LIGA SUPER – Kecoh di Stadium Perak

SEORANG lelaki melihat salah sebuah bas pasukan JDT yang disembur dengan cat di kawasan letak kereta sebuah hotel di Ipoh semalam. – UTUSAN/ZULKARNAIN MOHD. SAIDIN
IPOH – Perlawanan Liga Super antara Perak dan Johor Darul Ta’azim (JDT) di Stadium Perak, Ipoh malam tadi dicemari dengan insiden kekecohan penyokong yang bermula dari tempat duduk penyokong pa­sukan lawan.
Bagaimanapun, tindakan pantas Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) berjaya menghalang insiden tersebut menjadi lebih buruk manakala kira-kira 250 penyokong JDT lari ke tengah padang untuk menyelamatkan diri.
Setakat pukul 11.30 malam semalam, penyokong pasukan lawan masih berada di padang dan tidak keluar dari stadium atas faktor ke­selamatan.
Sekurang-kurangnya tiga penyokong ditahan oleh pihak polis dan dalam masa yang sama penyokong tuan rumah turut membakar suar serta membaling mercun selepas perlawanan tamat.
Jurugambar dari Kumpulan NST, Supian Ahmad pula mengalami kecederaan di bahagian lutut kanan akibat terkena batu bata yang diba­ling ketika cuba merakam gambar kekecohan dari tempat duduk penyokong JDT.
Dia yang terus rebah selepas terkena balingan tersebut segera dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Sementara itu, di sebelah pagi kontroversi sudah tercetus apabila dua buah bas yang membawa skuad Harimau Selatan diconteng di bahagian sisi dengan ayat ‘This Ipoh’ dengan cat kuning ketika diletakkan berhampiran hotel penginapan skuad berkenaan.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Sum Chang Keong ketika dihubungi memberitahu, pihaknya menerima tiga laporan berkenaan insiden bas diconteng itu yang dibuat di Balai Polis Sungai Senam dekat sini.
Katanya, laporan berkenaan masing-masing melibatkan semburan cat pada dua buah bas dan sebuah kereta jenis Toyota Hilux milik pasukan JDT yang dibuat oleh pihak pengurusa pasukan berkenaan.
“Kejadian itu disedari pihak berkenaan kira-kira pukul 9.30 pagi,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140416/su_01/Kecoh-di-Stadium-Perak#ixzz2z18Sh9Hj  © Utusan Melayu (M) Bhd 


LIGA SUPER – Pahang, Kelantan kena belasah


KUALA LUMPUR – Pendahulu Liga Super, Pahang dan Kelantan menerima tamparan paling hebat dalam persaingan Liga Su­per musim ini selepas masing-masing dibolosi empat gol di tempat lawan malam tadi.
Pahang bukan sahaja me­le­paskan peluang untuk me­ngu­­­kuh­kan kedudukan di tangga teratas malah dimalukan pasukan lawan, Lions XII selepas tewas 4-1 di Stadium Jalan Besar, manakala Kelantan kalah 4-0 kepada Sime Darby dalam perlawanan di Stadium Selayang.
Bagaimanapun, penyandang juara Piala Malaysia, Pahang masih kekal di tangga teratas de­ngan 25 mata kerana pasukan di tempat kedua, Selangor yang hanya kurang satu mata, tidak beraksi semalam kerana akan bertemu Arema Indonesia dalam saingan Piala AFC hari ini.
Semuanya seakan sempurna buat pasukan bimbingan Zainal Abidin Hassan dalam perlawanan semalam apabila terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan Azidan Sarudin seawal minit kelapan, tetapi jaringan Safuwan Baharuddin setengah jam selepas perlawanan berlangsung memulakan kebangkitan Lions.
Aksi separuh masa kedua jelas milik tuan rumah terutama pada 10 minit terakhir apabila mereka menambah tiga lagi gol dengan Sufian Anuar meledak hatrik selepas menjaringkan gol pada minit ke-80, 90 dan juga masa kecederaan, seterusnya membantu Lions XII melonjak ke kedudukan keempat.
Masa depan jurulatih Kelantan, Steve Darby pula boleh semakin runcing apabila skuad kendaliannya dimalukan oleh pasukan di tengah carta, Sime Darby di Stadium Selayang.
Pemain baharu Sime Darby, Mateo Roskam dari Croatia meledak jaringan hatrik dengan satu lagi jaringan disumbangkan oleh bintang Syria, Mahmoud Al Amnah.
Kerapuhan benteng Kelantan jelas terserlah sejak awal permainan apabila hantaran lintang Azmirul Azmi berjaya disudahkan oleh Roskam melalui tandukan cantik pada minit keempat.
Belum sempat Kelantan mengatur rentak pada permulaan babak kedua, Roskam sekali lagi mengejutkan 15,000 penyokong The Red Warriors dengan jaringan kedua pada minit ke-46.
Mahmoud menghukum ke­cuai­an Khairul Fahmi Che Mat dan Mohd. Farisham Ismail sebelum mudah menolak masuk bola ke dalam gawang yang kosong pada minit ke-65 sebelum Roskam empat minit kemudian memastikan kemenangan mutlak buat Sime Darby.
Penasihat Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa bagai telah menduga lebih awal akan kekalahan itu apabila menyatakan dia tidak suka de­ngan kesebelasan utama yang diturunkan Darby pada separuh masa pertama, menerusi entri terbaharu dalam akaun Facebook miliknya malam tadi.
Di Stadium Shah Alam, Terengganu terus gagal mencatat kemenangan apabila sekadar seri 2-2 dengan pasukan tuan rumah, PKNS walaupun mereka berada di depan pada separuh masa pertama menerusi jaringan Azlan Zainal pada minit ke-22 dan Marlo Karlovic, minit 43.
PKNS bangkit pada separuh masa kedua apabila Patrick Ronaldinho merapatkan jurang dengan jaringan pada minit ke-63 dan P. Gunalan berjaya membantu pasukannya daripada kehilangan mata selepas menyamakan kedudukan di minit ke-79.
Di Stadium Perak, pasukan tuan rumah terus menderita apabila kalah 0-1 kepada Johor Darul Ta’azim (JDT) yang memperoleh gol kemenangan menerusi Nazrin Nawi pada minit ke-15 namun pasukan pelawat terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Amirul Hadi Zainal dilayangkan kad merah pada minit ke-67.
Di Stadium Negeri, Sarawak te­rus mengekalkan rentak cemerlang apabila mencatat kemenangan 3-2 ke atas ATM apabila mereka memperoleh jaringan melalui Junior Eldstal pada minit ke-44, S. Chanturu (minit 63) dan gol sendiri Norfazly Alias (minit 71).
Jaringan ATM pula disumbangkan Juan Arostegui (minit 34) dan Christie Jayaseelan (minit 74).

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140416/su_05/Pahang-Kelantan-kena-belasah#ixzz2z15RePsK  © Utusan Melayu (M) Bhd 


Permohonan pinda pembelaan UMMB ditangguh

Oleh NORAZLITA MOHD. SIES
pengarang@utusan.com.my









KUALA LUMPUR 15 April – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menangguhkan pendengaran permohonan Utusan Melayu (M) Bhd. (UMMB) untuk meminda pernya­taan pembelaan dalam kes saman RM100 juta oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap syarikat akhbar itu berhubung isu pencerobohan rakyat asing di Lahad Datu, Sabah.
Pesuruhjaya Kehakiman, Rosilah Yop menyatakan, penangguhan tersebut adalah lebih wajar sementara menunggu keputusan beliau sama ada mahu menarik diri ataupun akan tetap mendengar kes saman berkenaan.
Beliau membuat ketetapan sedemikian setelah peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin tidak dapat memberi akujanji atau jaminan tidak akan membangkitkan alasan di peringkat rayuan bahawa Rosilah masih mahu mendengar permohonan meminda pernyataan pembelaan sedangkan beliau sedar UMMB telah mengemukakan permohonan supaya beliau menarik diri.
Terdahulu, peguam Datuk S. Ambiga yang mewakili Anwar melahirkan kebimbangan sekiranya permohonan UMMB itu didengar hari ini namun Rosilah pada Jumaat ini memutuskan menolak permohonan UMMB supaya beliau menarik diri daripada mendengar kes saman itu, isu tersebut akan dibangkitkan di peringkat rayuan.
Ambiga sehubungan itu mahu Firoz Hussein memberi akujanji, isu tersebut tidak akan dibangkitkan di peringkat rayuan jika mahkamah mendengar permohonan tersebut hari ini.
Rosilah bagaimanapun berkata, oleh kerana Firoz Hussein tidak dapat memberi akujanji maka beliau berpendapat, adalah lebih wajar permohonan UMMB tidak didengar dan ditangguhkan sementara.
Ambiga mewakili Anwar selepas Rosilah pada 8 April lalu membenarkan permohonan UMMB untuk mengetepikan peguam N. Surendran daripada mewakili Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu setelah syarikat akhbar tersebut mendakwa terdapat berkemungkinan berlaku konflik kepentingan berikutan kedudukan Surendran sebagai Naib Presiden PKR.
Anwar, 67, yang memfailkan saman itu terhadap UMMB dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak pada 8 Mac tahun lalu, turut menamakan TV3; Pengarang Urusan Kumpulan, Berita dan Ehwal Semasa, Rangkaian Televi­syen dan Radio, Media Prima Bhd., Datuk Shaharudin Abd. Latif dan Pengarang Berita Buletin Utama, Ing Boon Seng sebagai defendan ketiga hingga kelima.
Dalam pernyataan tuntutannya, Anwar menyatakan, Utusan Malaysia bertarikh 2 Mac 2013 di muka hadapannya, menyiarkan artikel bertajuk Ketua Pembangkang dikaitkan dengan pencerobohan? dan di muka surat sembilan pula bertajuk, Tiga kumpulan jadi dalang.
Ketua Pembangkang itu menyatakan, defendan ketiga hingga kelima, antara pukul 8 dan 9 malam, hari yang sama dalam Buletin Utama, TV3 turut menyiarkan berita mengenai pencerobohan di Lahad Datu.
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mendakwa berita di rangkaian televisyen swasta itu adalah berdasarkan laporan berita yang dikeluarkan oleh defendan pertama dan kedua.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140416/ma_02/Permohonan-pinda-pembelaan-UMMB-ditangguh#ixzz2z10NBNGl  © Utusan Melayu (M) Bhd


 

MH370 – Tidak masuk akal selesai satu saat

Kapal Tentera Laut Australia, HMAS Success (kiri) dan HMAS Toowoomba (kanan) melakukan kerja-kerja mengisi minyak ke atas kapal Tentera Laut Amerika Syarikat, Cesar Chavez di selatan Lautan Hindi semasa mereka meneruskan operasi mencari pesawat MH370 semalam. – REUTERS
PUTRAJAYA 15 April – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyelar kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kononnya mampu menyelesaikan misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dalam satu saat sekiranya diberi kuasa.
Beliau berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin pembangkang itu benar-benar tidak masuk akal serta memperbodohkan pertimbangan akal budi rakyat negara ini.
Hakikatnya beliau berkata, usaha pencarian pesawat MH370 tersebut telah memperlihatkan betapa perlunya sokongan daripada negara-negara lain sama ada di dalam atau di luar rantau ini ekoran kerumitan cabarannya yang di luar dugaan atau `unprecedented’.
Maka jika ada orang yang mendakwa kononnya jika diberi kuasa kepadanya dalam satu saat dia boleh mencari kapal terbang tersebut memanglah tidak masuk akal sama sekali malah boleh dikatakan memperbodohkan pertimbangan akal budi rakyat Malaysia keseluruhannya,” katanya ketika berucap dalam perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Akhbar Nanyang Siang Pau bertarikh 5 April lalu menyiarkan artikel mengenai wawancara Anwar dengan majalah Southern Weekly yang dimiliki Southern Media Group China, baru-baru ini.
Artikel bertajuk ‘Satu saat’ yang ditulis oleh Chang Long Yan daripada Institut Kewartawanan Taima disiarkan dalam ruangan Pendapat Yuan Lun halaman C9.
Ketika wawancara itu, Anwar ditanya jika dirinya seorang Perdana Menteri, bagaimanakah caranya beliau menangani isu insiden pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370?
Menurut Ketua Pembangkang itu, beliau hanya memerlukan waktu satu saat untuk menyelesaikan segala isu yang berbangkit.
Ulasan mengenai artikel tersebut telah disiarkan di dalam ruangan isu-isu akhbar Cina di Utusan Malaysia pada 10 April lalu.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140416/dn_05/Tidak-masuk-akal-selesai-satu-saat#ixzz2z0nwiva3  © Utusan Melayu (M) Bhd 

KOMEN : KALAU DENGAR CAKAP GILA ANWAR, KITA YANG PERCAYA PUN SAMA-SAMA GILA MACAM DIA…

HUDUD – Pas ketepi DAP, PKR

Abdul Hadi Awang
KUALA TERENGGANU 15 April – Pas tidak akan mempedulikan bantahan sekutunya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP sebaliknya akan tetap mengemukakan rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat bagi membolehkan hukum hudud dilaksanakan di Kelantan.
Malah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang secara tegas menyatakan, tiada sebarang perjanjian dalam pakatan pembangkang yang boleh menghalang Pas daripada berbuat demikian.
Oleh itu tegas beliau terpulang kepada PKR dan DAP untuk membantah kerana itu tidak akan menggugat pendirian Pas yang konsisten untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan.
Bercakap kepada pemberita ketika sesi rehat sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman di sini hari ini, Abdul Hadi juga menarik perhatian langkah bagi melaksanakan hudud yang diperjuangkan Pas sudah bermula sebelum kewujudan pakatan pembangkang lagi.
“Yang pertama, kita sokong kerajaan Kelantan (untuk laksanakan hukum Hudud). Kedua, isu hudud di Kelantan telah mendahului Pakatan Rakyat (pakatan pembangkang) sejak awal 1990-an lagi.
“(Masa itu) tak ada lagi pakatan pembangkang. Ini benda (hukum hudud) yang terlebih awal daripada pakatan pembangkang. Dengan sebab itu kita tak ada masalah untuk kemukakan (rang undang-undang persendirian bagi laksanakan hudud),” katanya.
Beliau mengulas penentangan keras yang ditunjukkan oleh PKR dan DAP berhubung hasrat Kerajaan Pas Kelantan untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan.
Semalam, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, parti itu akan mematuhi perjanjian yang dimeterai dalam Majlis Pimpinan Pakatan pada 2011 yang antara lain tidak akan melaksanakan hudud demi menghormati penentangan konsisten oleh DAP.
DAP pula menegaskan, kesemua 38 ahli Parlimen parti itu telah menyatakan secara terbuka bahawa mereka tidak akan menyokong sebarang usul rang undang-undang persendirian yang akan dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat Jun ini.
Ditanya adakah pendirian Pas itu akan menjejaskan hubungan parti itu dengan PKR dan DAP dalam pakatan pembangkang, Abdul Hadi berkata: “Itu terpulang kepada mereka. Kita konsisten dan kita menyokong kerajaan Kelantan (laksana hudud)”.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140416/po_01/Hudud-Pas-ketepi-DAP-PKR#ixzz2z0ib4ukH  © Utusan Melayu (M) Bhd 

KOMEN : SEPATUTNYA KES HUDUD NI PATUTNYA DISUARAKAN OLEH PRESIDEN PAS DULU, BARULAH DISOKONG OLEH PAS KELANTAN… INI TERBALIK..HJ HADI NI PLAY SAFE… BILA TAK MENJADI BOLEHLAH DIA TEMBAK SIAPA YANG CADANG… KENAPA SELEPAS LEBIH 20 TAHUN CERITA TIMBUL BALIK????? SOKONG BUAT SEKALI HUDUD DI SELANGOR, PAS KAN LEBIH BANYAK KERUSI BURUK DARI PKR…ADA BERANI????