UiTM umum Dr. Suhaimi 
Timbalan Naib Canselor

19 Jun 2015 1:10 AM
SHAH ALAM 18 Jun – Penolong Naib Canselor (Pembangunan, Fasiliti dan ICT) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Ir. Dr. Suhaimi Abd. Talib dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) universiti itu yang baharu berkuatkuasa pada 7 Jun lalu.
Suhaimi Abd. Talib
Ketua Timbalan Pendaftar Bahagian Canselori dan Komunikasi Korporat, UiTM Shah Alam, Alfina Bakar berkata, pelantikan Suhaimi bagi menjalankan tugas yang sebelum ini disandang Prof. Dr. Azni Zain Ahmed.
“Beliau memiliki kepakaran dalam bidang pengurusan alam sekitar, kawalan pencemaran, kejuruteraan air dan sisa air, bio-remediation dan pengurusan perkhidmatan air dan sisa air,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Alfina, Suhaimi telah dianugerahkan ijazah doktor falsafah dari Universiti Teknologi Malaysia (Oktober 2002), Sarjana Sains Pengurusan Air dan Alam Sekitar (Kepujian) dari Universiti Loughborough, United Kingdom (Disember 1996) dan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam (Kepujian) dari Universiti Melbourne, Australia (Disember 1986).
Suhaimi mula berkhidmat di UiTM pada 1988 dan menjadi pensyarah di Fakulti Kejuruteraan UiTM untuk program peringkat diploma, sarjana muda dan sarjana.
“Selain mengajar, beliau juga secara aktif terlibat dalam menyelia projek penyelidikan pelajar sarjana muda, sarjana sehingga ke peringkat doktor falsafah di UiTM.
“Antara jawatan yang pernah disandang ialah Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Perhubungan Industri) Fakulti Kejuruteraan Awam UiTM, Penolong Naib Canselor UiTM Kampus Puncak Alam dan Puncak Perdana dan Penolong Naib Canselor (Pembangunan, Fasiliti dan ICT) UiTM,” katanya.

UiTM : Sasar jana 60,000 akauntan

TalentCorp, UiTM meterai kerjasama
ABDUL RAZAK IDRIS | 26 Mei 2015 12:59 AM
ABDUL WAHID OMAR dan Sahol Hamid Abu Bakar (dua dari kanan) menyaksikan pertukaran MoU antara Johan Mahmood Merican (kanan) dan Venkkat Ramanan di UiTM Puncak Alam, Kuala Selangor, semalam. UTUSAN/ABDUL RAZAK IDRIS
KUALA SELANGOR 25 Mei – Dalam usaha untuk melahirkan 60,000 akauntan bertauliah menjelang 2020, Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan dua badan perakaunan profesional iaitu Akauntan Awam Bertauliah (CPA) dan Institusi Pengurusan Akauntan Berkanun (CIMA) dari Australia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, pemeteraian MoU tersebut akan membuka jalan kepada pelajar Malaysia di universiti tempatan untuk memulakan langkah mereka bergelar sebagai akauntan berkanun ketika masih menuntut.
“Usaha kerajaan untuk melahirkan graduan yang bersedia untuk industri bertujuan memastikan tenaga kerja muda Malaysia berpeluang memperoleh pendapatan tinggi hasil daripada transformasi ekonomi.
“Langkah meningkatkan kemahiran para graduan kita dengan kelayakan profesional yang diiktiraf di peringkat industri akan membantu tenaga kerja Malaysia mencapai potensi mereka.
“Syabas saya ucapkan kepada Fakulti Perakaunan UiTM kerana menerajui inisiatif menggalakkan pelajarnya untuk memperoleh kelayakan profesional dan mula mengambil kertas profesional sebelum tamat pengajian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani MoU antara UiTM, TalentCorp, CPA Autralia dan CIMA Australia serta melancarkan Zon Pembabitan Industri (Ind-E-Zone) di UiTM Kampus Puncak Alam di sini hari ini.
Yang hadir sama ialah Naib Canselor UiTM, Tan Sri Prof. Ir .Dr. Sahol Hamid Abu Bakar; Ketua Pegawai Eksekutif TalentCorp, Johan Mahmood Merican dan Pengarah Bahagian Hubungan Industri, Bahagian Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan, Prof. Madya Dr. Arham Abdullah.
Mengulas mengenai penubuhan Zon Pembabitan Industri di UiTM Puncak Alam, Johan Mahmood berkata, ia bermatlamat untuk menangani ketidakserasian kemahiran antara graduan baharu dan permintaan industri dan pada masa memberi kesempatan kepada graduan untuk bersedia sebelum memasuki dunia kerjaya.
“Program meningkatkan kemahiran perakaunan profesional dan pusat Ind-E-Zone merupakan usaha TalentCorp untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui usaha sama antara pihak industri dan akademik,” katanya.

UiTM : Kuasa autonomi tingkat daya saing

NORIZAN ABDUL MUHID (PENDIDIKAN@UTUSAN.COM.MY) | 14 Mei 2015 1:52 AM
SAHOL HAMID ABU BAKAR
Naib Canselor NC Universiti Tek­nologi Mara (UiTM), Tan Sri Prof. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar mengakui dirinya tidak boleh menjadi ‘Super NC’ untuk mengawal lebih 200,000 pelajar, pensyarah dan kakitangan sokongan universiti itu di seluruh negara.
Oleh sebab itu, beliau menyambut baik penganugerahan status autonomi kepada setiap kampus UiTM di seluruh negara yang akan dijaga dan diuruskan oleh seorang rektor bermula tahun ini, merangkumi empat bidang iaitu pentadbiran institusi; kewangan dan penjanaan pendapatan; pengurusan sumber manusia dan pengurusan akademik serta pelajar.
“Sebagai Naib Canselor, tugas untuk mengawal 200,000 pelajar, 10,000 pensyarah dan 10,000 kakitangan sokongan amat sukar, jika dibandingkan dengan universiti lain yang cuma ada sekitar 20,000 pelajar tetapi UiTM ada 200,000 pelajar, 10 kali ganda berbanding universiti lain. Saya tidak mampu untuk kawal dan urus semua.
“Saya sebagai NC tidak boleh jadi Super NC, saya mengaku, ia satu ego yang salah jika saya tidak mengakuinya,’’ katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kampus Induk UiTM Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.
Autonomi universiti bermaksud penurunan kuasa membuat keputusan daripada agensi pusat dan kementerian kepada pihak universiti selain merupakan prasyarat penting untuk mewujudkan persekitaran kampus yang dinamik melalui pengurusan institusi pengajian tinggi awam berdaya saing.
Pelaksanaan autonomi ini ber­teraskan integriti dan akauntabiliti yang tinggi serta perlu dipatuhi oleh pentadbiran universiti selain keputusan kemasukan pelajar diuruskan oleh universiti berkenaan, tidak lagi menerusi Unit Pengambilan Universiti.
UiTM telah menjalani audit kesediaan autonomi pada Mac tahun lalu oleh Kementerian Pendidikan dan Pusat Produktiviti. Laporan audit berpandukan Code of University Good Governance dan University Good Governance Index menunjukkan prestasi UiTM cemerlang terutama dalam bidang akademik.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Sahol Hamid berkata, bilangan pelajar UiTM kian meningkat setiap tahun dengan hanya 140,000 pelajar pada tahun 2000 tetapi kini meningkat kepada 190,000 orang dan komposisi itu perlu sei­ring dengan kualiti serta kebolehpasaran kerja melalui program pengajian yang ditawarkan.
“Kita mahu buka akses kepada semua pelajar tetapi pada masa sama kita harus menjaga kualiti dan bagi menjaga kualiti, kita mengurangkan program pengajian sama ada kita tutup atau gabungkan program demi memastikannya mampu menampung kebolehpasaran graduan UiTM.
“Namun UiTM semakin ramai pelajar dan popular, jadi untuk mengawal dan mengurus semuanya di kampus induknya di Shah Alam memang payah.
“Saya mengaku bukan senang nak jaga, jadi satu caranya adalah mewujudkan 13 kampus dan setiap daripadanya diberikan autonomi. Setiap kampus dijaga dan diuruskan oleh seorang rektor, sebagai contoh Kampus UiTM Perlis ada 12,000 pelajar, Perak 17,000 orang dan Melaka mempunyai 15,000 orang,’’ katanya.
Jelas Sahol Hamid, melalui pemindahan kuasa autonomi itu kepada rektor di setiap kampus membolehkan beliau sebagai Presiden mengawal secara keseluruhan pentadbiran dengan lancar dan lebih memfokuskan kepada pengurusan kewangan.
“Rektor akan lapor kepada saya (Presiden), saya akan lebih fokus terhadap kawalan kualiti pentadbiran yang lancar, pengurusan kewangan lebih mantap dan sekarang tidak akan ada banyak isu birokrasi, kita kurangkan isu ini habis-habisan, tidak perlu protokol terlalu banyak, maka kerja akan lebih lancar.
“Kita akan pantau dari segi kua­liti dan tatacara sama ada rektor jalankan tugas mengikut prosedur operasi standard (SOP), bertugas dengan integriti, tiada penyelewe­ngan atau salah guna kuasa,’’ katanya sambil menambah kuasa autonomi kepada kampus universiti sudah lama dipraktikkan di United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Tegas Sahol Hamid, rektor yang dilantik perlu menjalankan tugas dengan penuh integriti dan me­lakukan yang terbaik demi membawa nama UiTM ke peta dunia, menjaga kualiti dengan ketat di samping memastikan pelajar yang tamat pengajian mendapat pekerjaan yang baik.
“Perbincangan mengenai per­kara ini masih berjalan dengan pihak Kementerian Pendidikan termasuk memperhalusi beberapa perkara, bagi tahun pertama, kita kena pantau rektor yang mungkin terlepas pandang sesuatu atau terlalu ghairah hingga tidak ikut SOP, saya sebagai Presiden, perlu melihat perkembangan ini dengan te­liti bagi memastikan tiada masalah yang berlaku,’’ kata beliau.

Alumni UiTM perlu jayakan TP1B – Arshad

11 Mei 2015 3:57 AM
Arshad Ayub (dua dari kiri) dan isteri, Puan Sri Zaleha Arshad (kiri) melihat Anugerah Sarjana Cemerlang dalam bidang Pentadbiran Perniagaan yang diterima anak mereka, Azmir Razaleigh Arshad sambil diperhatikan isteri Azmir, Siti Shazlina Shamsirruddin selepas Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-82 di Shah Alam, semalam.
SHAH ALAM 10 Mei – Alumni dan ibu bapa pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) diseru menjayakan pelaksanaan Tabung Pendidikan 1 Bilion (TP1B) dengan menyalurkan sumbangan bagi memastikan agenda pembangunan ilmu pengetahuan bumiputera dapat diperkasakan pada masa depan.
Seruan itu dinyatakan Pro-Canselor UiTM, Tan Sri Arshad Ayub yang yakin TP1B dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada April lalu, mampu menjadi sumber kewangan besar untuk membela golongan bumiputera terus maju dalam bidang pendidikan.
“Sebagai Pro-Canselor UiTM, saya melihat inilah masa untuk alumni UiTM dan ibu bapa bekas pelajar universiti ini yang berjumlah hampir 500,000 orang menyumbang kembali kepada institusi yang telah berjaya mengubah landskap masa depan anak mereka.
“Saya tidak ingin menyatakan jumlah yang patut disumbang oleh golongan itu, tetapi apa yang penting adanya rasa ingin memberi balik dalam diri masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-82 di sini hari ini.
Arshad berkata, jika diandaikan seorang Alumni UiTM atau ibu bapa mereka memberi sumbangan sebanyak RM2,000, mungkin sasaran yang diimpikan sebanyak RM1 bilion menjadi kenyataan tanpa menunggu masa yang lama.
Katanya, budaya memberi balik kepada UiTM perlu dilihat sebagai satu perilaku murni demi mewujudkan kesinambungan pendidikan tinggi bumiputera bagi mengisi pasaran tenaga kerja profesional dan separa profesional pada masa depan.
“Inilah masa ibu bapa yang memiliki anak yang berjaya sebagai graduan pelbagai bidang untuk turut sama menyumbang ke dalam TP1B. Menjadi harapan saya juga, untuk melihat graduan yang tamat belajar hari ini turut menyumbang kepada anak bangsa apabila sudah berjaya nanti,” katanya.
Beliau menambah, inisiatif TP1B yang telah diilhamkan oleh Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh dan turut digerakkan bersama Persatuan Alumni UiTM (PAUiTM) itu perlu disokong sepenuhnya kerana ia diwujudkan untuk disalurkan bagi tujuan pendidikan, kebajikan, biasiswa dan penyelidikan ilmiah.

Kampus UiTM diberi autonomi

RODELIO JUNJUN TAUCAN | 12 April 2015 2:14 AM
Najib Tun Razak bersama Idris Jusoh (depan, empat dari kanan) dan Lodin Wok Kamarudin (depan, dua kanan) bergambar bersama penerima-penerima watikah pelantikan pemegang amanah Tabung Pendidikan 1Bilion (TP1B) UiTM termasuk Prof. Sahol Hamid Abu Bakar (belakang, kanan) dan Zaini Hassan (depan, kanan) dalam Majlis Sumbangsih Perdana TP1B UiTM di Kuala Lumpur, malam tadi. mingguan/Hafiz Johari
KUALA LUMPUR 11 April – Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penganuge­rahan status autonomi kepada semua kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam usaha menjadikan institusi keramat itu sebagai universiti terbaik di dunia.
Perdana Menteri berkata, penga­nugerahan tersebut perlu untuk memastikan sistem tadbir urus UiTM mampu mentadbir sebanyak 224,000 pelajar yang dijangka menyertai 244 program di universiti itu menjelang 2020.
Beliau berkata, melalui kuasa autonomi, setiap kampus UiTM akan ditadbir oleh seorang rektor yang boleh membuat keputusan dalam memastikan pentadbiran dan sumber universiti diuruskan dengan baik.
“Saya telah putuskan bersama bahawa konsep yang paling sesuai ialah kita kekalkan UiTM sebagai institusi keramat bumiputera, ini tidak boleh dikompromi, identiti UiTM tidak akan ditukar.
“Tetapi oleh kerana UiTM sudah terlalu besar, saya bersetuju sistem autonomi akan dilaksanakan, maka setiap kampus ada kuasa autonomi tetapi strukturnya tetap kekal,” katanya ketika berucap melancarkan majlis Malam Sumbangsih Perdana Tabung Pendidikan 1 Bilion (TP1B) UiTM di sini malam ini.
Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh dan Pengerusi Lembaga Pemegang TP1B, Tan Sri Lodin Wok Kamarudin.
Yang hadir sama, Naib Canselor UiTM, Prof. Tan Sri Ir. Sahol Hamid Abu Bakar dan Presiden Persatuan Alumni UiTM Malaysia, Datuk Zaini Hassan.
Perdana Menteri berkata, pemberian kuasa autonomi yang diputuskan bersama timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah bagi memastikan identiti UiTM terus kekal sebagai universiti terbaik untuk golongan bumiputera.
Tambahnya, sehingga Oktober 2014, UiTM telah berkembang de­ngan pesat dan menampung seba­nyak 177,051 pelajar daripada pe­ringkat pengajian asasi sehingga doktor falsafah.

1,500 lepasan SPM serbu 
program lanjut pelajaran ke UiTM

24 Mac 2015 12:22 AM
Abdul Azeez Abdul Rahim dan Mohd. Noor Mohd Amin (dua dari kiri) beramah mesra dengan pelajar lepasan SPM di Dewan Kenangan Tun Abdul Razak, Baling, kelmarin.
BALING 23 Mac – Kira-kira 1,500 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyerbu program Melanjutkan Pelajaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Peringkat Parlimen Baling 2015 di Dewan Kenangan Tun Abdul Razak dekat sini semalam.
Program anjuran Pemuda UMNO Baling dengan kerjasama UiTM cawangan Merbok itu bagi membolehkan lepasan SPM di kawasan ini meninjau peluang melanjutkan pelajaran ke universiti berkenaan bagi sesi baharu pada Jun ini.
Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim ketika berucap merasmikan program tersebut berkata, ini adalah peluang kedua bagi membantu pelajar yang mempunyai kelayakan agar mereka dapat melanjutkan pelajaran ke menara gading.
“Peluang kedua ini dibuka kepada pelajar lepasan SPM untuk memasuki UiTM setelah mereka gagal ataupun terlepas peluang ke universiti lain.
“Ini merupakan peluang untuk mereka mencapai cita-cita sehingga ke peringkat yang lebih tinggi dan tidak seharusnya mereka melepaskan begitu sahaja,” kata Abdul Azeez.
Antara kursus yang ditawarkan ialah pra-Perdagangan dan pra-Sains dan mereka akan menjalani kursus pra-Diploma selama enam bulan bermula Jun ini.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Baling, Mohd. Noor Mohd. Amin berkata, anak muda di kawasan ini perlu diberi pendedahan dan peluang untuk mengubah nasib dan masa hadapan mereka agar menjadi lebih berjaya dan sempurna.
“Kita tidak mahu anak bangsa ketinggalan jauh daripada arus perdana dan mereka perlukan ilmu untuk terus bersaing,” kata Mohd. Noor.
Lepasan SPM, Nazatul Afigah Mohd. Asri, 18, Kampung Ketemba Luar dekat sini berkata, dia tidak mahu melepaskan peluang yang disediakan itu demi mencapai cita-citanya.
“Peluang ini amat baik untuk saya dan rakan-rakan. Sekiranya terpilih saya tidak akan mensia-siakan peluang yang diberi ini,” katanya.

2,000 belia Shah Alam mohon masuk UiTM

09 Mac 2015 1:40 AM
AZHARI SHAARI (depan, tiga dari kiri) bersama Timbalan Ketua Bahagian, Datuk Abdul Rahim Mat Shah (depan, dua dari kiri), Naib Ketua Bahagian, Datuk Nor Hisham Ses (depan, empat dari kiri) dan Ketua Pemuda Bahagian, Ahmad Mua’adzam Shah Yaakop (kiri) melaungkan ‘Kami Mahu Masuk U’ bersama calon-calon pelajar Universiti Teknologi Mara dalam Program Jom Masuk U yang diadakan di Dewan Beringin, Seksyen 24 di sini semalam. – utusan/ABDUL RAZAK IDRIS
SHAH ALAM 8 Mac – Walaupun keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak cemerlang, namun demi mengubah masa depan yang lebih baik, 2,000 belia yang kebanyakannya daripada keluarga kurang kemampuan memohon melanjutkan pelajaran di Uni­versiti Teknologi Mara (UiTM) menerusi program Jom Masuk UiTM.
Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berkata, penganjuran program tersebut bertujuan memberi peluang kepada belia yang mendapat keputusan SPM sekurang-kurangnya tiga kredit meneruskan pendidikan tinggi, seterus­nya dapat mengubah nasib keluarga yang terpaksa berdepan kos tinggi di bandar besar.
“Program yang dianjurkan oleh UMNO Bahagian Shah Alam ini bukan sahaja mendapat perhatian warga bandar raya itu, malah ada yang datang dari Kuala Lumpur dan sejauh Miri, Sarawak.
“Kita berharap program sebegini dapat dikembangkan lebih jauh oleh semua UMNO bahagian di Selangor,” katanya semasa berucap merasmikan program tersebut di Dewan Beringin, Seksyen 24, di sini hari ini.
Calon-calon yang berjaya mendapat tempat di UiTM menerusi program berkenaan akan menjalani kursus pradiploma sebelum ke peringkat diploma.
Azhari menambah, pihaknya sentiasa komited menganjurkan program pendidikan untuk anak-anak warga bandar raya ini seperti tuisyen percuma menjelang pe­periksaan SPM pada tahun lalu.