Fahami ASWJ secara menyeluruh

Oleh SOFIAN BAHAROM dan HUSSAINI AMRAN
pengarang@utusan.com.my


MODERATOR Dr. Amran Muhammad (kanan) bersama pembentang kertas kerja Prof. Datuk Paduka Zakaria Stapa (tiga, kanan); Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Fakhrudin Abdul Mukti (kiri) dan Dr. Wan Adli Wan Ramli pada Wacana Pemikiran dan Peradaban Ummah Ke-6 di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/HALIM KHALID

KUALA LUMPUR 21 Mei – Kerajaan disaran bersungguh-sungguh memastikan mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) difahami secara menyeluruh dari aspek pegangan akidah, amalan fiqah serta penghayatan akhlak dalam segenap lapisan umat Islam di negara ini.
Saranan itu merupakan antara resolusi Wacana Pemikiran dan Peradaban Ummah Ke-6 bertemakan Pencerahan Tasawwur ASWJ anjuran Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) yang berakhir hari ini.
Selain itu, wacana dua hari yang melibatkan pembentangan sembilan kertas kerja oleh pakar-pakar agama tersebut turut mendesak kerajaan supaya terus bertegas dalam usaha membanteras segala unsur dan anasir yang mampu memberi kecelaruan kepada fahaman ASWJ sebenar.
Untuk mencapai matlamat murni tersebut, wacana itu meminta Kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri melalui agensi-agensi berkaitan menyediakan modul pembelajaran menyeluruh tentang pegangan ASWJ untuk diaplikasikan pada semua peringkat pendidikan dalam sistem pendidikan kebangsaan.
Kerajaan juga jelas wacana itu, perlu menyeragamkan dan memantau aktiviti pengajian di semua masjid serta surau supaya semuanya berdasarkan teks-teks yang telah dikenal pasti sesuai mengikut fahaman epistemologi ASWJ.
Dalam masa sama, wacana tersebut meminta kerajaan menghentikan operasi institusi-institusi pengajian bertopengkan Islam yang didapati tidak selari dengan indeks akidah ASWJ.
“Kerajaan wajar menjadikan syarat aliran akidah al-Asha’irah dan al-Maturidiyyah dalam meluluskan permohonan baharu untuk memulakan institusi pengajian swasta yang berlandasan Islam,” jelas wacana berkenaan.
Resolusi tersebut dibaca oleh Setiausaha Agung Muafakat, A. Karim Omar.
Sementara itu, wacana itu menegaskan kerajaan wajar mewujudkan dana khas untuk kajian akademik yang berteraskan topik ASWJ di universiti-universiti tempatan.
Menurutnya, kerajaan perlu menggembleng usaha serta menyediakan insentif menarik untuk pihak swasta bekerjasama di dalam aktiviti penyelidikan, penyampaian, penyiaran serta operasi pusat rujukan berkaliber yang diwujudkan secara khusus untuk menyuburkan aktivisme bagi memperkasakan fahaman ASWJ.
“Kerajaan wajar memperbanyak kandungan dan program yang mempromosikan tasawwur ASWJ secara kreatif dan meluas di media cetak dan elektronik arus perdana.
“Selain itu, kerajaan perlu menyediakan jaringan gandingan ulama-umara berprofil tinggi demi memacu idea pembinaan jati diri Malaysia sebagai benteng ASWJ di persada global,” jelasnya.
Dengan latar keseriusan serangan ajaran Syiah dan pemikiran liberalisme serta pluralisme agama di negara itu, wacana itu menegaskan, kerajaan perlu menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi memantau pergerakan kumpulan berkenaan di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Wacana tersebut juga mendesak Kementerian Dalam Negeri dan pihak berkuasa agama di semua peringkat agar mengambil tindakan tegas menyekat ajaran dan fahaman tersebut.
“Pengamal, pelopor Syiah, liberalisme dan pluralisme agama serta pertubuhan-pertubuhan yang diketahui umum memperjuangkan fahaman ini perlu dipanggil untuk diberi kaunseling dan nasihat.
“Langkah itu supaya mereka menghormati kedaulatan Islam, patuh kepada peruntukan Perlembagaan, undang-undang dan enakmen agama sedia ada dan menyantuni citra rakyat Malaysia yang majoritinya beraliran ASWJ,” jelas wacana berkenaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140522/dn_03/Fahami-ASWJ-secara-menyeluruh#ixzz32PTBZOU7  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Bendung liberalisme, pluralisme

Oleh HUSSAINI AMRAN
dan SOFIAN BAHAROM
pengarang@utusan.com.my


Muhyiddin Yassin ketika melancarkan buku Muhammad ‘Uthman El-Muhammady-Inteligensia Muslim Kontemporari sempena Wacana Pemikiran dan Peradaban Ummah ke-6 Pencerahan Tasawwur Ahlus Sunnah Wal Jamaah di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur semalam. Turut sama, Ismail Mina Ahmad (kiri). – UTUSAN/Halim Khalid

KUALA LUMPUR 20 Mei – Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, fahaman liberalisme dan pluralisme agama yang jelas terpesong daripada landasan akidah umat Islam yang sebenar perlu dibendung segera.
Timbalan Perdana Menteri berkata, masyarakat perlu diberi pemahaman tentang ancaman yang dibawa oleh fahaman serta falsafah pasca modenisme terutamanya aliran liberalisme dan pluralisme agama terhadap akidah umat Islam.
Menurut beliau, fahaman dan falsafah tersebut sudah mula menular di negara ini malah terdapat segelintir pihak yang mempersoalkan bidang kuasa institusi agama terutamanya majlis fatwa serta mahkamah.
“Hukum-hukum yang telah diputuskan secara qat’ie di dalam Islam seperti pengharaman meminum arak, berzina, murtad dan perkahwinan sejenis dipersoalkan atas alasan ia bertentangan dengan kebebasan serta hak asasi manusia.
“Malah, ada pihak secara terang-terangan mendesak supaya sistem perundangan Islam yang telah sekian lama dilaksanakan di Malaysia dihapuskan kerana dikatakan mencabuli prinsip hak asasi manusia sejagat,” katanya ketika berucap merasmikan Seminar Pencerahan Tasawwur Ahlus Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
Yang turut hadir Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang; Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad dan Pengarah Seminar, Mohd. Amin Hashim.
Dalam majlis sama, Timbalan Perdana Menteri turut melancarkan buku bertajuk Muhammad ‘Uthman El-Muhammady-Intelegentsia Muslim Kontemporari yang diterbitkan oleh Muafakat.
Seminar itu merupakan siri ke-6 dalam Wacana Pemikiran dan Peradaban Ummah anjuran Muafakat yang berlangsung hari ini dan esok.
Muhyiddin menambah, usaha membendung fahaman liberalisme dan pluralisme agama boleh dilakukan dengan memberi pencerahan kepada umat Islam tentang prinsip-prinsip asas akidah Islam serta nilai yang dibawa syariat agama tersebut.
“Yang penting, setiap hukum yang ditetapkan oleh agama Islam mempunyai hikmahnya yang tersendiri dan hikmah ini perlu difahami serta dihayati oleh umat Islam,” jelasnya.
Beliau memberitahu, umat Islam tidak akan lagi mempersoalkan syariat Islam dengan menggunakan neraca pemikiran yang asing daripada tasawwur Islam yang sebenar apabila mereka memahami hikmah di sebalik hukum-hukum agama.
“Untuk itu, umat Islam perlu dilengkapi dengan kekuatan ilmu bagi memahami prinsip serta ajaran Islam yang sebenar.
“Dengan kekuatan ini, kita akan dapat mematahkan serangan pemikiran dan budaya yang sedang melanda umat Islam masa kini,” ujarnya.
Dalam masa sama, jelas Muhyiddin, umat Islam di negara ini perlu diberi pendedahan secara berterusan tentang fakta-fakta pemesongan yang dibawa oleh fahaman liberalisme dan pluralisme agama serta bahayanya kepada akidah mereka.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri menyeru para ulama dan ilmuwan Islam di negara ini agar berusaha mengembalikan semula kedudukan Malaysia sebagai pusat pengembangan ilmu ASWJ di rantau ini.
“Kerajaan sentiasa komited untuk memastikan usaha dakwah dan tarbiyyah di Malaysia dapat diperluas dan diperkukuhkan lagi dalam memberi kesedaran serta pencerahan kepada umat Islam tentang ajaran Islam yang sebenar,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan sentiasa bersedia untuk bekerjasama dan menyalurkan bantuan kepada para ulama, institusi dakwah serta tarbiyyah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam memperluaskan usaha dakwah dan tarbiyyah di negara ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140521/dn_02/Bendung-liberalisme-pluralisme#ixzz32IzxIWfh  © Utusan Melayu (M) Bhd 


KOMEN : ADALAH PUAK-PUAK YANG MEROYAN SEBAB FAHAMAN SONGSANG MEREKA KEMBALI BERGEMA…PUAK PAKATAN NI MESTI TAK BACA PUNYA SEBAB APA PUN MEREKA LAKUKAN SYURGA NIK AZIZ MENANTI…