Jerebu dijangka bertambah teruk

20 Oktober 2015 1:52 AM
Pelajar Kolej Vokasional Kuching, Batu Lintang memakai penutup hidung dan mulut ketika menduduki peperiksaan di kolej berkenaan di Kuching, Sarawak, semalam. Calon yang menduduki Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia dan Kolej Vokasional diteruskan di seluruh negara di bawah Ops Topeng, semalam. – Utusan/MOHAMAD GUSTIE NOORAMBIA
KUALA LUMPUR 19 Okt. – Krisis je­rebu yang melanda negara diramalkan bertambah buruk sehingga November ini berikutan pembakaran terbuka masih berlaku di Sumatera, Indonesia.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah berkata, bantuan daripada Malaysia juga masih tidak berkesan kerana pembakaran berlaku terlalu besar.
Menurut beliau, setakat ini tiada tanda-tanda jerebu akan berkura­ngan dan pihak kementerian mengambil pendekatan terbaik bagi mengurangkan masalah tersebut.
“Angin Monsun Timur Laut diramalkan tiba pada bulan depan dan itu akan membantu mengurangkan jerebu dan masalah tersebut juga dijangka berakhir,” katanya kepada Utusan Malaysia menerusi akaun Facebook di sini hari ini.
Masalah jerebu yang melanda negara sejak kebelakangan ini me­nunjukkan peningkatan mendadak apabila 14 kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat semalam.
Malah hari ini, semua sekolah di Melaka, Negeri Sembilan, Putrajaya, Selangor, Kuala Lumpur, Tawau di Sabah serta Kuching dan Samarahan di Sarawak terpaksa ditutup lagi akibat krisis jerebu yang seakan tiada berkesudahan.
Mengulas lanjut, Abu Bakar berkata, proses pembenihan awan akan dilakukan pada bila-bila masa sekiranya masalah jerebu semakin kritikal.
“Kementerian mempunyai peralatan, tenaga kerja dan peruntukan yang mencukupi untuk me­lakukan proses tersebut dan Jabatan Meteorologi juga tidak perlu merujuk kepada mana-mana pihak untuk melakukan pembenihan awan.
“Pembenihan awan merupakan satu-satunya teknologi yang kita ada di Malaysia dan ia amat penting serta berkesan untuk mengurangkan jerebu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah­ Jabatan Meteorologi, Datuk Che Ga­yah Ismail berkata, negara hanya akan bebas daripada masalah je­rebu rentas sempadan apabila tiada lagi ribut tropika di rantau ini.
“Ribut tersebut mempengaruhi corak tiupan angin dan menyebabkan cuaca kering, jadi menyebabkan negara mengalami masalah jerebu.
“Namun, apabila bermulanya musim tengkujuh awal November nanti, masalah jerebu akan berkurang dan mungkin berakhir.” katanya. – UTUSAN

JEREBU : Dijangka berlarutan sehingga Mac depan

20 Oktober 2015 1:22 AM
Helikopter MI-17 milik Indonesia menggugurkan air untuk memadamkan kebakaran hutan dalam operasi besar-besaran oleh kerajaan Indonesia di Ogan Komering Ilir, wilayah Sumatera Selatan, Jumaat lalu. AFP
JAKARTA 19 Okt. – Masalah jerebu rentas sempadan yang melanda Asia Tenggara kini akibat pembakaran hutan di Indonesia, bakal merebak ke kawasan-kawasan baharu dan dijangka berlarutan sehingga tahun depan.
Pakar menjangkakan krisis je­rebu di rantau ini bakal berlarutan sehingga awal tahun depan, berikutan kegagalan pihak berkuasa untuk memadamkan kebakaran tersebut sehingga menyebabkan peningkatan jumlah titik panas di bahagian timur negara ini.
Seorang saintis dari Pusat Penyelidikan Perhutanan Antarabangsa, Herry Purnomo berkata, titik panas kini sudah sampai ke wilayah Papua, sebuah kawasan yang biasanya mengelakkan pembakaran secara meluas.
Seorang pegawai kanan di sebuah syarikat yang aktif di kawasan hutan Indonesia pula berpendapat krisis jerebu mungkin berterusan sehingga Mac tahun depan.
Indonesia biasanya mema­suki musim hujan pada Oktober dan November, namun tahun ini negara ini dijangka berdepan fenomena El Nino sederhana yang membawa musim kering sehingga Disember ini dan bakal menyukarkan usaha mengawal kebakaran yang berlaku.
Satelit Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) mengesan 1,729 amaran kebakaran di Indonesia pada Rabu lalu, jumlah terbesar direkodkan dalam sehari sepanjang dua tahun lalu.
Kira-kira separuh daripada kebakaran yang dikesan minggu lalu berlaku di kawasan tanah gambut yang kaya dengan karbon, keba­nyakannya di Sumatera Selatan, Kalimantan Tengah, Kalimantan Selatan, Sulawesi dan Papua.
Presiden Indonesia, Joko Widodo turut meningkatkan usaha untuk menangani jerebu termasuk membuat lawatan ke kawasan yang terjejas teruk serta meminta negara-negara lain untuk membantu, namun usaha itu masih tidak berhasil.
“Kita semua tahu bahawa kawasan kebakaran kini telah merebak, melebihi keadaan biasa. Usaha untuk memadamkan kebakaran sedang dijalankan melalui darat dan udara, justeru kita perlu bersabar,” katanya. – REUTERS

IPU tidak sihat di 6 kawasan

AHMAD SHAZWAN 
MD. YUSOF | 04 September 2015 12:49 AM
DUA pemuda memakai topeng muka ketika melalui kawasan berhampiran Menara Alor Setar dalam keadaan jerebu tebal di Alor Setar, Kedah, semalam. UTUSAN/SAFRIZAL AZMI
KUALA LUMPUR 3 Sept. – Sebanyak enam kawasan di pantai barat Semenanjung Malaysia merekodkan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) tidak sihat melebihi 100 sehingga pukul 5 petang ini.
Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar, antara lokasi yang mencatat bacaan IPU tidak sihat tertinggi adalah di Alor Setar dengan bacaan 117, diikuti Kangar (110); Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Pegoh, Ipoh (105); Seri Manjung, Perak (103); Kampung Air Putih, Taiping (102) dan Pelabuhan Klang (101).
Bagaimanapun, kualiti udara di Tanjung Malim yang mencatat bacaan IPU tertinggi semalam dengan 106, kembali pulih hari ini apabila hanya merekodkan bacaan sekitar 53 sehingga pukul 5 petang.
Namun, sebanyak 34 lokasi mencatat bacaan sederhana antara 51 hingga 100 sementara keadaan jerebu di 11 kawasan di Malaysia Timur berada dalam keadaan baik dengan merekodkan bacaan IPU sekitar 50 dan ke bawah.
IPU antara 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).
Orang ramai boleh mendapatkan bacaan IPU terkini setiap jam dengan merujuk laman web JAS di http://apims.doe.gov.my untuk maklumat semasa.
Terdahulu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam satu kenyataan berkata, masalah cuaca kering dan berjerebu ini dijangka berakhir dengan bermulanya musim peralihan monsun pada Oktober ini.
Katanya, fenomena El Nino sederhana yang sedang berlaku dijangka menjadi kuat dan berterusan sehingga awal tahun hadapan.
“JAS akan terus memantau rapi status dan trend kualiti udara setiap jam berikutan keadaan jerebu masih tidak menentu dan peningkatan titik-titik panas di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia yang berpotensi menyebabkan pencemaran berkenaan ke pantai barat Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
“Kerajaan negeri dan tempatan serta semua pemilik tanah dinasihatkan supaya memantau rapi kawasan yang mudah terbakar seperti tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut, ladang, kawasan pertanian dan industri dengan mengambil langkah-langkah tertentu bagi mengelakkan berlakunya pembakaran terbuka,” katanya.

Khutbah Jakim sentuh kejadian MH370, cuaca jerebu

KUALA LUMPUR 14 Mac – Kejadian kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dan keadaan cuaca berjerebu yang melanda beberapa kawasan di negara ini menjadi isi khutbah Jumaat dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini.
Khutbah bertajuk Hikmah di Sebalik Ujian Allah itu mengingatkan semua pihak supaya bertenang dan tidak memanipulasikan kejadian kehilangan pesawat MH370 dengan menyebarkan berita-berita palsu menerusi pelbagai medium termasuk internet.
Menurut Jakim, umat Islam yang bertakwa kepada Allah dan percaya kepada hari akhirat hendaklah menjaga akhlak serta adab-adab ketika berbicara bagi menjaga perasaan keluarga mangsa kejadian berkenaan.
Jabatan itu turut menyeru masjid dan surau di seluruh negara agar terus mengadakan solat hajat dan berdoa kepada Allah SWT memohon misteri kehilangan pesawat berkenaan dapat diselesaikan segera.
“Marilah kita sama-sama bermuafakat untuk membantu menenangkan hati dan perasaan keluarga mangsa yang terlibat. Sebagai seorang muslim yang prihatin dan beriman serta kepada seluruh masjid dan surau dalam negara ini, marilah sama-sama kita menunaikan solat hajat dan berdoa kepada Allah SWT agar segala kemelut ini dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin,” seru Jakim.
Khutbah Jumaat berkenaan turut dibacakan di Masjid Negara, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Masjid Putra, Putrajaya dan disiarkan secara langsung menerusi saluran TV1 Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Jelas Jakim, kehidupan di dunia merupakan satu ujian daripada Allah SWT melalui pelbagai bentuk sama ada kesenangan, kebahagiaan, kesedihan dan malapetaka yang menimpa diri sendiri, kaum keluarga, masyarakat atau negara.
Khutbah itu mengimbas sejarah Nabi Ayub AS yang banyak menerima ujian dalam hidupnya seperti kehilangan anak kesayangan, kehabisan harta, menghidap penyakit dan dijauhi kaum kerabat serta isterinya sendiri.
Namun jelas Jakim, Nabi Ayub AS menghadapi ujian-ujian tersebut dengan penuh kesabaran dan berkeyakinan bahawa semua ketentuan Allah SWT mengandungi pelbagai hikmah di sebaliknya.
“Ketahuilah bahawa setiap ujian yang menimpa manusia mempunyai beberapa pengajaran berbeza. Bagi mereka yang beriman, maka ujian ditimpakan merupakan satu iktibar dan merupakan satu peringatan dalam bentuk kasih sayang dari Allah SWT agar mereka kembali pada jalan-Nya.
“Yang penting kita harus sabar menghadapinya. Ujian yang diturunkan Allah SWT kepada kita, pasti sudah ditetapkan dengan penuh keadilan. Tak mungkin ujian yang menimpa itu, melampaui batas kemampuan kita kerana Allah tidak pernah menzalimi hamba-Nya,” jelas Jakim.
Dalam pada itu, Jakim turut mengambil kesempatan menerusi khutbah Jumaat berkenaan untuk menyeru orang ramai supaya sama-sama mengambil peranan bagi memastikan keadaan berjerebu yang melanda negara pada masa ini tidak berpanjangan.
Menurut Jakim, beberapa langkah boleh diambil iaitu mematuhi amaran dan nasihat pihak berwajib dalam menangani masalah jerebu, mengurangkan aktiviti luar yang dapat menjejaskan kesihatan dan kehidupan serta mengawal pencemaran udara seperti melakukan pembakaran terbuka.
“Di samping itu kita perlu memastikan minum air bersih lebih banyak daripada biasa dan kerap membersihkan diri selain memakai alat perlindungan pernafasan apabila berada di luar rumah,” katanya.
Khutbah itu diakhiri dengan meminta semua pihak supaya mengambil iktibar dengan yakin bahawa setiap ujian merupakan tanda kasih Allah SWT pada hamba-Nya dan sentiasa optimistik bahawa boleh menyelesaikan setiap ujian hidup diberikan.
“Hadapilah ujian hidup dengan usaha dan doa. Apa-apa pun perkara yang menimpa kita, Insya-Allah ia akan menjadi kebaikan kalau dihadapi dengan sikap positif, optimistik, ikhtiar yang maksimum serta diikuti dengan doa,” jelas Jakim.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140315/dn_05/Khutbah-Jakim-sentuh-kejadian-MH370-cuaca-jerebu#ixzz2wB7HVS1Z  © Utusan Melayu (M) Bhd