Jerebu dijangka bertambah teruk

20 Oktober 2015 1:52 AM
Pelajar Kolej Vokasional Kuching, Batu Lintang memakai penutup hidung dan mulut ketika menduduki peperiksaan di kolej berkenaan di Kuching, Sarawak, semalam. Calon yang menduduki Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia dan Kolej Vokasional diteruskan di seluruh negara di bawah Ops Topeng, semalam. – Utusan/MOHAMAD GUSTIE NOORAMBIA
KUALA LUMPUR 19 Okt. – Krisis je­rebu yang melanda negara diramalkan bertambah buruk sehingga November ini berikutan pembakaran terbuka masih berlaku di Sumatera, Indonesia.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah berkata, bantuan daripada Malaysia juga masih tidak berkesan kerana pembakaran berlaku terlalu besar.
Menurut beliau, setakat ini tiada tanda-tanda jerebu akan berkura­ngan dan pihak kementerian mengambil pendekatan terbaik bagi mengurangkan masalah tersebut.
“Angin Monsun Timur Laut diramalkan tiba pada bulan depan dan itu akan membantu mengurangkan jerebu dan masalah tersebut juga dijangka berakhir,” katanya kepada Utusan Malaysia menerusi akaun Facebook di sini hari ini.
Masalah jerebu yang melanda negara sejak kebelakangan ini me­nunjukkan peningkatan mendadak apabila 14 kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat semalam.
Malah hari ini, semua sekolah di Melaka, Negeri Sembilan, Putrajaya, Selangor, Kuala Lumpur, Tawau di Sabah serta Kuching dan Samarahan di Sarawak terpaksa ditutup lagi akibat krisis jerebu yang seakan tiada berkesudahan.
Mengulas lanjut, Abu Bakar berkata, proses pembenihan awan akan dilakukan pada bila-bila masa sekiranya masalah jerebu semakin kritikal.
“Kementerian mempunyai peralatan, tenaga kerja dan peruntukan yang mencukupi untuk me­lakukan proses tersebut dan Jabatan Meteorologi juga tidak perlu merujuk kepada mana-mana pihak untuk melakukan pembenihan awan.
“Pembenihan awan merupakan satu-satunya teknologi yang kita ada di Malaysia dan ia amat penting serta berkesan untuk mengurangkan jerebu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah­ Jabatan Meteorologi, Datuk Che Ga­yah Ismail berkata, negara hanya akan bebas daripada masalah je­rebu rentas sempadan apabila tiada lagi ribut tropika di rantau ini.
“Ribut tersebut mempengaruhi corak tiupan angin dan menyebabkan cuaca kering, jadi menyebabkan negara mengalami masalah jerebu.
“Namun, apabila bermulanya musim tengkujuh awal November nanti, masalah jerebu akan berkurang dan mungkin berakhir.” katanya. – UTUSAN

Sekolah vernakular punca polarisasi kaum?

SITI NORHAWA MOHD. ALI | 01 Oktober 2015 1:09 AM
Abdul Ghaffar Mahmud
KUALA LUMPUR 30 Sept. – Kewujudan sekolah peringkat rendah yang diasingkan mengikut kaum (sekolah vernakular) dilihat antara penyebab polarisasi kaum di negara ini yang semakin ketara.
Bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abdul Ghaffar Mahmud berkata, salah satu cara untuk membentuk perpaduan yang kukuh dalam sesebuah negara adalah melalui sistem persekolahan.
“Jika mahu membentuk anak-anak ini di peringkat menengah dan pengajian tinggi, saya fikir agak terlambat kerana membentuk peribadi, mentaliti dan nilai murni seseorang adalah semasa di peringkat rendah.
“Kebanyakan negara dalam dunia sudah tidak menggunakan sistem sekolah vernakular kerana mereka sedar akan risiko perpaduan yang perlu dihadapi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka), Tan Sri Mohd. Ali Rustam menggesa kerajaan menjenamakan semula sistem persekolahan negara dengan mewujudkan ‘Sekolah Malaysia’ untuk mengukuhkan perpaduan masyarakat berbilang kaum, khususnya dalam kala­ngan generasi muda di negara ini.
Ditanya jika Malaysia sudah terlambat untuk menggunakan sistem sekolah satu aliran, beliau berkata, tiada yang terlalu lambat untuk diubah sekiranya perkara tersebut mendatangkan kebaikan kepada negara.
Katanya, isu sekolah satu aliran sudah lama dibahaskan tetapi masih tidak dapat dilaksanakan kerana banyak tentangan.
“Saya menyokong penuh cadangan itu diketengahkan jika dapat memberi manfaat kepada perpaduan negara yang kita lihat semakin rapuh zaman ini.
“Tiada isu lambat atau tidak, semuanya terpulang kepada dasar kerajaan walaupun saya tahu cabarannya besar untuk menghapuskan sekolah vernakular yang dilindungi di bawah Akta Pendidikan 1996,” katanya.

PANDIR JALANAN’ DI LENYAPKAN

ZULKIFLI JALIL | 22 September 2015 1:19 AM
KERATAN akhbar Utusan Malaysia melaporkan kemenangan Pro-Aspirasi dalam pilihan raya kampus di Universiti Putra Malaysia baru-baru ini.
ADAKAH himpunan ha­ram Bersih 4.0 dan bermacam-macam fitnah yang dilemparkan pembangkang terhadap kerajaan dalam setahun ini menjadi pukulan maut dalam penentuan pilihan raya kampus yang baru berakhir?
Kemenangan mengejut Pro-Aspirasi (prokerajaan) di tujuh universiti termasuk tiga yang tegar propembangkang, Universiti Malaya, Universiti Islam Antarabangsa dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) membuka lembaran baharu senario politik kampus.
Ini kali pertama Pro-Aspirasi memecah rekod walaupun selepas 2006 secara keseluruhan mereka menang lebih banyak kerusi namun belum berjaya menguasai kampus-kampus utama seperti tiga yang tegar tadi.
Semasa melayari Facebook baru-baru ini, penulis terkesan dan tergamam seketika dengan ucapan seorang ketua Pro-Aspirasi yang hanya sempat dicatatkan dari Perak. Dia begitu berterus-terang dalam nada ungkapannya.
Dengan dijulang rakan-rakannya sambil menghadap sekumpulan penyokong propembangkang daripada Pro-Mahasiswa, dia dengan lantang menolak pembabitan gaya politik pembangkang ke dalam kampus seluruh universiti di negara ini. Antaranya, yang sempat penulis catatkan adalah penolakannya terhadap Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Video berdurasi seminit dua yang mendapat ribuan ‘like’ jelas memperlihatkan mahasiswa sudah bosan dengan politik sepanjang masa pembangkang. Tempias daripada politik nasional berjangkit di kampus mendorong mahasiswa kumpulan majoriti senyap dan yang tidak aktif berpersatuan untuk tiba-tiba keluar mengundi sebagai bantahan kepada agenda pembangkang.
Hal ini tidak dijangka langsung oleh kumpulan Pro-Mahasiswa yang mengandaikan orang muda menyokong pelbagai kritikan dan penghinaan kepada pemimpin ke­rajaan.
Dalam menganalisis kemena­ngan Pro-Aspirasi, komen Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Prof. Datuk Abdul Halim Sidek kepada Bernama semalam, boleh dijadikan rumusan. Kata Abdul Halim, mahasiswa sentiasa menjadi pemerhati kepada kedua-dua pihak, kerajaan dan pembangkang.
“Usaha kerajaan seperti memperkenalkan Baucar Buku 1Malaysia, Kad Diskaun Siswa 1Malaysia dan beberapa langkah lain menjadi pemangkin kepada kemenangan Pro-Aspirasi.
“Mahasiswa memahami usaha kerajaan yang sentiasa bertungkus-lumus untuk membantu mahasiswa. Kemenangan Pro-Aspirasi adalah satu berita yang baik,” kata beliau.
Prof. Madya Dr. Sarjit Singh Gill dari Universiti Putra Malaysia (UPM) pula merujuk kepada konflik dalaman pakatan pembangkang antara punca utama kejatuhan kumpulan Pro-Mahasiswa.
Biar apa pun analisis dan rumusannya, keputusan pilihan raya kampus terbaharu ini adalah cerminan kepada sikap mahasiswa berpolitik. Kematangan berpolitik mereka sebelum ini yang diragui barangkali berpunca daripada seorang dua individu yang cuba menonjolkan diri, mahu menjadi hero, lantas mengambil jalan singkat menjadikan pembangkang sebagai ikon mereka.
Ini boleh dibuat carian Internet dalam demonstrasi semasa perhimpunan Blackout 505, Bersih 1.0, 2.0 3.0, apabila pelajar universiti turut dipergunakan untuk menjayakan agenda licik mencalar imej kerajaan.
Mahasiswa menjadi golongan majoriti semasa himpunan-himpunan tajaan pembangkang dan pentohmah tegar kerajaan sebelum ini. Mereka menjadi pihak yang mengibarkan bendera alternatif selain Jalur Gemilang menjelang detik 12 malam Hari Kemerdekaan ke-55 dan ke-56.
Apa lagi dengan munculnya ‘hero pandir mahasiswa’ dari UPSI waktu itu yang seolah-olah menjadi klon kepada seorang lagi pemimpin kerajaan yang dipecat, menyebabkan segelintir mahasiswa meronta-ronta mahu melupakan tugas hakiki mereka sebagai pelajar di kampus.
Sudahlah pengajian si polan dari UPSI ini diberikan subsidi oleh kerajaan, bersekolah di sekolah menengah bantuan penuh kerajaan dan jika diamati dia sendiri bakal mendapat laluan mudah sebagai seorang guru apabila tamat belajar tanpa perlu menjadi seorang pe­nganggur dalam masa yang lama.
Tetapi ini tidak ada dalam kamus hidupnya. Yang ada hanya cercaan dan herdikan terhadap kerajaan yang menjadi makanannya untuk disuap kepada rakan-rakan penyokongnya di universiti. Darah muda yang meluap-luap hanya untuk menjadi hero muda jalanan mengakibatkannya tercicir dalam pengajian.
Politik kampus yang menghirup nafas baharu dengan kemena­ngan Pro-Aspirasi akan memadamkan imej mahasiswa yang terpekik terlolong di jalanan seperti yang dipertontonkan aktivis propembangkang seperti Hishamuddin Rais dan seorang budak hingusan dari UPSI tadi.
Kita tidak mahu timbul gerakan melibatkan seorang anak muda bernama Sondang Hutagalung, seorang mahasiswa undang-undang dari Universiti Bung Karno (UBK) yang pernah menggemparkan republik Indonesia. Sondang membakar dirinya di hadapan istana Pre­siden Susilo Bambang Yudhiyono sebagai protes terhadap pemerintahan yang dianggap tidak memberi kebaikan kepada rakyat. Selepas dirinya terbakar, Sondang dibawa ke hospital dan akhirnya meninggal dunia pada 10 Disember 2011.
Sondang mungkin mengorbankan dirinya sebagai isyarat kepada mahasiswa dan masyarakat Indonesia agar lebih tegas menolak ketirisan dan rasuah dalam pemerintahan kerajaan. Namun masih banyak cara yang boleh dilakukan untuk mencapai matlamat tersebut.
Dan mahasiswa di Malaysia diyakini penulis tidak sampai ke tahap itu kerana kaedah diplomasi masih ada untuk digunakan dan masih boleh membuatkan pucuk pimpinan negara ‘panas punggung’.

Utamakan sekolah satu aliran

Murid dapat mengenali satu sama lain
FADZIL ZAINOL | 22 September 2015 1:39 AM
Abdul Wahid Umar
KUALA LUMPUR 21 Sept. – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, sistem sekolah satu aliran merupakan antara usaha yang perlu diutamakan oleh kerajaan bagi memastikan setiap murid daripada pelbagai kaum dapat mengenali antara satu sama lain.
Katanya, keharmonian kaum di negara ini perlu bermula di peringkat sekolah rendah dan murid daripada pelbagai kaum seharusnya ditempatkan di bawah sistem atau aliran persekolahan yang sama, bagi menjamin pertumbuhan ekonomi negara melalui perpaduan kaum.
“Saya ada dua anak perempuan seorang tahun enam dan seorang lagi tahun lima. Salah satu sebab mengapa saya hantar kedua-dua mereka ke sekolah kebangsaan adalah supaya mereka dapat mengenali orang (kaum) lain.
“Ia merupakan sekolah yang baik terletak di Putrajaya, tetapi malangnya tiada kepelbagaian kaum di sekolah tersebut. Terdapat juga murid daripada kaum India di sekolah itu, tetapi tiada daripada kaum Cina. Keadaan itu bukanlah sesuatu yang perlu diamalkan di negara ini,” katanya ketika menjadi ahli panel sempena Laporan Terkini Ekonomi Malaysia anjuran Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), di sini hari ini.
Turut menjadi ahli panel ialah Gabenor Bank Negara (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif Pemandu, Datuk Seri Idris Jala.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes yang turut hadir pada sesi perbincangan tersebut. Tony bertanya bagaimana prospek Malaysia untuk mencapai pertumbuhan ekonomi di sebalik isu perkauman yang sering dibangkitkan sejak akhir-akhir ini.
Dalam pada itu Abdul Wahid berkata, usaha membawa pulang hasil pelaburan syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) di negara asing untuk dilaburkan di negara ini adalah sesuatu yang baik bagi merancakkan kembali pelaburan domestik.
Katanya, sehingga Jun 2015, jumlah pelaburan bersih syarikat tempatan ke luar negara bernilai lebih RM500 bilion mengatasi pelaburan langsung asing di negara ini yang berjumlah RM477 bilion.
“Itu menandakan syarikat-syarikat Malaysia kini sudah menjadi jaguh dunia seperti Petronas, Kumpulan Sunway dan AirAsia. Selama ini kita mengalakkan mereka ke pasaran asing memandangkan pasaran domestik yang tidak begitu besar,” katanya.

IPU : Sekolah di empat negeri diarah tutup

15 September 2015 2:05 AM
Mahdzir Khalid
PUTRAJAYA 14 Sept. – Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengarahkan semua sekolah di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka ditutup esok ekoran jerebu.
Langkah itu dilakukan berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) menghampiri 200 lewat malam ini.
Sebelum itu di KUBANG PASU, Mahdzir berkata, pengetua dan guru besar di seluruh negara di­beri kuasa untuk menutup sesi per­sekolahan di sekolah masing-masing jika IPU merekodkan bacaan 200.
Katanya, biarpun begitu, pihak sekolah perlu memaklumkan perkara itu kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) terlebih dahulu.
Menurutnya, pihak sekolah juga perlu menetapkan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan pelajar sekiranya membuat keputusan untuk menutup sekolah.
“Kita meminta pihak sekolah memberi tumpuan kepada isu kese­lamatan pelajar dan tidak bo­leh terus melepaskan pelajar pulang, kena ada pengubahsuaian terhadap SOP tersebut.
“Selain itu, kita juga memberi kelonggaran kepada pihak sekolah, contohnya dengan menghimpunkan pelajar terlebih dahulu atau memaklumkan kepada ibu bapa terlebih dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani memo­randum persefahaman (MoU) antara Uniutama Property Sdn. Bhd. (UPSB) dan Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) di Hotel EDC UUM di sini hari ini.
Pada masa sama, Mahdzir berkata, pa­ra pengetua dan guru besar perlu menghentikan akti­viti di lu­ar bilik darjah dihentikan serta merta berikutan jerebu pa­da masa ki ni.
“Selain itu, pihak sekolah dan PIBG di kawasan yang teruk terjejas kalau boleh dapat membantu menyediakan penutup mulut kepada para pelajar,” katanya.

IPT : Sedia beri kuasa autonomi

Sedia beri kuasa autonomi.Bagi bolehkan universiti awam buat keputusan lebih pantas – Perdana Menteri
FITRI AFFENDI MUSTAFA | 08 September 2015 2:02 AM
NAJIB TUN RAZAK berucap dalam majlis bersama warga Kementerian Pendidikan Tinggi di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor, semalam. – UTUSAN/SAIFUL BAHARI ASHARI
KUALA LUMPUR 7 Sept. – Kerajaan bersedia untuk memberikan kuasa autonomi sepenuhnya kepada semua universiti awam dari segi tadbir urus, kewangan dan perjawatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, langkah tersebut untuk membolehkan pihak pengurusan universiti membuat segala keputusan dengan lebih pantas.
“Kita nak empowerment atau memperkasakan universiti bererti kita nak beri kuasa, kenaikan pangkat, jawatan dan juga kuasa kewangan supaya keputusan-keputusan lebih pantas dapat dibuat oleh pihak universiti.
“Bagaimanapun, ia mesti di­sertai dengan proses akauntabiliti supaya agensi-agensi pusat boleh dirundingkan apa bentuk dan secepat mana proses pemerkasaan itu dapat diturunkan kepada universiti kita,” katanya.
Beliau berucap dalam Majlis Bersama Warga Pendidikan Tinggi serta Pelancaran Buku Panduan Enhancing University Board and Effectiveness di Universiti Putra Malaysia di sini hari ini.
Buku panduan itu yang juga dikenali sebagai UniTP Green Book merupakan salah satu daripada lima buku panduan yang dihasilkan bagi memacu program transformasi di universiti awam.
Yang turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh; timbalannya, Datuk Mary Yap Kain Ching dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang.
Sementara itu, Perdana Menteri berharap Lembaga Pengarah serta Naib Canselor universiti awam dapat membantu kerajaan untuk mencari sumber kewangan sendiri bagi me­ngendalikan pengurusan universiti.
“Salah satu perkara yang amat rumit menjadi Perdana Menteri apabila terpaksa naikkan sesuatu perkara, lebih-lebih lagi kalau terpaksa naik yuran universiti dan sebab itu kita pertahankan yuran dari dahulu tak naik sampai sekarang.
“Dan jika nak pertahankannya dan mencapai sasaran 2.5 juta rakyat menerima pendidikan tinggi menjelang 2025 berbanding 1.4 juta sekarang, tak disebut sumber kewangan daripada mana. Jadi, saya berharap LPU (Lembaga Pengarah Universiti) dan NC (Naib Canselor) lihat dan guna keupayaan intelektual mereka untuk mencari sumber kewangan sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan supaya Menteri Pendidikan Tinggi mengadakan perjumpaan dengan Pengerusi LPU dan Naib Canselor universiti dua kali setahun bagi membincangkan pencapaian Indeks Prestasi Utama (KPI) masing-masing.
Najib berkata, perkara tersebut bukan untuk mencari kesalahan atau kelemahan universiti sebalik­nya bagi mendapatkan maklumat berkenaan masalah yang dihadapi pihak pengurusan.
“Perkara ini saya telah lalukan dengan menteri (kabinet) iaitu mengadakan KPI pada pertengahan tahun dan hujung tahun. Ini bukan sesi untuk ‘mendera’ Naib Canselor tetapi berkongsi masalah dan mencari penyelesaian bagi memastikan perjalanan universiti lebih berkesan dan lancar,” jelasnya.
Najib turut menyarankan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk menekankan kepentingan subjek sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik kepada orang ramai.
Selain itu, Perdana Menteri turut menyatakan kepentingan kepada orang ramai untuk menguasai Bahasa Inggeris pada tahap tinggi.