SUKAN ASIA 2012 : Skuad boling semakin tertekan

SIN Li Jane (kiri) memenangi pingat perak acara AllEvent wanita semalam dan dia serta Shalin Zulkifli turut layak bersaing dalam acara Masters wanita hari ini.
INCHEON – Skuad boling negara semakin tertekan apabila masih gagal mencari pingat emas pertama Sukan Asia XVII selepas sekadar menambah dua lagi perak menerusi berpasukan lelaki dan Sin Li Jane dalam AllEvent wanita di Gimnasium Anyang Hogye semalam.
Ini merupakan perak keempat diraih skuad boling di Incheon selepas memenanginya dalam acara trio lelaki dan beregu wanita.
Walaupun jumlah pingat yang diraih agak memberangsangkan, namun boling hadir di Incheon dengan membawa misi besar iaitu mengulangi pencapaian dua emas di Guangzhou empat tahun lalu.
Selepas mendahului saingan AllEvent pada dua hari terakhir, Li Jane terpaksa akur gagal mempertahankan kedudukan itu apabila dipintas pada saat akhir oleh pemain tuan rumah, Lee NaYoung hanya menerusi 37 pin.
Li Jane, 22, menamatkan saingan perseorangan, beregu, trio dan berpasukan dengan mengumpul 5,095 jatuhan pin. Pingat gangsa milik pemain Singapura, Jazreel Tan dengan 5,013 jatuhan pin.
Dalam berpasukan lelaki, Zulmazran Zulkifli, Adrian Ang, Alex Liew, Syafiq Ridhwan Abdul Malek dan Timmy Tang mempamer semangat juang hebat apabila bangkit daripada kedudukan ketujuh, untuk menamatkan cabaran dengan perak menerusi 5,986 jatuhan pin, 242 pin di belakang Korea Selatan.
Hong Kong dengan 5,900 jatuhan pin membawa pulang pingat gangsa.
“Saya tidak bermain baik semalam (kelmarin) dan itu mempengaruhi kedudukan saya dalam AllEvent. Sejak awal lagi saya tahu pemain Korea mengekori dengan amat rapat, jadi saya tidak boleh melakukan kesilapan.
“Selepas masih gagal menghadiahkan emas buat Malaysia, saya akan cuba melakukan apa saja untuk mencari emas terakhir yang ditawarkan dalam saingan Masters. Cabaran tidak pernah mudah tetapi saya akan melakukan yang terbaik,” kata Li Jane
Selain Li Jane, pemain berpengalaman Shalin Zulkifli turut menempatkan diri dalam saingan Masters Wanita dengan menduduki tangga ke16 AllEvent menerusi 4,777 jatuhan pin. Zulmazran pula akan diiringi oleh Adrian Ang dalam Masters lelaki yang bermula hari ini.
Dalam saingan berpasukan wanita, Malaysia sekadar menutup kempen di tangga ketujuh dengan 5,793 jatuhan pin, 326 pin di belakang pemenang pingat emas, Singapura. Perak milik Korea Selatan menerusi 6,048, manakala Indonesia meraih gangsa. – UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20141001/su_08/Skuad-boling-semakin-tertekan#ixzz3ErGog2I0  © Utusan Melayu (M) Bhd


Advertisements

SUKAN ASIA 2014 : Skuad hoki kempunan ke akhir

PEMAIN-PEMAIN hoki negara (kiri) menangisi kegagalan mereka ke perlawanan akhir manakala anggota skuad Pakistan berpelukan meraikan kejayaan menewaskan Malaysia menerusi penalti shoot out di Stadium Hoki Seonhak, Incheon semalam. – UTUSAN
INCHEON – Skuad hoki lelaki negara terus kempunan pada Sukan Asia 2014 bagi mendapatkan slot automatik ke Sukan Olimpik 2016 apabila kecundang 6-5 kepada Pakistan menerusi penentuan penalti dalam aksi separuh akhir di Stadium Seonhak semalam setelah kedua-dua pasukan terikat 0-0 dalam masa sebenar.
Ini juga sudah kali kedua Malaysia gagal meraih slot ke Sukan Olimpik menerusi platform Sukan Asia selepas tewas kepada lawan sama dalam sa-ingan akhir empat tahun lalu.
Jurulatih sementara skuad hoki kebangsaan Arul Selvaraj berkata, pasukannya telah melaksanakan tugas dengan baik namun nasib tidak menyebelahi mereka semalam.
“Kami telah bermain dengan baik malah pertahanan juga telah menunjukkan komitmen dengan menghalang beberapa percubaan pasukan lawan dan saya sangat gembira dengan peningkatan dipamerkan pasukan.
“Selepas ini kami akan cuba untuk memperbaiki kelemahan terutama berkaitan hantaran bola bagi meraih keputusan lebih baik dalam perlawanan merebut pingat gangsa,” kata Arul selepas tamat perlawanan semalam.
Dalam perlawanan tersebut kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan seimbang selain mencipta beberapa peluang mendapatkan jaringan menerusi pukulan sudut penalti.
Pertahanan skuad kebangsaan juga nampak berada di tahap terbaik apabila berupaya mematahkan serangan balas pasukan lawan.
Penjaga gol negara S. Kumar juga telah beraksi dengan hebat, terutama apabila menyelamatkan pukulan sudut penalti Pakistan yang diperoleh pada minit ke-66.
Kekuatan seimbang kedua-dua pasukan menyebabkan pemenang hanya dapat ditentukan menerusi penalti shoot out yang menyaksikan Malaysia tewas 6-5.
Lima gol penalti skuad kebangsaan dijaringkan oleh Muhammad Marhan Mohd. Jalil serta dua masing-masing diraih daripada Muhammad Shahril Saabah dan Mohd. Fitri Saari.
Sementara itu, Kumar berkata, kekalahan tersebut menyebabkan Malaysia terpaksa berhadapan tugas berat untuk layak ke Sukan Olimpik menerusi saingan kelayakan temasya tersebut.
“Beraksi dalam saingan kelayakan Sukan Olimpik sudah tentu amat sukar kerana banyak pasukan hebat termasuk dari Eropah bakal turut serta.
“Kekalahan ini juga membuatkan saya kecewa kerana tidak berupaya meraih pingat emas pada penyertaan Sukan Asia terakhir saya,” katanya.
Malaysia akan menentang Korea Selatan untuk menentukan pemenang tempat ketiga dan keempat pada Khamis ini. Tuan rumah yang sebelum ini menang 2-1 ke atas Malaysia dalam pertemuan peringkat kumpulan, gagal ke perlawanan akhir setelah kalah kepada India. – UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20141001/su_09/Skuad-hoki-kempunan-ke-akhir#ixzz3ErFpV16A  © Utusan Melayu (M) Bhd 



SUKAN ASIA 2014 : Terjun terus setia sumbang pingat, raih satu perak, satu gangsa semalam

INCHEON – Hampir menjadi atlet gimnastik, malah pernah terfikir untuk menjadi pemain bola sepak, namun pada akhirnya sukan terjun yang menghadiahkan pingat buat Ahmad Amsyar Azman pada Sukan Asia XVII.
Membuat penampilan sulung di temasya sukan terbesar Asia itu, Amsyar yang hampir tidak disenaraikan dalam acara tiga meter papan anjal seirama, bagaimanapun gembira kerana penyertaan pada saat akhir menghadiahkan sebutir perak bersama Ooi Tze Liang di Pusat Akuatik Munhak Park Taek-Hwan semalam.
Gandingan muda negara itu melengkapkan enam terjunan dengan mengumpul 405.81 mata, 55.05 mata di belakang pasangan China, Cao Yuan-Lin Yue. Gangsa miliki pasangan tuan rumah, Kim Yeong-Nam-Woo Ha-Ram dengan 399.09 mata.
“Hanya semalam baru jurulatih memutuskan saya akan berpasangan dengan Tze Liang dalam acara 3m papan anjal seirama. Sebelum ini, nama Chew Yiwei turut disebut tetapi akhirnya saya yang dipilih.
“Saya memang sedih kalau tidak dipilih kerana ini acara kegemaran saya, hari ini saya gembira dapat membalas kepercayaan jurulatih dengan menghadiahkan perak.
“Pingat ini saya tujukan buat bapa saya, Azman Hassan kerana tidak pernah jemu memberi sokongan, malah dia adalah orang yang bertanggungjawab mendorong saya untuk memilih terjun sebagai karier.
“Sebenarnya saya minat gimnastik, tetapi bapa kata terjun lebih sesuai dengan saya. Pernah juga terfikir hendak jadi pemain bola sepak atau perenang, tetapi kata bapa fizikal saya yang kecil tidak sesuai untuk semua sukan itu.
“Akhirnya saya memilih terjun kerana ikut cakap bapa dan alhamdulillah hari ini saya berada di sini. Selepas ini, misi saya adalah untuk layak ke Olimpik di Rio, itulah impian sejak mula menceburi sukan terjun,” kata Amsyar, yang mula menjadi penerjun di usia 14 tahun.
Menurut penerjun kelahiran Kangar, Perlis berusia 22 tahun itu lagi, misi seterusnya di Incheon adalah cuba mencari satu lagi keputusan baik dalam acara 1m papan anjal individu yang berlangsung hari ini.
Sementara itu pasangan berpengalaman, Leong Mun Yee-Pandelela Rinong turut menambah pingat buat Malaysia selepas meraih gangsa dalam 10m platform seirama wanita selepas mengutip 313.92 mata.
Walaupun Mun Yee tidak pernah gagal membawa pulang pingat dalam semua Sukan Asia yang disertai sejak membuat penampilan sulung di Busan 2002, namun kegagalan mempertahankan perak yang diraih di Guangzhou empat tahun lalu dalam penampilan terakhir sedikit mengecewakannya.
Emas acara tersebut milik pasangan pilihan, Chen Ruolin-Liu Huixia dari China dengan 346.50 mata, manakala gandingan Korea Utara, Kim Unhyang-Song Namhyang merangkul perak menerusi 320.64 mata.
“Dapat menyumbang pingat dalam setiap Sukan Asia yang saya sertai memang menggembirakan, namun hari ini sebenarnya saya agak kecewa kerana kami sepatutnya boleh memberi persembahan yang lebih baik.
“Kesilapan dalam terjunan keempat memberi kesan kepada kutipan mata dan akhirnya kami terpaksa berpuas hati meraih gangsa. Ini mungkin Sukan Asia terakhir saya dan ini adalah satu-satunya acara yang saya sertai di Incheon, jadi sedikit mengecewakan,” kata Mun Yee.- UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20141001/su_05/Terjun-terus-setia-sumbang-pingat-raih-satu-perak-satu-gangsa-semalam#ixzz3ErEoad73  © Utusan Melayu (M) Bhd 



SUKAN ASIA 2014 : Pelayaran sahkan menang emas

MOHD. Faizal Norizan (tiga dari kiri) dan Syukri Abdul Aziz (kanan) meraikan kejayaan menang emas acara pelayaran 420 duo lelaki bersama rakan sepasukan yang turut memenangi dua perak di Marina Pelayaran Wangsan, Incheon semalam. – BERNAMA
INCHEON – Ketika kontinjen negara dirundung kesedihan gara-gara pingat emas Tai Cheau Xuen ditarik balik akibat positif dalam ujian doping, pelayaran mengembalikan semula ‘mood’ atlet Malaysia pada Sukan Asia XVII semalam apabila menghadiahkan pingat emas yang dinantikan menerusi Mohd. Faizal Norizan-Syukri Abdul Aziz dalam kelas 420 lelaki semalam.
Faizal-Syukri sudahpun mengesahkan emas ketika saingan masih berbaki satu perlumbaan selepas mempamer aksi cemerlang dalam 11 perlumbaan pertama di Marina Pelayaran Wangsan.
Malah, Sukan Asia kali ini juga akan dikenang sebagai pencapaian terbaik sukan pelayaran yang turut meraih dua perak menerusi Laser Standard (Khairulnizam Afendy) dan 420 wanita (Nuraisyah Jamil-Norwahidah Sallahuddin).
Kemenangan Faizal-Syukri menamatkan penantian lapan tahun Malaysia yang kali terakhir merangkul emas menerusi Rufina Tan dalam Optimist Perempuan di Doha 2006, dan juga memperbaiki pencapaian dua perak dan satu gangsa yang dilakukan di Guangzhou empat tahun lalu.
Faizal-Syukri menjadi atlet lelaki pertama menyumbangkan emas pada temasya di Incheon, selepas tiga emas terdahulu semuanya diraih peserta wanita iaitu Datuk Nicol David, skuasy berpasukan dan Cheau Xuen.
“Kami meraih perak di belakang Singapura pada Kejohanan Remaja Dunia di Portugal Jun lalu dan berada di depan Jepun ketika itu. Ia adalah kali pertama negara Asia menyapu bersih pingat dalam acara tersebut.
“Sejak awal lagi saya tahu, tiga pasukan ini akan bersaing sengit untuk merebut pingat emas pada Sukan Asia, namun keyakinan kami mula meningkat selepas memenangi dua perlumbaan pertama (24 September),” kata Faizal, yang meraih emas Sukan SEA Myanmar tahun lalu.
Pasangan Jepun, Koizumi Ibuki-Matsuo Kotaro yang memenangi perlumbaan ke-12 menutup saingan dengan pingat perak menerusi 23 mata, lima mata ditinggalkan Malaysia, manakala gangsa milik Loh Jia Yi-Jonathan Yeo dari Singapura dengan 36 mata. – UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20141001/su_02/Pelayaran-sahkan-menang-emas#ixzz3ErDQOVFJ  © Utusan Melayu (M) Bhd 



SUKAN ASIA 2014 : Malaysia tak pulang pingat

TAI Cheau Xuen dibatalkan penyertaan pada Sukan Asia Incheon setelah didapati positif dalam ujian dadah dan pingatnya akan ditarik balik tetapi menunggu hasil rayuan kontinjen negara.
INCHEON – Malaysia tidak akan mengembalikan pingat emas Sukan Asia XVII yang dimenangi oleh Tai Cheau Xuen walaupun alet wusyu negara itu disahkan gagal ujian doping semalam.
Ketua kontinjen negara Datuk Danyal Balagopal sebaliknya menegaskan, rayuan akan dikemukakan kepada Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS) kerana sejak awal lagi Malaysia meragui proses ujian doping itu dilakukan.
Antara yang menimbulkan keraguan adalah mengapa Majlis Olimpik Asia (OCA) mengambil masa yang terlalu lama sehingga 15 jam untuk mendapatkan keputusan ujian air kencing, sedangkan kebiasaannya boleh diketahui serta merta sebaik saja contoh air kencing dibawa masuk ke makmal.
Malah katanya, pada hari proses air kencing diambil, terdapat lima botol contoh yang diletakkan di satu tempat, justeru mungkin berlaku kesilapan seperti air kencing tertukar ketika dibawa ke makmal.
“Buat apa kami hendak pulangkan pingat emas? Kami akan mengemukan rayuan kepada CAS kerana terdapat banyak keraguan dalam cara kes ini dikendalikan.
“Mengapa mereka mengambil masa terlalu lama hingga 15 jam untuk mendapatkan keputusan, malah selepas pertandingan pun, Cheau Xuen menunggu hingga hampir dua jam untuk menjalani ujian.
“Ada beberapa perkara lagi yang meragukan, tetapi saya tidak boleh bercakap terlalu banyak kerana ini melibatkan isu undang-undang. Saya akan bincang dengan ISN (Institut Sukan Negara) dan mengemukakan dokumen untuk merayu kepada CAS,” ujar Danyal.
Semalam, OCA mengesahkan pingat emas yang dimenangi Cheau Xuen dalam acara nanquan dan nandao all around wanita ditarik balik selepas atlet berusia 23 tahun itu didapati positif mengambil dadah sibutramine.
Cheau Xuen menyumbangkan emas pertama buat kontinjen Malaysia di Incheon pada 20 September lalu.
Apa yang berlaku kepada Cheau Xuen adalah sesuatu yang malang, apatah lagi kontinjen Malaysia amat yakin atlet kelahiran Negeri Sembilan itu tidak bersalah dan seorang yang jujur.
Menurut Danyal, beliau dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr. Ramlan Aziz berulang kali menyoal Cheau Xuen sebaik keputusan sampel A diterima dan dia menafikan sekeras-kerasnya ada mengambil sebarang dadah atau bahan yang tidak dibenarkan.
“Saya yakin dia tidak bersalah. Kami akan mengemukakan rayuan di sini (Incheon) juga kerana CAS juga hadir pada Sukan Asia. Saya difahamkan dadah sibutramine biasanya terdapat dalam kandungan suplemen untuk menurunkan berat badan,” kata Danyal lagi. – UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20141001/su_01/Malaysia-tak-pulang-pingat#ixzz3ErCLHMRD  © Utusan Melayu (M) Bhd 



SUKAN ASIA 2014 : Yi Wei puas akhir raih pingat

Ooi Tze Liang (kanan) memeluk Chew Yi Wei apabila mengetahui mereka memenangi pingat gangsa selepas menamatkan lompatan terakhir dalam acara terjun 10m platform seirama lelaki di Pusat Akuatik Munhak Park Taek-Hwan, Incheon semalam. – UTUSAN
INCHEON – Selepas pulang tangan kosong pada Sukan SEA 2013 dan Sukan Komanwel Glasgow bulan lalu, Chew Yi Wei puas kerana akhirnya menebus kegagalan dengan meraih pingat gangsa Sukan Asia dalam acara terjun 10 meter platform seirama lelaki bersama Ooi Tze Liang semalam.
Penerjun berusia 18 tahun itu memastikan dia tidak terlepas pingat sekali lagi dalam penampilan ketiganya di temasya besar apabila aksi baik pada dua terjunan terakhir membolehkan dia dan Tze Liang mengumpul 384.90 mata untuk menaiki podium di Pusat Akuatik Munhak Park Tae-Hwan.
Biarpun menampilkan dua muka baharu, gergasi terjun dunia China masih mampu mempertahankan emas menerusi gandingan Zhang Yangquan-Chen Aisen yang mengumpul 462.90 mata selepas enam terjunan, jauh meninggalkan pemenang pingat perak dari Korea Selatan, Kim Yeong-Nam-Woo Ha-Ram dengan 403.50 mata.
Ini adalah pingat perak kedua buat Tze Liang selepas melakukannya bersama Bryan Nickson Lomas dalam acara yang sama di Guangzhou empat tahun lalu.
Kemenangan ini juga menebus kekecewaan Tze Liang-Yi Wei selepas tidak dihadiahkan gangsa pada Sukan Komanwel bulan lalu walaupun menamatkan cabaran di tangga ketiga kerana saingan ketika itu hanya disertai oleh empat penerjun.
“Kebimbangan gagal meraih pingat buat kali ketiga bermain di fikiran saya ketika saya dan Tze Liang sedang bersedia untuk melakukan terjunan keempat.
“Kami gagal memenangi emas pada Sukan SEA di Myanmar kerana melakukan kesilapan pada terjunan keempat walaupun sudah mendahului saingan sejak awal. Saya melalui dua temasya yang mengecewakan.
“Saya tidak sanggup berdepan kekecewaan sekali lagi selepas lama berlatih dan bekerja keras untuk persiapan ke Sukan Asia. Memang saya akui, agak tertekan ketika tiba di sini.
“Bagaimanapun saya gembira dapat mengeluarkan semua yang saya pelajari ketika latihan dengan begitu baik hari ini,” kata Yi Wei, yang kembali menyertai skuad kebangsaan selepas meraih dua pingat emas pada Sukan Malaysia di Kuantan dua tahun lalu.
Menurutnya lagi, dia hanya diberitahu oleh jurulatih untuk bergandingan dengan Tze Liang pada saat akhir kerana sejak awal lagi nama Ahmad Amsyar disebut-sebut untuk beraksi dalam saingan 10m platform seirama. – UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140930/su_04/Yi-Wei-puas-akhir-raih-pingat#ixzz3ElG6o100  © Utusan Melayu (M) Bhd 



SUKAN ASIA 2014 : Chong Wei perlu ‘angin baharu’

Lee Chong Wei masih gagal memenangi gelaran kejohanan besar, termasuk di Sukan Asia walaupun menguasai kejohanan terbuka.
INCHEON – Tukar jurulatih, ubah program atau lakukanlah apa saja, yang pasti Datuk Lee Chong Wei perlu membuat perubahan besar jika mengimpikan untuk memburu pingat emas di Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro atau menjadi juara dunia buat julung kalinya.
Selepas menjaga Chong Wei selama empat tahun sejak peletakan jawatan Datuk Misbun Sidek pada 2011, Tey Seu Bock telah melakukan segala yang termampu untuk membantu jaguh No. 1 dunia itu merangkul kejuaraan besar, namun usahanya gagal buat ke sekian kali apabila anak buahnya itu tersingkir di separuh akhir Sukan Asia XVII kelmarin.
Kekalahan 20-22, 21-12, 9-21 kepada musuh tradisi, Lin Dan dari China ‘mencacatkan’ karier Chong Wei yang sepatutnya cemerlang kerana telah mencipta begitu banyak rekod dalam kejohanan berstatus terbuka.
Selepas segala usaha menemui kegagalan, Seu Bock akhirnya akur – mungkin sudah tiba masanya Chong Wei melakukan ‘anjakan besar’ dalam kariernya bagi memenuhi impian bergelar juara kejohanan utama seperti Sukan Olimpik dan Kejohanan Dunia.
“Saya sudah melakukan segala-galanya yang termampu, mengorbankan banyak perkara untuk membantu Chong Wei menjadi juara Olimpik dan dunia seperti yang diharapkan oleh seluruh rakyat Malaysia, tetapi malangnya masih tidak berlaku.
“Sepanjang empat tahun menjaga Chong Wei, memang banyak kejayaan yang telah kami capai (dalam kejohanan Terbuka), malah dia melakukan rekod yang mungkin sukar untuk dipecah oleh mana-mana pemain, namun apabila tiba kejohanan utama…dia tetap gagal untuk bergelar juara.
“Seperti seluruh rakyat Malaysia, Chong Wei dan saya juga amat kecewa apabila gagal pulang bersama kemenangan. Kami sudah mencuba semua yang terdaya, bekerja keras semampu yang boleh dan merencanakan program terbaik, tetapi mungkin tidak cukup baik.
“Jadi, saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan Chong Wei membawa pulang emas dari Sukan Asia Incheon. Apabila kembali ke Kuala Lumpur, saya akan jumpa BAM (Persatuan Badminton Malaysia) dan bincang tentang perubahan besar yang perlu dilakukan jika mereka mahu Chong Wei terus maju,” kata Seu Bock.
Dalam tempoh empat tahun di bawah bimbingan Seu Bock, Chong Wei, 32, telah merangkul dua kejuaraan All England.
Pada 2011, dia memenangi enam kejuaraan Terbuka, diikuti lima pada 2012 dan tujuh pada 2013, termasuk gelaran Siri Super Masters Akhir. Tahun ini, Chong Wei menjuarai Terbuka Malaysia, All England, Terbuka India serta Terbuka Jepun.
Begitupun apabila tiba kejohanan utama, dia sering kandas di peringkat paling genting. Pada Kejohanan Dunia 2011, dia tumpas kepada Lin Dan di final, pada Sukan Olimpik London 2012 dia kalah kepada musuh yang sama dalam perebutan pingat emas.
Malang Chong Wei berterusan pada Kejohanan Dunia 2013 apabila Lin Dan sekali lagi menyekat impiannya untuk bergelar juara dunia, sebelum kemuncak kegagalan jaguh No. 1 dunia itu hadir pada Kejohanan Dunia 2014 yang dianggap peluang terbaiknya untuk muncul juara kerana Lin Dan tidak beraksi.
Chong Wei tewas kepada rakan senegara Lin Dan, Chen Long dalam perlawanan akhir di Copenhagen bulan lalu.
Pemain kelahiran Perak itu juga sebelum ini dikecewakan oleh Lin Dan dalam pertarungan merebut emas pada Sukan Olimpik Beijing 2008. – UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140930/su_03/Chong-Wei-perlu-angin-baharu#ixzz3ElEe4H1g  © Utusan Melayu (M) Bhd