1MDB : Deloitte sahkan RM13.4b disimpan di Singapura

11 Jun 2015 2:01 AM
KUALA LUMPUR 10 Jun – Deloitte & Co (Deloitte) mengesahkan bahawa terdapat dana RM13.4 bilion yang disimpan dalam Bank BSI di Singapura ketika audit terakhir ke atas 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) dilakukan pada 31 Mac tahun lalu.
Nur Jazlan
Firma audit antarabangsa itu mengesahkan perkara tersebut ketika prosiding bersama Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) di Parlimen, hari ini.
Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed bagaimanapun berkata, dana yang dianggap sebagai aset nilai saksama itu belum dapat dipastikan sama ada berbentuk unit atau tunai.
“Dana itu tidak lesap (ketika itu), ia ada dan sama dengan nilai yang telah diaudit.
“Cuma dalam menentukan dana itu berbentuk unit atau tunai selepas kerajaan menebus sebahagian daripada aset itu, Deloitte tak dapat mengesahkannya selagi tidak menerima arahan untuk mengaudit penyata kewangan berakhir 31 Mac 2015,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat itu.
Sementara itu, Nur Jazlan menegaskan, tiada konflik kepentingan membabitkan anak lelaki Datuk Seri Najib Tun Razak, Mohd. Nizar Najib dalam pengauditan akaun 1MDB.
Beliau berkata, ini kerana anak Perdana Menteri itu bekerja di bahagian perkhidmatan kewangan Deloitte, bukannya di seksyen pengauditan firma audit antarabangsa tersebut.
Menurut Nur Jaz­lan, beberapa maklumat yang diperoleh melalui prosiding berkenaan akan dijadikan rujukan sebagai persediaan mendapatkan keterangan daripada pengurusan tertinggi 1MDB dalam prosiding akan datang.
“Secara kesimpulan, Deloitte menjawab beberapa persoalan khusus terhadap akaun 1MDB tetapi PAC berkemungkinan akan memanggil semula firma berkenaan jika diperlukan,” ujarnya.
Nur Jazlan berkata, PAC akan memanggil Presiden 1MDB, Arul Kanda Kandasamy dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat itu, Datuk Shahrul Azral Ibrahim sekali lagi pada Ogos ini untuk memberi keterangan.
“Kedua-dua mereka tidak hadir pada prosiding yang ditetapkan pada dua minggu lalu kerana urusan rasmi, tetapi kali ini tiada alasan lagi. Selain itu, PAC juga akan mendengar penjelasan daripada KPMG yang mengaudit akaun 1MDB pada 2011 dan 2012,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s