F1 : Hamilton hampiri kejuaraan dunia ketiga

12 Oktober 2015 12:19 AM
PEMANDU Mercedes AMG Petronas, Lewis Hamilton meraikan kejayaannya memenangi Grand Prix Rusia di atas pentas selepas menerima trofi di Litar Sochi Autodrom, Sochi semalam. AFP
SOCHI, Rusia – Lewis Hamilton melakar kemenangan dramatik dalam Grand Prix (GP) Formula Satu (F1) Rusia semalam bagi mencerahkan peluang untuk merangkul gelaran dunia buat kali ketiga selepas rakan sepasukannya dalam Mercedes AMG Petronas, Nico Rosberg berdepan masalah pendikit.
Penyandang juara dunia itu menamatkan perlumbaan dalam masa satu jam, 37 minit dan 11.024 saat untuk muncul juara di sini, sementara pemandu Ferrari, Sebastian Vettel di tempat kedua (1’37:16.977s), manakala pelumba Force India, Sergio Perez di tempat ketiga (1’37:39.942s).
Kejayaan Vettel menamatkan saingan di kedudukan kedua membuka laluan kepadanya untuk memintas Rosberg sebagai pencabar terdekat Hamilton setelah dipisahkan 66 mata di belakang pemandu Britain itu dengan empat perlumbaan masih berbaki dan 100 mata maksimum menjadi rebutan.
Jika keputusan seiring dengan apa yang disasarkan Hamilton, maka pelumba itu berpeluang besar untuk memastikan kejuaraan dunia menjadi miliknya di Austin, Texas, Amerika Syarikat dalam tempoh dua minggu lagi.
Hamilton, yang turut menjuarai persaingan dalam penganjuran sulung GP Rusia pada tahun lalu, turut berjaya mengatasi rekod yang pernah dicipta juara dunia tiga kali, Ayrton Senna, setelah dia mengumpul 302 mata, sementara Vettel mengutip 236 mata dan Rosberg meraih 229 mata.
“Kami seperti akan terus bersaing dan saya berasakan ini sesuatu yang hebat. Apa yang pasti kami bakal mempamerkan aksi yang menarik,” kata Hamilton, selepas menerima trofi kemenangannya daripada Pre­siden Rusia, Vladimir Putin.
Mengulas mengenai kegagalan Rosberg menamatkan perlumbaan, Hamilton yang melakar kemena­ngan kesembilannya musim ini dan yang ke-42 dalam kariernya berkata, rakan sepasukannya itu telah me­lakukan kesilapan pada selekoh pertama sehingga menyebabkan jenteranya terbabas.
“Kesilapan itu membolehkan saya memintasnya, dan selepas itu dia telah berdepan beberapa masalah. Malang sekali untuk pasukan kami. Saya sendiri tidak tahu berapa banyak lagi peluang untuk saya berada di kedudukan sebegini sekali lagi,” tambah penyandang juara dunia itu.
Sementara itu, pemandu Williams, Felipe Massa melengkapkan perlumbaan 53 pusingan itu di kedudukan keempat dalam aksi yang memaksa dua kereta keselamatan masuk ke litar selepas pelumba Finland, Valtteri Bottas dan Kimi Raikkonen berlanggar ketika bersaing merebut keputusan podium terakhir.
Bagaimanapun, Raikkonen dari Ferrari sekadar berpuas hati di tangga kelima, yang mana keputusan itu menghalang Mercedes dinobatkan sebagai juara pengeluar lebih awal buat tahun kedua berturut-turut.
Namun, perbuatan nekad Raikkonen itu mengundang padah kepadanya, setelah dia berdepan siasatan steward perlumbaan kerana terbabit dalam pelanggaran. – REUTERS

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s