PIALA MALAYSIA : Gol Safee, Chanturu julang JDT

12 September 2015 12:46 AM
JOHOR BAHRU – Dua gol dalam masa tiga minit menyaksikan Johor Darul Ta’zim (JDT) memulakan langkah pertama dalam kempen Piala Malaysia tahun ini dengan mencatat keputusan selesa apabila menundukkan Perak 2-0 dalam perlawanan pembukaan yang berlangsung di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin semalam.
JDT tidak menunggu lama untuk mendapatkan gol pembukaan menerusi penyerang berpengalaman Safee Sali pada minit ke-17 sebelum S. Chanturu menggandakan jaringan gol tuan rumah.
Perlawanan bermula seimbang dengan kedua-dua pasukan mempersembahkan corak permainan pantas dalam usaha memburu jaringan awal permainan.
Peluang terbaik pasukan Bos Gaurus muncul pada minit ke-10 permainan apabila penyerang Charles Souza Chad menerima bola namun tendangannya di hadapan pintu gol tepat menuju Izham Tarmizi.
JDT dilihat menggandakan serangan dengan mengatur gerakan bertali arus ke kubu pelawat sebelum Safee menanduk masuk bola hantaran Chanturu melepasi jangkauan penjaga gol Azizon Abdul Kadir.
Harimau Selatan yang tidak pernah tewas dalam perlawanan Liga Malaysia di Stadium Larkin sejak beberapa musim lalu menggandakan jaringan pada minit ke-21 permainan apabila Chanturu menanduk masuk bola hantaran pemain pertahanan Mahalli Jasuli.
Separuh masa kedua permainan menyaksikan pasukan pelawat menggandakan asakan ke kubu tuan rumah dengan beberapa percubaan berbahaya dari Souza Chad dan Ridzuan Azly Hussham.
Tendangan Souza Chad pada minit ke-56 berjaya menewaskan Izham namun bola sekadar menggegar tiang gol, begitu juga dengan tandukannya pada minit ke-62.
Kemasukan Harris Harun, Nazrin Nawi dan ayam tambatan JDT, Luciano Figueroa pada separuh masa kedua dilihat berjaya mengubah rentak permainan mereka namun kedudukan 2-0 kekal terikat tanpa tambahan jaringan.
Penyerang Perak terus mengatur serangan demi serangan sehingga ke minit-minit terakhir permainan namun gagal mencari jaringan yang dikehendaki.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s