Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 : Amri pastikan kemenangan sulung

FADHILUL IZMEL ISHAK | 14 Oktober 2015 12:05 AM
Amri Yahyah memastikan Malaysia membawa pulang tiga mata dari Dili apabila menjaringkan gol pada minit ke-10 dalam pertemuan dengan Timor Leste semalam.
KUALA LUMPUR – Jaringan Mohd. Amri Yahyah menghidupkan peluang tipis skuad Harimau Malaya apabila menumpaskan Timor Leste 1-0 untuk meraih kemenangan pertama mereka dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019.
Kemenangan itu menyaksikan pasukan negara melonjak satu anak tangga ke tempat keempat Kumpulan A, di belakang Palestin, selepas mengutip empat mata daripada lima perlawanan dengan mencatat satu kemenangan, seri sekali dan tewas tiga kali. Arab Saudi terus unggul di anak tangga pertama setelah menang semua perlawanan mereka dan diikuti oleh Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
Ini adalah kemenangan pertama jurulatih sementara skuad negara Datuk Ong Kim Swee dalam perlawanan kompetitif daripada dua perlawanan sejak menggantikan Dollah Salleh.
Bagaimanapun, ini adalah kemenangan kedua jurulatih Harimau Muda itu, setelah pasukan negara menang 3-1 ke atas Laos di Bangkok minggu lalu.
Malaysia akan menentang Palestin dalam perlawanan seterusnya pada 12 November.
Kejayaan menewaskan Timor Leste tersebut memberi kepuasan kepada Kim Swee apabila skuad negara kini kembali memberi saingan kepada pasukan lain dalam aksi dwi kelayakan tersebut setelah memulakan kempen dengan aksi longlai, termasuk seri dengan Timor Leste di Bukit Jalil.
“Sangat penting untuk kita mendapatkan tiga mata pertama di pe­ringkat kelayakan kerana kita tahu skuad negara memerlukan kemenangan untuk menghidupkan kembali peluang terutamanya untuk ber­akhir di tempat ketiga.
“Satu situasi yang sukar dengan cuaca yang panas (ketika perlawanan). Kita nampak pemain berusaha bersungguh-sungguh jadi gol yang diperoleh bagi saya cukup baik dan kami berjaya bertahan (tidak dibolosi) selama 90 minit permainan,” kata Kim Swee menerusi telefon.
Ketika ditanya mengenai hanya satu gol yang dihasilkan meskipun skuad negara mencipta beberapa peluang bagus, Kim Swee berkata: “Saya tidak peduli tentang apa yang berlaku dalam padang kerana yang penting kita dapat tiga mata.
“Kalau dapat tiga gol tapi dibolosi empat gol kita masih kalah. Apa yang mustahak adalah kita menang dan pemain perlu menjaga disiplin mereka. Saya fikir ini, untuk sekian lama, ini kali pertama kita tidak dibolosi… jadi bahagian pertahanan dan pemain lain telah membuktikan mereka boleh bertahan.”
Skuad negara hanya memerlukan 10 minit untuk berada di depan apabila penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Mohd. Amri, yang menjadi ketua pasukan menggantikan Mohd. Safiq Rahim yang tidak boleh disenaraikan pada saat-saat akhir, menjaringkan gol tunggal perlawanan selepas menerima hantaran lintang daripada Nazirul Naim Che Hashim.
Ketika perlawanan memasuki babak kedua gawang skuad negara berada dalam bahaya apabila Timor Leste kerap melakukan asakan, terutama percubaan daripada Rodrigro Sausa serta Ramon Saro hampir menyamakan kedudukan.
Mengulas mengenai ketiadaan arkitek Harimau Malaya, Mohd. Safiq dalam kesebelasan pasukan, Kim Swee memberitahu bahawa ia adalah disebabkan keputusan komisioner perlawanan yang tidak membenarkan pemain JDT itu diturunkan kerana mengutip kad kuning sewaktu menentang Palestin (16 Jun) dan Arab Saudi (8 September).
“Kita dimaklumkan oleh FIFA bahawa perlawanan menentang Arab Saudi digantung jadi pemain lawan yang menerima kad kuning dilupuskan. Kita menunggu sehingga pada saat akhir iaitu dalam mesyuarat komisioner perlawanan di sebelah petang (kelmarin) dan diberitahu Safiq boleh diturunkan.
“Bagaimanapun semalam (kelmarin) komsioner perlawanan memaklumkan Safiq tidak boleh bermain. Jadi saya terpaksa membuat sedikit pertukaran,” jelasnya.
Tambah Kim Swee keputusannya untuk membawa Safiq adalah bukan disebabkan salah faham cuma tidak mahu terlepas peluang untuk menggunakan khidmat pemain JDT itu sekira­nya kad kuning yang diterima­nya ketika menentang Arab Saudi tempoh hari tidak dikira.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s