih berlaku dan pihak polis membuat tangkapan, kita harap mereka tidak menyalahkan persatuan,” katanya lagi.

FA CUP – Tiada rehat buat Tok Gajah

Oleh FAZRINA AYU RADUIAN
sukan@utusan.com.my


Pemain-pemain Pahang meraikan kejayaan merangkul Piala FA di depan ribuan penyokong mereka selepas menewaskan Felda United 2-1 dalam perlawanan akhir di Stadium Shah Alam, kelmarin.

SHAH ALAM – Hanya satu sambutan kecil diadakan di padang, diikuti di hotel penginapan dan pemain cuma diberi rehat sehari semalam sebelum terpaksa kembali ke padang latihan hari ini.
Itu pengorbanan yang perlu dilakukan oleh pemain-pemain Tok Gajah selepas berhempas pulas merangkul kejuaraan Piala FA kelmarin.
Pahang, yang merampas kejuaraan buat kali pertama sejak 2006 terpaksa memendekkan ‘kegembiraan’ kerana akan turun semula ke gelanggang pertarungan esok untuk menentang ATM dalam aksi Liga Super.
Anak-anak buah Zainal Abidin Hassan itu, yang menundukkan Felda United 2-1 dalam pertarungan dramatik di Stadium Shah Alam kelmarin, akan berdepan ATM di Stadium Selayang dengan membawa misi cuba memperbaiki kedudukan tangga keempat ketika ini.
“Hari ini (semalam) pemain diberi pelepasan dan melakukan aktiviti bebas selepas berkerja keras untuk menjuarai Piala FA malam tadi.
“Namun esok petang (hari ini) kami semua akan kembali ke padang dan menjalani latihan di Stadium Selayang kerana perlu menentang ATM dalam perlawanan penting Liga Super pada Selasa ini.
“Pasukan mengadakan sambutan di stadium dan hotel penginapan selepas kemenangan, namun kami tidak boleh terlalu meraikan kejayaan itu kerana sedar masih ada tugas besar menanti semua pemain.
“Masih ada baki lima perlawanan Liga Super yang perlu kami harungi. Ketika ini, kami menduduki tangga keempat dan kami mahu mencari keputusan terbaik dalam baki saingan untuk memperbaiki kedudukan tersebut,” kata ketua pasukan Pahang, Mohd. Razman Roslan.
Menurut Razman, biarpun rakan-rakan sepasukannya masih kepenatan, namun mereka membawa misi untuk mencari kemenangan apabila bertandang ke Selayang esok.
Mengulas mengenai kejayaan menumpaskan Felda, tonggak pertahanan berusia 29 tahun itu memuji semangat juang tinggi rakan-rakan sepasukan yang tidak mengenal erti putus asa sehingga minit terakhir permainan.
“Kami tidak bernasib baik pada separuh masa pertama, namun sebaik saja memasuki babak kedua kerja keras pasukan berjaya memberikan gol penyamaan.
“Jaringan itu menyalakan semangat pemain sebelum akhirnya berjaya mendapatkan gol kemenangan,” katanya lagi.
Pahang, yang juga penyandang juara Piala Malaysia kini ditinggalkan lima mata di belakang pendahulu, Selangor dalam carta Liga Super.
Selepas bertemu ATM, mereka akan berdepan Kelantan di Kuantan pada 14 Jun, diikuti Sarawak di Kuching (17 Jun), PKNS di Kuantan (21 Jun) dan menutup kempen dengan bertandang ke Perak pada 25 Jun.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140609/su_01/Tiada-rehat-buat-Tok-Gajah#ixzz3471OD3Dj  © Utusan Melayu (M) Bhd 


FA CUP – Penyokong buat kacau lagi

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA dan SHAHRINNAHAR LATIB
sukan@utusan.com.my


Anggota polis mengawal keadaan di luar perkarangan stadium yang sedikit kecoh setelah penyokong Pahang membaling molotov cocktail sejurus bas yang membawa penyokong JDT meninggalkan Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi. – UTUSAN/AHMAD ZAKKI JILAN

KUANTAN – Kejayaan Pahang melangkah ke final Piala FA sedikit tercemar gara-gara tindakan penyokong membaling molotov cocktail ke arah bas Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak lama selepas Tok Gajah meraikan kemenangan 1-0 di Stadium Darul Makmur, malam tadi.
Dua lelaki berumur lingkungan 30-an itu dipercayai membaling molotov cocktail ke arah bas yang membawa penyokong JDT sejurus tamat aksi separuh akhir dua Piala FA.
Dalam perlawanan itu pemain tengah Tok Gajah, Mohd. Faizol Hussain muncul wira Pahang apabila percubaannya pada minit ke-81 dari luar kotak penalti menerjah ke penjuru kanan gawang menewaskan penjaga gol JDT, Izham Tarmizi Roslan.
Jaringan tunggal Faizol itu menggegarkan lebih 30,000 penyokong Tok Gajah, sekali gus melayakkan Pahang ke perlawanan akhir Piala FA dengan agregat 2-1.
Kali terakhir Pahang muncul juara piala prestij ini pada 2006 dan kali ini skuad Tok Gajah bakal beraksi menentang sama ada Felda United ataupun Kelantan pada pentas final yang dijadualkan berlangsung pada 7 Jun depan di Stadium Bukit Jalil.
Namun, kejadian di luar stadium selepas tamat perlawanan mencemarkan kegembiraan peminat tuan rumah.
Bagaimanapun mujurlah, tiada kecederaan berlaku dan polis bertindak cepat dengan menahan individu berkenaan untuk siasatan lanjut.
Perbuatan tidak bertanggungjawab itu bagaimanapun tidak menyebabkan kekecohan dan penyokong JDT berjaya pulang dengan selamat.
Kedua-dua suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk siasatan lanjut.
Bermulanya separuh masa pertama, Pahang terlebih dahulu memulakan asakan ke kubu JDT, namun beberapa peluang yang diperolehi gagal dimanfaatkan oleh anak buah Zainal Abidin Hassan.
Skuad Harimau Selatan mendapat peluang pada minit ke-74 namun sepakan percuma yang diambil Luciano sekadar melencong ke kiri gawang tuan rumah.
Yang turut hadir menyaksikan perlawanan itu, Tengku Muda Pahang yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah dan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Pada 5 Mei lalu, kelebihan beraksi di depan ribuan penyokong sendiri gagal dimanfaatkan sepenuhnya oleh JDT apabila membenarkan Pahang memperoleh kelebihan gol di tempat lawan dalam aksi separuh akhir pertama yang berkesudahan 1-1.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140531/su_01/Penyokong-buat-kacau-lagi#ixzz33T3yk4iC  © Utusan Melayu (M) Bhd 


FA CUP – Felda bukan lawan kerdil

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my


PEMAIN-pemain Pahang meraikan kejayaan menyingkirkan Johor Darul Ta’zim pada separuh akhir minggu lalu untuk menempah pertemuan dengan Felda United dalam perlawanan akhir Piala FA, hujung minggu ini.

KUANTAN – Walaupun lawan mereka cuma sebuah kelab Liga Perdana, namun Pahang mula membuka mata terhadap keupayaan Felda United menjelang final Piala FA, Sabtu ini selepas melihat pasukan itu mengejutkan juara bertahan, Kelantan pada separuh akhir kelmarin.
Tonggak paling senior dalam skuad Tok Gajah, Jalaludin Jaafar mengakui, kehadiran pemain berpengalaman seperti Indra Putra Mahayuddin dan Mohd. Shukor Adan membawa impak besar terhadap Felda.
Malah, faktor bahawa Pahang tidak pernah berdepan pasukan itu musim ini menjadikan pertarungan hujung minggu ini pasti mendebarkan.
“Pahang tidak pernah bertemu Felda United musim ini kerana mereka bermain dalam Liga Perdana, jadi kita memang tidak tahu banyak corak permainan serta taktikal pasukan itu.
“Tetapi selepas melihat bagaimana mereka menewaskan Kelantan semalam (kelmarin), saya dapati Felda adalah sebuah pasukan yang amat bagus biarpun sekadar berstatus kelab.
“Mereka berjaya mengekang asakan Kelantan serta mengatur sera­ngan yang kemas,” ujar Jalaludin.
Felda United memahat sejarah apabila menempah pertemuan akhir Piala FA menentang Pahang, Sabtu ini setelah berjaya mengikat The Red Warriors 2-2 pada saingan separuh kedua Piala FA kelmarin.
Terikat menerusi agregat 5-5 setelah seri pada separuh akhir pertama 3-3, skuad The Settlers itu layak menerusi peraturan gol di tempat lawan.
Jalaludin berkata, selain dibarisi beberapa pemain senior, Felda United turut dikendalikan oleh jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim yang pasti mempunyai pe­rancangan terbaik pada perlawanan akhir itu nanti.
Sementara itu, seorang lagi pemain Pahang, Mohd. Fauzi Roslan atau Kojie berkata, dia berharap rakan-rakannya tidak memandang rendah Felda United biarpun pasukan berkenaan hanya berstatus kelab.
“Kita sendiri dapat lihat dalam saingan Liga Perdana, Felda Uni­ted menunjukkan permainan yang cukup bagus, begitu juga dalam sai­ngan Piala FA kali ini.
“Saya harap rakan-rakan pemain akan terus fokus, bermain seperti diarahkan jurulatih untuk kita menjuarai Piala FA musim ini,” katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140602/su_07/Felda-bukan-lawan-kerdil#ixzz33Sv8Y3z6  © Utusan Melayu (M) Bhd 



FA CUP – Ini bukan budaya orang Johor



Oleh NURUL HUDA HASSAN
huda.hassan@utusan.com.my

JOHOR BAHRU – Mutu pengadilan yang lemah dikatakan menjadi punca kepada provokasi yang dicetuskan segelintir penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di sini kelmarin.
Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim ketika me­ngulas mengenai insiden yang berlaku selepas perlawanan antara JDT dan Pahang itu mengakui, kecewa de­ngan apa yang terjadi di Larkin.
Beliau yang turut menegaskan insiden tersebut bukan budaya orang Johor percaya, kejadian itu juga berpunca daripada rasa tidak puas hati segelintir penyokong terhadap pengadil perlawanan yang dianggap berat sebelah.
“Saya faham apa yang penyokong Johor rasa sebab saya pun rasa benda yang sama. Apa yang terjadi itu pada saya ia bermula daripada dalam padang,” katanya pada sidang akhbar di Stadium Tan Sri Hasan Yunos di sini semalam.
Tunku Mahkota Johor berkata, beliau sudah banyak kali mengingatkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menyediakan pengadil profesional kerana jika tidak ia mampu mencetuskan provokasi jika pengadil tidak menjalankan tugas dengan betul.
Tambahnya, penyokong yang datang ke stadium bukan mereka yang tidak tahu mengenai bola sepak sekali gus beliau faham tahap kekecewaan peminat yang hadir untuk me­nyaksikan perlawanan tersebut apabila mutu pengadilan masih di takuk lama.
“Saya faham tahap kekecewaan penyokong, saya pun rasa begitu juga. Saya sendiri yang memberi masa dan mengeluarkan pelaburan untuk pembangunan bola sepak negeri ini melihat pengadilan macam itu rasa seolah-olah kerja keras kita tidak ke mana.
“Jadi saya faham penyokong Johor datang dari jauh bayar tiket untuk tengok game menarik, saya tidak kisah kalau Johor kalah 5-0 di sini kepada pa­sukan yang bagus sekiranya perlawanan itu diadili dengan baik.
“Namun, jika kita kena seri atau kalah disebabkan keputusan yang berat sebelah oleh pengadil, itu satu benda yang saya pun tidak boleh terima. Kita rasa seolah-olah dirompak,” katanya dengan harapan FAM mengambil perhatian berhubung perkara itu.
Pada masa sama, beliau bagaimanapun, menyeru penyokong supaya mengambil tindakan secara profesional sekali gus tidak melayan sebarang tindakan yang mampu mencetus kekecohan dan jangan perlu ada sifat mahu membalas dendam terhadap pasukan lain.
Sementara itu Facebook rasmi JDT dan JDT II, JOHOR Southern Tigers berkata, tindakan segelintir penyokong Harimau Selatan yang didakwa me­ngundang ancaman keselamatan selepas aksi separuh akhir pertama Piala FA amat dikesali.
JOHOR Southern Tigers juga mendakwa, tindakan segelintir penyokong JDT yang masih menunggu pemain dan penyokong Pahang di luar perkarangan stadium menimbulkan kerisauan pihak keselamatan.
“Tindakan segelintir penyokong Harimau Selatan yang mengundang ancaman keselamatan tersebut turut dikesali kerana tidak mencerminkan gaya keseluruhan rakyat Johor. Semoga kita tetap bersaudara – Johor dan Pahang,” ujar mereka.
Dalam pada itu, polis menafikan dakwaan terdapat penyokong Pahang dikepung selepas perlawanan dan perkara itu turut disahkan Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Supritendan Abdul Samad Salleh.
“Tiada mana-mana pemain atau penyokong Pahang dikepung,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Pada masa sama, Abdul Samad memberitahu, pihaknya sudah menahan empat orang bagi membantu siasatan ekoran didakwa cuba mencetuskan kekecohan. Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140507/su_03/Ini-bukan-budaya-orang-Johor#ixzz30zh8fWew  © Utusan Melayu (M) Bhd