1MDB & SOSMA : Khairuddin, Matthias didakwa

Tuduhan cuba melakukan sabotaj terhadap perkhidmatan perbankan, kewangan negara
SUWARNI MOKHTAR | 13 Oktober 2015 1:11 AM
Khairuddin Abu Hassan (kiri) dan Matthias Chang (tengah) dibawa keluar dari Mahkamah Majistret di Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/AMIR HAFIZ ABD RAHMAN
KUALA LUMPUR 12 Okt. – Bekas Naib Ketua UMNO Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguam, Matthias Chang didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan cuba melakukan sabotaj terhadap perkhidmatan perbankan dan kewangan negara.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di antara 26 Jun dan 26 Ogos lalu di Pejabat Ketua Polis Bahagian Jenayah Ekonomi dan Kewangan Paris, Perancis; Balai Polis Charing Cross, London; Pejabat Peguam Negara Switzerland, Bern; Balai Polis Waichan, Hong Kong; dan Ibu Pejabat Polis Cantoment, Singapura.
Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun.
Tiada pengakuan direkodkan daripada Khairuddin dan Matthias. Kedua-duanya merupakan tertuduh pertama didakwa mengikut seksyen tersebut.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Ra­ya, Masri Mohd. Daud dan Mohd. Dusuki Mokhtar manakala kedua-dua tertuduh terbabit diwakili peguam-peguam bela, Mohamed Haniff Khatri Abdulla dan Zainur Zakaria.
Semasa prosiding, keadaan menjadi agak tegang apabila Masri memohon sebutan semula kes itu dibuat dalam tempoh sebulan agar segala dokumen berkaitan kes ber­kenaan dapat dilengkapkan sebelum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Beliau juga tidak mencadangkan sebarang jumlah ikat jamin kerana pertuduhan tersebut tergolong di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang tidak membenarkan sebarang jaminan dikenakan.
Mohamed Haniff bagaimanapun membantah atas alasan tiada asas yang menunjukkan bahawa pertuduhan terhadap Khairuddin, 53, dan Matthias atau nama penuhnya Chang Wen Chieh, 65, tergolong di bawah akta terbabit.
Beliau juga memohon agar kes itu dipindahkan serta-merta ke Mahkamah Tinggi untuk menentukan sama ada Seksyen 124L tergolong di bawah SOSMA kerana ia boleh menjejaskan urusan ikat jamin kedua-dua tertuduh.
Selepas mahkamah berhenti seketika, Majistret Siti Radziah Kamarudin menetapkan sebutan semula kes itu pada 26 Oktober ini dan tiada jaminan dibenarkan.
Terdahulu, sebelum Mahkamah Majistret mula bersidang, penyokong dan ahli keluarga kedua-dua tertuduh dilihat bersorak dan melambai ke arah Khairuddin dan Matthias ketika mereka berdua dibawa keluar dari lokap ke kandang tertuduh.
Kedua-dua lelaki terbabit pada ketika itu berada dalam keadaan bergari dan memakai pakaian lokap berwarna jingga. Pakaian tersebut bagaimanapun dilihat telah ditukar sebelum mereka dibawa pulang ke penjara.
Matthias juga sempat menyatakan bahawa dia tidak bersalah dan menyatakan bahawa mogok lapar­nya sudah memasuki hari kelima sejak dia ditahan pada 8 Oktober lalu.
Yang turut hadir di mahkamah hari ini ialah isteri Khairuddin yang juga pelakon, Datin Seri Umie Aida, anak pasangan tersebut Mohd. Daniel Firdaus dan adik kepada Umie, Betty Rahmad.
Berhubung permohonan habeas corpus bagi mencabar penahanan Khairuddin di bawah SOSMA, Mohamed Haniff berkata, kes itu akan disebut esok di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Kamardin Ha­shim namun beliau belum dapat memastikan sama ada permohonan itu akan diteruskan memandangkan anak guamnya itu telah didakwa hari ini.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s