POLITIK : Muhyiddin ikrar kukuh parti

Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO berlangsung dalam suasana harmoni
ASRON MUSTAPHA, 
HUSSAINI AMRAN 
DAN SOFIAN BAHAROM | 10 September 2015 1:19 AM
NAJIB TUN RAZAK bercakap dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, semalam. Di sebelah beliau Muhyiddin Yassin dan Ahmad Zahid Hamidi (kiri). BERNAMA
KUALA LUMPUR 9 Sept. – Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang julung kali diadakan hari ini selepas rombakan Kabinet dua bulan lalu berlangsung dalam suasana penuh harmoni dengan tiada penggantungan mahupun pemecatan ahli berlaku.
Hal itu menidakkan segala khabar angin kononnya Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal akan dipecat pada mesyuarat tersebut selepas dilihat lantang mengkritik kepemimpinan kerajaan.
Sebaliknya, Muhyiddin dan Mohd. Shafie menyatakan komitmen serta semangat setiakawan yang terpuji apabila berikrar akan bekerja keras membantu memperkasakan UMNO bagi memastikan Barisan Nasional (BN) terus memerintah negara.
Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, MT mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Muhyiddin dan Mohd. Shafie kerana tetap komited untuk bersama parti walaupun tidak lagi berada dalam kepemimpinan kerajaan.
“Tan Sri Muhyiddin selaku timbalan presiden parti telah menyatakan kesetiaannya untuk terus berjuang bagi memastikan kekuatan UMNO serta kejayaan dalam pilihan raya umum akan datang. Atas komitmen beliau itu saya ucap terima kasih.
“Datuk Seri Mohd. Shafie juga menyatakan komitmen yang sama iaitu beliau akan sentiasa bekerja keras untuk memperkukuhkan parti,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat MT UMNO di sini.
Yang hadir sama, Muhyiddin, Naib-naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Mohd. Shafie dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, ketua-ketua sayap parti dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Kepada soalan bagaimana UMNO mahu memastikan isu mengenai pemecatan Muhyiddin tidak terus menjadi hambatan dilema sehingga menimbulkan keresahan ahli di peringkat akar umbi, Najib berkata, semua pihak mesti menunjukkan solidariti.
“Kita bagi masa, kalau kita dah buat komitmen dalam mesyuarat, kita amalkan. Perlihatkan tindakan serta apa-apa yang kita lakukan termasuk ucapan menjurus kepada solidariti, keutuhan parti dan masing-masing ada peranannya nanti,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, MT UMNO juga mengambil ketetapan bahawa isu-isu berkait rakyat akan sentiasa diperjuangkan kerajaan dengan menterjemahkannya dalam Bajet 2016 yang bakal dibentangkan.
Selain itu, katanya, isu-isu semasa seperti dana politik dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan diperjelaskan secara lebih berkesan bagi memastikan tidak timbul lagi kekeliruan dan seluruh kepemimpinan perlu bersama dengan kerajaan.
“Kita ambil maklum ada beberapa isu yang perlu diperjelaskan bagi memberi kepuasan kepada rakyat antaranya soal 1MDB dan juga dana politik. Bagi 1MDB kerajaan dalam idah untuk menyelesaikan masalah hutang dan rasionalisasi.
“Bagi dana politik, MT mengambil maklum bahawa tiada undang-undang mengenainya dan tiada keperluan untuk kita dedah sumbernya. Kita juga ambil maklum parti politik pembangkang juga mengamalkannya,” ujarnya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s