KEBEBASAN BERSUARA ALA KOMUNIS


Wartawan TV3 pula diusir
DARI UTUSAN MALAYSIA 30/9/2011

PULAU PINANG 29 Sept. – Selepas akhbar Utusan Malaysia dan New Straits Times, stesen televisyen TV3 menerima nasib sama hari ini apabila dihalang daripada membuat liputan sidang akhbar Ketua Menteri, Lim Guan Eng di pejabatnya di Tingkat 28, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini.

Tindakan berkenaan dibuat sebaik sahaja Setiausaha Agung DAP itu ditanya seorang wartawan mengenai tindakannya memburuk-burukkan Johor semasa temu bual dengan media asing di Singapura, baru-baru ini.

Menurut wartawan TV3, Selvam Arjunan, 27, Guan Eng secara tiba-tiba ‘menghalaunya’ keluar dari bilik sidang akhbar itu dengan alasan dia tidak sesuai berada di situ kerana kerajaan DAP Pulau Pinang mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap stesen tersebut berhubung beberapa isu.

“Bila soalan itu ditanya wartawan Malaysiakini, Guan Eng terus berkata dia tidak akan jawab soalan itu selagi saya berada di situ. Bila saya tanya kenapa, dia menjawab tunggulah nanti, ada banyak isu membabitkan TV3 lalu saya diminta keluar.

“Saya benar-benar kecewa dengan tindakannya itu. Dia (Guan Eng) selalu meminta supaya diberi ruang untuk membalas setiap komen yang dibuat terhadapnya, tetapi bila diberi ini balasannya, dihalau begitu sahaja,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Difahamkan, sidang akhbar yang bermula kira-kira pukul 12 tengah hari itu pada mulanya berjalan seperti biasa apabila Guan Eng mengulas mengenai isu bantuan untuk mangsa kebakaran dan persoalan yang diutarakan pemimpin MCA mengenai tender terbuka.

Bagaimanapun, sebaik sahaja soalan mengenai isu memburukkan Johor ditimbulkan, Guan Eng terus menghalau wartawan terlibat dari sidang akhbar itu pada kira-kira pukul 1.15 petang.

KOMEN : BILA KENA KAT BATANG HIDUNG SENDIRI TAHU PULAK BERTAPA BURUKNYA KEBEBASAN BERSUARA YANG DIJULANG MELANGIT… CAKAP TAK SERUPA BIKIN…
Advertisements

Jangan berselindung – PM

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD dan FAUZI JAAFAR

Najib Tun Razak bersama sebahagian daripada 10,000 ahli ekonomi dan peniaga Melayu serta mahasiswa menyanyikan lagu Negaraku pada majlis pelancaran Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu (MTEM) dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kuala Lumpur, malam tadi. – Bernama


SERDANG 29 Sept. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Melayu abad ke-21 tidak boleh berselindung di sebalik perlindungan kerajaan untuk mencapai kejayaan dalam apa jua bidang.

Sebaliknya, beliau berkata, kejayaan yang dikecapi adalah hasil daripada keyakinan diri, keupayaan serta kebolehan kaum Melayu pada abad tersebut.

Sehubungan itu, beliau mahu orang Melayu pada abad ini melakukan perubahan dalam konteks meningkatkan penguasaan ilmu pengetahuan dan kemahiran bagi membolehkan mereka mampu bersaing.

“Inilah cabaran oleh orang Melayu pada abad ke-21. Sekiranya kita mahu orang Melayu yang bermaruah dan terhormat, kita tidak boleh berselindung tetapi kita perlu ada keberanian dan keyakinan diri untuk berjaya.

“Kerana kita ada kelebihan dan inilah ciri-ciri Melayu abad ke-21 iaitu Melayu yang berjaya yang bukan dilindungi kerajaan tetapi kerana ada kelebihan ilmu, kemahiran berfikir dan minda yang tajam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis pelancaran Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu (MTEM) dan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama Perdana Menteri di tapak Ekspo Pertanian Malaysia di sini malam ini.

Majlis pelancaran MTEM dihadiri kira-kira 10,000 orang terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu seluruh negara.

MTEM merupakan sebuah platform untuk NGO ekonomi Melayu bersatu supaya lebih efektif dalam menggalakkan pembangunan ekonomi yang lestari di kalangan komuniti Melayu dan negara.

Perdana Menteri berkata, realitinya cabaran abad ke-21 amat hebat dan mahu tidak mahu orang Melayu perlu menghadapinya dengan persediaan secukupnya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, orang Melayu abad ke-21 perlu menjalinkan kerjasama dengan kerajaan sedia ada kerana masa depan mereka berkait rapat dengan untung nasib kerajaan sekarang.

“Dalam kita memastikan kejayaan orang Melayu, kita tidak boleh mengambil hak kaum lain tetapi orang Melayu perlu menggunakan kuasa politik daripada kerajaan sedia ada.

“Sebagai contoh apabila kerajaan memutuskan projek transit aliran massa (MRT), kita putuskan 43 peratus daripada projek ini kita berikan kepada usahawan Melayu dan bumiputera,” ujarnya.

Beliau menambah, sudah tiba masanya NGO Melayu bertindak dengan bersungguh-sungguh dan berkesan supaya tuntutan kaum itu dapat diketengahkan secara lebih baik.

“Kita tidak boleh menyerahkan kepada kerajaan semata-mata tetapi perlu memperkasakan individu dan NGO yang bangkit dan bertindak sebagai barisan depan dalam menuntut apa yang perlu bangsa kita miliki,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) yang juga Pengerusi MTEM, Syed Ali Alattas dan Pengerusi penganjur, Rizal Faris Mohaideen Abdul Kader.

KOMEN : BIJAK BERPIDATO TIDAK MENJADIKAN SESEORANG TU PINTAR… MENABUR JANJI BELUM TENTU JANJI DAPAT DIKOTAKAN… SUDAH BERSEDIAKAH ORANG MELAYU KITA UNTUK TIDAK MENJADI KETAM MELAYU… MENJATUHKAN SESAMA MELAYU… DAN MENJADI KETAM CINA… DENGAN SIKAP BANTU MEMBANTU… SETUJULAH JUGA KATA NAJIB, KITA ORANG MELAYU TIDAK BOLEH MENGAMBIL HAK KAUM LAIN… TAPI BAGAIMANA PULA HAK ORANG MELAYU YANG DIAMBIL DAN DITUNTUT OLEH KAUM LAIN???? KEKADANG SEDAP BERCAKAP LUPA PULA APA YANG DI CAKAP…

BUKAN KATA MULUT AJE, HATI PUN BUSUK TU..


Guan Eng jangan masuk Johor
Oleh Maznah Mohd. Arsad
pengarang@utusan.com.my

JOHOR BAHRU 29 Sept. – Kira-kira 200,000 ahli Majlis Penyelaras Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu Johor mahu tindakan undang-undang diambil terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang memburuk-burukkan Johor di luar negara.

Ketua Penerangannya, Abdullah Md. Yusuf berkata, pihaknya juga menasihatkan Guan Eng agar tidak berkunjung ke negeri ini jika merasakan ia tidak selamat untuk dilawati.

“Kalau dia kata negeri Johor tak selamat, jangan melangkah masuk ke negeri ini, sebaliknya jagalah negeri sendiri dan bela nasib rakyat Pulau Pinang yang masih memerlukan perhatian daripada Ketua Menterinya.

“Apa pun dia sebenarnya sudah terlajak kata seperti kata pepatah terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Dakwaannya itu telah menelanjangkan dirinya sendiri selaku pemimpin yang tidak bijaksana untuk mengurus tadbir negerinya sendiri, ” katanya.

Beliau yang juga Yang Dipertua Persatuan Penjaja, Peniaga dan Pengusaha Melayu Johor Bahru berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika diminta mengulas kenyataan Guan Eng yang didakwa memburukkan negeri Johor dalam satu temuramah dengan media asing di Singapura, baru-baru ini.

“Sebaik sahaja DAP diketuai oleh Guan Eng di Pulau Pinang, kita dapati ada sahaja masalah yang dihadapi oleh rakyat, malah banyak demonstrasi dan rasa tidak puas hati diluahkan oleh rakyat, namun dia dengan egonya tidak memberikan perhatian terhadap segala isu yang dibangkitkan oleh rakyat.

“Dia tidak memberi layanan sama rata antara kaum, malah menjalankan dasar perkauman khususnya dalam kalangan orang Melayu,” katanya.

Sementara itu di Ipoh, Timbalan Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn berkata, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berhutang permohonan maaf yang cukup besar dengan kerajaan dan rakyat Johor kerana memburuk-burukkan negeri tersebut.

Katanya, tindakan Guan Eng itu akan menjejaskan usaha kerajaan Johor untuk membangunkan negeri yang sedang berkembang maju itu.

”Biarlah apa yang berlaku ini membuka mata orang ramai terhadap Guan Eng,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan delegasi dari Wilayah Wenzhou dan Foochow, China, hari ini.

Menurutnya, sudah menjadi taktik biasa Guan Eng memburuk-burukkan pihak lain untuk menaikkan imej beliau sendiri.

“Selama tiga tahun menjadi Ketua Menteri, Guan Eng mengkritik bekas Ketua Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, Barisan Nasional (BN) dan UMNO untuk meningkatkan profil beliau,” katanya.

KOMEN : LGE CUBA BERMAIN API DENGAN MENIDAKAN PEMBANGUNAN DAN KESELAMATAN NEGERI JOHOR… DIA CEMBURU KERANA KERAJAAN JOHOR DAPAT MENARIK RAMAI PELABUR DARI LUAR UNTUK MELABUR DI ISKANDAR JOHOR… KENAPA DI JOHOR DAN TIDAK DI PULAU PINANG? ITU SEBENARNYA PERSOALAN YANG PERLU DIJAWAB OLEH LGE DAN BUKANNYA MEMBURUKAN KERAJAAN ORANG LAIN… LGE TERSEPIT DENGAN KATA-KATA BONGKAKNYA YANG PULAU PINANG NEGERI PALING MAJU DALAM MALAYSIA… SEKALI KELUAR DATA MUKA MALU TAK TAHU MANA NAK SOROK…

Sultan Ibrahim tersinggung


Oleh SITI MAISARAH SHEIKH RAHIM

Sultan Ibrahim


KUALA LUMPUR 29 Sept. – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar tersinggung dengan dakwaan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kononnya Johor tidak selamat untuk pelabur.

“Memang beta tersinggung apabila beta tahu tentang kenyataan itu.

“Tetapi sebagai Sultan, beta tidak mahu diseret ke dalam arena politik,” titah baginda ketika dipetik dalam Buletin Utama malam ini.

Baginda juga tidak mahu pihak lain bercakap bagi pihak baginda yang sentiasa mengambil berat tentang rakyat Johor dan warga asing yang menetap di negeri itu.

Bagaimanapun, sebagai Sultan, baginda tidak mahu mencampuri hal politik.

Sultan Johor bertitah demikian ketika mengulas dakwaan Guan Eng yang memburuk-burukkan Johor dalam temubualnya dengan media asing di Singapura baru-baru ini.

Guan Eng didesak minta maaf pada Sultan

JOHOR BAHRU 29 Sept. – Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng didesak supaya segera meminta maaf kepada Sultan Johor dan rakyat ekoran dakwaannya yang negeri ini tidak selamat dan berpotensi untuk diculik sekiranya berada di sini.

Presiden Pertubuhan Penyatuan Pembelaan Melayu Malaysia (PPPMM), A. Rahman Mahadi berkata, tuduhan itu liar sekali dan amat mengguris hati rakyat Johor.

“Jika Guan Eng dakwa tidak selamat, jangan datang lagi ke Johor untuk berkempen atau sebagainya. PPPMM juga ingin tahu status warganegara Guan Eng dan keluarganya yang sanggup mengeluarkan kenyataan begitu di negara asing.

“PPPMM mendesak kerajaan agar Guan Eng disiasat kerana ia melibatkan maruah, kedaulatan dan keselamatan negara. Guan Eng perlu perjelaskan kepada kerajaan negeri dan juga Sultan Johor tentang kenyataannya yang tidak berasas itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Setiausaha Agung DAP itu yang memburuk-burukkan negeri ini dalam satu pertemuan dengan media asing di Singapura, baru-baru ini.

A. Rahman berkata, tindakan pemimpin DAP itu dipercayai mempunyai agenda tersendiri dengan pihak luar dari negara tersebut dalam usaha menjatuhkan negara ini.

Katanya, motif Guan Eng itu menimbulkan tanda tanya dan perbuatan memfitnah Johor di luar negara adalah satu perkara yang serius dan tidak boleh dimaafkan.

“Polis atau Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu mengambil tindakan tegas atas kenyataannya selaku rakyat Malaysia yang memburuk-burukkan negara sendiri,” katanya.

Menurutnya, pemimpin DAP kini semakin biadab dan sikap Guan Eng itu menunjukkan dirinya masih tidak layak memegang jawatan Ketua Menteri.

Sepatutnya, kata A. Rahman, Guan Eng bersaing secara sihat dengan negeri ini dan bukan menjatuhkannya dengan cara jahat dan bersekongkol dengan pihak lain di luar negara.

KOMEN : DAH LAMA SANGAT PEMIMPIN2 PEMBANGKANG NI DIBERI MUKA… BUAT SEGALA KENYATAAN YANG BERSIFAT FITNAH, MENGHASUT, MEMBURUKAN NAMA NEGARA BILA BERADA DILUAR NEGARA, BIADAP KEPADA SULTAN DAN RAJA-RAJA MELAYU DAN BANYAK LAGI PERKARA YANG MENDATANGKAN KEMUDARATAN KEPADA PERHUBUNGAN LUAR NEGARA… NAMUN TIADA TINDAKAN YANG DIAMBIL OLEH PIHAK BERKUASA DI MALAYSIA TERHADAP INDIVIDU2 TERSEBUT… ADAKAH KERAJAAN YANG MEMERINTAH SEKARANG MASIH BERKUASA ATAU TAKUT MENGGUNAKAN KUASA YANG DIPERUNTUKAN OLEH UNDANG2 MALAYSIA… ATAU CUMA TAHU DAN BANYAK BERPOLITIK…?

Kumpulan pertama berlepas ke tanah suci


DARI UTUSAN MALAYSIA 29/9/2011


BAKAL haji, Muhammad Sani Bidin dari Serkam, Melaka, memeluk anak bongsunya, Muhammad Amman, 8 tahun, sambil diperhatikan isterinya, Rozila Mohd. Zain (tiga dari kiri) serta anggota keluarganya yang lain sebelum menaiki bas ke KLIA di Kompleks Tabung Haji, Kelana Jaya, semalam.


PETALING JAYA 28 Sept. – Seramai 442 kumpulan pertama jemaah haji Malaysia akan berlepas ke Arab Saudi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada penerbangan awal pagi esok.

Pengerusi Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), Tan Sri Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor berkata, penerbangan pesawat Saudi Airlines yang mengambil masa lapan jam itu dijadual mendarat di Madinah pada pukul 5.25 pagi waktu Arab Saudi.

“Mereka terdiri daripada 197 jemaah lelaki dan 245 jemaah wanita. Kumpulan ini juga disertai oleh lapan petugas Lembaga Tabung Haji,” katanya ketika ditemui pada majlis pelepasan jemaah itu di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya malam ini.

Kumpulan itu adalah sebahagian daripada 28,000 jemaah haji Malaysia yang akan mengerjakan ibadat itu tahun ini mengikut kuota yang dibenarkan kerajaan Arab Saudi.

Menurutnya, Tabung Haji berusaha meningkatkan kualiti perkhidmatannya pada tahun ini dengan memberi kemudahan yang lebih selesa dan berkualiti untuk semua jemaah.

“Ia termasuk tempat penginapan yang hampir dengan tempat mengerjakan ibadat dan pegawai perubatan yang mencukupi. Pada tahun ini juga seramai 800 kakitangan Tabung Haji dihantar bagi menguruskan jemaah di tanah suci,” katanya.

Menurut Abi Musa, penerbangan terakhir bagi jemaah haji Malaysia adalah pada 30 Oktober ini.

KOMEN : SELAMAT MENJALANI IBADAT HAJI DAN SEMOGA MEMDAPAT HAJI MABRUR… AMIN

KHALID MENGAKU CAMPUR TANGAN

Isu gereja: Sultan Selangor akan keluarkan titah
Oleh HELMI MOHD. FOAD
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 28 Sept. – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah akan mengeluarkan titah dalam masa dua atau tiga hari lagi bagi memberikan pandangan serta nasihat dalam menyelesaikan isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas sebuah premis yang dikatakan sebagai Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), Petaling Jaya pada 3 Ogos lalu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri akan akur dengan segala nasihat dan jalan penyelesaian yang dikemukakan oleh baginda.

Beliau menjelaskan, pihaknya tidak akan memberikan sebarang ulasan mengenai laporan yang dihantar oleh JAIS berhubung pemeriksaan tersebut sehingga ia diumumkan sendiri oleh Sultan Selangor nanti.

“Saya telah menghadap Tuanku Sultan Selangor pagi ini dan telah membincangkan laporan yang telah disediakan oleh JAIS berhubung pemeriksaan ke atas majlis yang diadakan di Dewan 3, Dream Centre, Petaling Jaya.

“Baginda selaku Ketua Agama Islam di Selangor telah berkenan untuk memberikan pandangan dan nasihat untuk menyelesaikan isu ini dengan cara terbaik,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini, hari ini.

Sebelum ini, laporan menyebut kerajaan negeri dijangka mendedahkan laporan lengkap oleh JAIS berhubung pemeriksaan ke atas premis berkenaan pada hari ini.

Kerajaan negeri sebelum ini menyebut JAIS meminta tempoh sebulan bagi melengkapkan siasatan berhubung pemeriksaan tersebut yang telah mencetuskan kontroversi apabila laporan awal mendapati terdapat unsur penyebaran agama lain ke atas sekumpulan penganut Islam.

Pemeriksaan pasukan penguat kuasa JAIS ke atas DUMC pada sekitar pukul 10 malam pada 3 Ogos lalu setelah menerima aduan tentang kehadiran orang Islam di premis berkenaan.

Abdul Khalid dalam kenyataan awalnya mengenai pemeriksaan itu mahu JAIS mengemukakan laporan penuh berhubung pemeriksaan tersebut dan melahirkan rasa kekesalan kerajaan negeri atas serbuan pihak berkuasa agama itu ke atas gereja berkenaan.

Beliau kemudian menubuhkan gerak kerja pendengaran bagi menyelesaikan isu tersebut yang menjadi kontroversi apabila terdapat 12 orang Islam terlibat menghadiri majlis ‘thanksgiving’ dan majlis berbuka puasa.

Exco Hal Ehwal Islam negeri, Datuk Dr. Hassan Mohd. Ali mempertahankan tindakan JAIS dan siasatan awal mendapati pihak yang terlibat boleh didakwa di bawah Seksyen 10 Enakmen Jenayah Selangor 1995, selain terdapat bukti-bukti berlaku kegiatan penyebaran agama bukan Islam kepada penganut Islam di premis yang dikatakan gereja itu.

Pengarah JAIS, Marzuki Hussin pula pada 15 September lalu mengesahkan sebutan kes tersebut akan dilakukan di Mahkamah Syariah Shah Alam pada 19 Oktober ini namun tiada sebarang perincian dibuat sama ada akan terdapat pendakwaan terhadap pihak yang terlibat dalam pemeriksaan tersebut atau sebaliknya.

Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri yakin keputusan yang akan dibuat oleh Sultan Selangor mengenai kes tersebut adalah yang terbaik untuk masyarakat pelbagai kaum dan agama di Selangor di samping memelihara kesucian agama Islam.

“Saya dan juga barisan Exco Kerajaan Negeri tidak akan membuat sebarang ulasan mengenai isu ini bagi menghormati keputusan Sultan Selangor. Saya telah menghadap baginda serta berbincang dan Tuanku bersetuju memberikan titah awal supaya tidak perlu ramai orang berbincang perkara itu,” katanya.

Beliau berkata, sebarang ulasan lanjut termasuk pendirian kerajaan negeri berhubung perkara itu akan dinyatakan selepas Sultan Selangor mengeluarkan titah.

Namun beliau menolak sebarang tanggapan bahawa kerajaan negeri tidak mahu langsung masuk campur dalam menyelesaikan perkara itu.

“Saya sudah masuk campur (tetapi) adabnya oleh kerana Tuanku adalah ketua agama, kita setuju, baginda akan memberikan titah untuk semua pihak, itu caranya. Selepas titah baginda, saya akan jumpa media, untuk mereka tanya apa ulasan saya,” katanya.

Ditanya sama ada titah Sultan Selangor itu nanti akan mempengaruhi keputusan sama ada akan terdapat sebarang pendakwaan terhadap pihak yang terlibat dalam majlis di premis berkenaan, Abdul Khalid berkata, persoalan itu berbentuk satu spekulasi.

“Itu bersifat spekulasi, perbincangan antara saya dan Tuanku bukan untuk pengetahuan umum,” katanya.

KOMEN : KITA TUNGGU APA TITAH DAN SARANAN SULTAN SELANGOR SEBAGAI KETUA AGAMA…

Beratus rumah rosak dipukul ribut


Oleh RADHUAN HUSSAIN
pengarang@utusan.com.my


SELAIN rumah, bangsal perniagaan, bot milik penduduk kampung turut musnah dipukul ribut dan beberapa orang penduduk berusaha untuk menterbalikkan semula sebuah bot di tebing Sungai Terengganu berhampiran Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu, semalam.- BERNAMA


KUALA TERENGGANU 28 Sept. – Ratusan rumah dan kemudahan awam rosak akibat ribut di beberapa tempat sekitar daerah ini khususnya di Seberang Takir, Dataran Shahbandar di sini, malam tadi.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 9 malam yang turut menyebabkan bangsal-bangsal perniagaan di pinggir muara runtuh dan diterbangkan angin.

Beberapa pondok rehat dan papan iklan turut tumbang manakala banyak pokok menghempap kenderaan dan mengakibatkan talian elektrik serta telefon terputus.

Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian selama kira-kira sejam dan pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu sehingga lewat petang ini masih menjalankan kerja-kerja pembersihan.

Sehubungan itu, kerajaan negeri mengarahkan wakil-wakil rakyat agar segera menghulurkan bantuan bagi membaiki kerosakan rumah penduduk yang teruk terjejas.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Menurut Ahmad, beliau telah mengarahkan wakil-wakil rakyat di kawasan yang teruk dilanda ribut memberi bantuan segera.

“Jangan tunggu lagi, kita harap bantuan segera diberikan terutama untuk membaiki atap rumah yang rosak dilanda ribut, ” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu.

Beliau menyifatkan ribut yang berlaku semalam sebagai agak luar biasa berlaku di negeri ini memandangkan kebiasaannya melanda negeri-negeri di sebelah utara seperti Kedah dan Perlis.

Katanya, kerajaan negeri juga masih menunggu laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mengenal pasti jumlah kerugian yang dialami sebelum bantuan dihulurkan.