Malaysia masih belum tandatangan TPPA

07 Oktober 2015 1:20 AM
KUALA LUMPUR 6 Okt. – Malaysia masih belum menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), dan penentuan sama ada negara bakal menyertai perjanjian itu hanya akan diputuskan oleh Ahli-ahli Parlimen.
MUSTAPA MOHAMED
Hal itu dinyatakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed menerusi laman sosial Facebook dan Twitternya hari ini, sebagai menjawab persoalan orang ramai mengenai persetujuan bersama yang telah dicapai oleh kesemua 12 negara TPPA terhadap kandungan perjanjian itu, semalam.
Kata beliau, kesemua 12 Menteri dari negara-negara terlibat iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat (AS) dan Vietnam telah mencapai persetujuan terhadap pembentukan TPPA di Georgia, AS.
Jelas menteri itu lagi, dalam tempoh sebulan lagi kandungan perjanjian itu akan didedahkan kepada umum dan kandungan Analisis Kos Faedah (CBA) juga akan siap dan diumumkan.
“Kedua-dua (kandungan TPPA dan CBA) ini akan dibentangkan di Parlimen dalam dua bulan lagi. Parlimen akan membahaskan perkara ini dan membuat keputusan sama ada bersetuju atau tidak (untuk menyertai TPPA).
“Walaupun Parlimen setuju untuk sertai perjanjian ini, Malaysia masih ada tempoh selama dua tahun bagi mengesahkan penyertaan perjanjian ini dan boleh menolak TPPA dalam tempoh tersebut,” katanya.
Mustapa dalam kenyataannya semalam berkata, Malaysia berjaya meraih beberapa konsesi meng­untungkan dari negara-negara terlibat dalam TPPA pada perbincangan yang diadakan di AS yang berakhir semalam.
Katanya, pihak-pihak terlibat bersetuju untuk mengambil kira hampir semua kebimbangan dan sensitiviti Malaysia terutamanya dalam aspek-aspek kontrak kerajaan, syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) dan isu-isu bumiputera.
Beliau menegaskan, Malaysia tidak akan terlibat dalam perjanjian tersebut jika ia melanggar Perlembagaan negara atau menjejaskan dasar-dasar teras yang dimulakan oleh kerajaan untuk memberi manfaat kepada rakyat.
Malah katanya, sama ada Malaysia menandatangani TPPA (atau tidak) hanya akan diputuskan selepas perbincangan penuh dan meluas di dalam negara.
“Ahli-ahli parlimen akan membuat keputusan hendak setuju atau tolak TPPA apabila dibentang di Parlimen. TPPA masih belum ditandatangan lagi,” jelas beliau. 
TPPA dijangka tidak berkuat kuasa dalam dua tahun akan datang
07 Oktober 2015 1:20 AM
Rebecca
KUALA LUMPUR 6 Okt. – Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dijangka tidak berkuat kuasa dalam tempoh dua tahun akan datang, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Ketua Setiausaha MITI, Tan Sri Dr. Rebecca Fatima Sta Maria, berkata teks perjanjian yang dipersetujui masih mempunyai beberapa peringkat sebelum pengesahan, yang termasuk paparan awam, pembentangan di Parlimen dan analisis manfaat kos.
“Setiap negara perlu kembali kepada negara masing-masing untuk mendapatkan kelulusan bagi penandatanganan dan seterusnya, pengesahan.
“Ia akan melalui proses yang panjang,” katanya kepada pemberita di luar Forum Megatrend Khazanah 2015 di sini, hari ini.
Beliau berkata kementerian berkenaan turut menunggu teks penuh tiba dan sebaik sahaja semuanya tersedia, ia akan dipaparkan kepada umum secepat mungkin.
“Tidak ada apa-apa yang hendak kami sembunyikan. Apa yang penting adalah kita perlu memastikan ia memberi manfaat kepada Malaysia,” katanya.
Beliau berkata keputusan untuk menandatangani atau mengesahkan perjanjian berkenaan terletak kepada Parlimen.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s