Harimau akhirnya tunjuk belang

09 Oktober 2015 12:19 AM
AZAMMUDDIN AKIL meledak satu gol buat Harimau Malaya ketika menumpaskan Laos di Bangkok, semalam.
KUALA LUMPUR – SKUAD Harimau Malaya ­akhirnya berjaya mencatat kemenangan pertama tahun ini meskipun terpaksa menanti sehingga perlawanan antarabangsa kelapan apabila menundukkan Laos 3-1 dalam aksi persahabatan di Stadium Thai Army Sports, Bangkok semalam.
Kemenangan itu hadir tepat pada masanya ketika skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee memerlukan motivasi untuk meneruskan kempen kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 menentang Timor Leste di Dili, 13 Oktober ini.
Kim Swee nyata gembira de­ngan keputusan yang diraih, apatah lagi mereka berlepas ke Bangkok dalam situa­si tidak menggembirakan selepas menerima kekalahan 0-3 kepada Arab Saudi gara-gara kekecohan yang ditimbulkan penyokong dalam insiden 8 September.
“Satu kemenangan yang bagus untuk pasukan sebab seperti yang anda tahu kami belum pernah menang dalam mana-mana perlawanan pada tahun ini.
“Jadi saya harap dengan keputusan yang bagus ini dapat memberi keyakinan kepada pemain untuk menghadapi Timor Leste.
“Biarpun pemain tidak mempamerkan corak permainan yang seperti diharapkan pada masa-masa tertentu tapi anda perlu faham dengan keadaan padang yang tidak begitu baik dan mereka telah mencuba sedaya termampu untuk memenangi perlawanan ini,” kata Kim Swee.
Kali terakhir pasukan kebangsaan mencatat kemenangan dalam perlawanan antarabangsa adalah ketika menundukkan Thailand 3-2 pada final Piala AFF, Disember tahun lalu.
Dalam perlawanan semalam, dua gol skuad negara diperoleh menerusi pemain Felda United, Christie Jayaseelan pada minit ke-50 dan minit ke-92, manakala satu lagi jaringan dihasilkan oleh Azammuddin Mohd. Akil (minit ke-53).
Harimau Malaya hampir mendapat satu lagi jaringan, namun sepakan penalti yang diambil oleh Mohd. Safee Mohd. Sali gagal disempurnakan.
Gol saguhati Laos diperoleh menerusi jaringan penalti yang disempurnakan oleh Sitthideth Khanthavong pada minit ke-82.
Dalam pada itu, Kim Swee turut memberikan pujian kepada Christie kerana mampu memainkan peranannya dengan baik ketika beraksi bagaimanapun tidak bimbang terhadap Safee kerana gagal menyempurnakan sepakan penalti yang diberikan.
“Ini satu petanda apabila melihat kepada aksi Christie sebab kita sudah lama tidak menghasilkan tiga gol dalam satu-satu per­lawanan untuk tempoh yang lama kerana apabila dapat melakukannya ia memberikan keyakinan kepada pasukan.
“Mendapatkan dua gol ini membuktikan Christie seorang pemain ada kualiti untuk main di peringkat lebih tinggi.
“Ini berlaku kepada sesiapa pun (gagal menyempurnakan sepakan penalti) dan bagi saya setiap pemain yang gagal melakukannya pasti akan menerima satu tekanan.
“Bagi saya hari ini mungkin bukan hari Safee tapi sumbangan dia untuk pasukan selama 90 minit permainan amat baik,” katanya lagi.
Tambah Kim Swee untuk berdepan menentang Timor Leste di tempat lawan dia berharap agar pemain negara dapat mengekalkan corak permainan berdisiplin kerana menyedari lawan yang bakal dihadapi bukan sembarangan apabila mereka berjaya mencatat keputusan seri 1-1 ketika menentang Palestin dalam aksi dwi kelayakan itu.
Pertahanan Pahang, Razman Roslan dipanggil menyertai skuad Harimau Malaya menentang Timor Leste menggantikan Mohamad Fadhli Mohd. Shas yang mengalami kecederaan pada buku lali akibat pertemuan tersebut.
Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s