KETUA LGBT MALAYSIA BERKIBLATKAN BARAT

Negara-negara Arab tolak LGBT

PULAU PINANG 28 Mei – Negara-negara Islam di rantau Arab senada dengan Malaysia mengharamkan ideologi lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) daripada diamalkan di negara masing-masing.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pendirian tegas itu disampaikan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Switzerland pada Februari lalu yang meminta penjelasan Malaysia berhubung perkara tersebut.
“Pada mulanya saya dan pegawai daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berdepan masalah menjelaskan kepada pejuang hak kebebasan asasi PBB tentang perkara ini.
“Ini kerana jika kita menggunakan hujah hadis dan al-Quran, mereka tidak akan faham dan saya terpaksa berbincang dengan peguam syarie mengenai hujah yang ingin disampaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah pada Seminar Wasatiyyah dan 1Malaysia di Dewan Tuanku Syed Putra, Universiti Sains Malaysia (USM), di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan
Menurutnya, ketika pertemuan itu berlangsung pihaknya telah mendapat pertolongan negara-negara Arab yang juga mengharamkan ideologi berkenaan.
Ketika itu, katanya, wakil negara-negara Arab yang turut dipanggil dengan lantang dan tegas menolak LGBT walaupun atas nama kebebasan dan hak asasi manusia.
“Pada masa sama, umat Islam di negara ini harus sedar ancaman LGBT ini hadir dalam pelbagai bentuk dan kumpulan itu akan menggunakan pelbagai kaedah untuk menyebarkannya,” jelasnya. Jelas beliau, ancaman terbaru termasuk daripada orang Islam sendiri yang menjadi ejen kepada penularan ideologi itu.
Ia, kata beliau, seperti menerusi terjemahan buku Irshad Manji iaitu Allah, Kebebasan dan Cinta yang sebenarnya hanya mahu melihat umat Islam berbalah mengenai isi kandungan buku tersebut.
Ketika ditemui pemberita selepas seminar tersebut, Jamil Khir berkata, beliau telah menulis surat kepada Menteri Haji dan Wakaf Arab Saudi bagi memastikan kuota jemaah haji Malaysia tahun ini tidak terjejas ekoran tindakan penyokong Bersih berdemonstrasi menyokong perhimpunan haram tersebut di negara berkenaan pada 28 April lalu.
Katanya, surat itu akan disampaikan Pengurus Besar Kanan Tabung Haji, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman yang akan ke negara tersebut minggu ini.
Menyentuh mengenai seminar itu pula, Jamil Khir berkata, ia merupakan siri kelima selepas dianjurkan di Kedah, Perak, Selangor serta Negeri Sembilan dan akan diadakan di seluruh negara dari semasa ke semasa.
“Pemahaman rakyat terhadap konsep wasatiyyah dan gagasan 1Malaysia semakin mantap dan saya yakin ia dapat diterjemahkan dalam pelaksanaan tugas dan tanggungjawab seharian.
“Lima kumpulan masyarakat yang menjadi kumpulan sasar program ini adalah penjawat awam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), belia, pekerja swasta dan anggota parti politik,” jelasnya.

KOMEN : NIK AZIZ YANG MENYOKONG LGBT NI FAHAM KE ATAU BUAT-BUAT TAK FAHAM. PADA ANWAR YANG PENTING NIK AZIZ SOKONG… YANG LAIN BELAKANG KIRA… SEMUANYA NANTI MAIN BELAKANG.. KASI KIRA….

Anwar arah tutup kes Azmin?

KUALA LUMPUR 29 Mei – Raja Petra Kamaruddin, pengendali portal pro pembangkang tampil sekali lagi mendedahkan bagaimana Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri bertindak menutup kes rasuah membabitkan Azmin Ali.
Dalam pendedahan itu, Raja Petra mendakwa Anwar pada 1995 mengarahkan pegawai kanan Badan Pencegah Rasuah (BPR) menghentikan siasatan berhubung kekayaan luar biasa bernilai jutaan ringgit yang dimiliki Azmin dan isteri, Shamsidar Taharin, walaupun hanya bergaji RM2,442 sebulan selaku setiausaha sulit ketika itu.
Dakwanya, penglibatan Anwar dalam kes rasuah Ahli Parlimen Gombak dan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu didedahkan sendiri oleh bekas pegawai kanan BPR yang bertanggungjawab menyiasat kes tersebut dalam satu pertemuan di London.
Katanya, satu fail sulit bertarikh 15 Mei 1995 yang diserahkan bekas pegawai kanan BPR itu kepadanya jelas menunjukkan Azmin memiliki kekayaan yang tidak seimbang berbanding pendapatannya selaku penjawat awam dan ia disokong pula dengan bukti pemilikan saham oleh Shamsidar bernilai lebih RM7 juta.
Antara kekayaan Azmin pada ketika itu dakwa Raja Petra adalah memiliki sebuah kereta mewah BMW 325i (RM160,529), Proton Perdana 2.0 SE (RM80,767), rumah banglo dua tingkat di Setapak (RM284,118), rumah berkembar di Taman Melawati (RM210,000) serta sejumlah 1,000 unit saham dalam Hicom.
“Selain itu Azmin juga memiliki dua buah kereta lagi iaitu Proton Wira 1.6 Xli dan Proton Satria 1.6 Xli manakala pemeriksaan ke atas salah satu akuan bank Shamsidar mendapati terdapat kemasukan deposit cek berjumlah RM7.2 juta serta wang tunai bernilai RM708,800 dari November 1992 hingga Mei 1995.
“Tidak terkecuali siasatan BPR juga mendapati terdapat kemasukan cek dari bank-bank tempatan ke atas akuan milik Shamsidar berjumlah RM628,552 selain baki dalam akaun bank beliau yang pernah satu ketika mencecah angka lebih RM300,000,” katanya sebagaimana dipetik dari portal http://www.malaysia-today.net hari ini.
Dalam pada itu, semakan Utusan Malaysia ke atas fail sulit yang dimuat naik Raja Petra mendapati laporan hasil siasatan Pegawai Siasatan, Cawangan Siasatan Am, Ibu Pejabat BPR menyarankan supaya tindakan tatatertib diambil ke atas Azmin kerana terbukti beliau memiliki kekayaan tidak seimbang.
“Hasil daripada siasatan yang dibuat mendapati jumlah perbelanjaan yang dibuat oleh Azmin dan isterinya adalah jauh tidak seimbang terutama bagi tahun 1993 dan 1994. Hasil siasatan setakat ini juga mendapati isteri Azmin terlibat dalam pembelian saham bernilai jutaan ringgit sedangkan Shamsidar tidak bekerja.
“Memandangkan jumlah perbelanjaan yang dibuat Azmin jauh tidak seimbang, saya syaki wang dan harta dimiliki datang dari hasil perlakuan rasuah. Saya cadangkan Azmin diambil tindakan tatatertib,” lapor pegawai berkenaan tetapi BPR tidak mengarahkan sebarang tindakan lanjut diambil ke atas Azmin.
Sementara itu, dalam kenyataannya, bekas pegawai kanan BPR yang bertanggungjawab mendedahkan segala fail sulit berkenaan kepada Raja Petra pula berkata, hanya orang yang pekak, buta serta tuli sahaja yang sengaja mengatakan segala cerita tentang rasuah membabitkan Azmin hanya suatu rekaan atau konspirasi.
Di samping itu, beliau turut menegaskan, perbuatan pegawai kanan BPR mengarah siasatan ke atas Azmin dihentikan melanggar undang-undang jenayah di bawah Kanun Tatacara Jenayah dan Perlembagaan Persekutuan kerana beliau tiada hak untuk mengarah melainkan arahan pendakwaraya.
“Semasa siasatan dibuat gaji Azmin hanya RM2,442 sebulan tetapi mampu menjelaskan bayaran bulan rumah di Setapak sebanyak RM3,376 dan rumah di Taman Melawati sebanyak RM1,110. Jumlah bayaran ini sahaja menunjukkan hutang Azmin melebihi gaji. Di mana Azmin dapat wang tambahan untuk hutang ini?
“Ini belum masuk bayaran deposit yang dibuat ke atas rumah dan kereta, bayaran bulan kereta BMW berjumlah RM875 dan Proton Perdana pula RM700 sebulan. Bukankah ini sahaja sudah mencukupi untuk menunjukkan Azmin mempunyai pendapatan yang lain,” katanya juga dipetik dari portal Malaysia Today.

KOMEN : ITULAH SIKAP PUAK NI… MENGATA ORANG DIA YANG LEBIH…. INI SEMUA SALAH UMNO SEBAB BAYAR GAJI SIKIT SANGAT MASA DUDUK DALAM UMNO….

Bajet 2013 fokus kesejahteraan rakyat

DARI UTUSAN MALAYSIA
30/5/2012

NAJIB Tun Razak menerima kunjungan Naib Presiden Filipina, Jejomar C. Binay (kanan) dan berbincang mengenai hubungan kedua negara di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam. – BERNAMA

PUTRAJAYA 29 Mei – Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengumumkan pembentangan Bajet 2013 di Parlimen pada 28 September ini berkata, perbelanjaan akan tertumpu kepada pertumbuhan yang berkualiti dan seimbang selain menjamin kesejahteraan rakyat.
Dalam pembentangan Bajet yang selalunya dibuat pada bulan Oktober, kata Perdana Menteri, kerajaan komited untuk mengukuhkan kedudukan kewangan awam serta mengekalkan momentum pertumbuhan negara.
”Saya memberi jaminan bahawa pengukuhan fiskal berada pada landasan yang baik untuk mencapai sasaran defisit jangka sederhana sekitar tiga peratus menjelang 2015.
”Mengekalkan momentum pertumbuhan ketika berdepan cabaran luar menjadi satu keutamaan kita, tetapi ia akan dilakukan melalui pendekatan fiskal yang bertanggungjawab,” katanya ketika berucap dalam majlis konsultasi Bajet 2013 di Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Majlis konsultasi yang bertemakan Memacu Transformasi Ke Arah Negara Maju itu dihadiri pakar pelbagai bidang untuk membentang dan membincangkan isu-isu makro, sektoral dan sosial. Kementerian Kewangan telah menerima 84 memorandum yang akan dipertimbangkan dalam perancangan Bajet 2013, isu-isu spesifik pula diteliti melalui kumpulan-kumpulan fokus yang lebih kecil.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, pernilaian perbelanjaan awam telah dilakukan melalui bantuan Bank Dunia dan kerajaan sedang melaksanakan cadangan-cadangan yang diberikan. Katanya, satu jawatankuasa dalam Perbendaharaan juga telah ditubuhkan untuk melihat isu-isu mengenai kemapanan fiskal pada jangka masa panjang.
Dalam pada itu, beliau berkata, Malaysia mesti memberi tumpuan kepada usaha untuk meningkatkan produktiviti dan inovasi bagi mengukuhkan daya saing di peringkat global.
Menurut Najib, sumbangan pelaburan swasta dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) masih rendah tetapi boleh diperbaiki iaitu pada 12.7 peratus manakala sumbangan perusahaan kecil dan sederhana (SME) dalam ekonomi berada pada 31 peratus.
Beliau berkata, semua pihak perlu mengemukakan idea dan mencadangkan langkah spesifik bagi mengatasi pelbagai cabaran, khususnya yang melibatkan kesejahteraan rakyat.
”Program transformasi negara telah memasuki tahun ketiga yang mana pelbagai kejayaan dicapai dalam tempoh pendek ini, tetapi masih banyak yang perlu dilakukan.
”Setiap bajet mesti menyumbang ke arah merealisasikan Wawasan 2020,” katanya. 

KOMEN : BAGAIMANA PULAK BAJET PUAK PEMBANGKANG….? SEPERTI BIASA PERANCANGAN BAJET SEHARI  UNTUK TEMPUH SETAHUN DIATAS SEKEPING KERTAS… MARI SAMA-SAMA KITA FIKIR….

Mandat rakyat penting – PM

NAJIB Tun Razak memberi ucaptama pada Persidangan Invest Malaysia 2012 di Hotel Shangri La, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/AHMAD ZAKKI JILAN

KUALA LUMPUR 29 Mei – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, mandat rakyat kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) amat penting terutama bagi meneruskan usaha melaksanakan setiap program transformasi yang dirancang.
Perdana Menteri berkata, kerajaan sedar tanpa mandat yang kuat daripada rakyat ia hanya akan melambatkan pelaksanaan agenda tersebut sekali gus membantutkan hasrat melihat Malaysia muncul sebagai negara berpendapatan tinggi serta maju pada 2020.
Selain itu, Najib turut mengingatkan rakyat supaya bijak menilai khususnya membabitkan janji serta cadangan pembangkang dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang kerana jelas rancangan-rancangan dikemukakan lebih bersifat populis, tidak realistik serta diragui.
“Saya amat meragui setiap janji, rancangan serta cadangan mereka. Sebagai contoh, mereka mahu menurunkan harga petrol dalam tempoh satu malam sahaja yang mana langkah ini tidak pernah dilakukan mana-mana kerajaan di dunia.
“Untuk makluman, kerajaan memperuntukkan lebih RM2 bilion sebulan untuk subsidi petrol. Jika harga bahan api ini diturunkan lagi, kerajaan perlu menambah peruntukan subsidi antara RM3 bilion hingga RM4 bilion sebulan. Apa akan jadi dengan kewangan negara?,” katanya.
Najib berkata demikian ketika menjawab soalan moderator, Datuk Seri Johan Raslan yang juga Pengerusi Eksekutif PricewaterhouseCoopers (PwC) Malaysia dalam sesi dialog selepas menyampaikan ucaptama pada program Invest Malaysia 2012, di sini hari ini.
Najib berkata, rancangan pembangkang untuk menghapuskan hutang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berjumlah RM45 bilion dan bayaran tol serta menetapkan gaji minimum sebanyak RM4,000 sebulan juga jelas bersifat populis.
Katanya, semua janji itu tidak boleh dilaksanakan oleh sebuah kerajaan yang bertanggungjawab. Sebaliknya, beliau menegaskan, kerajaan BN akan terus menawarkan program-program lebih realistik serta mempunyai wawasan jelas seperti program-program transformasi yang sedang giat dilaksanakan.
“Saya berjanji hasil mandat yang diberikan rakyat, saya serta rakan-rakan dalam kerajaan akan bekerja lebih keras dalam meningkatkan hidup rakyat dan demi mencapai matlamat negara maju menjelang 2020,” katanya.
Sementara itu, menjawab satu soalan lain beliau berkata, Malaysia merupakan sebuah negara yang begitu sesuai untuk didiami selain destinasi pelaburan terbaik di rantau ini.
“Saya telah mengunjungi banyak negara di dunia dan apa yang boleh saya katakan Malaysia adalah negara terbaik dan hebat bagi saya.
“Dengan wujudnya kepelbagaian agama, etnik, kebudayaan serta cara hidup, kita berjaya menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang amat menarik termasuk sebagai destinasi terbaik bagi tujuan pelaburan serta perniagaan,” katanya.

KOMEN : PILIH KERAJAAN YANG MEMBAWA KEBAIKAN DAN KEMAKMURAN… JANGAN SESEKALI MEMILIH KERAJAAN YANG PORAK PERANDA….

SYURGA NIK AZIZ TAK ADA NILAI…

Tarik balik ‘fatwa’ undi Pas masuk syurga – Fathul Bari
DARI UTUSAN MALAYSIA
28/5/2012

KUALA LUMPUR 27 Mei – Pas perlu menarik balik ‘fatwa’ mengatakan individu yang mengundi parti itu akan mendapat balasan syurga kerana ia ternyata terkeluar daripada ajaran Islam.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja, Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya berkata, hanya Allah SWT yang berhak menawarkan ganjaran syurga dan bukannya Pas.
Ini kerana katanya, Pas yang lahir daripada sistem demokrasi Barat hanyalah sebuah parti politik dianggotai oleh manusia biasa serta tidak lari daripada melakukan sebarang kesilapan.
“Adakah Pas itu sempurna sehingga melayakkan parti politik tersebut menjanjikan syurga kepada para ahli dan pengundinya?
“Demi kekuasaan, Pas sanggup menjanjikan syurga. Adakah kuasa politik boleh menjanjikan sesuatu yang setaraf dengan Allah SWT? Pas perlu tarik balik kenyataan undi Pas boleh masuk syurga,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas wawancara Mingguan Malaysia dengan Ahli Majlis Fatwa Masjidil Haram, Sheikh Dr. Sulaiman Saloomi yang antara lain menegaskan fatwa propaganda yang mengatakan seseorang itu akan masuk syurga jika mengundi parti tertentu adalah suatu kejahilan, kebodohan dan kesesatan.
Sheikh Sulaiman yang juga Profesor di Universiti Ummul Qura, Mekah turut menegaskan parti politik Islam perlu bersatu dengan parti nasionalis dari kalangan umat Islam demi kesejahteraan umat kerana kerjasama dengan parti politik bukan Islam membahayakan akidah Islam itu sendiri.
Selain itu, beliau memberitahu, mana-mana pemimpin Islam yang menyokong kepelbagaian agama dan mengatakan semua agama adalah sama telah dihukum kafir oleh semua ulama Hanafi, Shafie, Maliki dan Hambali.
Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat (Muafakat), Ismail Mina Ahmad pula berkata, Islam bukan agama yang boleh digunakan dengan jenama dan slogan tertentu bagi mengejar kepentingan politik.
Katanya, golongan yang menggunakan Islam untuk kepentingan diri wajar ditolak kerana perbuatan itu jelas membelakangi prinsip dan hukum syarak.
”Kenyataan undi sesuatu parti akan masuk syurga bukan satu fatwa tetapi ia merupakan retorik politik untuk menarik sokongan pengundi.
”Fatwa adalah sesuatu hukum yang disepakati oleh para ulama berlandaskan al-Quran dan al-Sunah, sebaliknya jika dikeluarkan untuk kepentingan diri sendiri, patut ditolak,” katanya.
Sementara itu, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria melahirkan kekecewaan terhadap keputusan Pas untuk tidak bermuzakarah dengan UMNO.
Katanya, tindakan Pas yang lebih sanggup bekerjasama dengan DAP nyata tidak selari dengan ajaran Islam.

KOMEN : PAS TAKAN BERANI MENARIK FATWA NIK AZIZ TU SEBAB TAKUT KEHILANGAN PENYOKONG YANG DISESATKAN…. YANG PENTING BAGI MEREKA UNDI PAS MESTI MASUK SYURGA… APALAGI SPIN NIK AZIZ SELEPAS INI BILA DIKATAKAN PARTINYA SESAT…?

APA SESAT-SESAT NI…

Undi parti masuk syurga fatwa sesat

KUALA LUMPUR 27 Mei – Ahli Majlis Fatwa Masjidil Haram, Sheikh Dr. Sulaiman Saloomi (gambar) menegaskan, fatwa propaganda yang mengatakan seseorang itu akan masuk syurga jika mengundi parti tertentu adalah suatu kejahilan, kebodohan dan kesesatan.
Menurut Profesor Jurusan Akidah, Mazhab dan Firaq, Universiti Ummul Qura, Mekah itu, ia tidak sepatutnya keluar daripada mulut orang yang berakal, lebih-lebih lagi dari seorang muslim yang peka dirinya diawasi Allah dalam setiap percakapan serta perbuatan.
Jelas beliau, syurga adalah nikmat, rahmat dan kelebihan yang dikurnia Allah kepada sesiapa yang dapat melaksanakan tuntutan ubudiyah bukan kepada mana-mana pengundi manakala neraka pula adalah azab Allah ke atas mereka yang sesat, kufur atau syirik.
”Antara amalan ketaatan kepada Allah dan penolakan daripada apa yang telah dilarang ialah menolak kepuakan dan menjauhi kepartian. Tidak ada dalil al-Quran dan Sunah untuk melibatkan diri dengan kepartian atau menjadikannya jalan kepada perkara baik dan betul.
”Bahkan ia adalah bidaah dari Barat (iaitu kepartian). Ia tidak wujud pada umat Islam dalam kurun terawal (zaman Rasulullah SAW, para sahabat dan at-tabiin),” katanya dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia yang disiarkan hari ini.
Sulaiman yang kemudiannya ditanya tentang seruan pemimpin parti tertentu terhadap kepelbagaian agama dan mengatakan semua agama adalah sama berkata, pendapat itu adalah kufur dan golongan yang berpegang dengan pendapat sedemikian di zaman silam ialah Ikhwan Safa.
Mereka ini katanya, terdiri di kalangan Syiah Batiniyah yang muncul di abad ketiga Hijrah serta telah dihukum kafir oleh semua ulama Hanafi, Shafie, Maliki dan Hambali kerana berkata secara literal bahawa : ”Pandangan kami mencakupi semua mazhab dan agama kami mencakupi semua agama.”
”Pendapat itu adalah suatu kekufuran kerana agama yang sebenarnya di sisi Allah ialah Islam sahaja dan tiada agama lain yang setanding dengannya. Pada zaman moden ini lahir doktrin Freemason yang menyeru supaya mengingkari semua agama atau menyeru kepada penyatuan semua agama dalam satu mazhab.
”Ini adalah perbuatan murtad dan keluar dari agama Allah,” tegas beliau. Mengenai usaha menumbangkan kerajaan sedia ada di negara ini serta menyeru supaya diadakan demonstrasi jalanan, katanya, usaha itu bukanlah jalan kedamaian.
”Agama rasmi Malaysia adalah Islam dan syiar Islam (di negara ini) adalah nyata. Maka adalah menjadi kewajipan untuk nasihat menasihati dan membuat perdamaian. Ini adalah Manhaj (Prinsip Dasar) Nabi Muhammad SAW.
”Manakala demonstrasi jalanan adalah meniru perbuatan Barat yang jauh lebih banyak mendatangkan kerosakan dan kemudaratan ke atas umat Islam daripada kebaikan yang diharapkan,” jelasnya.
Sementara itu, Sulaiman ketika memberi reaksi terhadap kaedah kafir mengkafir yang digunakan oleh sesetengah orang Islam dan ahli politik untuk memancing undi berkata, ia tidak dibenarkan terutama jika digunakan terhadap seorang muslim yang masih lagi mengamalkan amalan Islam yang zahir serta masih mengucap dua kalimah syahadah.
Katanya, sesiapa yang menggunakan pendekatan itu terhadap umat Islam maka tuduhan tersebut akan kembali kepadanya sebagaimana yang telah disabdakan Rasulullah SAW yang bermaksud : ”Sesiapa yang berkata kepada saudara Islamnya ‘Wahai Kafir’ tuduhan itu akan kembali kepadanya.” ”Adalah menjadi suatu kewajipan ke atas setiap muslim untuk berbaik sangka dengan saudara seIslam dan bergaul dengan cara yang baik,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan seseorang muslim tidak dibenarkan untuk bersepakat dengan mana-mana orang bukan Islam dalam apa jua keadaan sekalipun untuk menentang saudara seagama. Kata beliau, sejarah dengan jelas telah membuktikan minoriti bukan Islam tidak akan mengundi untuk parti Islam melainkan jika parti Islam itu berkompromi sesuatu dari agama dan perbuatan tersebut boleh mendatangkan bahaya besar kepada umat Islam.

KOMEN : TAHU LAMA DAH MEREKA-MEREKA ITU IKUT PARTI SESAT….

RAHSIA DAP DISINGKAP….

‘Jangan pertaruh nasib negara’

Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim bercakap di hadapan sekumpulan wartawan semasa mengadakan sidang media khas berhubung isu berbangkit terhadap beliau di kediamannya di Bandar Sri Damansara, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 28 Mei – Mentadbir sebuah negara pelbagai kaum seperti Malaysia bukan tugas mudah dan hanya parti atau kerajaan yang mempunyai pengalaman serta rekod cemerlang sahaja mampu meneruskan keharmonian yang dinikmati pada hari ini.
Justeru rakyat tidak boleh membuat eksperimen terhadap nasib dan masa depan negara pada pilihan raya umum akan datang kerana kesilapan membuat keputusan bakal menjerumus Malaysia ke dalam situasi tidak menentu seandainya parti dipilih belum bersedia.
Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim yang membuat rumusan itu berkata, sehingga kini pakatan pembangkang yang bercita-cita mahu menggantikan Barisan Nasional (BN) masih lagi bertelagah mengenai soal pembahagian jawatan sehingga gagal membentuk Kabinet bayangan.
Katanya, sebagai sebuah parti yang mahu memerintah negara ini, pakatan pembangkang sepatutnya sudah menyelesaikan soal pembahagian tersebut lebih awal dan bukan hanya akan berbuat demikian selepas mereka berjaya menawan Putrajaya.
“Kalau mereka berjaya menawan Putrajaya dan pada masa itu bertelagah siapa akan jadi Perdana Menteri dan siapa Timbalan Perdana Menteri. Kedudukan apa yang akan diserah kepada Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, apa akan jadi kepada negara?
“Sebaik sahaja anda (pembangkang) melangkah ke Putrajaya, rakyat mahu tahu (senarai Kabinet) atau dalam kata lain negara tidak boleh tunggu. Sebab itu saya cakap mentadbir Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa bukan tugas mudah, ia tugas yang sangat kompleks.
“Tapi semua parti akan mendakwa mereka layak dan kalau begitu (dalam kes pembangkang) tunjukkan dulu Kabinet bayangan bagi memberi keyakinan kepada rakyat,” katanya pada sidang akhbar di rumahnya di Bandar Sri Damansara, di sini hari ini.
Dalam pada itu, ditanya mengenai kenyataan terbuka Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mahu bukan Melayu menjadi Perdana Menteri, Tunku Abdul Aziz berkata, pengisian jawatan pemimpin nombor satu negara perlu dibuat mengikut konvensyen dan amalan sedia ada.
Walaupun Perlembagaan Persekutuan tidak mensyaratkan Melayu sebagai Perdana Menteri tetapi katanya, jawatan tersebut seharusnya kekal diisi orang Melayu kerana jawatan itu merupakan ‘menteri pertama’ kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Yang di-Pertuan Agong Islam dan selaku ‘menteri pertama’ kepada beliau sudah tentu Seri Paduka mahu Perdana Menteri berada bersama dalam majlis keagamaan Islam tetapi bagaimana kalau Perdana Menteri bukan Melayu, ini realiti yang perlu diakui,” katanya.

KOMEN : JANGAN SESEKALI MENGHANCURKAN MASA DEPAN ANAK CUCU KITA DENGAN MENGUNDI PUAK PEMBANGKANG YANG TERBUKTI AKAN MEMBAWA KEHANCURAN BERTERUSAN KEPADA MALAYSIA… KITA DAPAT APA YANG KITA MAHU… MEMILIH KEBAIKAN AKAN DAPATLAH KEBAIAKAN DAN JIKA MEMILIH KEJAHATAN AKAN DAPATLAH KEJAHATANBERFIKIRLAH DENGAN SEBAIKNYA…. DEMI HARI ESOK YANG LEBIH BAIK….