3 negeri diisytihar wabak anjing gila

18 September 2015 1:33 AM
AHMAD SHABERY CHEEK (tengah) menyampaikan insurans kemalangan nelayan kepada Low Chye Hock (dua dari kanan) iaitu bapa mendiang Low Tze Kian yang meninggal dunia semasa menangkap ikan di Jalan Telok Kertang, Matang, Taiping, Perak, semalam. UTUSAN/HANAFI KHAMIS
TAIPING 17 Sept. – Penyakit anjing gila atau rabies yang kali terakhir me- landa negara pada tahun 1999 kembali lagi apabila Perlis, Kedah dan Pulau Pinang diisytihar sebagai kawasan wabak jangkitan tersebut.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pewartaan itu telah diisytihar di negeri Perlis pada 19 Ogos lalu sementara Kedah dan Pulau Pinang bermula hari ini.
Beliau berkata, pewartaan itu dibuat susulan wujudnya kes positif anjing gila yang dikesan Jabatan Perkhidmatan Veterinar pada 17 Ogos lalu di Perlis diikuti Kedah pada Ahad lalu dan kemudiannya di Pulau Pinang.
“Sehubungan itu, 200 kakitangan Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah dikerahkan untuk membantu mengawal keadaan di tiga negeri tersebut di samping pihak lain termasuk anggota pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Kementerian Kesihatan.
“Saya juga telah meminta Jabatan Perkhidmatan Veterinar mengeluarkan kenyataan mengenai perkembangan terbaru setiap hari supaya orang ramai lebih berhati-hati,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melawat rumah keluarga nelayan yang meninggal dunia baru-baru ini di Kuala Larut, Matang di sini hari ini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (Pembangunan), Datuk Dr. Quaza Nizamuddin Hassan Nizam berkata, sebanyak 22 mangsa gigitan anjing liar dicatatkan di Perlis, diikuti lima di Kedah dan dua di Pulau Pinang.
“Dua mangsa di Pulau Pinang terdiri daripada seorang kakitangan PBT dan seorang kanak-kanak yang digigit di Balik Pulau pada 13 September lalu.
“Sebanyak 65 sampel otak anjing masing-masing telah diambil di Kedah dan Perlis. Setakat ini, 17 disahkan positif di Kedah dan lapan lagi di Perlis. Daripada jumlah lapan sampel positif di Perlis, empat adalah anjing liar dan empat lagi merupakan anjing yang mempunyai pemilik,”katanya.
Penyakit anjing gila yang disebabkan oleh jangkitan Lysavirus, berjangkit melalui luka gigitan terbuka pada kulit atau permukaan mukosa daripada air liur, cairan atau tisu tubuh yang berjangkit.
Haiwan yang terjangkit akan menggigit semua binatang, manusia serta objek bergerak di sekelilingnya sekali gus menjadi lumpuh atau dungu sebelum maut.
Pada tahap tersebut, risiko jangkitan terhadap manusia sentiasa wujud.
Sehubungan itu, Quaza Nizamuddin menasihatkan semua pemilik anjing terutamanya di tiga negeri berkenaan supaya menjaga haiwan peliharaan masing-masing di rumah selain mendapatkan suntikan vaksin di pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar daerah.
Menurut beliau, strategi utama pihaknya adalah melakukan kawalan melalui pemusnahan anjing terbiar selain meningkatkan aktiviti pemvaksinan kerana tidak mahu penularan itu merebak turun menjangkaui Seberang Perai Utara.
“Di Perlis, beberapa kawasan yang terlibat ialah di Lubuk Sireh, Kaki Bukit, Kubang Tiga, Panggas Besar, Guar Nangka dan Pauh sementara di Kedah membabitkan Kubang Pasu dan Kota Setar.
“Oleh itu, kita juga telah melakukan beberapa langkah pembasmian lain melibatkan kempen kesedaran awam termasuk kawalan import, kuarantin dan pengezonan,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s