RASUAH : 19 tauke ladang ditahan

SPRM gempur Cameron Highlands
SAYED HESHAM IDRIS | 01 Julai 2015 1:56 AM

IPOH 30 Jun – Selepas enam bulan mela­kukan intipan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menggempur Came­ron Highlands. Hasilnya, 19 tauke ladang ditahan kerana disyaki memberikan rasuah kepada pegawai agensi penguat kuasa.
Sogokan itu bertujuan mengelakkan tindakan atas pelbagai kesalahan seperti penerokaan tanah haram, melanggar syarat Lesen Pendudukan Sementara (LPS), melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI) dan menyimpan racun tidak berjadual.
Mingguan Malaysia dan Utusan Malaysia sejak November tahun lalu telah mendedahkan kebanjiran warga asing dan masalah pencerobohan tanah di Cameron Highlands sehingga memusnahkan alam sekitar daerah peranginan itu.
Dalam tiga siri laporan khas terbaharu mulai Ahad lalu, akhbar ini mendedahkan bagaimana keadaan tanah tinggi itu yang terus dice­roboh dan berhadapan dengan masalah warga asing akibat amalan rasuah.
Sumber dalaman SPRM memberitahu, kesemua mereka ditahan di Cameron Highlands hari ini dalam Operasi Sejuk, yang melibatkan transaksi rasuah antara RM127 hingga RM30,000 dengan jumlah keseluruhan RM163,577.
Mereka yang ditahan dibawa dari Cameron Highlands ke Pejabat SPRM Perak di sini dalam keadaan tangan bergari.
“Kesemua mereka ditahan di sekitar Cameron Highlands oleh pegawai dari ibu pejabat SPRM dan dibawa ke Pejabat SPRM Perak untuk soal siasat.
“Mereka terdiri daripada pengusaha ladang namun terdapat seorang warga asing dari Bangladesh yang merupakan tauke ladang. Kes disiasat di bawah Seksyen 17B Akta SPRM kerana memberi rasu­ah kepada penjawat awam yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara 20 tahun atau denda lima kali ganda daripada nilai suapan atau sekurang-kurangnya RM10,000,” kata sumber itu.
Sumber itu menambah, sebahagian besar mereka ditahan di kebun, rumah dan kawasan sekitar kebun masing-masing di Cameron Highlands.
“Tiada laporan mereka cuba melarikan diri atau hilang sepanjang operasi. Daripada jumlah 19 orang itu, 17 dibebaskan dengan jaminan RM5,000 seorang manakala dua lagi ditahan,” katanya.
Menurut sumber tersebut, operasi itu adalah hasil intipan SPRM selama lebih enam bulan untuk membuktikan wujudnya sogokan oleh tauke ladang kepada anggota penguat kuasa di Cameron Highlands.
Katanya, intipan juga dilakukan rentetan bencana alam di tanah tinggi itu pada hujung tahun lalu sehingga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melawat kawasan bencana memberi amaran supaya penguatkuasaan diperketatkan.
Namun, katanya, di sebalik ama­ran tersebut, penerokaan tanah haram terus berlaku hingga menimbulkan kecurigaan terhadap kete­lusan pihak penguat kuasa.
“Hasil daripada risikan bersama SPRM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sejak enam bulan lalu mengesahkan berlakunya rasuah dalam kalangan anggota penguat kuasa yang membawa kepada penangkapan hari ini,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s