LIWAT : Bebelan Duta AS tidak menjadi kudis, tetapi kenalah bertindak

ANEKDOT AHAD
KU SEMAN KU HUSSAIN (KUSEMANKH@GMAIL.COM) | 15 Februari 2015 12:09 AM
Amerika Syarikat (AS) telah mencabuli kedaulatan undang-undang negara ini apabila mempersoalkan hukuman penjara lima tahun terhadap Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim. Tindakan ini bukanlah kerana berteraskan hak asasi manusia tetapi lebih kepada mahu menekan Malaysia supaya membebaskan Anwar.
Hubungan Anwar dengan AS bukan rahsia lagi. Kalau buka sejarah lama, kita akan tahu bagaimana rapatnya Anwar dengan bekas Setiausaha Pertahanan AS pada era Presiden Bill Clinton, William Cohen yang juga seorang Zionis daripada Parti Demokrat. Ketika itu Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Difahamkan Cohen mengenali Anwar pada pertengahan 1990-an melalui Projek Dailog Pasifik yang dianjurkan oleh Institut Kajian Dasar (IKD) sebuah badan pemikir yang diterajui Anwar. Ditaja oleh sebuah yayasan Kristian Jerman, Konrad Adenauer Foundation (KAF).
Semua ini serba sedikit fakta untuk menunjukkan hubungan rapat Anwar dengan AS. Ini bertujuan supaya sesetengah pihak tidak “terkejut beruk” apabila Duta AS ke negara ini, Joseph Y. Yun sanggup mempersoalkan keputusan mahkamah terhadap Anwar di atas tuduhan jenayah seksual. Dia bukan mengeluarkan kenyataan peribadi tetapi mewakili pendirian negaranya.
Nampaknya kehadiran Presiden Barack Obama ke negara ini selepas hampir setengah abad Presiden AS tidak datang ke Malaysia tidak berkesan untuk mencairkan hubungan setiakawan Anwar – AS. Walaupun sesetengah pihak begitu teruja dengan kehadiran Obama seolah-olah itu “rahmat dari Tuhan” kepada negara ini, perbuatan memperlekeh undang-undang kita kenalah dibetulkan.
Apabila berlaku perkara ini, diharapkan orang yang begitu teruja dengan Obama tidak menghantuk kepala ke dinding kerana kecewa dipermainkan AS. Ada yang tidak suka tulisan yang mengkritik AS dan ini menjadikan Duta AS di Kuala Lumpur agak “besar kepala” membuatkan dia berani mengkritik undang-undang kita.
AS sepatutnya menghormati sistem demokrasi sesebuah negara yang merdeka dan berdaulat. Dalam sistem demokrasi Malaysia, Anwar ditolak apabila pakatan pembangkang gagal memenangi pilihan raya umum sebanyak tiga kali iaitu 1999, 2004, 2008 dan 2013. Hendak dikatakan sistem pilihan raya dikawal oleh kerajaan, parti kerajaan sendiri pun kehilangan banyak kerusi dan 2013 adalah sejarah terburuk parti Barisan Nasional (BN).
Ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri, layanan AS terhadap Anwar melebihi kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Salah satu sebabnya Dr. Mahathir lantang mengkritik dasar-dasar AS yang berat sebelah menindas negara-negara Islam di Asia Barat terutama di Palestin dan Iraq. Sebab itulah AS berbaik-baik dengan Anwar yang hanya selangkah sahaja lagi untuk menjadi Perdana Menteri.
Saya faham AS merupakan rakan dagang Malaysia yang besar. Misalnya nilai eksport Malaysia ke AS mencecah lebih RM80 bilion. Satu jumlah yang besar. Tetapi kita wajar memperlihatkan ketegasan dalam perkara-perkara yang melibatkan maruah dan kedaulatan negara. Tidak boleh bertolak ansur dalam perkara ini.
Walaupun kenyataan Duta AS itu boleh dianggap terpencil tetapi wajar diambil tindakan. Tujuannya membuktikan Malaysia bukan berada di bawah telunjuk AS. Malaysia bukan Iraq atau Libya di mana AS boleh menghasut rakyat negara itu bertindak tidak demokratik menukar pemimpin. Tambahan pula ini bukan kali pertama AS mencampuri hal dalaman negara ini malah sebelum ini mempersoalkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Hasutan 1948.
Banyak pihak tahu bahawa yang kuat menentang Akta Hasutan 1948 dan ISA ialah pembangkang, dalam kata lain ialah Anwar. Walaupun ISA telah dimansuhkan tetapi hujah hak asasi manusia terus diperalatkan dengan sokongan AS. Malah hukuman ke atas Anwar juga dikaitkan dengan pelanggaran hak asasi.
Isu Anwar ini berbeza dengan ketegangan hubungan diplomatik antara Indonesia dan Belanda apabila Indonesia menjatuhkan hukuman mati terhadap rakyat Belanda atas kesalahan mengedar dadah. Belanda sedaya upaya mahu menyelamatkan rakyatnya. Sekiranya AS mempersoalkan hukuman ke atas Anwar yang merupakan rakyatnya, kita boleh memahami situasi itu walaupun tidak sepatutnya berlaku.
Malah isu Anwar ini juga berbeza dengan nasib bekas Perdana Menteri Pakistan, Zulfikar Ali Bhutto yang dikenakan hukuman mati oleh Jeneral Zia ul- Haq yang merampas kuasa negara itu pada 1979. Banyak negara merayu kepada Zia supaya tidak melaksanakan hukuman mati itu tetapi semua rayuan itu tidak diendahkan. Yang dilakukan oleh banyak negara ketika itu adalah atas dasar kemanusiaan dan bukan mencabuli kedaulatan undang-undang Pakistan, sekalipun hukuman itu lebih kepada dendam politik. Bagaimanapun campur tangan AS dalam kes Anwar adalah satu penghinaan terhadap sistem perundangan dan kehakiman negara ini.
Kalau benarlah ketidakadilan dan pencabulan hak asasi yang menjadi asas duta itu membebel, saya fikir AS tidak layak bercakap tentang perkara itu. Saya ada banyak hujah, salah satunya AS menggunakan Patriot Act 2001 kini dikenali sebagai USA PATRIOT (Uniting and Strengthening America by Providing Appropriate Tools Required to Intercept and Obstruct Terrorism) untuk mencabul hak asasi dan keadilan.
Akta USA PATRIOT membolehkan individu terutama bukan rakyat AS yang disyaki pengganas diseksa di kem tahanan Guantanamo. Sebahagian besarnya teraniaya dan mereka ditahan tanpa bicara serta diseksa bertahun-tahun lamanya. Ini lebih tidak bertamadun. Sebab itu AS tidak layak bercakap soal keadilan dan hak asasi manusia, mereka sendiri mencabulnya.
AS berbohong mahu menegakkan keadilan atau memperjuangkan hak asasi manusia. Itu retorik yang sudah basi. Sebab itulah kita kena menyedarkan mereka tentang hal ini. Berdiam diri dan menelan kebiadaban AS boleh menghakis keyakinan rakyat, walaupun tindakan Duta AS itu tidak boleh mengubah pandangan dunia kepada Malaysia.
Advertisements

Malaysia-AS perangi keganasan

Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI
pengarang@utusan.com.my



KUALA LUMPUR 28 April – Malaysia akan mempertingkatkan kerjasama dua hala dalam bidang keselamatan dengan Amerika Syarikat (AS) bagi memerangi keganasan antarabangsa yang kini menjadi ancaman global.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama itu meliputi latihan pasukan keselamatan, program pertukaran maklumat serta penggunaan kelengkapan dan peralatan bagi memantau aktiviti yang mempunyai kaitan dengan keganasan.
Beliau berkata, kedua-dua negara sudah mempunyai persetujuan asal bagi perkongsian maklumat yang bukan hanya melibatkan usaha memerangi percambahan senjata pemusnah besar-besaran (WMD), malah semua aspek yang mempunyai kaitan dengan keganasan dan jenayah.
“Isu percambahan WMD telah disentuh secara spesifik oleh Presiden AS, Barack Obama dalam mesyuarat dua hala yang turut disertai saya di Putrajaya semalam.
“Untuk itu, latihan yang selama ini telah diberikan oleh pihak AS kepada pegawai polis dan tentera Malaysia akan terus dipertingkatkan dan saya sendiri akan mengadakan perbincangan lanjut mengenai pertukaran maklumat serta latihan-latihan yang akan dilakukan ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Respons Keadilan Jenayah kepada Pemerdagangan Manusia ASEAN Kali Keempat: Sokongan kepada Mangsa Pemerdagangan dalam Sistem Keadilan Jenayah, di sini hari ini.
Yang turut serta dalam bengkel tersebut ialah Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin, Setiausaha Kehakiman Filipina, Leila M. De Lima; pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berhubung pemerdagangan manusia terutama­nya wanita dan kanak-kanak, Dr. Joy Ngozi Ezeilo; Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Rod Smith dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Mohamad Khalid Shariff.
Ahmad Zahid berkata, dalam era dunia digital sekarang, kepakaran dan kemahiran pasukan keselamatan negara perlu disesuaikan dengan kecanggihan peralatan sedia ada bagi memenuhi keperluan semasa dan akan datang.
“Saya yakin selain Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia juga bersedia mengadakan program pertukaran maklumat dan menjalani kursus serta latihan lanjut di AS. Ini bagi memperkukuhkan kerjasama dengan AS,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, Malaysia komited untuk memerangi pemerdagangan manusia dan ini terbukti apabila Anti Pemerdagangan Orang dan Akta Anti Penyeludupan Migran diluluskan di Parlimen pada 2007 sebelum dikuatkuasakan pada 28 Februari 2008.
Namun katanya, usaha tersebut memerlukan penyelarasan dalam kalangan negara-negara ASEAN dan luar rantau ini kerana masalah itu kini semakin kompleks dengan melibatkan negara-negara lain yang suatu ketika dahulu tidak berpotensi terlibat dengan aktiviti tersebut.
“Keadaan ini berlaku melalui sindiket dan disebabkan adanya peluang ekonomi di negara kita atau negara kita dijadikan sebagai batu loncatan untuk ke negara ketiga.
“Bagaimanapun, Malaysia telah bekerjasama dengan Indonesia supaya kedua-dua negara tidak dijadikan negara loncatan untuk ke negara ketiga seperti Australia. Kita telah berjaya mengekang beberapa aktiviti pemerdagangan manusia sebelum ini,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140429/dn_02/Malaysia-AS-perangi-keganasan#ixzz30EJKLFXR  © Utusan Melayu (M) Bhd

MALAYSIA-US – Perjanjian komersial RM6.4 bilion

Oleh JOHARDY IBRAHIM
ekonomi@utusan.com.my


BARACK Obama sambil diperhatikan oleh Najib Tun Razak berucap pada majlis pemeteraian perjanjian komersial antara syarikat Malaysia dan AS bernilai RM6.4 bilion di Kuala Lumpur, semalam. – BERNAMA

KUALA LUMPUR 28 April – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama hari ini menyaksikan pemeteraian tiga perjanjian komersial antara syarikat negara ini dengan AS bernilai AS$2 bilion (RM6.4 bilion) dalam sektor penerbangan, bioteknologi dan insurans di Malaysia.
Obama dalam ucapan ringkasnya mengalu-alukan kerjasama antara pihak swasta Malaysia dan AS yang pastinya bakal mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan peluang ekonomi kepada kedua-dua negara.
“Semalam, kita bersetuju bagi perkongsian komprehensif baharu antara Malaysia dan AS, dan berusaha untuk mengembangkan ekonomi kita.
“AS sudah menjadi pelabur asing terbesar di Malaysia dan Malaysia adalah pelabur yang paling pesat berkembang di Amerika Syarikat,” katanya.
Presiden AS itu berkata, mengenai masa depan, kedua-dua negara boleh mengharapkan pertumbuhan dan kemakmuran yang lebih baik lagi.
“Ini memerlukan komitmen dan peningkatan usaha, lebih bersaing, melabur lebih lagi, bukan sahaja di negara lain tetapi di seluruh rantau ini.
“Kita perlu melakukan lebih lagi untuk menggalakkan lebih banyak perdagangan dan ini termasuk mengurangkan beberapa halangan sedia ada bagi perdagangan dan pelaburan, menyokong perkongsian, eksport dan pekerjaan,” katanya.
Syarikat-syarikat terbabit ialah GE Aviation dengan Kumpulan AirAsia untuk pembelian enjin 80E1 untuk 25 pesawat baharu Airbus A330-300 milik AirAsia X bernilai lebih AS$1.5 bilion (RM4.8 bilion).
Syarikat kedua ialah Kumpulan Sime Darby untuk mengambil alih 30 peratus kepentingan bernilai AS$30 juta (RM96 juta) dalam firma bioteknologi Verdezyne yang berpangkalan di San Diego, California.
Yang ketiga ialah perkongsian antara Ambank dan Metlife, yang telah melabur hampir AS$249 juta (RM812 juta) untuk membeli kepntingan dalam AmLife dan AmTakaful, sekali gus pelaburan pertama firma AS dalam pasaran takaful Malaysia.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140429/dn_01/Perjanjian-komersial-RM64-bilion#ixzz30EHrvSRQ  © Utusan Melayu (M) Bhd

MALAYSIA-US – Amerika akan terus bantu cari pesawat

PUTRAJAYA: Amerika akan terus menghulurkan apa sahaja bantuan yang diperlukan dalam penyiasatan dan misi mencari pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang, kata Presiden Barack Obama.
Pemimpin Amerika itu berkata, sejak berlakunya tragedi itu, pihak berkuasa Amerika bekerjasama rapat dengan rakan sejawatan mereka dari Malaysia dan beliau pula sentiasa berbincang dengan pasukan dari negaranya tentang perkara itu. 
“Sejak berlakunya tragedi ini, kami bekerjasama rapat dengan rakan kami dari Malaysia dan kami akan terus memberi segala bantuan yang termampu dalam urusan penyiasatan dan usaha mencari pesawat itu. 
“Saya ingin memaklumkan kepada anda bahawa Amerika benar-benar komited dalam membekalkan (apa sahaja) sumber dan aset yang kami mampu, manakala Kerajaan Malaysia pula amat mengalu-alukannya,” kata beliau dalam sidang akhbar bersama dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Seri Perdana di sini hari ini.
Beliau juga mengaku misi mencari pesawat itu amat mencabar serta sukar dan mengambil masa yang lama.
Obama, yang sedang melakukan lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia, berkata terdahulu, dalam mesyuaratnya dengan Najib, mereka berbincang tentang pengajaran yang boleh diambil daripada tragedi tersebut dan bagaimana semua negara boleh bekerjasama dalam usaha mencari selanjutnya.
Amerika adalah antara negara paling awal menyertai operasi mencari pesawat yang sepatutnya mendarat di Beijing itu apabila ia hilang bersama 239 penumpang dan anak kapal pada awal pagi 8 Mac. 
Operasi mencarinya yang melibatkan pelbagai negara dilancarkan di Laut China Selatan dan kini pencarian ditumpukan di selatan Lautan Hindi, lokasi terakhir penerbangan itu dikesan sebelum isyaratnya hilang sama sekali. 
Sehingga kini, bukti berkaitan pesawat malang itu belum dijumpai. 
Obama juga menyampaikan ucapan takziah rakyat Amerika kepada keluarga mereka yang hilang bersama pesawat itu. 
“Saya amat memahami keadaan yang dialami keluarga terbabit, mereka mahukan jawapan dan (apa) yang paling penting (adalah) seperti yang saya nyatakan kepada Perdana Menteri Najib iaitu ketelusan sepenuhnya, mengenai apa yang kita tahu dan apa yang kita tidak tahu, bagaimana prosesnya berjalan,” kata beliau. 
Terdahulu, Najib merakamkan penghargaan Malaysia atas bantuan Amerika dalam menghadapi tragedi itu. 
“Sejak dua bulan lepas, kekukuhan persahabatan antara kami didedahkan untuk pengetahuan semua, sejak hari hilangnya MH370. Amerika menghulurkan kepakaran mendalamnya dari segi penyiasatan serta kemampuan dan aset uniknya dalam usaha mencari. 
“Kami amat berterima kasih kepada Tuan kerana sanggup bersama Malaysia ketika kami berdepan dengan kesusahan,” kata Najib. 
Pada peringkat awal operasi mencari pesawat MH370 di Laut China Selatan dan Selat Melaka, Amerika menggunakan pelbagai aset dan kepakarannya, termasuk kapal pemusnah periuk api USS Kidd daripada Armada Ketujuh Tentera Laut Amerika. 
Negara itu juga menggunakan USS Pinckney, kapal pemusnah kelas Arleigh Burke daripada tentera Laut Amerika bersama dua pesawat pengintip P-8 dan sebuah pesawat P-3C Orion Tentera Laut Amerika yang dilengkapi radar untuk pencarian jarak jauh dan peralatan komunikasi. 
Dalam misi mencari di selatan Lautan Hindi berhampiran Australia pula, Amerika menghantar hidrofon Towed Pinger Locator dan Kenderaan Dalam Air Autonomi dikenali sebagai Bluefin-21. 
Di samping itu, Amerika juga menghantar pakarnya termasuk daripada Lembaga Keselamatan Pengangkutan Negara (NTSB) dan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan untuk membantu dalam penyiasatan dan usaha mencari pesawat MH370. 
Empat daripada penumpang pesawat malang itu adalah warga Amerika. – Bernama

MALAYSIA0US – Obama akhiri lawatan ke Malaysia, berlepas ke Manila pagi ini

PRESIDEN Amerika Syarikat, Barack Obama melambai tangan sebelum berangkat ke Manila menaiki pesawat ‘Air Force One’ di Lapangan Terbang TUDM Subang, hari ini bagi meneruskan lawatan kerja ke Asia. – Foto Aizuddin SaadSUBANG: Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama mengakhiri lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia dengan pesawat Air Force One yang membawanya berlepas ke Manila, Filipina jam 10.20 pagi ini dari pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang.

Lawatan obama melakar sejarah dalam tempoh 50 tahun selepas lawatan pertama oleh Presiden Lyndon B. Johnson. 
Antara yang hadir untuk mengucapkan selamat jalan kepada Obama ialah Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin. 
Destinasi seterus presiden AS ialah Filipina, hentian terakhir dalam siri lawatan beliau ke empat negara Asia. 
Sebelum Malaysia, beliau melawat Jepun dan Korea Selatan. 
Atur cara terakhir Obama adalah menyaksikan pemeteraian beberapa perjanjian komersial antara syarikat Malaysia dan Amerika bernilai AS$2 bilion dalam sektor penerbangan, bioteknologi dan insurans.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut hadir pada majlis itu yang berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur. 
Kedua-dua pemimpin mengadakan mesyuarat dua hala di pusat pentadbiran Malaysia di Putrajaya pada Ahad yang menyaksikan Malaysia dan AS bersetuju untuk meningkatkan hubungan dua hala kepada Perkongsian Komprehensif.
AS juga berjanji untuk terus membantu Malaysia dalam operasi dan penyiasatan untuk mengesan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak 8 Mac.
Sepanjang lawatan itu, Obama antara lain menghadiri sesi perjumpaan tidak formal dengan pemimpin belia dari Asia Tenggara dan melawat Masjid Negara.
Presiden juga menghadiri jamuan negara bersama-sama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di Istana Negara beberapa jam selepas tiba di negara ini kelmarin.

MALAYSIA-US – Obama hargai komitmen Najib


Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor bersama Barack Obama ketika menerima kunjungan Presiden Amerika Syarikat itu di Seri Perdana, Putrajaya, semalam.

KUALA LUMPUR 27 April – Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama melahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di atas komitmennya membantu usahawan muda di Malaysia.
Beliau berkata, komitmen Najib itu dibuktikan menerusi inisiatif kerajaan mewujudkan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC).
Menurutnya, kejayaan MaGIC melahirkan produk-produk inovatif dan berteknologi tinggi membuktikan pelaburan Malaysia dalam inisiatif tersebut telah membuahkan hasil.
“Kami berpeluang melihat beberapa inovasi rekaan usahawan muda iaitu aplikasi dalam talian bagi membantu pelajar membuat persembahan digital, go-kart elektrik dan jam tangan khas bagi pesakit kencing manis.
“Saya dan Najib sentiasa memberi galakan kepada kegiatan keusahawanan sebegini,” katanya ketika menyampaikan ucapan ringkas di hadapan 40 pelajar sekolah yang terlibat dalam projek pengaturcaraan komputer di bangunan MaGIC di Cyberjaya hari ini.
Terdahulu, Obama diiringi Najib dan Pengerusi MaGIC, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah mengunjungi pameran produk Hypoband, Piktochart dan go-kart Dream Edge di ruang legar bangunan berkenaan.
Presiden AS itu percaya golongan muda di bawah bimbingan MaGIC akan terus mencipta lebih banyak produk berinovatif apabila mereka dewasa kelak.
“Saya amat teruja untuk melihat apa yang bakal berlaku kepada usahawan-usahawan muda di sini serta perkara membanggakan yang mereka akan lakukan ke arah kemajuan Malaysia, rantau ini dan dunia,” ujarnya.
Sementara itu, Najib dalam ucapan ringkasnya mengumumkan, dataran di pekarangan bangunan MaGIC dinamakan sebagai Obama Oval mulai hari ini.
“Nama itu adalah bagi memperingati kunjungan Obama ke Malaysia,” jelasnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140428/dn_05/Obama-hargai-komitmen-Najib#ixzz309WmmOmA  © Utusan Melayu (M) Bhd

MALAYSIA-US – Obama, Najib ulas isu Anwar dan hak asasi manusia

KUALA LUMPUR 27 April – Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama menyatakan perbincangan beliau dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini turut menyentuh hak asasi manusia dan kebebasan bersuara di negara ini.
Jelas beliau, agenda itu sentiasa menjadi keutamaan beliau dalam mana-mana lawatan dilakukan memandangkan masih banyak ruang penambahbaikan yang boleh dilakukan.
“Saya tidak bertemu dengan Datuk Seri Anwar (Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim), saya juga tidak bertemu dengan banyak orang lain tetapi ini tidak bermakna saya tidak menitikberatkan (isu hak asasi manusia).
“Apa yang saya telah kongsikan dengan Perdana Menteri Najib adalah prinsip asas sebuah masyarakat yang menghormati perintah undang-undang, kebebasan bersuara, hak untuk membangkang walaupun tidak menyenangkan, kebebasan berhimpun dan rasa hormat terhadap anggota masyarakat yang berbeza agama serta pendirian politik, ini semua adalah ukuran masyarakat yang berjaya pada abad ke-21,” katanya dalam sidang akhbar yang turut disertai Najib di Seri Perdana di sini hari ini.
Obama menjawab soalan seorang wartawan media asing yang bertanya sama ada beliau menitikberatkan atau tidak isu hak asasi manusia dan kebebasan bersuara di Malaysia apabila memutuskan tidak bertemu dengan Anwar.
Sementara itu, menurut Najib, Malaysia adalah antara negara yang terkehadapan dalam menegakkan prinsip hak asasi manusia apabila memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan menggubal Akta Perhimpunan Aman.
Dalam kes liwat melibatkan Anwar, beliau berkata, di sisi undang-undang, semua individu mempunyai hak keadilan yang sama walau sekecil atau sebesar mana kedudukannya, tidak elok untuk saya ulas lebih lanjut kes yang masih berada dalam proses mahkamah,” katanya.
Terdahulu, dalam meraikan kehadiran Obama, Najib berkata, Malaysia telah banyak berubah sejak lawatan Presiden Lyndon B. Johnson pada tahun 1966 dan negara majoriti muslim serta pelbagai etnik ini sedang pesat menuju kemodenan.
“48 tahun lalu, seorang Presiden AS telah memijakkan kakinya di tanah Malaysia, ketika itu televisyen adalah hitam putih, kumpulan The Monkees menjuarai carta lagu AS dengan lagu ‘Last Train to Clarksville dan filem ‘The Sound of Music’ memenangi Anugerah Akademi.
“Hari ini, Tuan Presiden, anda tidak melihat pokok-pokok getah sebagaimana Lyndon B. Johnson saksikan tetapi pencakar-pencakar langit yang melambung tinggi, ini adalah petunjuk transformasi yang berlaku di Malaysia,” katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140428/dn_04/Obama-Najib-ulas-isu-Anwar-dan-hak-asasi-manusia#ixzz309Vi7Z30  © Utusan Melayu (M) Bhd