Kilang bihun ‘kotor’ dijilat api

Oleh NORAZRIN MARZUKI
pengarang@utusan.com.my


KILANG Bihun Cap Masjid di Batu 6 1/2, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur musnah dalam kebakaran, awal pagi semalam.

KUALA LUMPUR 17 Jun – Belum pun reda isu mengenai proses menghasilkan bihun yang kotor dan meloyakan, kilang bihun yang baru-baru ini disita oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hangus dalam kebakaran di Batu 6 1/2, Jalan Ipoh di sini awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, empat lagi premis berhampiran kilang membuat ‘Bihun Istimewa Cap Masjid’ itu turut hangus dijilat api.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Selayang, Azrul Khairi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.10 pagi yang memaklumkan mengenai kejadian itu.
“Dua jentera dengan 15 anggota dikerah ke lokasi kejadian dan sebaik tiba di lokasi kira-kira 15 minit kemudian, api marak sudah hampir meranapkan kelima-lima unit kilang terbabit.
“Pihak bomba terpaksa meng-ambil tindakan segera mengawal api daripada terus merebak ke beberapa lagi unit kilang berhampiran,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Azrul berkata, punca kebakaran dan jumlah kerugian belum dapat dipastikan dan masih disiasat.
Minggu lalu, DBKL menyerbu sebuah kilang bihun yang menggunakan lambang masjid dan logo halal yang tidak diiktiraf serta mengarahkan agar kilang itu ditutup serta merta selepas mendapat laporan mengenai cara penghasilannya yang kotor dan menjijikkan.
Kilang yang dikatakan sudah menjalankan operasi sejak tahun 60-an lagi, didapati gagal mematuhi peraturan kebersihan yang ditetapkan.
Dalam soal siasat ke atas pengusaha kilang terbabit, dia mengakui tidak mampu melakukan kerja pembaikan premisnya yang sudah usang.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140618/dn_10/Kilang-bihun-kotor-dijilat-api#ixzz34wwHfyfH  © Utusan Melayu (M) Bhd 


Advertisements

MARI BACA – FDI Malaysia 2013 cecah RM38.8b – TAK JUMPA KAT PAPER PUAK SEBELAH…

Oleh AZMAN IBRAHIM
ekonomi@utusan.com.my




KUALA LUMPUR 13 Feb. – Malaysia berjaya menarik pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM38.8 bilion sepanjang tahun 2013, peningkatan 24 peratus berbanding RM31.1 bilion yang dicapai pada tahun 2012. Prestas FDI itu dianggap sangat baik walaupun ekonomi masih dalam pemulihan yang perlahan dan tidak menentu.
Malah, peningkatan FDI di Malaysia adalah lebih baik berbanding FDI di peringkat global iaitu sebanyak 11 peratus jika dibandingkan dengan negara-negara membangun (6.2 peratus) dan 2.4 peratus di peringkat Asia Tenggara seperti yang dilaporkan oleh Persidangan Pembangunan dan Perdagangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD).
“Semua sektor mencatatkan peningkatan dalam aliran FDI pada tahun lalu. Pelaburan sebahagian besarnya disumbang daripada sektor pembuatan dengan 37.6 peratus, perkhidmatan (28.8 peratus) dan perlombongan menyumbang sebanyak 28.7 peratus,’’ kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam satu kenyataan hari ini.
FDI Malaysia pada 2013 juga merupakan satu rekod pencapaian tertinggi setakat ini selepas pernah mencapai RM37.3 bilion pada 2011.
Tambah kenyataan itu, sektor perkhidmatan merupakan penyumbang terbesar dalam sub sektor menerusi aktiviti kewangan, insu­rans dan takaful serta teknologi maklumat dan komunikasi.
Malah, banyak syarikat perbadanan dan multinasional (MNC) luar negara telah memilih Malaysia bagi membangunkan pusat peng­operasian global dan serantau mereka.
Pemilihan Malaysia oleh perbadanan dan MNC ini dapat menyepadukan nilai dan aktiviti rangkaian bekalan yang mempunyai ekosistem perniagaan yang kukuh.
“Trend ini akan menghasilkan momentum ke hadapan, membantu kerajaan mencipta persekitaran yang lebih kondusif untuk komuniti perniagaan di Malaysia.
“Banyak MNC telah menjalankan program-program latihan berstruktur di negara ini bagi menyediakan pekerja Malaysia yang berdaya saing.
“Dalam jangka masa panjang, program-program latihan ini akan mencipta peluang pekerja untuk berpendapatan tinggi dalam sub sektor perniagaan, perakaunan, kewangan, teknologi maklumat, kejuruteraan, teknikal dan perkhidmatan-perkhidmatan baharu,’’ ujar kenyataan itu.
Dalam aspek pelaburan swasta yang direalisasikan pada tahun lalu (diukur menerusi pembentukan modal tetap kasar-GFCF), Malaysia berjaya mencapai RM161.1 bilion, peningkatan 14.9 peratus berban­ding RM140.2 bilion pada 2011.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20140214/ek_01/FDI-Malaysia-2013-cecah-RM388b#ixzz2tGAlEtc2  © Utusan Melayu (M) Bhd 


Teresa dakwa 2 artikel Utusan penyebab ditahan ISA

KUALA LUMPUR 10 Feb. – Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim mendakwa, beliau telah ditangkap dan ditahan secara salah oleh pihak polis mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 pada hujung tahun 2008 berdasarkan dua artikel yang disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia.
Teresa berkata, disebabkan dua artikel iaitu Azan, Jawi, JAIS, UiTM dan ba-alif-ba-ya dan Ada Usaha Larang Azan di masjid-masjid Selangor yang ditulis oleh kolumnis akhbar tersebut, Datuk Zaini Hassan, reputasi beliau telah tercemar.
Bagi Teresa, 49, polis sepatutnya siasat terlebih dahulu dan bukannya menahan dan menangkapnya tanpa alasan munasabah.
Ahli politik DAP itu yang disoal dalam pemeriksaan utama oleh peguam Sankara Nair menyifatkan tangkapan yang dilakukan terhadapnya umpama adegan penculikan yang selalu digambarkan dalam filem.
Beliau memberitahu demikian ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes samannya terhadap bekas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Syed Hamid Albar dan tiga yang lain atas dakwaan menangkap dan menahannya secara salah di bawah ISA, di Mahkamah Tinggi di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri Kinrara itu turut menamakan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; pegawai di Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM), Deputi Supritendan (DSP) E Kim Tien dan kerajaan Malaysia sebagai defendan kedua hingga keempat.
Teresa yang memberikan keterangan di hadapan Hakim Datuk Su Geok Yiam mendakwa, penangkapan dan penahanannya itu disebabkan oleh kecuaian pihak polis.
Ekoran menjalani tempoh penahanan itu, dakwa Teresa, mentalnya terganggu, terpaksa menanggung malu selain mengalami keracunan makanan.
Dalam pemeriksaan balas pula, Teresa tidak bersetuju dengan soalan diajukan oleh Peguam Kanan Persekutuan, Lailawati Ali yang mewakili pihak defendan, apabila mengatakan pihak polis tidak pernah menggunakan kekerasan dan tidak pernah mengacukan senjata untuk mengugutnya.
Teresa selain itu tidak bersetuju apabila Lailawati menyifatkan jawapan beliau hanya bersifat spekulasi kerana menganggap pihak polis kononnya tidak menjalankan siasatan terhadapnya.
Menjawab soalan mengenai tindakannya yang tidak memaklumkan kepada seorang doktor yang membuat pemeriksaan kesihatan semasa dalam tahanan, berhubung dakwaan mengalami keracunan makanan, Teresa mendakwa, ketika pemeriksaan, beliau belum terkena penyakit tersebut.
Teresa dalam pernyataan tuntutan, mendakwa, pihak defendan atau ejennya telah secara paksa dan berbahaya menangkapnya di pintu masuk kediamannya di Pearl Tower OG Heights, Jalan Awan Cina, di sini kira-kira pukul 11.15 malam, 12 September 2008.
Dakwanya, kira-kira pukul 2 pagi, keesokan harinya ketika di Balai Polis Wangsa Maju, beliau telah secara rasmi dimaklumkan oleh Kim Tien bahawa beliau telah ditangkap dan ditahan di bawah Seksyen 73(1) ISA 1960.
Antara lain alasan penangkapan yang diberikan ialah beliau dipercayai telah bertindak mengikut cara yang memudaratkan keselamatan negara dan melibatkan diri dalam kegiatan yang boleh mencetuskan ketegangan dan pergaduhan antara kaum dan agama.
Dakwanya, beliau kemudian telah ditahan di tahanan persendirian di satu tempat rahsia, ditempatkan dalam keadaan yang tidak sesuai untuk manusia dan dinafikan hak perlembagaannya.
Ketika ditahan, beliau mendakwa, hanya sekali temu duga singkat telah dibuat oleh pegawai penyiasat iaitu melibatkan isu-isu dalam artikel terbitan Utusan Malaysia pada 10 September 2008 bertajuk ‘Azan, Jawi, JAIS, UiTM dan ba-alif-ba-ya’ yang ditulis oleh Zaini.
Perbicaraan bersambung pada 12, 14 dan 15 Mei ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140211/ma_02/Teresa-dakwa-2-artikel-Utusan-penyebab-ditahan-ISA#ixzz2syfkupnb  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Bersatu Melayu teguh, bercerai Melayu roboh

MINGGU lepas saya menulis mengenai Dasar ‘DEB’ Obama dan dasar ekonomi Najib.
Ramai yang menelefon dan menghantar mesej mengatakan “berani menulis begitu?”
Saya katakan kepada mereka apa yang saya tulis itu adalah fakta berdasarkan ucapan Presiden Barack Obama dan kertas kerja Dr. Rais Saniman, salah seorang pakar ekonomi yang merangka Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada akhir 1960-an. Jika kita kritik sedikit secara konstruktif apa salahnya?
Saya katakan kepada mereka separa-kejayaan kita pada hari ini adalah ekoran pelaksanaan dasar itu. Cuma Dr. Rais merasakan dasar itu perlu diteruskan, mungkin dalam satu bentuk yang lain, tetapi atas semangat yang sama – untuk kejayaan sepenuhnya.
Dr. Rais bukanlah seorang yang rasis apabila terus menekankan mengenai dasar itu. Begitu juga saya. Begitu juga kita semua, baik Orang Asli, Melayu, Cina, India, kaum Pribumi sesiapa sahaja warga negara ini yang mahukan Malaysia yang harmoni dan sejahtera.
Tiada lebih daripada itu niat kita. Jika sistemnya ada sedikit-sebanyak ketidaksamaan, ketidakrataan – sama-samalah kita samakan dan ratakan. Ia bukan sahaja membabitkan suatu kaum tertentu, tetapi semua yang terlibat.
Namun, buat tulisan ini saya mahu menyingkap lagi apa yang Dr. Rais nyatakan dalam kertas kerjanya itu bertajuk: Melayu Mesti Mendapatkan Hak Asas Ekonomi Mereka (Malays must get their Basic Economic Rights).
Dalam satu bab bertajuk Racist Malays/Bumiputera atau Melayu/Bumiputera yang rasis, beliau menulis bangsa itu secara selesa telah dilabel oleh golongan Malaysia Baru sebagai rasis setiap kali membangkitkan persoalan-persoalan mengenai kemiskinan mereka, peminggiran mereka, ketidakrataan mereka dan status sosioekonomi yang ditekan di negara mereka sendiri.
“Mereka sepatutnya berdiam diri – tidak mengajukan soalan sebegitu. Terimalah nasib itu dan pergi serta berlindung di belakang agama dan majlis-majlis kebesaran anda.
“Biar kami yang membangunkan negara tanpa kamu membuat kacau dan halangan.”
Selama lebih 50 tahun orang Melayu/bumiputera telah kehilangan kuasa politik dan ekonomi.
“Berdasarkan trend yang lepas, kegagalan mencapai keseimbangan mungkin berterusan untuk 50 tahun akan datang, jika kepemimpinan negara tidak melaksanakan dasar-dasar berkesan untuk memutarbalikkan trend itu.
Ia adalah satu situasi ‘keciciran kekal’ (Permanent Lag) – iaitu orang Melayu/bumiputera telah ditinggalkan jauh dan semakin jauh. Ia bukan ‘keciciran sementara’ (Temporary Lag) seperti yang diharapkan oleh pembuat dan penggubal polisi.
Kata Dr. Rais lagi: “Secara politik orang Melayu/bumiputera telah turun taraf daripada ‘bangsa’ kepada ‘kaum’. Dalam analisisnya, beliau turut menulis “Siapa itu Rasis?”
Keputusan PRU-13, katanya menunjukkan majoriti kaum Cina di negara ini, yang bersatu, telah memilih DAP. “DAP ialah parti cauvinis Cina yang mendakwa sebagai parti yang menjuarai hak asasi manusia untuk semua rakyat.”
“Mereka telah berjaya menggambarkan persepsi itu kepada dunia dan sebaliknya melukiskan UMNO sebagai parti yang rasis dan perkauman.”
Secara realitinya, kata Dr. Rais, DAP menjuarai agenda Cina yang ekstrem – sehebat polisi Pecah dan Perintah yang diamalkan oleh British di Tanah Melayu.
“Strategi bijak mereka telah berjaya. Pemenang akan menguasai politik adalah pelan permainan mereka sejak merdeka. Kaum Cina menyokong semua parti Melayu termasuk membentuk pakatan dengan parti berasaskan agama seperti Pas.
“Ia adalah politik pandang jauh. Sesiapa sahaja menang (dalam permainan itu), mereka (DAP) juga menang.” UMNO sebaliknya terus mahu menjuarai 1Malaysia, demokrasi, undang-undang, hak samarata berpolitik dan hak-hak sosioekonomi untuk semua menjangkaui kaum.
UMNO, kata Dr. Rais lagi, menganggap itu adalah sebahagian daripada Tawar-menawar Sosial 1957 (Social Bargain) – iaitu Tunku Abdul Rahman menjuarai demokrasi, Tun Razak secara sukarela menyerahkan jawatannya sebagai Pengarah Majlis Gerakan Negara (Mageran/NOC), dan Datuk Seri Najib Tun Razak pula mengetepikan ISA.
Kerajaan yang dipimpin oleh UMNO mengamalkan ‘Dasar Inklusif’ dalam semua segi daripada politik ke ekonomi.
Malah DEB yang dulunya satu dasar afirmatif bertujuan membantu orang miskin Melayu/bumiputera, rata-ratanya lebih menguntungkan orang Cina lebih daripada kaum sasaran.
Negara ini kini dikuasai oleh Kapitalisme Cina dan bukan sebaliknya Kapitalisme British.
Rangkaian bekalan barangan (supply chain) dikuasai sepenuhnya oleh mereka. Mereka mengamalkan dasar eksklusif dengan mengetepikan orang Melayu/bumiputera. Walaupun orang Melayu mendapat kontrak, mereka terpaksa melalui peniaga Cina.
Mereka mengamalkan dasar monopoli dan monopsonistik harga, yang ditentukan oleh persatuan-persatuan yang mengawal pelbagai rangkaian bekalan barangan.
Secara ringkas, kata Dr. Rais mereka mengamalkan sistem kartel dalam menetapkan harga.
Beliau dalam itu menyarankan kerajaan berusaha melonjakkan semula kuasa politik dan ekonomi Melayu/bumiputera.
“Penyelesaian kepada masalah politik itu sekarang adalah perpaduan di antara orang Melayu daripada UMNO, Pas, PKR dan bumiputera Sabah dan Sarawak.”
“Ia akan menjadi satu kekhilafan polisi jika kita tidak mengambil tindakan tegas menyatukan semula orang Melayu/bumiputera dan melonjakkan semula kejatuhan ekonomi, selepas PRU13.
“Kita mempunyai contoh semasa 1969. Satu wawasan jangka panjang diperlukan daripada orang politik dan elit-elit ekonomi bagi merangka semula masa depan orang Melayu/bumiputera. Gagal melakukannya akan menyebabkan bangsa itu dijajah semula. Di Afrika Selatan, minoriti kulit putih menguasai majoriti kulit hitam. Yang sama boleh berlaku di sini.”
“Penyelesaian kepada masalah ekonomi Melayu/bumiputera ialah meningkat bahagian mereka dalam pelaburan dalam negara.”
Dasar Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) yang dilaksanakan oleh kerajaan iaitu mewujudkan 3.3 juta pekerjaan, harus dikuasai sebahagiannya oleh Melayu/bumiputera di semua peringkat.
Mewujudkan pelaburan bernilai RM1.4 trilion, orang Melayu juga harus mendapat bahagian yang sebaiknya dalam pelbagai industri.
Jika itu dicapai, baharulah bangsa itu boleh mencapai pendapatan per kapita sasaran AS$15,000 atau RM48,000.
“Jika 40 peratus penduduk miskin negara, rata-rata Melayu/bumiputera dibantu dengan pembabitan dalam ETP itu, secara automatik mereka akan berjaya melepasi garis kemiskinan,” katanya.
Jika tidak bangsa itu akan terus diketepikan atau lebih teruk dijajah semula (recolonised), kali ini oleh penjajahan dalam negara (internal colonisation) sendiri.
“Bersatu Melayu teguh, bercerai Melayu roboh – itulah formulanya,” kata Dr. Rais kepada saya baru-baru ini.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140129/re_06/Bersatu-Melayu-teguh-bercerai-Melayu-roboh#ixzz2rlJwxhHV  © Utusan Melayu (M) Bhd 




Amalan berbudi bahasa dalam masyarakat semakin luntur


PENULIS ialah pemerhati sosio-politik 

noor.azam33@gmail.com

ISUNYA bukan bola. Bukan tak boleh bertegur sapa. Isunya adab berbahasa. Dalam budaya Melayu ada yang disebut berbudi bahasa. Tingkah laku dan cara kita bertingkah-kata, terutama di depan massa. Sekarang lebih penting lagi, kerana akan tersiar dalam media massa dan media sosial yang bebas dan luas sebarannya. Lebih besar lagi kesannya apabila yang bertingkah kata adalah tokoh terkemuka.
Zaman tiga puluh atau empat puluh tahun dulu, yang jadi contoh teladan adalah orang tua-tua atau yang bergelar dan berkedudukan tinggi dalam masyarakat. Zaman itu tidak ada istilah idola yang dipopularkan melalui kegiatan seni di pentas dan dalam tv.
Tanpa diangkat-angkat dan dipuji-puji dengan publisiti, orang tua dan berpangkat dijadikan contoh teladan. Sekarang, semakin ramai orang tua-tua dan yang dianugerah kehormatan istana pun, tingkah laku dan bahasa percakapan mereka tidak berbudi bahasa lagi. Yang melakukan bermacam jenayah pun kian ramai.
Perkataan “biadab” dan “kurang ajar” yang dulunya jarang sekali kita dengar di khalayak ramai, sekarang sudah jadi bahasa basahan. Maaflah, ada kalanya kenyataan dari istana pun menggunakan kata “biadab”.
Bahasa dan tingkah laku sangat kasar tak bersopan dalam episod pertengkaran keluarga – yang jadi kegemaran penulis skrip drama tv untuk menunjukkan konflik – sudah keterlaluan. Apakah sampai begitu sekali parahnya tingkah laku dalam keluarga orang Melayu sekarang?
Bahasa istana pun – kecuali dalam majlis adat istiadat – makin hilang. Semakin ramai rakyat Malaysia yang tak boleh berbahasa Melayu yang bagus – apa lagi bahasa istana – dianugerahi gelaran Datuk dan Tan Sri. Pendek kata, semakin hari, amalan berbudi bahasa dalam masyarakat kita, semakin luntur. Dalam acara hiburan Melayu di tv kita – anak-anak muda penggemar siaran tv di panggung – dilatih menjerit melolong terpekik-pekik bagai dirasuk polong.
Maaflah, mukadimah ini agak panjang. Sebenarnya saya nak tulis tentang masalah perbezaan pendapat antara YB Khairy Jamaluddin dengan Datuk Jamal Nasir dan Datuk Siti Nurhaliza. Saya menganggap peristiwa seperti ini – yang belum pernah terjadi – adalah penting.
Khairy bukan sebarangan orang. Beliau seorang menteri, tokoh muda yang segak dan popular; punya masa depan yang panjang untuk menjadi pemimpin negara. Sebagai menteri yang bertanggungjawab ke atas kemajuan sukan, beliau boleh saja menegur dan mengkritik persatuan dan kelab sukan di bawah naungannya.
Akan tetapi dengan status ini, tidak seharusnya membolehkan beliau meluahkan perasaannya sampai melupakan kesopanan Melayu dan kebijaksanaan seorang pemimpin yang dipilih oleh parti Melayu dan rakyat.
Kata Datuk Siti Nurhaliza dalam twitternya, selepas pemimpin persatuan bola sepak dan Datuk Jamal Nasir diserang YB Khairy: “Sbg Menteri Muda & being look up, rasanya @Khairykj perlu menggunakan pendekatan yang lebih berhemah…lantang x perlu biadab dgn yg lebih tua.” Siti beralaskan komennya dengan perkataan “rasanya” dan “berhemah”.
Malangnya para penyokong Khairy menghentam Siti dengan mengungkit perkahwinan dan taraf pendidikannya, dibandingkan dengan Khairy yang mendapat ijazah dari Universiti Oxford dan berkahwin dengan anak Perdana Menteri.
Janganlah lupa: Rezeki, jodoh pertemuan dan tanah kubur kita di tangan Tuhan. Tiada pasti apakah taraf pendidikan penyokong-penyokong menteri kita ini.
Namun ini menunjukkan orang yang rendah moralnya dan tak tahu berbudi bahasa. Dan ini bukanlah salah mereka, tetapi bukti salah didikan dan contoh teladan yang kita berikan. Kalau guru kencing berdiri, murid akan kencing berlari.
Jamal Nasir sebagai orang tua yang berkhidmat dalam bola sepak negara – lama sebelum YB Khairy ikut masuk ke lapangan ini – merasa tersentuh hatinya. Kritik tajam daripada seorang menteri yang ada kuasa dan kepandaian, dirasakan bagai sembilu berbisa.
Sayanglah! YB Khairy menyambut luahan perasaan orang tua ini – dengan sergahan “Orang luar jangan masuk campur!”
Ada banyak isu di negara kita ini, lebih-lebih lagi yang berkenaan dengan bangsa kita, “orang luar” patut sekali “ikut campur”.
Rakyat yang prihatin ikut bertanggungjawab apa yang berlaku. Sumbangan rakyat diperlukan untuk membolehkan rancangan kerajaan dilaksanakan. Undi rakyat diperlukan dalam setiap pilihan raya. “Suara rakyat” – meskipun dianggap “orang luar” – adalah salah satu ciri penting dalam amalan demokrasi.
Mohon maaf. Ini hanya coretan pendapat seorang tua yang duduk jauh di luar gerbang kuasa.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131119/re_07/Amalan-berbudi-bahasa-dalam-masyarakat-semakin-luntur#ixzz2l3llVJXd
© Utusan Melayu (M) Bhd 


Cerita sensasi integriti dimusykili

HAKIKAT bahawa masyarakat kita mudah percaya kepada berita sensasi malah bergiat secara aktif untuk menyebarkan berita yang entah dari mana puncanya membuatkan kita semakin gusar dan runsing.
Betapa perilaku yang semakin menjadi budaya ini mencerminkan kepincangan keupayaan masyarakat kita untuk menjustifikasikan maklumat dan mencari kesahihan maklumat yang di terima.
Merujuk kepada kolum bisik-bisik Awang Selamat, Ahad 3 November 2013 atas tajuk “Apa Sudah Jadi” membuatkan saya terpanggil untuk membawa isu ini lebih jauh dimana pencarian punca mengapa ia menjadi berleluasa tanpa kekangan kerana ia menggugat institusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang sangat besar tanggungjawabnya untuk mengurus tadbir pilihan raya di negara ini.
Malah isu yang dibangkitkan juga mencemar serta menjatuhkan integriti SPR yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. Kita tidak boleh membiarkanya berlarutan kerana ia menggugat status demokrasi negara ini di mata dunia.
Semenjak 57 tahun merdeka dan melalui 13 pilihan raya, ini bukan kali pertama isu pengundi hantu di jadikan senjata untuk melahirkan kecurigaan dan ketidakpercayaan kepada sistem pilihan raya negara ini. Malah isu ini juga dimainkan di dalam Pilihan Raya Kecil Sungai Limau, baru-baru ini.
Memang tidak dinafikan bunga yang harum itu ada juga durinya. Institusi mana tidak ada kelemahan? Tetapi janganlah kita membawa kaedah yang tidak boleh dijustifikasikan oleh akal yang waras.
Isu 40,000 pengundi Bangladesh yang dibawa masuk sebagai pengundi hantu di dalam Pilihan Raya ke-13 yang lalu adalah sangat menghairankan lagi pelik kerana ia seperti tiada penghujungnya walaupun di fahamkan bahawa SPR telah membuat dua laporan polis berkaitan perkara yang sama.
Cerita-cerita lain yang tidak boleh dijustifikasikan juga di sebar luas seperti 4 kotak undi yang di seludup masuk ke dalam pusat pengiraan undi semasa pusat pengiraan “Black Out” malah cerita kotak undi jatuh dari helikopter juga wujud. Jika ia benar berlaku di manakah saksinya yang melihat segala kejadian tersebut untuk tampil kehadapan?
Ironinya adalah difahamkan pihak yang membangkitkan isu ini tidak pula memasukkannya ke dalam petisyen pilihan raya semasa bantahan keputusan pilihan raya dibuat. NGO dan badan-badan yang menjuarai isu ini juga tidak lagi kedengaran nada dan irama mereka setelah pilihan raya selesai.
Persoalan yang timbul ialah sama ada isu ini benar-benar berlaku di mana satu siasatan perlu di jalankan atau dijadikan strategi atau alat pilihan raya untuk meraih undi.
Dari sumber yang boleh dipercayai isu ini sentiasa dibangkitkan oleh masyarakat luar negara betapa integriti pilihan raya negara ini dipersoalkan. Perwakilan luar tanpa gagal mengajukan soalan kepada perwakilan kita tentang kesahihan perkara ini malah Christiane Amanpour tidak melepaskan peluang mengajukan soalan sama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di dalam temubualnya baru-baru ini di CNN.
Satu titik noktah perlu dicari dan penyelesaian segera perlu dibuat ke atas isu yang menjadi duri dalam daging ini. Banyak pihak telah menangguk di air keruh dan akibat dari itu jelas telah mengugat integriti SPR malah menganggu-gugat perpaduan negara yang kita cintai ini.
Tindakan segera perlu diambil untuk mempercepatkan proses siasatan keatas laporan yang telah di buat dan sistem keadilan perlu dilihat menyelesaikan isu ini.
Yang paling utama masyarakat ramai perlu menukar budaya yang terlalu cepat memanjangkan maklumat sensasi kepada rakan taulan sama ada melalui Twitter, Facebook, Whatsapp dan SMS supaya berhenti sejenak untuk mencari kesahihan maklumat dan menjustifikasikan tindakan kita supaya jangan ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131113/re_02/Cerita-sensasi-integriti-dimusykili#ixzz2kUc8NsIg © Utusan Melayu (M) Bhd 

Dong Zong, Comango serupa sahaja?

Oleh ZULKIFLI JALIL 

pengarang@utusan.com.my

Orang ramai dan NGO yang berhimpun di hadapan Istana Kehakiman sejak awal pagi mengaminkan doa yang dibaca Presiden PERKID,Ustaz Masridzi Sat selepas Mahkamah Rayuan memutuskan kalimah Allah tidak boleh digunakan dalam Majalah Mingguan Herald baru -baru ini – Utusan/Zaki Amiruddin

KALAU tidak silap penulis, sama ada hari ini Rabu 30 Oktober atau esok Khamis 31 Oktober, keputusan sama ada syor tuntutan-tuntutan ‘tak masuk akal’ Gabungan NGO Hak Asasi Manusia Malaysia (Comango) di Geneva, Switzerland akan diumumkan.
Itu setelah melalui proses Semakan Berkala Sejagat (UPR) di bawah kendalian Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Itu hal Comango yang mahu memperlekehkan Malaysia menerusi peruntukan Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan berkaitan Islam sebagai agama Persekutuan. Dan pada masa sama, mencanangkan tohmahan Malaysia terlalu ekstrem dalam melaksanakan lunas Islam.
Dalam negara pun satu hal juga. Kita terpaksa berdepan pula dengan puak cauvinis seperti Dong Zong atau Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia. Terbaharu, puak ini bertelagah pula dengan
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkaitan pengambilalihan tanah milik kerajaan dalam kawasan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chin Woo di Jalan Pudu, Kuala Lumpur. Tanah milik kerajaan seluas 0.13 hektar itu yang terletak dalam kawasan sekolah tersebut mahu dibangunkan untuk dibina Kampung Budaya menerusi projek Kota Warisan Kuala Lumpur.
Namun, ia mendapat bantahan daripada pelbagai pihak terutama ibu bapa kerana tanah berkenaan diguna sebagai gelanggang bola keranjang sekolah itu sejak 1938.
Mungkin ada tolak ansur dalam isu yang dicetuskan oleh Dong Zong ini. Kemungkinan ada ‘tolak ansur’ dan ‘kompromi’ di sini. Kita tak tahu sekiranya isu (SJKC) Chin Woo ini berlaku dalam konteks Pulau Pinang sekarang. Siapa antara dua pihak yang akan tunduk?
Dalam konteks Comango, ramai bertanyakan kepada penulis, mengapa kita terlalu ‘bagi muka’ kepada sebilangan besar NGO yang berada dalam gabungan Comango ini. Kalau dilayari NGO yang menganggotainya, kita pasti terkejut kerana mereka ini turut menerima biaya dan dana daripada kerajaan – sama ada suatu ketika dulu atau pun sekarang.
Di sebalik itu, satu iktibar yang perlu dipelajari di sini. Peranan UMNO dan Pas, dua parti yang mewakili umat Melayu.
Jika Comango dan Dong Zong ‘memekak’, UMNO dan Pas mesti berani dan bersatu menempelak mereka. Jika pengguna Internet mendurhakai Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana Raja di negara ini, seret mereka untuk didakwa cepat dan berkesan.
Jika ada yang mengkhianati dasar pelajaran negara, UMNO dan Pas mesti berani ke depan dan bertindak bagi pihak orang Melayu dan Bumiputera. Jangan teragak-agak apabila berdepan dengan sebarang pencabulan hak asasi kaum.
Seperti kata pakar perlembagaan Persekutuan, Tan Sri Dr. Rais Yatim: “Kita mesti hidupkan budaya berundang-undang mahir, berbicara juga mesti mahir dan menang.”
Kita jangan keterlaluan meyakini angka besar seperti 3.7 juta ahli UMNO untuk menang pilihan raya. Jangan lupa, ahli DAP, Pas, dan PKR tak lebih 600,000 secara purata tapi mereka telah memenangi nisbah undi popular dua musim pilihan raya berturut-turut. Bilangan sukarelawan parti, peguam dan profesional mereka lebih daripada yang dimiliki UMNO dan BN, walaupun ahli mereka sedikit, leadership core mereka serba-serbi layak dan berkemampuan. Mereka hormat kepada apa kata akar umbi atau calon boleh menang.
Kita boleh melihat kembali sejarah lain. Napoleon Bonaparte hanya dibantu oleh lima orang penasihat strategik. Riwayatnya menampilkan kejayaan menjadi pemimpin yang masih dihormati pada hari ini sekalipun membawa unsur-unsur diktator. Khalid ibnu Walid hanya merancang melalui syura 7 orang untuk menjadi strategis dan penakluk yang dikagumi.
Comango dan Dong Zong serta lain-lain pencerca cauvinis melemparkan pelbagai fitnah, ugutan dan tuduhan. Tindakan Dong Zong tak akan akur kepada dasar pelajaran negara serta Comango yang mahu menuntut yang bukan-bukan – adalah langkah yang mengkhianati negara.
Kita pasti tidak akan lupa bagaimana pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 mendapat tentangan hebat daripada Dong Zong yang sehingga kini masih mempertikaikan usaha murni tersebut dengan dakwaan kononnya akan mengancam kewujudan sekolah aliran serta menghapuskan bahasa Mandarin.
Padahal, setelah dikaji dan diteliti cadangan tersebut, tidak ada sedikit pun cacat-cela yang kononnya memartabatkan bahasa tertentu akan menghakis bahasa-bahasa lain. Malahan, PPPM bertujuan untuk pembangunan negara serta dalam masa sama mampu melahirkan pelajar bersahsiah terpuji serta berkeperibadian tinggi.
Merujuk khusus kepada tindak tanduk Comango, Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Dr. Yusri Mohamad baru-baru ini menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap pertubuhan itu yang sering membuat tuntutan bercanggah dengan Islam serta kedudukannya sebagai agama Persekutuan. Kata beliau, ini memandangkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bergabung di bawah Comango bukan NGO berasaskan Islam selain tidak berdaftar secara rasmi.
Tuntutan yang dikemukakan Comango sebahagian besarnya menjurus kepada hak kebebasan orientasi seks lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), hak kebebasan murtad bagi orang Islam dan hak kesamarataan agama di negara ini.
“Kami (Pembela) turut mempersoal kenyataan jurucakap Comango, Honey Tan Lay Eand dalam portal propembangkang, The Malaysian Insider pada 17 Oktober lalu yang menafikan tuntutan mereka mengancam Islam dan mempromosi seks songsang.
“Tapi sesiapapun yang merujuk kepada laporan itu akan mengakui beberapa kandungannya mengancam Islam dan umatnya di negara ini.
“Comango juga secara jelas mempersoal perkara berkaitan agama Islam termasuk kes tuntutan penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian, larangan terhadap penganut ajaran Syiah dan hak seorang bapa beragama Islam untuk mengislamkan anak-anak di bawah umur yang dijadikan isu hak asasi manusia,” katanya.
Sebab itu UMNO dan orang Melayu mesti kuat. Kuat dalam erti kata mesti meningkatkan prestasi kita – sama ada parti dan orang Melayu sendiri dalam bidang ilmu supaya setanding dengan kaum Cina.
Generasi baru tidak harus idealis tak tentu haluan.


© Utusan Melayu (M) Bhd