GAJI BARU – TERIMA KASIH PM

 1.4 juta kakitangan awam terima gaji baru
 DARI UTUSAN MALAYSIA
26/4/2012

KUALA LUMPUR 25 April – Kira-kira 1.4 juta kakitangan kerajaan hari ini mula menikmati gaji baru mereka di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM) seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 8 Mac lalu.
Gaji yang diterima melibatkan peningkatan di antara tujuh hingga 13 peratus mengikut gred masing-masing selepas pemansuhan Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang mengundang bantahan banyak pihak, antaranya Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).
Selain penerimaan gaji berdasarkan pelarasan yang terbaru itu, penjawat awam turut menerima tunggakan gaji sejak Januari lalu.
Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman berkata, gaji baru itu membuktikan kerajaan sedia ada sememangnya mendengar keluhan masyarakat dan mengambil tindakan dalam memastikan kesejahteraan mereka terbela.
“Penjawat awam diharap dapat memanfaatkan apa yang mereka nikmati kini, di samping mempertingkatkan mutu kerja selari dengan proses transformasi yang dilaungkan oleh kerajaan.
“Langkah itu adalah demi menunjukkan tanda terima kasih kepada Perdana Menteri dan kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana mendengar keluhan penjawat awam,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian berhubung kakitangan kerajaan yang mula menerima gaji baru berdasarkan pelarasan SSM, hari ini. Katanya lagi, kakitangan kerajaan diingatkan untuk memperbaiki imej mereka di mata masyarakat dan bukannya berada di tahap lama.
“Mereka perlu membuktikan bahawa mereka layak menerima pelarasan gaji tersebut apatah lagi setelah kerajaan menunaikan janji mereka.
“Saya juga berharap dengan adanya peningkatan ini, kegiatan rasuah di kalangan penjawat awam dapat dihapuskan,” tambahnya.
KOMEN : SYUKUR ALHAMDULILLAH… AMIN…

Sikap pembangkang jijik, memalukan


KUALA LUMPUR 10 Mac – Dakwaan pembangkang kononnya penyelarasan gaji kakitangan awam yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin adalah hasil perjuangan mereka bukan sahaja memalukan, malah disifatkan sebagai perbuatan jijik.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin (gambar) berkata, cubaan pembangkang untuk meraih kepentingan politik atas keprihatinan kerajaan merupakan hipokrit terbesar kerana sebelum ini mereka juga yang mahu mengurangkan lebih 700,000 kakitangan awam.

“Sekarang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juak-juak parasitnya melalak konon mereka hero memperjuangkan hak kakitangan awam tapi tengok bagaimana layanan mereka terhadap golongan tersebut di Selangor terutama dalam isu pemberian bonus?

“Hanya kakitangan syarikat milik kerajaan (GLC) Selangor sahaja diberi bonus, kakitangan awam negeri itu langsung tidak dipedulikan. Tetapi sekarang pembangkang mahu bercakap soal menjaga kebajikan penjawat awam,” katanya dalam blog http://zul4kulim.blogspot.com hari ini.

Menurut Zulkifli, sejarah juga membuktikan bagaimana pakatan pembangkang diketuai Parti Keadilan Rakyat (PKR) menghina dan mengaibkan kakitangan perkhidmatan awam dalam isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

Katanya, hanya kerana bermotifkan politik pakatan pembangkang, mereka sanggup membawa isu pelantikan Mohammed Khusrin ke sidang tergempar Dewan Undangan Negeri (DUN), selain melarang Setiausaha Kerajaan Negeri itu daripada menghadiri mesyuarat-mesyuarat penting.

“Kita tengok pula bagaimana kakitangan awam di Kedah dihina apabila Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak diletakkan di bawah Jawatankuasa Pemandu Pas Pusat sehingga seluruh jentera di bawah telunjuk sebuah parti politik.

“Kita lihat juga bagaimana gelagat pembangkang menghina dan memperlekeh institusi kakitangan awam seperti mahkamah, polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan banyak lagi. Apa yang mereka tidak kutuk?

“Mereka langsung tidak peduli perasaan, kegigihan serta usaha kakitangan awam di institusi-institusi ini, sebaliknya penghinaan demi penghinaan, cacian demi cacian, kutukan demi kutukan terus dihambur terhadap institusi tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, beliau percaya kakitangan awam di negara ini sudah cukup matang untuk menilai pihak mana yang sentiasa menjaga kebajikan mereka dan siapa pula yang hanya pandai menangguk di air keruh, demi kepentingan politik semata-mata.

KOMEN : LEMBU PUNYA SUSU SAPI DAPAT NAMA… SUDAH-SUDAHLAH NAK PUSING PUAK PEMBANGKANG HOI… REALITINYA LU ORANG MEMANG HAPRAK…

SBPA dibatalkan kembali kepada SSM – PM


08/03/2012 10:51am
Oleh NORAINI RAZAK

PUTRAJAYA 8 Mac – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, hari ini mengumumkan pelaksanaan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dibatalkan dan kembali kepada Skim Saraan Malaysia (SSM) yang akan ditambah baik.

Pengumuman itu dibuat pada perjumpaan beliau dengan penjawat awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa di sini. – UTUSAN

Kenaik 13 peratus bagi kumpulan Pengurusan dan Profesional
08/03/2012 11:21am

PUTRAJAYA 8 Mac – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pelarasan gaji 13 peratus bagi kumpulan Pengurusan dan Profesional dan Kumpulan Pelaksana dari Gred 1 hingga Gred 54.

Pelarasan dibuat berdasarkan Jadual Gaji Matriks Sistem Saraan Malaysia (SSM) berikutan pembatalan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam hari ini.

Najib mengumumkan perkara tersebut ketika berucap pada majlis perjumpaan khas bersama kira-kira 10,000 penjawat awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini. – UTUSAN

Gaji Minimum-Maksimum ganti struktur gaji SSM
08/03/2012 11:30am

PUTRAJAYA 8 Mac – Jadual Gaji Minimum -Maksimum diperkenalkan menggantikan struktur gaji Sistem Saraan Malaysia (SSM), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Jadual gaji yang diubah suai itu menyaksikan Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) bagi Gred 1 hingga Gred 54 sebanyak RM80 hingga RM320 mengikut gred.

Kadar KGT bagi JUSA dan ke atas kekal menggunakan KGT SSM dengan diberi pelarasan mengikut peratusan yang ditetapkan. – UTUSAN

Semakan SBPA siap awal April


Oleh Abdul Halim Yusoff dan Hanneeyzah Bariah Baharin
2012/03/02

KUALA TERENGGANU: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semakan semula Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dijangka disiapkan awal April, tempoh ditetapkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau difahamkan jawatankuasa semakan semula yang diketuai bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam sudah mencapai banyak kemajuan untuk memastikan proses semakan semula itu disiapkan pada tarikh ditetapkan.

“Saya dimaklumkan Perdana Menteri sudah menetapkan tempoh hingga awal April. Apa pun tunggulah kerana saya percaya apabila tiba masa sesuai, Perdana Menteri akan mengumumkan bentuk dan format bagaimana skim itu hendak dilaksanakan,” katanya selepas perjumpaan khas dengan penjawat awam negeri dan Persekutuan sempena lawatan kerja sehari ke Terengganu, semalam.

Terdahulu ketika berdialog dengan penjawat awam, Muhyiddin berkata, semakan semula SBPA diharap memuaskan hati semua penjawat awam kerana membabitkan arahan serta campur tangan terus daripada Perdana Menteri.

Katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) prihatin keluhan penjawat awam dengan menangguhkan skim itu dan melantik panel kajian semula dengan penyertaan pelbagai pihak termasuk CUEPACS.

Muhyiddin berkata, kerajaan BN yang mentadbir negara ini sentiasa membela penjawat awam kerana peranan mereka penting untuk menterjemahkan dasar dan aspirasi yang dirumus kerajaan bagi membela rakyat.

“Kerajaan BN akan pertahankan kakitangan awam. Jika kerajaan beralih tangan, Nauzubillah. Justeru, saya harap penjawat awam dan keluarga mereka termasuk di Terengganu untuk terus bersama kita,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan seorang penjawat awam mengenai nasib kakitangan kerajaan jika pentadbiran negara beralih kepada parti lain.

Timbalan Perdana Menteri berkata, komitmen kerajaan BN membela kakitangan awam dan menyemarak pembangunan negara jelas menerusi pelbagai dasar sedia ada, sedangkan pembangkang tampil dengan Buku Jingga dengan pakar ekonomi berpendapat akan menyebabkan negara bankrap dalam tempoh dua tahun selepas pelaksanaan.

Buku Jingga turut menggariskan usaha pembangkang untuk mengurangkan penjawat awam dengan mengatakan Malaysia mempunyai jumlah kakitangan awam berbanding nisbah tenaga kerja, antara tertinggi di dunia.

Muhyiddin berkata, penjawat awam perlu lebih responsif melaksanakan agenda dan aspirasi kerajaan dengan turut sama berdamping atau turun padang bertemu rakyat bagi mendapatkan maklum balas rakyat berhubung sesuatu dasar yang mahu dilaksanakan.

Sementara itu, mengulas kemungkinan kerajaan menamatkan pengambilan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk Kursus Perguruan Lepasan SPM, Muhyiddin berkata, belum ada keputusan dibuat setakat ini.

Muhyiddin berkata, kerajaan juga sudah membuat lantikan Pengarah Pelajaran Terengganu yang kosong sejak tiga bulan lalu dan pengumuman dibuat dalam tempoh terdekat.

PM buat keputusan adil dalam masa tedekat


DARI UTUSAN MALAYSIA
24/2/2012

PUTRAJAYA 23 Feb. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka mengumumkan satu keputusan yang adil dan saksama untuk semua penjawat awam dalam tempoh terdekat.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman berkata, keputusan tersebut melibatkan keseluruhan penjawat awam serta soal soal pelaksanaan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

”Kita tunggu (sama ada ia menggembirakan atau tidak). Kita belum tahu keputusan itu tetapi telah diberi gambaran dan kita rasa ia merupakan gambaran yang jelas dan baik.

”Tidak kira apa jua pengumuman itu, kita menghormati keputusan Perdana Menteri,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri pertemuan selama 45 minit dengan Najib di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Selain Perdana Menteri, pertemuan tersebut turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dan sembilan pemimpin tertinggi CUEPACS.

Semalam, Omar dilaporkan berkata, CUEPACS menuntut kerajaan memberi kenaikan gaji 1.3 juta penjawat awam dari gred 1 hingga gred 54 antara RM700 hingga RM2,500.

Menggambarkan pertemuan hari ini sebagai harmoni dan ceria, Omar berkata, perbincangan dengan Najib itu bagaimanapun tidak menyentuh beberapa tuntutan CUEPACS termasuk berkaitan kenaikan gaji.

”Pertemuan ini dijalankan bagi menyampaikan maklum balas penjawat awam mengenai SBPA. Kita tidak membentangkan hasil bengkel termasuk mengenai tuntutan kenaikan gaji.

”Kerja-kerja petugas khas bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengenai SBPA juga belum selesai,” katanya.

Dalam pada itu, Omar memberitahu, satu perhimpunan penjawat awam besar-besaran melibatkan 15,000 orang termasuk dari Sabah dan Sarawak akan diadakan di Stadium Bukit Jalil di ibu negara.

”Perhimpunan ini akan turut dihadiri Perdana Menteri dan pihak CUEPACS mencadangkan ia diadakan pada 12 Mac, perkara ini akan ditujukan kepada pihak KSN untuk pengesahan tarikh,” katanya.

Sementara itu, Omar berkata, Najib pada pertemuan hari ini telah melahirkan sokongan terhadap penubuhan Kelab Pesara Kumpulan Pelaksana yang baru ditubuhkan.

”Satu perhimpunan oleh ahli kelab akan diadakan di kediaman rasmi Perdana Menteri di Sri Perdana, tarikhnya belum ditentukan,” katanya.

CUEPACS tuntut kenaikan gaji RM700 – RM2500


DARI UTUSAN MALAYSIA
23/2/2012

PUTRAJAYA 22 Feb. – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menuntut kerajaan memberi kenaikan gaji 1.3 juta penjawat awam dari gred 1 hingga gred 54 antara RM700 hingga RM2,500.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, kenaikan itu perlu dilaksanakan menerusi skim sedia ada iaitu Skim Saraan Malaysia (SSM) sebelum sebarang pembaharuan gaji dibuat melalui skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Tuntutan tersebut membabitkan kenaikan gaji untuk gred 1 hingga gred 16 sebanyak RM700; gred 17 hingga gred 26 (RM1,000); gred 27 hingga gred 40 (RM1,500); gred 21 hingga gred gred 48 (RM1,800) dan gred 52 hingga gred 54 (RM2,500).

Omar berkata, kakitangan awam yang sudah mencapai gaji maksimum atau sudah mati gaji pula perlu dibayar selama mana mereka tidak menikmati sebarang kenaikan dan perlu dinaikkan gred.

”Sebagai contoh bagi mereka yang sudah lima tahun tidak naik gaji, jika gaji mereka dinaikkan RM100, kerajaan perlu bayar tunggakan RM500 selain kenaikan gred,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat petugas khas bersama Jabatan Perkhidmatan Awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, CUEPACS turut menuntut agar kerajaan menaikkan gaji kakitangan awam yang sudah lulus peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) aras 4.

”Ramai yang lulus PTK aras 4 sebelum SBPA diperkenalkan tetapi apabila SSM ditukarkan ke SBPA ramai yang lulus itu tidak mendapat kenaikan gaji, apabila kami berbincang dalam pasukan khas ini dari segi perundangan kerajaan perlu bayar.

”Mereka mana tahu SBPA akan diperkenalkan, tidak adil untuk mereka yang sudah berkorban masa dan tenaga untuk lulus, tapi bila dah lulus tak nak bayar pula,” katanya.

Sehubungan itu, CUEPACS meminta mereka yang lulus sehingga 31 Disember 2011 dibayar tunggakan gaji sebelum kajian semakan SBPA diumumkan dan mahu JPA mengeluarkan surat pekeliling mengenainya.

Omar berkata, beliau yakin kerajaan akan bersetuju dengan lima tuntutan yang telah dikemukakan iaitu mengkaji semula pindaan gaji gred 54 ke bawah; mengkaji gaji penjawat awam mencapai gaji maksimum; mengkaji kekananan dalam Skim Saraan Malaysia (SSM) sebelum bertukar kepada SBPA; mengkaji kenaikan gaji tujuh hingga 13 peratus dan menyemak penstrukturan semula semua gred penjawat awam.

”Kalau kerajaan merasakan ia melibatkan tuntutan yang tinggi, CUEPACS cadangkan mereka yang telah menikmati kenaikan tinggi dalam SBPA iaitu Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) dan Premier, gaji mereka dipotong untuk diberikan kepada mereka di gred 54 ke bawah.

”Kalau betullah kerajaan mahu rapatkan jurang maka tuntutan itu dirasakan wajar, apa yang kami lakukan ialah menuntut kesaksamaan dan terpulanglah kepada pasukan petugas khas ini untuk menilainya,” katanya.

Perbincangan semakan gaji babitkan kesatuan sekerja, wakil kementerian


DARI UTUSAN MALAYSIA
19/1/2012


Mohd. Sidek Hassan bersalam dengan Omar Osman (kanan) sambil disaksikan oleh Ismail Adam di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA 18 Jan. – Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan memberi jaminan perbincangan pasukan petugas bagi mengkaji semula pelaksanaan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) akan turut membabitkan kesatuan sekerja jabatan yang berkaitan selain wakil kementerian.

Beliau berkata, langkah tersebut perlu bagi membolehkan pasukan petugas mendapatkan penyelesaian terbaik berkenaan isu-isu yang dibangkitkan.

”Kalau mahu semua terlibat, rasanya tidak mungkin untuk kita dapatkan wakil semua kementerian, agensi, badan berkanun dan kesatuan sekerja.

”Tetapi tidak dihadkan perbincangan bila ada menyentuh satu-satu skim perkhidmatan, maka harus dipanggil mereka yang terbabit seperti ketua setiausaha, ketua pengarah dan kesatuan sekerja yang terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan surat pelantikan ahli pasukan petugas itu di sini, hari ini.

Selain Tan Sri Ismail Adam yang dilantik sebagai pengerusi pasukan itu, sembilan ahli lain termasuk Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman turut menganggotai pasukan tersebut.

Pasukan itu ditubuhkan berikutan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak minggu lepas yang mahu SBPA disemak semula untuk menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan pihak-pihak tertentu.

Menurut Mohd. Sidek, biar pun cuba memenuhi pandangan semua pihak, namun kerajaan juga mempunyai kekangan-kekangan tertentu.

”Dalam hal ini, sokongan dan kerjasama semua pihak amatlah saya hargai,” katanya.

Sementara itu, Ismail yang juga bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam berkata, berdasarkan pengalamannya, isu-isu yang dibangkitkan menjurus kepada tiga aspek iaitu pergerakan gaji, perkhidmatan dan individu (penjawat awam).

”Kalau ada ketiga-tiga isu itu kita akan bincang dengan teliti bersama-sama wakil skim perkhidmatan dan juga kesatuan yang berkenaan,” katanya.