Nissan Livina X-Gear


Oleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN
KOSMO ONLINE

SEJAK model kenderaan pelbagai guna (MPV) Grand Livina dipasarkan pada Disember 2007, jenama Nissan dilihat kembali bernyawa di pasaran tempatan.

Dengan praktikaliti dan kualiti yang ditawarkannya, Grand Livina pantas menarik perhatian ramai. Sekali gus menjadikannya MPV bukan nasional paling laris di Malaysia.

Kelibat Grand Livina boleh dilihat di mana-mana. Sama ada model biasa atau lengkap dengan bodykit Impul, ia jelas membuktikan betapa popularnya MPV tersebut.

Namun, kebelakangan ini anda mungkin terserempak dengan kenderaan yang seakan-akan Nissan Livina tetapi bentuknya sedikit lain. Sebenarnya, itu adalah varian terbaharu dalam keluarga Grand Livina yang ditawarkan oleh Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd. (ETCM).

Dikenali sebagai Livina X-Gear, ia dikategorikan dalam segmen crossover yang bersaing secara langsung dengan beberapa model lain seperti Suzuki SX4. Ia juga boleh bertindak selaku pencabar kepada model-model hatchback segmen B sedia ada termasuklah Suzuki Swift, Ford Fiesta, Mazda2 dan Honda Jazz.

“Dengan Livina X-Gear berkapasiti dua baris tempat duduk, kami kini mensasarkan pelanggan segmen baru yang mahukan sebuah crossover penuh gaya untuk menunjukkan individualiti mereka. Pada masa yang sama kekal praktikal dan ekonomikal untuk kegunaan setiap hari,” kata Pengarah Eksekutif ETCM, Datuk Dr. Ang Bon Beng.

Apa sebenarnya crossover? Mudah cerita ia merupakan model yang dibangunkan daripada platform sedan dan diberi wajah berinspirasikan kepada sebuah SUV. Ia cukup sesuai untuk mereka yang mempunyai gaya hidup aktif, tetapi jarang sekali membawa kenderaan ke laluan off-road.

Seperti namanya, model itu dibina menggunakan platform sama dengan Grand Livina. Bezanya, ia tidak lagi mempunyai barisan tempat duduk ketiga. Jadi, sekali pandang ia seakan-akan Grand Livina versi lima tempat duduk.


JENTERA ini sesuai untuk mereka yang memiliki gaya hidup aktif.


Melepasi ekspektasi

Namun, ketiadaan tempat duduk baris ketiga itu memberikan anda lebih ruang kargo. Dalam keadaan biasa, ruang itu boleh mencecah 383 liter. Apabila kerusi belakang itu dilipat sepenuhnya, ia berubah menjadi 769 liter. Lebih daripada cukup untuk mengangkut barang-barang runcit yang dibeli pada hujung minggu.

Secara mekanikalnya model itu berasaskan kepada Grand Livina 1.6. Gayaan luaran yang menarik adalah eksklusif untuk Livina X-Gear. Ini dapat dilihat pada gril hadapan yang sofistikated dan agresif. Bampar hadapan dan belakangnya mengangkat tema SUV bersama penutup takungan pelincir berwarna perak, over-fender maskulin serta rel bumbung (roof rails).

Harus tahu bahawa rel bumbung itu bukan sekadar hiasan. Ia boleh menampung beban sehingga 25 kilogram tanpa sebarang masalah. Jadi, bolehlah anda mengangkat barang seperti basikal, kotak Thule atau kelengkapan berkhemah di atasnya.

Saya berpeluang memandu uji Livina X-Gear baru-baru ini ke Pulau Pinang. Apa yang boleh saya katakan ialah ia melepasi ekspektasi awal saya. Untuk makluman, jentera itu menggunakan enjin aluminium sepenuhnya berkod HRDE16 bersesaran 1.6 liter, sama seperti yang ada pada model Grand Livina 1.6.

Apa yang pasti, ia tidak terasa berat sebagaimana Grand Livina. Ini kerana 100 kilogram beratnya sudah hilang. Jadi, anda akan dapat menikmati torknya dengan lebih cepat. Memotong kenderaan atau bermula di lampu isyarat juga semakin mudah.


PAPAN pemuka dan stereng yang ringkas dan praktikal.


Stereng Ringan

Memandu di jalan lama yang bengkang-bengkok, kualiti pemanduan yang diberikan oleh X-Gear adalah memuaskan. Sterengnya responsif dan tepat. Walaupun dipandu agak laju, keadaan bahagian belakang membuang jarang sekali berlaku.

Di laluan lurus, pemandu akan merasa stereng X-Gear agak ringan. Sekali gus mengurangkan sedikit keyakinan untuk memandu dalam kelajuan terlalu tinggi. Ketika pedal ditekan ke lantai, maklum balas enjin yang disalurkan menerusi transmisi empat kelajuan dapat dilakukan dengan lancar.

Ditanya kenapa transmisi itu dipilih dan bukannya kotak gear CVT dengan lebih banyak pilihan gear digunakan, ETCM ada beberapa sebab. Pertamanya, berkaitan dengan kos. Kedua, kolaborasi antara enjin itu sudah cukup bagus. Walaupun kelajuan mencecah lebih 100 kilometer sejam (km/) jarum rpm masih berlegar di bawah 3,000rpm.

Saya harus akui bahawa Livina X-gear menawarkan ruang kabin yang luas. Tidak kira sama ada di hadapan atau belakang, anda boleh duduk dengan selesa. Untuk membezakannya lagi dengan varian Grand Livina, tempat duduk dan kemasan pintunya menggunakan fabrik bercorak kotak-kotak atau tartan.

Berada di tempat duduk pemandu, anda akan pantas mengenali susun atur papan pemuka tipikal kenderaan Nissan yang ringkas. Semua butang kawalannya mudah dicapai dan dioperasi.

Sterengnya juga kosong tanpa sebarang butang kawalan audio. Memang ia tidak mampu menandingi pelbagai ciri yang ada pada produk keluaran Korea yang ditawarkan pada harga hampir sama dengannya.


ANDA boleh mengharap pemanduan yang memuaskan dengan Livina X-Gear.


Aspek keselamatan tidak dilupakan. Nissan Livina X-Gear dilengkapi dengan dua beg udara, ABS, EBD dan BA sebagai ciri standard.

Nissan Livina X-Gear serba baharu didatangkan dalam lima warna iaitu perak, kelabu, putih, hitam dan oren. Ia ditawarkan pada harga RM82,800 seunit, kurang RM7,000 berbanding model Grand Livina 1.6. Ia turut hadir bersama jaminan tiga tahun atau perbatuan sejauh 100,000km (yang mana tiba dahulu).

Lebih menarik lagi, ETCM kini menawarkan pelan sewa beli istimewa dengan kadar faedah rendah bermula daripada 0.88 peratus setahun. Para pembeli Livina X-Gear juga akan menerima pakej filem tinted Solar Gard Armorcoat bernilai RM1,400 secara percuma sepanjang promosi yang akan berakhir pada 30 Oktober 2011.

Santa Fe baharu langkaui jangkaan pelanggan


DARI UTUSAN MALAYSIA
10/10/2011


Hyundai-Sime Darby Motors memperkenalkan kenderaan sport utiliti (SUV) terbaharu, Santa Fe 2.2 liter diesel dan 2.4 liter petrol edisi premium.


KUALA LUMPUR 9 Okt. – Hyundai-Sime Darby Motors (Hyundai-Sime Darby) memperkenalkan kenderaan sport utiliti (SUV) terbaharu, Santa Fe 2.2 liter diesel dan 2.4 liter petrol edisi premium.

Model yang dipasang sepenuhnya di negara ini, menampilkan rekaan dalaman dan luaran lebih elegan dan sporty.

Pengarah Urusannya, Dennis Ho berkata, barisan model Santa Fe yang dipertingkatkan itu mencerminkan komitmen berterusan syarikat untuk menambah baik dalam menawarkan kelas kenderaan terbaik kepada pengguna.

Model Santa Fe berkuasa 2.2 liter diesel manakala model 2.4 petrol kini boleh didapati dalam spesifikasi premium yang didatangkan dengan hiasan luaran dan dalaman dipertingkatkan seperti jeriji depan yang direka semula, gril lampu kabus hitam berkilat, depan dan plat skid belakang selain hiasan krom serta tayar bersaiz 18 inci rekaan baharu.

Satu lagi ciri edisi premium ini ialah brek Kawalan Menuruni Bukit (DBC) yang menggunakan kawalan hidro-elektronik untuk mendapat maklumat daripada kelajuan roda, sudut stereng dan deria pecutan untuk mengekalkan kawalan dan kelajuan penurunan curam tanpa menggunakan brek.

“Sante Fe memang memberi nilai kepada wang dengan transmisi automatik penyelenggaraan bebas enam kelajuan, penyesuaian tambahan secara elektronik mendorong perubahan sistem empat pacuan daripada dua roda kepada empat roda dalam seketika atau 4 roda kunci pada sentuhan butang.

”Kami berusaha memberikan ciri dan kualiti kenderaan yang melangkaui jangkaan pelanggan,” katanya di sini.

Harga di atas jalan tanpa insurans bagi model 2.2 diesel ialah RM169,258 manakala 2.4 petrol berharga RM158,517 untuk Semenanjung Malaysia.

Teknologi kejuruteraan hibrid 111 tahun

Oleh SHAWKATH AZDE


FERDINAND PORSCHE banyak menghabiskan masanya untuk membina sebuah kereta. Ciptaan pertamanya ialah sebuah kereta elektrik. Dikenali sebagai Lohner-Porsche, ia menjadi berita sensasi sewaktu dipertontonkan di Paris World Exhibition pada tahun 1900.

Lohner-Porsche menggunakan khidmat dua unit motor yang dipasang pada hab roda hadapan untuk menggerakkan kenderaannya itu. Ferdinand kemudian mengguna pakai idea tersebut untuk menghasilkan kereta lumba elektrik pacuan empat roda.

Inovasi Ferdinand terus dizahirkan. Kali ini, beliau memadankan dua buah enjin pembakaran dalaman dengan hab motor elektrik yang membenarkan tenaga elektrik disimpan di dalam bateri. Kereta tersebut dinamakan Lohner-Porsche Semper-Vivus. Inilah kereta hibrid pertama Porsche.

Abad ke-21 menyaksikan pembangunan lebih aktif jentera Porsche yang mesra alam sekitar. Syarikat automobil Jerman itu menunjukkan kesungguhan apabila memperkenalkan dua jentera hibrid iaitu 918 Spyder dan Cayenne S Hybrid sewaktu Geneva Motor Show 2010. Model Cayenne S Hybrid kemudiannya memasuki barisan pengeluaran.


JENTERA hibrid ini berupaya bergerak sejauh kira-kira dua kilometer dengan mod elektrik sepenuhnya. Kelajuan yang boleh dicapai pula mencecah 85km/j.


Selang setahun kemudian, di pameran yang sama, satu lagi model hibrid diperkenalkan iaitu Gran Turismo Panamera S Hybrid. Jentera empat pintu itu dilabel sebagai Porsche paling ekonomikal.

Model berkenaan baru sahaja dilancarkan dalam pasaran tempatan oleh Sime Darby Auto Performance Sdn. Bhd. (Sime Darby Auto). Turut sama dilancarkan ialah model Panamera Turbo S.

Panamera S Hybrid

Untuk makluman, Sime Darby Auto merupakan pengimport tunggal dan eksklusif kenderaan Porsche di Malaysia. Dengan tambahan dua model itu, anak syarikat Kumpulan Sime Darby itu kini menawarkan lapan varian Panamera.

Panamera S Hybrid dilengkapi enjin suntikan terus pengecas lampau 3.0 liter V6 dengan motor elektrik. Motor elektrik itu memainkan peranan sebagai penghidup (starter) dan generator.

Selain itu, motor berkenaan turut disambung pada bateri nickel metal hydride yang menyimpan cas-cas elektrik apabila kenderaan bergerak atau membrek. Bateri berkenaan ditempatkan di bahagian lantai ruang kargo.

Model hibrid itu berupaya meluncur (sailing) di laluan luar bandar dan lebuh raya pada kelajuan sehingga 165 kilometer sejam (km/j) tanpa menggunakan khidmat enjin pembakaran dalaman. Situasi ini hanya berlaku apabila tiada desakan kuasa diperlukan.


TURBO S merupakan varian yang paling berkuasa dalam siri Panamera.


Dalam situasi meluncur, operasi enjin dihentikan dan motor elektrik memainkan peranan sebagai generator dalam penjanaan kuasa elektrik.

Jika pemandu memijak pedal dalam situasi meluncur untuk memotong, enjin pembakaran dalaman akan dihidupkan dalam tempoh beberapa saat. Pada ketika ini, kelajuan enjin secara automatik menyamai kelajuan jentera (sebelum enjin dihidupkan).

Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Auto, Arnt Bayer meletakkan sasaran minimum jualan Panamera S Hybrid adalah sebanyak sepuluh unit setahun dan lapan hingga sepuluh unit untuk Turbo S. Buat masa ini, pihaknya mempunyai sepuluh unit S Hybrid dan enam unit Turbo S.

“Kami berjaya menjual empat unit Turbo S dan tiga unit S Hybrid dalam tempoh dua bulan sebelum hari pelancarannya. Keluarga Panamera amat popular di negara ini.

“Siri ini menyumbang jualan sebanyak 22 peratus daripada keseluruhan model Porsche. Sebanyak 101 unit Panamera sudah dijual sejak pengenalannya pada akhir tahun 2009,” jelas Arnt.

Panamera Turbo S

Prestasi, efisien, pemanduan dinamik dan keselesaan. Itulah empat elemen utama yang disuntik ke dalam varian Turbo S. Enjin yang digunakan adalah sama seperti model Panamera Turbo iaitu 4.8 liter V8 turbo berkembar.


DUA dari kiri: Pengurus Jualan Porsche Asia Pasifik, Hannes Ruoff Arnt, Pengarah Urusan Porsche Asia Pasifik, Christer Ekberg dan Pengurus Besar Jualan Asia Pasifik, Australia dan Jepun, Peter A. Hettich bersama dua model kereta Porsche iaitu Boxster Spyder (kiri) dan 911 GT3 RS 4.0 pada majlis pelancaran dua model Panamera di ibu negara, baru-baru ini.


Namun, Turbo S berupaya memberikan tambahan kuasa masing-masing 50hp dan tork 50Nm jika dibandingkan dengan varian Panamera Turbo.

Peningkatan prestasi itu dibantu oleh dua komponen iaitu penggunaan pengecas turbo dengan roda turbin titanium aluminium dan modifikasi kawalan enjin.

Penggunaan roda turbin itu mengurangkan berat turbin, manakala roda pemampat pula meningkatkan tindak balas enjin menjadi lebih pantas.

Sebelum ini, Sime Darby Auto hanya memasarkan model Panamera, Panamera S, Panamera Diesel, Panamera 4, Panamera 4S dan Panamera Turbo.

Nampaknya, Porsche yang sinonim dengan peneraju inovasi dalam kejuruteraan automobil sejak abad ke-19 tidak melupakan legasi Ferdinand. Ia nyata meneruskan warisan pembangunan teknologi hibrid Ferdinand Porsche.

Proton serah 8 kereta elektrik


Oleh HASHNAN ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my

NAJIB Tun Razak dan Penasihat Proton, Tun Dr. Mahathir Mohamad menunjukkan tanda bagus pada majlis penyerahan kereta elektrik Proton di Putrajaya, semalam. Turut kelihatan Pengerusi Proton, Datuk Seri Mohd. Nadzmi Mohd. Salleh (kanan)

PUTRAJAYA 14 Sept. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menerima tiga unit kereta elektrik (EV) model Proton Saga dan lima unit ‘Range Extender Electric Vehicle’ (REEV) model Proton Exora untuk digunakan dalam urusan rasmi kerajaan daripada Perusahaan Otomobil Nasional Berhad (Proton).

Penyerahan kereta-kereta elektrik yang akan digunakan oleh Pejabat Perdana Menteri dan empat buah kementerian terpilih itu dilakukan dalam satu majlis ringkas di pekarangan Bangunan Perdana Putra di sini.

Empat kementerian itu ialah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Kewangan (MOF).

Turut hadir pada majlis penyerahan itu ialah Penasihat Proton yang juga bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad; Pengerusi Proton, Datuk Seri Mohd. Nadzmi Mohd. Salleh dan Pengarah Urusan Kumpulan Proton, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir.

Penyerahan yang memenuhi fasa pertama Program Kenderaan ‘Fleet Test’ itu bertujuan mendapatkan maklum balas serta data mengenai penggunaan kenderaan elektrik Proton tersebut yang merangkumi sistem, teknologi dan reka bentuk kereta serta tingkah laku pengguna.

Serentak dengan penyerahan itu, Proton menyediakan kemudahan stesen pengecas kenderaan tersebut di premis Pejabat Perdana Menteri serta empat kementerian terbabit.

Sistem pengecas untuk kegunaan rumah juga akan dibekalkan kepada pemandu kenderaan terbabit.

Proton Saga EV merupakan sebuah kenderaan elektrik sepenuhnya manakala Proton Exora REEV pula adalah sebuah kenderaan elektrik penambah jarak.

Kenderaan elektrik ini berbeza dengan kereta jenis hibrid yang terdapat di pasaran negara ini kerana ia menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya untuk mengecaj bateri, berbanding kereta hibrid yang menggabungkan enjin petrol dan bateri berkuasa elektrik.

Menurut Proton, projek ini merupakan satu usaha mengeluarkan kenderaan mesra alam dan mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api petrol yang tahap pengeluarannya ketika ini semakin berkurangan serta berharga tinggi.

Pengeluaran kenderaan elektrik besar-besaran 2013

PUTRAJAYA 14 Sept. – Perusahaan Otomobil Nasional Berhad (Proton) akan mengeluarkan kenderaan elektrik yang dibangunkannya secara besar-besaran untuk pasaran tempatan bermula 2013.

Pengarah Urusan Kumpulan Proton, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, tempoh itu sesuai dengan langkah pihak beliau mengadakan kerjasama dengan kerajaan bagi menguji sistem kenderaan elektrik terbabit selama dua tahun bermula tahun ini.

”Ini fasa pertama, insya-Allah dalam masa setahun ini kita akan keluarkan kira-kira 200 unit kereta elektrik model Saga dan Exora untuk digunakan oleh kerajaan.

”Selepas dapat maklum balas dan mungkin ada penambahbaikan kepada sistem, maka pada tahun 2013 kita harap kereta ini akan boleh dipasarkan kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis penyerahan tiga unit model Saga dan lima Exora berkuasa elektrik oleh Proton kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini.

Turut hadir Penasihat Proton, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Pengerusi Proton, Datuk Seri Mohd. Nadzmi Mohd Salleh.

Syed Zainal berkata, pihak beliau telah menyarankan kepada kerajaan agar menyediakan pelbagai insentif bagi menarik minat rakyat negara ini untuk membeli kenderaan yang menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya.

Ini kerana Proton tidak menafikan bahawa harga kenderaan terbabit adalah lebih mahal berbanding model kereta biasa.

”Biasanya harga kenderaan itu sekitar 30 atau 40 peratus lebih tinggi berbanding kereta biasa.

”Jadi, untuk dapat pulangan daripada pihak pembeli, insentif itu mungkin mengurangkan bayaran insurans dan cukai jalan bagi kenderaan itu,” katanya.

KOMEN : PERMULAAN YANG BAIK…

Honda Accord 2.4

Oleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN
syukran.zainuddin@kosmo.com.my

Honda Accord generasi kelapan ini merupakan kenyataan Honda terhadap aspek sofistifikasi binaan sebuah sedan mewah.

SEDAN eksekutif buatan Honda ini tidak memerlukan pengenalan panjang lebar. Namanya sudah cukup gah di setiap pasaran yang disertainya. Sama ada di Asia, Eropah mahupun Asia Barat, pengguna tidak akan menyifatkannya sebagai satu model yang asing.

Mula dihasilkan pada tahun 1976, ia mempunyai sejarah menjangkau 35 tahun. Dalam tempoh itu, Accord sudah menjelma menjadi sebuah sedan global dengan barisan anugerah serta inovasi dipadatkan ke dalamnya.

Maka, tidak hairanlah jika ia merupakan salah satu model terlaris keluaran Honda. Dijual di lebih 160 buah negara, jualan Accord sudah mencecah 18 juta unit sehingga tahun 2010. Dengan jualan sebanyak 7,322 unit pada tahun lalu, Malaysia menjadi pasaran Accord nombor satu dalam kalangan negara Asean.

Begitulah popularnya model Honda Accord. Jadi, kalau ada sesiapa yang mengaku peminat kereta tetapi tidak kenal dengan Honda Accord, tukar sahaja pengakuan itu kepada minat penyanyi K-Pop. Lain kali, kalau ditanya lagi tidaklah malu sangat.

Kenapa Accord laku? Selain jenama Honda yang kukuh, faktor-faktor seperti prestasi enjin, penjimatan bahan api, kualiti pemanduan dan reka bentuk dalaman serta luaran menjadi penyumbang kepada pembelian sebuah Accord.

Namun, situasi tidak lagi mudah buat Honda. Dengan kehadiran model buatan Korea seperti Sonata dan Optima, ditambah dengan seteru tradisinya Camry serta kehadiran Nissan Teana, Honda nampaknya tidak lagi dapat duduk dengan selesa. Banyak perkara yang perlu dilakukan untuk memastikannya kekal relevan dan terus mampu menarik perhatian pembeli.

Itulah yang dibuat oleh Honda. Honda Accord dengan varian enjin 2.4 liter yang saya pandu uji baru-baru ini bukanlah model baru dalam pasaran. Ia merupakan model yang telah menerima proses penambahbaikan ke atasnya pada Mac lalu.

Jadi, anda boleh lihat perubahan pada bahagian luaran. Misalnya, gril radiator dan trunk lid berwarna krom, selain rim aloi bersaiz 17 inci yang mendapat rekaan baru. Perkara lain, tidak ada yang berubah pada penampilan Accord. Harus ingat, bukan mudah untuk mengubahsuai sesuatu yang sudah sedia cantik.

SEDAN eksekutif ini merupakan antara model penting buat Honda.

Boleh tidur lena

Ruang kabin jentera itu mengetengahkan warna hitam pada papan pemuka dan tempat duduknya. Honda mengaplikasikan kemasan gabungan warna kelabu pada bahagian konsol tengah yang biasanya menggunakan kemasan kayu berwarna coklat terang. Ia bagi menjadikannya terasa lebih sporty.

Sekali pandang, papan pemuka Accord macam ada terlalu banyak butang. Jangan risau, ia mudah dioperasi dan dicapai oleh pemandu. Ada satu perkara yang saya tidak suka. Tempat duduknya, tidak kiralah untuk pemandu atau penumpang terasa agak keras. Walaupun tidaklah sekeras tempat duduk kedai gunting mamak, tetapi ia tetap membuatkan perjalanan jauh kurang selesa.

Accord memang sebuah sedan yang panjang dan besar berbanding generasi sebelumnya. Jadi, anda boleh mengharapkan ruang kaki dan kepala yang luas. Ditambah dengan kualiti NVH yang bagus, tidur pun semakin lena.

Namun begitu, saiznya itu membuatkan pemandunya memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri. Mujurlah ia hadir bersama alat pengesan ketika hendak memarkir.

REKAAN papan pemuka yang nampak mewah.

Dijana dengan unit enjin berkuasa 180PS dan tork maksimum 22Nm, ia sudah memadai untuk menggerakkan tubuhnya tanpa rasa malas. Kuasa tersebut diagih menerusi kotak transmisi automatik lima kelajuan konvensional. Sebagai sebuah Honda, kadar penggunaan minyaknya adalah menjimatkan. Inilah ciri yang ramai orang paling suka.

Kombinasi antara struktur badan berteknologi Advanced Compatibility Engineering (ACE) dengan suspensi double wishbone pada roda hadapan dan jenis multi link untuk roda belakang memberikan keyakinan ketika mengambil selekoh.

Untuk semua itu, Honda tidak meminta wang tambahan. Harga Accord kekal pada takat sebelum penambahbaikan iaitu RM172,800 seunit. Jika harga itu terlalu tinggi untuk anda, pilih sahaja varian yang lebih murah seperti 2.0L VTi (RM142,800) dan 2.0L VTi-L (RM149,800).

Memang betul banyak pilihan di luar sana. Tetapi, pastinya lebih selamat dan menenangkan fikiran untuk memilih sesuatu yang sudah terbukti tahap kualitinya.

Hatchback eksotik tiga pintu

Oleh SHAWKATH AZDE
shawkath.ashraf@kosmo.com.my


SEWAKTU dipertontonkan di Geneva Motor Show di Switzerland pada 1 Mac lalu, model terbaharu Ferrari iaitu FF sudah mencetuskan pelbagai reaksi berbeza. Ada yang memuji tindakan pengeluar Itali itu kerana berani menonjolkan kelainan pada barisan produknya. Jika ada pujian, pastinya akan ada juga kritikan.

Model FF ialah akronim untuk Ferrari Four. Namanya berkait rapat pada dua ciri utama. Empat tempat duduk dan pacuan empat roda. Model Prancing Horse terbaharu itu ialah sebuah hatchback grand tourer.

Pengganti kepada model Ferrari 612 Scaglietti itu mempunyai ruang kargo yang besar seluas 450 liter. Jika tempat duduk belakang diturunkan, kapasiti ruang simpanan ditingkatkan sehingga 800 liter! Apa relevannya ruang kargo sebesar ini pada sebuah kereta supersport mewah?

Itulah antara persoalan pengkritik. Mereka mendakwa ciri itu menjadi penyebab model FF gagal meraih perhatian peminat. Sejauh mana kata-kata itu bukan untuk saya mengadilinya. Masing-masing ada pendapat. Berhubung soal ruang kargo, ada juga kebenarannya. Ruang kargo lazimnya bukan antara ciri-ciri utama untuk sebuah jentera supersport mewah.

“Ferrari suatu ketika dahulu merupakan kereta yang anda simpan dalam garaj. Keluar untuk dikilatkan dan menayangkannya. Kemudiannya, ia dimasukkan semula dalam garaj. Tetapi hari ini, orang ramai mahu melakukan lebih dengan kereta mewah mereka,” demikian kata Presiden Ferrari, Luca Cordero di Montezemolo, Itali berhubung model FF.

Sewaktu artikel ini ditulis, Ferrari FF menduduki tangga ketiga kereta sport eksotik dalam portal U.S News. Jentera itu berkongsi kedudukan dengan Audi R8 2012. Ketinggalan di belakang dua model Lamborghini iaitu Gallardo 2011 dan Aventador 2012.

MODEL FF dibina berdasarkan kepada konsep Shooting-Brake.

FF di Malaysia

Hanya selepas lima bulan pelancarannya, model tersebut diperkenalkan di negara ini. Tugas itu direalisasikan oleh Naza Italia Sdn. Bhd. (Naza Italia). Naza Italia diberikan hak eksklusif mengimport jenama ikonik mewah itu oleh Ferrari SpA pada Mac 2008.

Harus tahu bahawa model FF ialah GT paling eksklusif dalam pasaran. Ia merupakan jentera empat tempat duduk paling berkuasa dalam dunia.

Jentera itu dilengkapi sistem pacuan empat roda. Pertama dalam keluarga Ferrari. Sistem pacuan itu dipasang dengan sistem pembeza elektronik pada bahagian belakangnya (E-Diff). Selain itu, sistem pacuan FF turut diintegrasi dengan traction control F1-Trac.

Hatchback tiga pintu itu dipasang dengan enjin V12 bersesaran 6,262cc yang dipadankan bersama transmisi klac berkembar dan kotak gear tujuh kelajuan F1. Satu lagi pembaharuan dalam segmen kenderaan mewah supersport.

RUANG kargo seluas 450 liter pasti berguna jika ingin bersiar-siar bersama keluarga.

Keseluruhan rangkaian kuasa itu memberikan hasil terbaik. Jentera berupaya menjana tambahan 20 peratus kuasa dan mengurangkan penggunaan bahan bakar sebanyak 25 peratus!

Rekaan luaran dan dalaman

Paras rupa model FF pada bahagian hadapan menonjolkan karismatik sebuah Ferrari. Lampu bahagian hadapan merangkumi padanan bi-xenon dan LED. Bampar pula dilengkapi gril yang agak besar dengan lambang Prancing Horse di hadapannya. Turut jelas kelihatan ialah dua lubang saluran udara, masing-masing di bahagian kiri dan kanan bampar.

Jika memandang dari sudut tepi, anda akan melihat rekaan sebenarnya yang dikenali sebagai shooting-brake. Untuk makluman, shooting-brake adalah kombinasi bentuk wagon dan coupe yang menawarkan ruang penumpang dan kargo.

Rekaan bahagian belakang menampilkan kombinasi lampu isyarat membelok, membrek dan undur. Turut kelihatan ialah ekzos kembar pada kiri dan kanan bampar belakang. Tidak lupa juga penggunaan diffuser mengemaskan lagi aspek aerodinamiknya.

DARI KIRI: Pengurus Perniagaan Ferrari Asia Pasifik, Paolo Ferrari dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Naza, Datuk SM Zulkifli SM Amin melancarkan ikon terbaru Naza Italia baru-baru ini.

Melangkah masuk ke dalam kabin jentera dengan anggaran harga lebih RM2.8 juta itu, ternyata semua aspek dalamannya cukup sempurna. Pilihan enam jenis warna dalaman disediakan. Turut kelihatan ialah beberapa bahagian dalaman jentera yang diperbuat daripada gentian karbon.

Stereng model FF dikatakan menyamai rekaan Ferrari F1. Ada beberapa butang kawalan yang diadun padanya termasuklah butang penghidup, lampu tinggi, petunjuk dan pengelap cermin. Tidak terlupa juga ciri paddle shifter di bahagian belakang stereng.

Pandang sahaja ke hadapan, takometer berada di tengah-tengah panel instrumen. Di bahagian kiri takometer, ada satu skrin yang memaparkan pelbagai penetapan (setting) jentera. Sementara bahagian kanan pula ialah meter laju elektronik.

Sistem infotainment turut didatangkan pada Ferrari FF. Dua skrin dipasang pada belakang kerusi barisan hadapan dengan sistem stereo 16 saluran Dobly Surround Sound berkuasa 1,280 watt.

Hanya sebuah FF ditawarkan buat setakat ini. Naza Italia memberitahu, FF bakal melonjakkan jualan Ferrari yang sebelum ini banyak disumbang oleh model Ferrari 458 Italia.

Misi Octavia RS & Superb

Oleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN

MAHU sebuah hot hatch yang lengkap? Skoda Octavia RS mungkin boleh menjadi jawapannya.

SKODA bermula sebagai pengeluar senjata api. Orientasi produknya kemudian bertukar arah menerusi pengeluaran basikal dan motosikal, sebelum digantikan dengan automobil pada awal tahun 1900-an.

Memiliki sejarah lebih 100 tahun dalam aspek penghasilan kenderaan, ia ada pengalaman yang cukup luas. Maka tidak hairanlah jika jenama itu boleh disifatkan sebagai berjaya di pasaran Eropah.

Dengan enam model iaitu kompak Fabia, hot hatch Octavia, SUV kompak Yeti, Roomster (MPV), Praktik (kenderaan komersial) dan sedan Superb, Skoda tidak canggung untuk bersaing dalam pasaran Eropah yang amat sengit itu.

Populariti Skoda turut dibantu oleh deretan anugerah dimenangi dalam pelbagai kategori yang disertainya. Malah, Skoda seringkali dibandingkan dengan pembuat kereta terkenal yang lain seperti Mercedes-Benz dan BMW. Jangan tidak percaya jika ada perbandingan itu dimenangi oleh Skoda apabila aspek kualiti dan nilai pada wang yang ditawarkannya diambil kira.

Bagaimanapun, kejayaan Skoda banyak disumbang oleh kuasa automotif utama Eropah, Volkswagen. Jenama dari Republik Czech itu menjadi milik penuh Volkswagen pada tahun 2000.

Sebagai anak syarikat, Skoda dilimpahi dengan kecanggihan teknologi Volkswagen dalam menghasilkan produknya. Skoda lazimnya ditawarkan pada harga lebih rendah. Sebab itulah ada yang menyifatkan Skoda sebagai “Poor man Volkswagen”. Tetapi, konotasi itu mungkin tidak begitu kena dengan pasaran Malaysia yang semua kereta memang dijual pada harga mahal tidak tentu pasal.

Di sini, jenama Skoda diam agak lama. Sebelum ini, memang ada model-model seperti Fabia dan Octavia dipasarkan. Namun, bilangan yang ada di atas jalan raya boleh dikira dengan jari.

Mungkin namanya yang sedikit janggal itu membuatkan ramai tidak berani untuk membelinya. Kalau beli nanti, bagaimana dengan aspek penyelenggaraan atau nilai jualan semula? Susah juga kalau kedai kereta terpakai pun tidak mahu terima. Betul tak?

Skoda Octavia RS

TEKNOLOGI TwinDoor yang ada pada Skoda Superb membolehkan kerja-kerja memasukkan dan mengeluarkan barang menjadi semakin mudah.

AutoPraha Sdn. Bhd. (Autopraha) dan Dunia Prestasi Auto Sdn. Bhd. bertindak selaku pemegang francais rasmi serta pengimport kenderaan Skoda sejak tahun 2004 di pasaran tempatan.

Mahu menghidupkan semula jenama Skoda, Autopraha memperkenalkan dua model sekali gus iaitu Skoda Octavia RS dan Skoda Superb untuk anda semua. Sebenarnya, di pasaran Eropah, Octavia ditawarkan dalam empat varian dengan varian RS merupakan model berspesifikasi penuh.

Kalau dilihat dari rekaan luarannya, tidak mustahil ada yang menyatakan model ini memang kelihatan membosankan. Jangan terlalu mudah menilai dari segi luaran. Octavia mungkin lebih sesuai untuk mereka yang menghagai kuasa dan kualiti pengendalian mengagumkan.

Jentera yang dibangun di atas platform sama dengan model-model seperti VW Golf MK5, Tiguan, EOS, Scirocco, selain beberapa model lain keluaran Kumpulan VW itu dijana oleh unit enjin penuh kuasa. Apa lagi kalau bukan enjin TSI 2.0 liter yang turut sama digunakan pada VW Golf GTI.

Kuasa enjin itu disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi automatik enam kelajuan DSG. Transmisi binaan VW itu menjanjikan penukaran gear yang cekap, di samping menjimatkan penggunaan bahan api.

Skoda mendakwa tahap penggunaan bahan api untuk model itu cuma 7.5 liter bagi setiap 100 kilometer (km). Namun, angka itu tidak menghalang Octavia RS daripada mencapai kelajuan 100 kilometer sejam (km/j) dalam tempoh hanya 7.2 saat.

Bahagian dalamannya, suasana sebuah kenderaan Volkswagen dapat dilihat dengan ketara biarpun terdapat sedikit perubahan. Paparan papan pemukanya ringkas dan kemas di atas material plastik berkualiti tinggi. Sebagai hiburan sepanjang perjalanan, sistem audio Bolero dengan unit skrin sentuh pasti memuaskan.

Menjadi sebuah hot hotch, ruang kargo tidak semestinya sempit. Octavia RS menawarkan ruang seluas 560 liter yang boleh menjadi seluas 1,420 liter sekiranya tempat duduk penumpangnya dilipat.

Bagi tujuan keselamatan, jentera itu dipasang dengan lampu Xenon dengan ciri Adaptive Front-Lighting System (AFS). Sistem tersebut mengubah suai kedudukan talaan cahaya lampu berdasarkan kondisi pemanduan berbeza.

Skoda Superb

RUANG kabin Skoda Octavia RS yang kemas bagaikan Volkswagen.

Menjadi kenderaan paling besar dalam keluarga Skoda, Superb boleh dikategorikan dalam kelas yang sama dengan model seperti Ford Mondeo. Superb membuktikan bahawa bertubuh besar tidak semestinya enjin sentiasa hauskan bahan api.

Buktinya, Skoda mendakwa Superb hanya menelan 7.6 liter bagi setiap 100km. Penjimatan itu dapat dibuat berikutan penggunaan enjin 1.8 TSI bercekapan tinggi. Enjin dengan sistem turbo itu mampu menghasilkan kuasa melangkaui enjin aspirasi biasa (Naturally Aspirated) bersesaran 2.4 liter.

Bagi memastikan pertukaran gear yang pantas dan efisien, enjin tersebut dipadankan dengan transmisi automatik tujuh kelajuan DSG.

Transmisi klac berkembar termaju itu sememangnya terkenal dengan kemampuannya untuk memberikan prestasi terbaik dalam kelasnya.

Superb amat menitikberatkan aspek kemewahan, praktikaliti, keselesaan dan keselamatan. Sedan eksekutif itu memperoleh penarafan lima bintang daripada Euro NCAP. Ia hasil gabungan enam beg udara, di samping sistem keselamatan canggih termasuklah ABS, TCS, ESP dan EBD yang dipasang sebagai ciri standard.

Ruang dalamannya dipasang dengan kemasan kulit dan kayu berkualiti tinggi. Perincian pada setiap binaannya menimbulkan ambien yang selesa dan mewah. Untuk mempercayainya, anda harus memandu uji dan melihatnya secara dekat. Mungkin sudah tiba masanya Skoda diberi peluang sewajarnya untuk menyerlah kali ini.

Kereta seperti F1 bergerak di jalan raya

 

FURORE F1 ciptaan Russ Bost sah digunakan di atas jalan raya di Britain.

BENFLEET, Britain – Seorang peminat kereta lumba, Russ Bost (gambar kecil) yang berusia 54 tahun membelanjakan hanya £10,000 (RM49,146) untuk mencipta sebuah kereta seperti Formula Satu, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Pada kebiasaannya, kos untuk membina sebuah kereta F1 melibatkan berjuta-juta pound.

Kereta itu juga sah di sisi undang-undang untuk dipandu di atas jalan raya bersama dengan kenderaan lain.

Bost mencipta kereta itu yang mampu bergerak selaju 273.59 kilometer sejam.

Dia menggunakan sebuah enjin motosikal Kawasaki manakala banyak peralatan termasuk gear dan brek diambil daripada kereta Toyota MR2, yang dibelinya pada harga cuma £300 (RM1,474).

Kereta itu diberi nama Furore F1 dan ia mampu memecut dari 0 hingga 96.56 kilometer sejam dalam tempoh tiga saat.

Menurut Bost, semasa memandu kereta itu di bandar, ramai orang yang memerhatikannya.

“Saya kerap ditanya jika kereta itu benar-benar sebuah kereta lumba F1,” katanya.

Kereta lumba F1 yang dipandu oleh pelumba Lewis Hamilton dan Jenson Button memerlukan penggunaan minyak 3.78 liter untuk setiap 6.43 kilometer.

Namun, kereta ciptaan Bost itu mampu menggunakan minyak 3.78 liter untuk setiap perjalanan sejauh 48.28 kilometer. – Agensi

CVT lebih jimat dan lancar

TAMPIL dengan lebih bergaya menerusi rekaan lampu hadapan nipis dan bampar hadapan yang baharu.

UNTUK kekal relevan, sesebuah entiti mesti bersikap dinamik. Berubah mengikut zaman dan keperluan semasa. Jika tidak, kita akan ketinggalan dan tidak akan mampu lagi mengejar pesaing yang bertambah maju.

Contohnya, ketika orang lain sudah ada aplikasi iPad dan laman web kita masih dikemaskini secara sambil lewa, jadi memang layaklah kalau kita dianggap sebagai kelas kedua dalam industri.

Pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Berhad (Proton) sejak sekian lama cuba untuk menjadi dinamik. Namun, bersaing dalam industri automotif yang teknologinya berubah pantas, nyata itu bukan satu kerja mudah.

Apabila sesebuah model keluar, pelbagai penambahbaikan dibuat. Semuanya demi meletakkan dirinya sebaris dengan pengeluar kereta yang lain. Dalam kes Proton, Saga sering dilihat sebagai model yang kerap menjadi tikus makmal.

Jangan salah sangka, semua ‘ujikaji’ itu dibuat bagi menjadikan Saga sebuah kereta rakyat yang terbaik dalam segala segi.

Kenapa CVT?

Tidak percaya? Sebagai sebuah sedan entry level, Saga dalam proses penyempurnaan. Kalau sebelum ini ia dipasang dengan enjin lebih berkuasa (1.6 liter Campro), sekarang Saga dilengkapi dengan transmisi CVT (Continuously Variable Transmission) pula!

RUANG dalaman dipertingkatkan menerusi penggunaan warna kelabu pada konsol tengah dan grafik pada paparan meter yang baharu.

Tindakan itu sememangnya satu anjakan yang besar buat Proton. Iyalah, sampai bila mahu bergantung kepada transmisi lama milik Mitsubishi itu, sedangkan orang lain sudah bertahun-tahun menggunakan teknologi transmisi lebih cekap seperti CVT atau dual clutch.

Mungkin ramai yang bertanya, kenapa CVT dan bukannya dua clutch atau transmisi automatik konvensional dengan lima atau enam kelajuan? Transmisi CVT pun tidaklah semurah mana dan Proton perlu mendapatkannya daripada pihak ketiga.

Saya yakin Proton mempunyai alasan tersendiri kenapa CVT dipilih. Antaranya, CVT memiliki kelebihan dari aspek penjimatan minyak dan kurang emisi. Di samping menjanjikan penukaran gear yang lancar.

Lebih ringan

Untuk makluman, transmisi CVT itu dihasilkan oleh pihak Punch Powertrain dari Belgium. Sementara transmisi lima kelajuan manual pula adalah daripada pihak Getrag. Sebagai permulaan, transmisi CVT atau manual tersebut ditawarkan untuk varian Standard dan Executive.

“Disebabkan oleh transmisi CVT yang 25 peratus lebih ringan dan tiada senggukan ketika transisi gear, penggunaan minyak oleh Saga FLX turun sebanyak empat peratus jika dipandu di bandar dan sepuluh peratus ketika di lebuh raya.

“CVT juga membolehkan enjin beroperasi pada tahap optimum. Hasilnya, enjin kurang terbeban dan meningkatkan jangka hayatnya,” jelas Pengarah Urusan Proton, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir,

Minggu terakhir sebelum puasa, saya berpeluang memandu uji Saga yang dilengkapi transmisi CVT di litar ujian Proton di kilangnya di Shah Alam, Selangor.

Dikenali sebagai Saga FLX, unit yang diuji itu hadir dengan warna baru, coklat cerah atau nama popularnya Elegant Brown. Bagi merasai perbezaan yang ditawarkan, Saga FL bertransmisi automatik empat kelajuan juga disediakan.

Integrasi CVT dan Campro

ENJIN Campro 1.3 liter mampu beroperasi secara optimum apabila digandingkan dengan transmisi CVT.

Unit yang dipandu uji ialah model Saga berenjin 1.3 liter. Tipikal transmisi CVT, anda akan melihat jarum rpm bermain di sekitar 5,000 rpm dengan bunyi enjin melahu kedengaran agak jelas di dalam kabin. Dalam tempoh itu, kuasa enjin seakan-akan sedang mencari ‘gear’ untuk dilekatkan (engage).

Integrasi antara enjin Campro dan CVT agak bagus. Tanpa rasa senggukan gear ditukar, sedar-sedar sahaja kelajuan yang dicapai sudah melepasi takat 120 kilometer sejam (km/j). Di sebelah tuil gear, ada butang SAT atau Stepped Automatic Transmission. Ia berfungsi untuk memberikan pemandu merasai pertukaran gear seperti transmisi automatik enam kelajuan konvensional dengan lebih ketara.

Saya menekan punat kecil itu. Tetapi, saya boleh katakan bahawa perubahan karakter enjin dan transmisi itu tidak jauh bezanya ketika butang SAT tidak ditekan. Dalam erti kata lain, pertukaran gear tidak terasa sebagaimana yang boleh dirasai jika dilakukan secara manual menerusi ciri Tiptronic atau paddle shifter.

Bagi memanfaatkan sepenuhnya kelebihan transmisi CVT, pandulah secara santai. Biarkan gear ditukar secara natural tanpa dipaksa dan pedal minyak tidak ditekan keras. Anda bukan sahaja akan merasai pemanduan yang lancar, malah penjimatan minyak juga lebih mudah direalisasi.

Mengenali sebuah Proton, anda boleh mengharapkan kualiti pengendalian yang memuaskan hati. Pengendalian oleh Lotus itu bukan sekadar gimik pengiklanan. Saga sememangnya stabil ketika memandu laju di atas trek.

Talaan gabungan suspensi topang MacPherson (roda hadapan) dan suspensi jenis torsion beam memang mampu menyerap ketidaksempurnaan permukaan jalan dengan baik. Tidak melantun-lantun atau bergegar jika terlanggar lubang atau sebagainya. Stereng hidraulik itu juga berasa sedikit berat, sekali gus membuatkan pemandu yakin untuk menguji Saga menuju ke tahap maksimanya.

Ruang dalaman Saga FLX mendapat sedikit penambahbaikan. Paling ketara ialah konsol tengah yang menerima warna perak. Saya sebenarnya kurang gemar dengan rekaan papan pemukanya yang nampak terlalu asas. Bagaimanapun, paparan meternya mendapat rekaan grafik baru berbanding model sebelumnya.

Rim 13 inci

BUTANG SAT yang ada di sebelah tuil gear ini akan memberikan anda lebih ‘rasa’ setiap kali gear ditukar.

Dari segi penampilan pula, Saga FLX meneruskan rupa Saga FL yang menerima perubahan ketara terutama pada bahagian bampar hadapan. Selain lampu utama yang lebih nipis dan perumahnya dihitamkan (smoked). Lampu belakang dengan butiran LED itu juga menyerlahkan elemen moden kepada Saga.

Cuma, saya rasa penggunaan rim besi bersaiz 13 inci (varian standard) membuatkan rupa Saga FLX nampak cacat. Rim itu kelihatan terlalu kecil, biapun untuk sebuah sedan kompak. Saya tahu, alasannya mungkin kerana kos dan ia merupakan antara saiz terbaik untuk penjimatan. Masalahnya pembelian juga banyak dipengaruhi oleh faktor kecantikan atau estetiknya.

Bukan sekadar transmisi CVT, Saga FLX kini juga semakin selamat. Varian Executive memiliki ciri tambahan iaitu dua beg udara, selain Anti-lock Braking System (ABS) dan Electronic Brake-force Distribution (EBD). Agak impresif untuk sebuah sedan yang berharga kurang RM45,000 seunit.

Saga FLX ditawarkan pada harga sekitar RM38,598 hingga RM44,998 seunit bergantung kepada varian. Jika anda tidak suka Elegant Brown, warna-warna lain seperti hitam, putih, biru dan perak boleh dijadikan sebagai alternatif. Saga FLX kini sudah boleh diteliti dan ditempah di semua bilik pameran Proton di seluruh negara.