EURO 2016 : ‘Saya tidak akan lari’

Van Persie enggan bersara selepas Oranje tersingkir
16 Oktober 2015 12:13 AM
KEKECEWAAN jelas di wajah Robin van Persie apabila Belanda gagal melayakkan diri ke Euro 2016 selepas tewas 2-3 kepada Republik Czech dalam aksi kelayakan di Amsterdam Arena, kelmarin. – AFP
LONDON – Robin van Persie menegaskan, dia tidak akan lari daripada tanggungjawab dan tidak akan bersara daripada bola sepak antarabangsa hanya kerana Belanda dimalukan apabila gagal mela­yakkan diri Kejohanan Eropah (Euro) 2016.
Bekas bintang penyerang Arsenal dan Manchester United itu menegaskan, dia tetap teguh bersama skuad negaranya sama ada dalam keadaan suka atau duka.
Van Persie, 32, yang kini beraksi bersama kelab Turki, Fenerbahce melakukan kesilapan dengan menjaringkan gol sendiri ketika Oranje tewas 2-3 kepada Republik Czech dalam kelayakan Euro 2016 kelmarin, sekali gus menyebabkan Belanda menghuni tangga keempat Kumpulan A.
Apa yang lebih memalukan, Czech menamatkan perlawanan tersebut dengan 10 pemain.
“Saya tidak akan lari daripada detik sukar yang sedang kami hadapi sekarang. Saya akan teguh berdiri di sini dan sentiasa bersedia untuk menawarkan khidmat saya pada bila-bila masa yang diperlukan.
“Dapat menyarung jersi Oranje adalah satu penghormatan buat saya, tidak kiralah sama ada kami berada dalam situasi suka atau duka.
“Saya bukan jenis yang akan lari daripada tanggungjawab. Berputus asa tiada dalam kamus saya, namun sudah tentu peluang itu (beraksi buat Belanda) bergantung kepada jurulatih, sama ada mahukan saya atau tidak,” kata Van Persie kepada akhbar Belanda, De Telegraaf.
Menurut Van Persie lagi, sebagai manusia biasa sudah pasti dia amat kecewa apabila skuad Oranje yang sarat dengan sejarah hebat gagal layak ke Euro buat kali pertama sejak 1984.
“Sebagai ahli sukan, hati saya menangis. Kegagalan layak ke Euro sangat mengecewakan dan ia detik terburuk buat Belanda.
“Namun, kami perlu kekal positif biarpun berdepan situasi sukar. Kesakitan akan dirasai untuk tempoh yang lama, tetapi kami harus bangkit selepas ini,” ujar Van Persie lagi.
Walaupun Van Persie meraikan penampilan ke-101 bersama Belanda kelmarin, namun perkara itu tidak langsung menggembirakannya kerana tiada apa yang mampu dilakukan untuk menyelamatkan Oranje.
Kekalahan ini cukup memalukan buat sebuah pasukan yang memiliki reputasi besar seperti Belanda.
Mereka menamatkan kempen Piala Dunia 2014 di tangga ketiga dan merupakan juara Eropah 1988.
Sementara itu, bekas bintang tengah Oranje, Bolo Zenden berkata, gol sendiri Van Persie hanya memburukkan lagi situasi Belanda yang sudahpun teruk.
“Kami tiada kualiti. Perlawanan diakhiri dengan gol sendiri dan itu memburukkan lagi keadaan,” kata Zenden kepada BBC Radio 5. 
– AGENSI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s