TEKS UCAPAN PENGGULUNGAN PRESIDEN UMNO, DATUK SERI NAJIB RAZAK PADA PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2014

SABTU, 29 NOVEMBER 2014 @ 9:24 PM
Bismillahirahmanirahim, Alhamdulillahirabilalamin wabihinastain, Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatu, salam sejahtera dan salam satu Malaysia.
Yang Amat Berhormat sahabat saya Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden Umno, barisan naib-naib presiden, ketua Jawa, ketua lanun dan ketua Turki, minta maaf yang saya hormati Tan Sri Pengerusi Tetap dan Tan Seri Timbalan Pengerusi Tetap, Ketua Wanita, Pemuda Puteri, barisan pimpinan tertinggi Umno, Yang Amat Berbahagia Tun Abdullah Badawi (terima kasih Pak Lah hadir) dan Tun Jane, sidang perwakilan,pemerhati, mahasiswa ,mahasiswi seterusnya tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian.
Alhamdulillah, kita sudah sampai kepada penghujung Perhimpunan Agung bagi tahun 2014. Kalau kita lihat dalam masa empat hari ini, dalam semua media cetak, dalam semua saluran televisyen dan media sosial, memang cerita Perhimpunan Agung ini menjadi berita utama. Apakah ini bukan tanda dan bukti bahawa platform politik yang terpenting, platform politik yang amat dinanti-nantikan pada saban tahun, tidak lain dan tidak bukan ialah Perhimpunan Agung parti UMNO kita ini?
Ini membuktikan bahawa walaupun kita berdepan dengan pelbagai cabaran dan dugaan, tidak ada siapapun yang dapat menafikan gah parti UMNO kita sehingga pada hari ini. Saya ingin memulakan ucapan penggulungan saya dengan menunjukkan edisi surat khabar, salinannya yang telah diterbitkan pada tanggal 1 September 1957. Kalau Pengerusi Tetap tunjuk surat khabar, saya pun nak tunjuk surat khabar. Tajuknya ialah pada masa itu, dalam bahasa Inggeris, ‘look with the past with gratitude, look to the future with confident’, (lihatlah masa lampau dengan kesyukuran, lihatlah masa depan dengan keyakinan) kata-kata Almarhum Tunku Abdul Rahman.
Pada pendapat saya kata-kata ini masih relevan dan masih tepat sehingga pada hari ini. Melihat masa lampau dengan penuh kesyukuran dan memandang masa depan dengan penuh keyakinan dan inilah hasil perjuangan parti keramat, parti UMNO kita. Saya berterima kasih pada sidang perwakilan dan saya berterima kasih pada semua jurucakap yang hampir semua telah menyambut tema ucapan dasar saya, saya memilih perkataan…apa dia? So-li-da-ri-ti!
Saya boleh pilih perkataan lain, satu, muafakat, ada wakil yang tanya, nak balik kampung macam mana nak cerita pada orang kampung, nak cerita pada mak long, pak long, mak ngah, pak ngah, macam mana nak terangkan apa dia itu solidariti? Solidariti bermakna bersatu dalam satu angkatan yang kukuh dan padu, itu dia solidariti, dan bila saya lihat akhbar tahun 1997 yang dimuatkan dengan cerita kisah sambutan hari kemerdekaan, bagaimana kemerdekaan itu telah dicapai, asas dia apa? Asas British bagi kita kemerdekaan dengan agak mudah kerana kekuatan yang kita telah memperlihatkan atas semangat solidariti.
Saya tengok wakil dari Permatang Pauh, dia gunakan perkataan keautentikan tetapi keautentikan itu belum masuk lagi dalam Kamus Dewan tapi solidariti sudah masuk, dan kalau kita sebut dengan intonasinya solidariti kita akan masukkannya dalam jiwa, dalam roh kita kerana inilah yang akan menjamin kita akan terus berjaya dalam masa pilihan raya akan datang dan selanjutnya.
Saya ucap terima kasih pada sidang perwakilan kerana menyentuh banyak perkara. Oleh kerana Pengerusi Biro Agama tidak berucap, Datuk Seri Jamil Khir, dia minta saya mengulas sedikit tentang maqasid syariah. Saya pernah berkata bahawa jika kita menganggap Malaysia ini di bawah pimpinan UMNO, berada di atas landasan perjuangan, mengikut syariat Islam dan hukum syarak dan ada orang kata sebaliknya pula, bagaimana kita hendak cari satu penilaian yang boleh menggambarkan bahawa negara Malaysia ini, hala tuju yang dibawa oleh UMNO dari dulu sampai sekarang ini adalah berpandu kepada tuntutan Islam yang sebenarnya, maka lahirlah cadangan supaya kita buat satu indeks syariah. Indeks syariah ini akan membuat penilaian sejauh mana negara ini bawah UMNO menjaga agama kita, menjaga akal, menjaga keturunan, menjaga nyawa dan menjaga harta benda. Lima tuntutan maqasid syariah.
Saya sudah meminta supaya satu task force ditubuhkan dikendalikan oleh Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan JAKIM jadi urusetianya terdiri daripada pakar agama dan Indeks Syariah ini untuk Malaysia. Ia akan dibentangkan pada Februari tahun depan tidak lama lagi. Apabila kita sudah bentangkan Indeks Syariah ini untuk Malaysia, kita boleh juga berbuat demikian untuk negara Islam yang lain supaya dengan ini mudah-mudahan kita boleh gambarkan dan tunjukkan supaya tidak ada sesiapa boleh sangkal sama sekali bahawa negara yang di bawah pimpinan UMNO ini adalah benar-benar menegakkan dan mengembangkan Islam di bumi yang bertuah ini.
Bercakap sedikit tentang soal ekonomi, ada orang kata apabila ekonomi negara kita pertumbuhannya 6.1 peratus dalam tempoh sembilan bulan tahun ini, kadar pencapaian Malaysia adalah tertinggi di kalangan negara Asia. Satu pencapaian yang boleh kita banggakan tapi ada juga orang kata dia tidak rasa angka 6.1 peratus, angka ini tapi tidak ada apa-apa relevan kepada dia.
Saya hendak beritahu bahawa kalau tidak dapat 6.1 peratus…kata dapat dua atau tiga peratus, tentu sekali kita semua akan merasai tekanan apatah lagi dalam tahun 1997… kalau kita masih ingat lagi apabila ekonomi merudum masa itu apa berlaku kita terpaksa potong peruntukan semua kementerian jabatan kerajaan sampai elaun sara hidup untuk penjawat awam pun terpaksa kita hadkan. Kalau tidak ada kadar pertumbuhan yang tinggi, macam mana kita boleh mengagihkan kekayaan, macam mana kita boleh beri peruntukan yang amat diperlukan untuk kawasan luar bandar yang mesti kita utamakan, untuk bidang pendidikan yang harus kita utamakan, untuk aspek yang penting kerana hasil negara, amat wajar kita tokok tambah. Dan dengan ini maka kita bolehlah melaksanakan termasuk apa yang amat dihasratkan agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputra.
Ramai yang bercakap tentang GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan). Apabila kita tambah GST, saya tak dapat ramalkan lagi dengan rasionalisasi subsidi, kita tidak tahu tahu mungkin RM5 bilion atau RM10 bilion tambahan tahun hadapan. Kalau ada rezeki dan kalau ada peruntukan tambahan saya ambil semangat dan hasrat daripada Perhimpunan Agung UMNO ini. Hasrat perhimpunan agung ini apa? Supaya peruntukan ini dibelanjakan untuk kawasan luar bandar. Ini mesti kita utamakan untuk bidang pendidikan yang disebutkan oleh Timbalan Presiden (Tan Sri Muhyiddin Yassin) tadi mesti kita tambahkan. Pendapatan rendah orang Melayu kerana apa? Ini kerana kebanyakan berkelulusan SPM perlu diberikan latihan meningkatkan kemahiran. Kita tambah. Untuk perumahan orang muda, minta tambah rumah transit. Wakil daripada bahagian Kuala Kedah minta rumah PPR (Projek Perumahan Rakyat) lagi. Ini semua kita perlu tambah peruntukan melalui tambahan GST. Saya nak buktikan bahawa GST tidak bebankan rakyat dan GST akan membela rakyat.
Siapa kata GST tak menguntungkan? 160 lebih negara sudah laksanakan GST. Takkan mereka semua ini salah. Betul atau tidak? Takkanlah negara Burkino Faso yang miskin itu buat GST, yang kaya buat GST. Sebab apa kita perlu GST? Sebab ramai orang yang berniaga tidak bayar cukai. Apakah adil tuan-tuan bayar cukai? Tuan-tuan yang kerja tiap-tiap bulan ada penyata gaji. Tidak boleh elak bayar cukai. Yang berniaga kadang-kala ada satu, ada dua, ada tiga buku, yang dikatakan black economy ini, tidak bayar sampai ada jarak cukai sampai 30 peratus dalam negara kita. Mereka dapat perkhidmatan daripada kerajaan secara percuma. Maknanya mereka tidak bayar apa? Tak adil! Mereka patut bayar cukai kerana mereka perlu menampung perbelanjaan untuk rakyat. Inilah konsepnya. Sebab itu kita jangan politikkan GST ini. Kalau GST tidak baik tuan-tuan, saya tidak buat. Saya tidak buat. Cerita GST ini, sudah 20 tahun punya cerita. Berapa menteri kewangan termasuk ketua pembangkang, dia pernah cadangkan buat GST tarik balik lepas itu. Oleh itu, yakinlah bahawa niat kita tidak lain dan tidak bukan. Macam mana saya hendak cari hasil tiap-tiap kali perhimpunan minta lagi pembangunan luar bandar ditambah kerana di luar bandar adalah kubu kuat UMNO.
Tiap-tiap kali saya pandang pada muka Menteri Pembangunan Luar Bandar (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal), saya sudah nampak bukan saja muka lanun…dia tak nak sebut tapi dia segan tapi saya sudah boleh baca dia nak dan bila saya dengar perbahasan MARA mesti kita tambah peruntukan kerana MARA apa? Kerana MARA itu institusi lambang Melayu Bumiputera. Banyak lagi anak-anak kita nak pergi luar negara tidak ada biasiswa. Anak sebahagian daripada saudari sekalian tidak ada biasiswa negeri. Nak pergi ke MARA, MARA kena tambah peruntukan. Daripada mana? Takkanlah kita hendak pinjam lagi. Kalau kita pinjam daripada institusi kewangan luar negara, kita akan kehilangan kedaulatan sebagai sebuah negara. Ini kita tak boleh benarkan. Kita mesti berdiri di atas kaki kita sendiri. Ada wakil yang bercakap tentang ramai graduan yang tidak ada pekerjaan. Dia tidak ada pekerjaan ini ada beberapa sebab. Antaranya sebab kebolehan dia berkomunikasi umpamanya bukan saja kelulusan ijazah tapi kebolehan dia berkomunikasi umpamanya kurang dan mungkin personalitinya dan sebagainya. Jadi apa caranya? Saya hendak minta supaya Skim Latihan 1Malaysia untuk graduan yang tidak ada pekerjaan ini ditambah 100 peratus lagi.
Saya sudah bercakap pagi tadi dengan Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar. Saya kata semua GLC (syarikat berkaitan kerajaan) kalau tahun depan rancangan 4,000 kita jadikan 10,000 untuk graduan kita yang tidak ada pekerjaan. Saya buat ini sekali lagi kerana apa? Kerana hasrat para perwakilan dalam perhimpunan. Lagi apa? Rizab Melayu? Tanah Rizab Melayu mestilah kita pertahankan. Jadi saya minta semua menteri besar negeri yang dikuasai oleh kita, memastikan tanah rizab itu jika dibuka untuk pembangunan digantikan dengan yang lain.
Keduanya, saya nak sebut tanah rizab ini jangan rizab saja. Ia mesti dibangunkan. Apabila hendak dibangunkan mesti ada sumber kewangan. Sekarang ini saya diberitahu bahawa ada kesukaran dari segi perundangan, National Land Code dan juga enakmen negeri untuk membolehkan akses kepada instrumen. Daripada Islamic Instrument pinjaman memajukan Tanah Rizab Melayu. Satu jawatankuasa ditubuhkan dan laporannya pun sudah disediakan dan saya hendak minta bahawa semua undang-undang yang perlu dipinda. Dibuat pindaan supaya Tanah Rizab Melayu ini boleh dibangunkan dengan nilai yang menguntungkan pemilik. Kita tidak boleh bangga dengan jumlah tanah tapi yang penting pulangannya kepada pemilik Tanah Rizab Melayu.
Saya tertarik dengan ucapan, YB Zahidi Abidin. Dia kata kalau tengok pada pembangkang, dia jaga pemimpin dia macam nak rak. Pemimpin tidak betul dia bela habis-habisan sampai sudah nampak spender (seluar dalam) besar pun, masih terlepas. Sampai kalau kata Ku Nan (Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor) spender besar tak terlepas. Apalagi setiausaha kerja kita…lagi besar. Tapi saya jamin dua-dua tak buat kerja ini. Dah keluar video dia boleh kata, “eh itu bukan saya, perut saya tak boroi.” Bukan boroi, terlepas, senang je.
Kalau kena pada orang UMNO, bukan saja pembangkang, orang UMNO sendiri kecam. Sudah lama terjun lombong dan terbongkang kita. Itu saya hendak kata, kalau hendak kuat, jagalah pemimpin kita. Kalau hendak buat, jagalah pemimpin kita. Kalau dia bersalah tegurlah dengan baik supaya parti kita kuat, kita boleh ke depan. Kita semua manusia biasa, tiada yang sempurna. Semuanya, mana-mana pun tiada. Orang yang kata kita, dia pun tidak sempurna. Jadi, kita sama-samalah jaga antara kita. Bantu parti kita kuat. Kita nak menang tak? Kita hendak menang pilihan raya.
Kita mesti faham, pembangkang lebih teruk daripada kita. Saya nak bawa satu maksud solidariti. Dalam akhbar dua hari lalu, Datuk Seri Anifah Aman, ditawarkan RM100 juta, lompat parti pada pilihan raya ke-12, 16 September 2008. Ditawarkan RM100 juta untuk bawa 10 ahli parlimen Barisan Nasional (BN) masuk pembangkang hendak tubuh kerajaan. Cerita ini sudah keluar dalam mahkamah. Saya petik dalam akhbar. Jangan kata saya subjudis. Tidak. Saya sudah periksa dengan peguam. Sebab sudah keluar, saya petik apa yang ditulis dalam akhbar. Datuk Seri Anifah Aman sudah diikat jamin, bebas daripada RM100 juta, nak tubuh kerajaan. Ini Mother of Corruption (Ibu segala rasuah). Kita, UMNO dituduh macam-macam tetapi yang buat angkara, parti pembangkang.
Sebab itu, saudara saudari, kita teruk, pembangkang lagi teruk. Boleh suruh wakil rakyat letak jawatan sebab isteri hendak bertanding. Suruh pula Menteri Besar (MB) yang tidak bersalah letak jawatan sebab isteri kena jadi MB. Cuba bayangkan kalau saya suruh MB Negeri Sembilan letak jawatan sebab isteri saya hendak jadi MB. Mati saya. Dia (isteri) tidak akan jadi MB. Jadi, Ketua Wanita UMNO Bahagian pun tidak mahu.
Apa yang kita boleh katakan, inilah ‘Nepotisme’ yang terbesar. Kenapa kita tidak salahkan mereka? Jangan serang kita, seranglah pembangkang. Saya setuju dengan kata-kata Datuk Seri Zahid Hamidi. Dia kata blogger, kadang-kadang tembak kita. Mana ada! Friendly fire is not friendly. Blogger kita, dia cari makan dengan siapa? Pergilah tembak pembangkang! Itu cara kita untuk menang dalam peperangan.
Jangan berperang sesama sendiri. Tidak masuk akal. Bangang namanya! Saya belajar perkataan daripada isteri saya (bahasa minang).
Ini semua menyebabkan kita lemah. Kita lemah kerana kita sendiri buat masalah pada kita. Cuba kita tidak buat masalah, menghayati solidariti! Parti UMNO akan sentiasa kuat. Insya-Allah.
Saya hendak cakap sedikit tentang peremajaan. Saya setuju dengan cakap Ketua Pemuda UMNO, Khairi Jamaludin. Saya tahu, saya bekas Ketua Pemuda Malaysia dulu. Saya tahu. Zaman saya pun ada puluhan bahagian ada masalah dengan Ketua Pemuda bahagian. Kita tahu semua ini belaka. Sampai apabila UMNO diharamkan, ada rombongan datang mendesak supaya tidak lantik jadi ketua Pemuda bahagian. Saya tahu ada banyak masalah. Sebab itu, kita kata peremajaan parti.
Meremajakan parti, kita mesti faham bahawa kita ada tiga golongan dalam UMNO. Kita perlukan ketiga-tiga golongan, untuk bentuk kerjasama sebagai satu haluan. Kalau duduk sekeliling, kita diserang ke, tidak diserang ke, tidak akan wujud keadaan solidariti. Dalam pada itu, berilah peluang. Mana yang patut kita beri peluang, kita beri. Orang muda kita akan beri lebih banyak peluang, tapi mesti layak, ada merit dan mesti layak sebagai ahli UMNO. Perlu menepati kriteria, bukan sembarangan orang. Hari ini masuk UMNO, terus mahu bertanding. Tidak boleh. Kita uji dulu, jadi perdana felo, setiausaha politik, atau apa saja! Barulah sampai masa kita ambil.
Ada masa kita perlu kepada orang lama. Macam di Pilihan Raya Kecil Pengkalan Kubur, kita pilih orang lama, Ustaz Md Radzi. Menang besar, orang lama. Ada masa kita perlu pada orang muda. Kita tengok Irmohizam (Datuk) di Kuala Selangor bertanding dengan Dr Zul, kalah dia. Pergi kenduri, beri RM30. Dalam UMNO, RM30 tidak dipandang. Dia beri kerana dia tidak mampu, tetapi cara dia menampakkan dia, autentik. Orang kesian, dia menang. Biarlah. Cara dia lain. Itu stail dia. Dia tidak pakai stokin merah, merah berbelang-belang. Bukan merah tapi merah berbelang, seluar bukan main ketat lagi. Masing-masing ada stail. Saya tidak berani ikut stail dia. Jangan ya. Sebab itulah saya hendak kata, kita perlukan pada seseorang.
Apabila berlaku peremajaan, banyak panggilan yang saya terima, sms. “Saya ini patut berhenti ke? dan macam-macam lagi. Kalau dari Utara, dia kata, “Najib, hang sudah tidak mahu kami hak tua-tua ni kah? Dia kata macam itu pada saya. Yang dari Kelantan, “Demo, tokse doh ke ore tuo ni? Tidak mahu ke? Saya kata sabar, sabar. Bila pula chek tidak mahu? Semua kita mahu. Yang dari Pantai Timur pula, “Buke lagu tu, dok eh kita nak semua. Hendak belaka”. Yang penting, kita remajakan jasad. Satu jasad. Jasad remaja macam mana? Jangan ada penyakit, jangan ada kencing manis, darah tinggi, jaga ‘perkakas’. Maaf, ini pengaruh tuan pengerusi pada saya. Kita remajakan akar, strategi baru, ada pelan, moden mesti ada, sosial media, pandai guna sosial media dan remajakan roh perjuangan UMNO.
Saya tertarik pada dua orang dalam perhimpunan. Yang pertama, Datuk Hajah Rahmah Haji Kassim, 90, yang menyerahkan gelang membiayai rombongan Tunku (Abdul Rahman Putra). Dia selalu datang ke perhimpunan. Maknanya, roh dia kuat. Spirit of UMNO strong (semangat UMNO kuat). Sampai dia ingatkan Tunku, menitiskan air mata. Inilah peremajaan yang kita maksudkan, roh kita.
Lagi seorang, Dr Mohd Nawar, wakil Kedah, orang Pokok Sena. Apa dia kata?. “Setiap butir nasi yang dia makan itu hasil perjuangan UMNO. Saya tersentuh perasaan. Setiap kali sesuap nasi yang dia makan itu, dia rasa itu hasil perjuangan UMNO. Sebab itu, dia merasa nasi. Disebabkan UMNO, dia jadi pakar bedah, sebab UMNO dia dapat menyara keluarga, terhutang budi. Inilah peremajaan UMNO hari ini.
Bukan orang dapat kekayaan, lupa UMNO. Dapat kekayaan lupa pada UMNO, dapat jawatan dari UMNO tinggalkan UMNO, dapat serba serbi tinggalkan UMNO. Ini bukan peremaajan UMNO tapi pengkhianat UMNO.
Oleh itu, saudara saudari marilah kita bersama-sama meneruskan perjuangan kita, perjuangan kita ini, ingatlah jika rosak UMNO maka tersingkirlah kita, jika terbuangnya UMNO maka hanyutlah kita. Percayalah jika kuatnya UMNO pasti terjaminlah kita, jika hebat UMNO pasti berjayalah kita, maka yakinlah dengan mata hati kerana segala tindakan sudah diperhalusi. Usahlah dipertikai dan diragui. Berilah kepercayaan sepenuh hati hilangkan resah dan gelisah, janji yang dilafazkan tiada dimungkiri. Segala keputusan dan tindakan Melayu dan Bumiputera tidak pernah kita dilupakan.
Tariklah nafas kita, tarikan bersama roh perjuangan, tariklah bersama nafas keberanian, tariklah bersama nafas keyakinan, jadilah kita barisan hadapan untuk mempertahan tindakan dan keputusan yang dibuat parti, jadilah kita barisan hadapan untuk mempertahan maruah parti dan usah biar ia dicemari. Berjanjilah selagi hayat dikandung badan, selagi mentari masih menyinar parti UMNO kita kukuhkan, Melayu dan Bumiputera kita pertahankan, agama Islam dimuliakan, Malaysia kita makmurkan, maju UMNO, maju Melayu, maju Bumiputera.

PAU 2014 : Jangan ada kerengga dalam perjuangan parti

Nampak segak tapi suka ‘kencing’ dalam mata

28 November 2014 2:41 AM

Badruddin Amiruldin menunjukan akhbar Utusan Malaysia semasa membacakan petikan amanat Tunku Abdul Rahman sebelum bermula ucapan dasar Presiden UMNO pada Perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2014 di Dewan Merdeka, PWTC, semalam.

KUALA LUMPUR 27 Nov. – Kerengga sering kali dikaitkan dengan keindahan sehinggakan ada perumpamaan Melayu menyebut ‘pinggang ramping bak kerengga’ iaitu bagi menggambarkan kecantikan bentuk badan seorang wanita hingga menjadi dambaan lelaki.
Namun dalam perjuangan politik, sifat kerengga perlu dijauhi kerana walaupun nampak cantik dan segak pada luarannya tetapi serangga itu mempunyai sifat buruk, iaitu suka memancut cecair kepada sesiapa sahaja jika buah yang dihurung cuba diambil.
Bagi Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruldin, tabiat suka menghurung buah dan memancut cecair yang beliau labelkan sebagai ‘kencing’ perlu dibuang jauh-jauh dalam perjuangan UMNO jika semua pihak mahu parti menjadi kukuh.
“Saya nak habaq (beritahu) kat (kepada) Puteri, Pemuda dan Wanita jangan jadi semut kerengga. Badan cantik, pinggang ramping, misai dok (pun) ada (tapi) perangai kotor. Dia hurung buah, bukan boleh makan tapi bila kita ambil, dia kencing dalam mata kita.
“Lebih teruk kalau kerengga masuk dalam kain, dia ketik (gigit) merata. Dalam UMNO jangan ada semut kerengga, semut api takpa (boleh), semut hitam pun (kerana) dia dok hurung gula sahaja, habis gula kena kencing manis, tapi kencing manis ada ubat.
“Tapi kalau kencing kawan tiada ubat. Jadi dalam perjuangan kena ada solidariti, jangan kencing kawan,” katanya ketika memberikan analogi kerengga bagi memperingatkan seluruh ahli UMNO ketika mempengerusi Perhimpunan Agung UMNO, 2014 di sini hari ini.
Beliau bagaimanapun memuji langkah Pergerakan Puteri UMNO menubuhkan Barisan Semut Api bagi mengatur strategi untuk menepis propaganda, penipuan dan fitnah dalam media sosial kerana jelas Badruddin, sifat semut api adalah setia serta tidak suka membuat kacau.
Katanya dalam bahasa berkias, semut api adalah serangga yang taat kepada ketua, gemar berjalan beriringan mengikut susunan langkah dan walaupun gigitannya memeritkan tetapi semut tersebut hanya mempertahankan diri jika ada pihak cuba mengancam.
Terdahulu, wakil Puteri UMNO, Nazliah Ali, ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden menjelaskan, nama semut api dipilih kerana serangga itu mengajar manusia tentang budaya positif dalam hidup.
“Melalui perjuangan semut api, kami akan terus mendekati orang muda khususnya wanita muda. Kami insya-Allah akan membersihkan pemikiran mereka agar tidak terpedaya dengan pembohongan daripada pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.


– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/jangan-ada-kerengga-dalam-perjuangan-parti-1.30196#sthash.vCh0uBmK.dpuf


PAU 2014 : Sabah akan berdiri teguh sebagai perisai UMNO

JUMAAT, 28 NOVEMBER 2014 @ 3:01 PM


WAKIL UMNO Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan. – Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Sabah akan tetap berdiri teguh sebagai perisai UMNO dan berjuang bermati-matian mempertahankan setiap inci negeri itu daripada dicerobohi anasir jahat.
Wakil Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan, berkata walaupun terdapat segelintir pihak cuba menanam kebencian dalam kalangan rakyat negeri itu terhadap kepimpinan Presiden, Datuk Seri Najib Razak, namum UMNO Sabah akan tetap bekerja keras dan berdiri teguh di belakang kepimpinan beliau.
“UMNO Sabah membuat pendirian 100 peratus untuk menyokong kepimpinan presiden dan terus bekerja keras supaya Sabah terus jadi kubu kuat UMNO. Presiden kita bukan seorang ‘hercules’, bukan superman, bukan si badang. Kita semua kena bantu beliau. Kalau kita bantu beliau, kita bantu UMNO. Inilah bukti solidariti saf yang mantap.
“Sudah pasti Sabah tetap akan jaga Datuk Seri (Najib Razak). Andai Gunung Tahan tak cukup jadi perisai Datuk Seri, orang Sabah ada Gunung Kinabalu untuk jadi perisai,” katanya yang mendapat tepukan gemuruh perwakilan ketika ketika membahaskan ucapan presiden di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, sebentar tadi.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Tawau berkata, dalam kesedihan negara mengenang insiden pencerobohan Lahad Datu, Mac lalu, terdapat segelintir pihak mengambil kesempatan menghidupkan api kebencian dengan cuba mengkucar-kacirkan keamanan rakyat negeri itu dan menghasut supaya Sabah keluar daripada Malaysia.
“Insiden Lahad Datu adalah kenangan pahit kepada orang Sabah malah ia juga turut dirasai oleh rakyat negeri lain. Oleh itu, kita perlu bersatu. Bersatu ini solidariti… bukan sekadar bersatu dari segi fizikal tetapi bersatu hati, bersatu fikiran, kerisauan dan melaksanakan dengan jelas apa yang dirancang.
“Sumbang tenaga material dan buah fikiran untuk kebaikan. Untuk parti kekal dan terus utuh. Kita semua perlu menyumbang… bukannya menumbang,” tegasnya.
Mengakhiri perbahasan beliau, Tawfiq menyeru supaya ahli UMNO mengambil iktibar dan lebih sensitif terhadap senario yang berlaku di dalam negara dan tidak terus duduk selesa dengan keadaan sekarang.
“Kita mesti ambil iktibar… dengan suara akan umbi. Jangan hanya suara-suara ini sekadar tertulis dalam buku. Ia mesti dilaksanakan… kita mesti merakyatkan UMNO bermula dari atas hingga di bawah. Yang pasti, rakyat di luar sana menjadi hakim dan penentu kita di mana kelak,” katanya

PAU 2014 : Elemen kualiti sebagai asas perjuangan bela nasib orang Melayu

JUMAAT, 28 NOVEMBER 2014 @ 12:35 PM
KUALA LUMPUR: UMNO harus meletakkan elemen kualiti sebagai asas perjuangan supaya parti yang mempunyai 3,477,365 ahli itu terus utuh membela nasib kaum Melayu.
Wakil Kedah, Dr Mohammad Nawar Ariffin, berkata UMNO kini berada dalam keadaan tenat dan harus bangkit memperkuatkan saf kepimpinan supaya parti itu lebih diterima oleh golongan muda dan profesional.
“UMNO kini berada dalam keadaan sakit… kita tidak segagah dulu, kita tidak sekuat dulu. Jadi, mari kita lihat bagaimana nak betulkan perkara ini… Jika ia kronik, kita kena cari ubat… Insya-Allah penyakit ini dapat sembuh,” katanya katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, sebentar tadi.
Beliau yang juga Ketua Cawangan Kampung Menerong, Pokok Sena menegaskan ahli UMNO ketika ini tidak lagi bertolak ansur dengan kualiti.
“Mulai sekarang, kita tidak boleh bertolak ansur dalam kualiti. Yang lepas itu adalah sejarah tetapi kualiti pada masa kini yang akan tentukan sejarah pada masa depan.
“Kita mesti cari kualiti… contohnya dalam sektor perubatan, kita nak ubat yang autentik…yang asli, kita tak nak ubat yang palsu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga menggariskan enam kunci utama bagi memantapkan lagi kepimpinan parti.
“Yang pertama… integriti. Laporan audit mesti diambil kira. Jangan pandang remeh setiap perkara yang ditegur. Yang kedua, Ambil sesuatu isu secara terperinci… jangan hanya bagi kepimpinan kepada individu itu tetapi hasilnya masih tidak berubah.
“Yang ketiga, lihat pada hasilnya… jika dalam sektor perubatan, kita bagi ubat… lancar program… kesannya mesti ada. Jika bagi ubat tapi dua, tiga tahun tak berubah, ‘something wrong’ la tu,” katanya.
Manakala katanya, yang keempat ialah kualiti. ‘Yang bawah harus rasa kualiti di atas… yang di atas pula harus rasa kualiti di bawah. Jangan hanya syok sendiri saja,” katanya.
Sementara itu, elemen kelima ialah sesuatu tindakan lahir dari hati.
“Seorang pejuang UMNO harus buat kerja tanpa harapkan balasan, jangan harapkan wang ringgit. Setiap tindakan harus ikhlas dan lahir dari hati.
“Terakhir adalah setiap daripada kita kena balik kepada agama… lambang kepada parti bukan kerana pengikut tetapi kerana pemimpin. Jadikan agama sebagai asas dalam memimpin. Doakan kita dapat perbetulkan keadaan, supaya lebih ramai anak muda dan golongan profesional kembali tertarik kepada UMNO kerana kualitinya,” tegasnya.
Beliau juga mengingatkan kepada golongan muda supaya tidak terus-menerus menentang kerajaan dan menggelarkan parti UMNO sebagai parti rasuah.
“Jangan tuduh parti ini parti rasuah… kita hantar belajar tetapi tuduh UMNO parti macam-macam. Kita bantu mereka daripada susah tetapi bila dah berjaya, mereka tentang kerajaan.
“Anak muda kena tengok balik apa yang mereka perjuangkan. Sepatutnya kena bantu kerajaan bangunkan ekonomi anak muda yang lain… bantu dan perbetulkan ekonomi mereka.
“Ingat anak-anak, setiap butir beras yang kamu makan itu adalah kerana UMNO… itu peringatan kepada anak-anak muda di luar sana,” tegasnya.
TIMBALAN Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (dua dari kiri) membuat lawatan ke Pameran Wanita Kreatif 2014 bersempena Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini. – Foto Asyraf Hamzah


PAU 2014 : UMNO: Realiti kehidupan rakyat luar bandar perlu diteliti – Perwakilan

JUMAAT, 28 NOVEMBER 2014 @ 11:26 AM
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu meneliti realiti kehidupan rakyat berpendapatan rendah terutamanya di luar bandar dan tidak hanya berbangga dengan statistik berhubung peningkatan pendapatan isi rumah yang dikeluarkan agensi tertentu.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Setiu, Terengganu, Mohd Iskandar Jaafar berkata hakikatnya, statistik itu tidak melambangkan kehidupan sebenar rakyat kerana masih ramai yang hidup kais pagi makan pagi.
“Walaupun kita sudah bekerja bertungkus lumus, kadang-kadang kita rasa sedih…tiba-tiba keluar dalam surat khabar, di kaca televisyen, purata pendapatan isi rumah rakyat Malaysia meningkat RM5,900, amboi…
“Betullah menjadi sebuah negara maju menjelang 2020 kita kena ada statistik yang menunjukkan kita bergerak ‘in progress’ (di landasan yang betul) tetapi bila rakyat dengar mereka tanya pendapatan ini pendapatan siapa?” katanya ketika membahaskan usul ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.
Mohd Iskandar menarik perhatian misalnya golongan penoreh getah di kawasan Setiu yang masih ramai antaranya berpendapatan RM25 seminggu ekoran harga getah yang tidak menentu selain faktor cuaca.
“Di tempat saya hari ini, harga getah cukup teruk, ada pernah sampai RM1.60 sekilogram, semalam saya telefon di kampung tanya berapa harga getah hari ini, katanya RM1.70 sekilogram, seminggu motong (menoreh) getah tak dapat sampai RM50 pun.
“Makanya kita tidak boleh terlalu bergantung kepada statistik untuk nak meyakinkan kepada rakyat bahawa beban sara hidup mereka ini sudah dibantu,” kata Mohd Iskandar.
Pandangan sama turut disuarakan Ketua UMNO Bahagian Kampar, Perak, Datuk Mohd Radzi Manan yang mahu kerajaan menambah baik pendekatan dalam meningkatkan taraf hidup Melayu dan Bumiputera di luar bandar.
Mengambil contoh hasil keluaran padi yang bernilai hampir RM70 juta setahun, beliau mahu pendapatan dan keuntungan yang diperoleh disalurkan secara adil kepada petani yang terlibat.
“Katakan harga padi daripada petani sebanyak RM600 satu tan dan bila ditolak ke pasaran harganya menjadi RM3,000. Nilai tambah kira-kira RM2,000 itu siapa yang dapat? Bukan kita Bumiputera. Saya minta kita fikirkan perkara ini,” tegasnya.
Menyifatkan golongan Melayu dan Bumiputera sebagai ‘simpanan tetap’ sebenar bagi UMNO, Mohd Radzi berkata golongan itulah yang sepatutnya diberi perhatian, berbanding Melayu di bandar yang seakan-akan telah menjauhi parti itu.
“Akar umbi kita di luar bandar masih kuat. Mereka ini kalau lari, tentu kita kalah,” katanya.
– BERNAMA
PERWAKILAN Terengganu, Mohd Iskandar Jaafar ketika membahaskan usul pada Perhimpunan Agung UMNO Ke-68 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini. – Foto BERNAMA


PAU 2014 : Peremajaan UMNO perlu ‘zuriat’ berkualiti – Perwakilan

JUMAAT, 28 NOVEMBER 2014 @ 10:49 AM
PERWAKILAN Wanita UMNO berkumpul di ruang legar pada hari keempat Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PTWC) hari ini. – Foto Ghazali Kori
KUALA LUMPUR: Proses peremajaan parti memerlukan pemimpin pelapis yang berani, tidak cepat melatah, bersifat terbuka dan sentiasa ingin belajar untuk menambah pengetahuan selok-belok politik.
Wakil Umno Pahang, Mohd Shahrir@Shaharir Abdullah, berkata golongan pelapis perlu mempunyai ciri-ciri berkenaan kerana mereka akan menghadapi suasana politik negara yang semakin mencabar.
“Anak-anak muda belum pernah merasai pahit getir perjuangan dan ‘sepak terajang’ politik. Mereka ini perlu dibimbing melalui proses pembelajaran berterusan.
“Jangan cepat melatah, jangan jadi pengecut. Politik ini ada seni yang perlu dan sentiasa dipelajari dari semasa ke semasa,” katanya ketika membahaskan usul Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.
WAKIL UMNO Pahang, Mohd Shahrir@Shaharir Abdullah. – Foto Abdullah Yusof
Beliau berkata agenda peremajaan parti bukanlah sekadar bermaksud menukar atau mengganti kepimpinan sedia ada secara keseluruhannya sebaliknya dilakukan bagi mengembalikan maruah serta menjamin kelangsungan perjuangan parti pada masa depan.
“Anak-anak muda perlu tunjuk semangat tinggi. Kita nak tengok pemimpin pelapis yang dinamik, berkarisma serta lantang bersuara dan berjuang dalam satu saf bersama ‘orang lama’,” katanya. – BERNAMA

PAU 2014 : UMNO perlu lebih berhati-hati bagi pastikan kelangsungan perjuangan parti

JUMAAT, 28 NOVEMBER 2014 @ 10:42 AM
WAKIL UMNO Perak, Datuk Mohd Radzi Manan. – Foto Abdullah Yusof
KUALA LUMPUR: UMNO perlu tegas dan lebih berhati-hati apabila menerima isyarat daripada pihak luar bagi memastikan kelangsungan perjuangan parti terus terpelihara dan kekal relevan pada masa hadapan.
Peringatan itu disampaikan oleh wakil Perak, Datuk Mohd Radzi Manan supaya UMNO tidak lari daripada dasar perjuangannya iaitu untuk membela nasib kaum Melayu.
“Kita kena kenal pasti signal yang diterima… pastikan kita dapat signal yang betul dan baca signal ini dengan nada yang serius bagi memastikan kelangsungan perjuangan parti tidak dipengaruhi oleh pihak luar,” katanya ketika membahaskan ucapan presiden di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, sebentar tadi.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kampar menegaskan UMNO perlu mengenal pasti pemimpin yang berkelayakan untuk terus memimpin parti terbesar kaum Melayu itu dan tidak hanya mendengar pandangan segelintir pihak ketika sesi pemilihan.
“Kenal pasti individu yang perjuangkan hak kaum Melayu, jangan kita tunduk pada kaum-kaum lain jika mahu UMNO terus gah dilihat sebagai pembela nasib Melayu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga menyeru parti supaya membuat keputusan berdasarkan musyawarah parti dan tidak membelakangkan kesengsaraan golongan pertengahan dan bawahan.
“Contohnya isu harga minyak naik… minyak naik sehari sebelum Hari Raya Haji, inilah yang kita katakan ‘timing failed’. Sepatutnya kerajaan lebih prihatin… jangan dengar nasihat yang salah,” tegasnya.
Bercakap mengenai peremajaan parti, Mohd Radzi berkata, Ketua Pemuda dan Puteri harus diberi peluang dalam pentadbiran kerajaan.
“Tukarkan jawatan Ketua Puteri, beri mereka jawatan. Jangan hanya sekadar mencari Ahli Parlimen… Kalau kita tak bagi mereka kenderaan macam mana mereka nak berjalan? Lepas tu mulalah bersuara kata puteri ni tak bergerak, tak berjalan.
“Saya juga seru Pusat buat tindakan positif, tindakan yang lebih berkesan… bukan hanya bercakap dan berjalan tetapi tengoklah yang berada di bawah… kalau kita nak betulkan UMNO, kita kena betulkan dari atas,” katanya.
Dalam pada itu, bagi memastikan proses peremajaan parti dapat dilakukan dengan kadar segera, beliau meminta supaya pemuda dan puteri di dalam UMNO supaya bangun dari tidur dan menunjukkan taring mereka sebagai seorang pemimpin.
“Saya minta orang muda bangun tunjuk kewibawaan mereka dahulu… apa yang mereka boleh buat. Buktikan kepada pucuk pimpinan,” katanya.