POLITIK : Dokumentari Al-Jazeera bermotif

Cubaan pertikai kredibiliti Perdana Menteri
MOHD. AZRAIE MD. YUSOF | 15 September 2015 2:11 AM
Musa Hassan
KUALA LUMPUR 14 Sept. – Dokumentari pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shariibuu yang dipaparkan menerusi stesen televisyen antarabangsa, Al-Jazeera dilihat bermotif untuk mempertikaikan kredibiliti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, hal demikian kerana dokumentari selama hampir setengah jam itu tidak memberikan fakta-fakta yang sah dalam mengaitkan Najib dengan kes tersebut.
Lebih-lebih lagi, kata beliau, apabila tiba babak menceritakan mengenai penyiasat persendirian, mendiang P. Balasubramaniam dan sesi temuramah dengan seseorang yang mengatakan penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda atau lebih dikenali sebagai Razak Baginda yang menembak Altantuya.
“Dokumentari itu pada peringkat awal betul sebagaimana perjalanan siasatan polis, tetapi lebih banyak fiksyen di babak-babak akhir. Ada perkara-perkara baharu yang kita tidak tahu, seperti diada-adakan.
“Jangan buat cerita jadikan polemik. Sepatutnya sesiapa yang ada petunjuk baharu mengenai kes ini, buat laporan polis, bukan mengada-adakan cerita. Jika ada maklumat baharu, polis boleh siasat untuk memastikan sebarang tuduhan yang dibuat itu benar atau tidak,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam sidang akhbar itu, Musa menghuraikan secara terperinci mengenai perjalanan siasatan polis terhadap kes pembunuhan Altantuya sehingga dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar serta Razak Baginda dihadapkan ke mahkamah.
Laporan program mingguan Al-Jazeera, 101 East berjudul ‘Murder in Malaysia’, yang dilaporkan wartawan, Mary Ann Jolley mendakwa terdapat cubaan memeras ugut Najib dalam kes pembunuhan itu, selain menyatakan Razak Baginda turut didakwa berada di lokasi kejadian.
Musa yang juga Pengerusi Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) dalam pada itu menegaskan bahawa siasatan polis mendapati langsung tiada bukti yang boleh mengaitkan Najib dengan kes tersebut.
Malah katanya, Najib yang ketika itu menjawat jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri memberi lampu hijau ketika beliau memberitahu hendak menahan Razak Baginda yang disyaki terlibat dalam kes berkenaan.
“Saya diarahkan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk memberi taklimat mengenai kes ini kepada Najib memandangkan Razak Baginda adalah penasihatnya.
“Saya kemudian pergi berjumpa Najib memberitahu hendak menahan Razak Baginda dan beliau berkata, ‘do your job’ (lakukan kerja kamu),” katanya.
Sehubungan itu kata beliau, jika Najib atau terdapat pihak lain merasakan diri mereka difitnah menerusi dokumentari berkenaan, tindakan saman ke atas Al-Jazeera perlu diambil bagi membersihkan nama mereka.
Musa menegaskan bahawa beliau tidak memihak kepada sesiapa, sama ada Najib atau pihak-pihak yang hendak menjatuhkannya.
Tujuan sidang akhbar itu diadakan jelasnya adalah untuk menjelaskan kepada rakyat tentang perkara sebenar berdasarkan fakta, bukannya fiksyen sebagaimana dokumentari yang dibuat Al-Jazeera.

– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/dokumentari-i-al-jazeera-i-bermotif-1.136135#sthash.8fYogrsU.dpuf


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s