WORLD CUP/PIALA ASIA : Perlawanan tergantung

FADHILUL IZMEL ISHAK DAN MOHAMMAD ROZAIDI ZULKIFLI | 09 September 2015 12:54 AM
PEMAIN Arab Saudi Yasyn Aalnakhu (kanan) cuba mengawal bola sambil cuba diasak oleh Azammuddin Akil dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia-Piala Asia di Stadium Shah Alam, Selangor, malam tadi.
SHAH ALAM – Perlawanan Malaysia menentang Arab Saudi dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2018-Piala Asia 2019 tergantung apabila segelintir penonton dipercayai dari Ultras Malaya membuat kecoh pada penghujung perlawanan di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Perlawanan itu dihentikan pada minit ke-88 oleh pengadil setelah mercun, bom asap, suar, malah kerusi dibaling ke padang oleh penyokong Malaysia ketika skuad tuan rumah ketinggalan 1-2.
Namun, perlawanan itu setidak-tidaknya membuktikan bahawa pemain-pemain negara telah pulih semangat mereka daripada kekalahan 10-0 kepada Emiriyah Arab Bersatu (UAE) sebelum ini.
Yang jelas, pengalaman, kepantasan dan kebolehan teknikal individu menjadi jurang pemisah antara kedua-dua pasukan.
Walaupun memberikan persaingan hebat, skuad negara tidak boleh terlalu teruja untuk menghadapi perlawanan mereka seterusnya dalam kempen dwi kelayakkan tersebut apabila persembahan yang dipamerkan oleh anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee kurang meyakinkan apabila gagal mencipta peluang berbahaya untuk merobek gawang lawan.
Dalam perlawanan tersebut tidak banyak gerakan cantik yang berjaya direncanakan oleh Harimau Malaya malah mereka mudah kehilangan bola apabila diasak pihak lawan sekali gus merencatkan gerakan pasukan.
Penjaga gol Arab Saudi, Khalid Sharahili banyak berehat berbanding Khairul Fahmi Che Mat yang bertungkus lumus mematahkan satu demi satu percubaan pasukan lawan.
Lebih mendukacitakan lagi pada separuh masa pertama skuad negara dilihat sukar untuk melepasi garisan tengah padang sebaliknya mereka lebih banyak berkumpul di dalam kawasan kotak penalti Harimau Malaya untuk membantu Khairul Fahmi mengekang asakan lawan.
Ekoran persembahan goyah skuad negara, sekumpulan penyokong tuan rumah berkumpul di satu sudut sambil melaungkan nyanyian mengutuk Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada minit ke-40 perlawanan sebelum babak pertama tamat tanpa jaringan.
Arab Saudi yang menewaskan Timor Leste 7-0 dalam perlawanan sebelum ini mendominasi perlawanan sebaik sahaja bermula apabila Taiseer Al Jassam melepaskan rembatan leret namun gagal melepasi Khairul Fahmi.
Skuad negara, yang dibimbing oleh jurulatih baharu Datuk Ong Kim Swee, mempunyai peluang terbaik untuk berada di depan seawal minit ke-28 namun sepakan leret pemain Kedah, Baddrol Bakhtiar melewati tiang gol lawan.
Bermula babak kedua skuad negara bermain lebih kemas dan mendapat peluang pertamanya di dalam kawasan gol namun tandukan penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Mohd. Amri Yahyah berjaya ditangkap kemas oleh Khalid.
Akhirnya asakan skuad negara membuahkan hasil apabila serangan balas pantas dari sebelah kanan membolehkan Harimau Malaya gembira buat seketika apabila ketua pasukan Mohd. Safiq Rahim merembat masuk bola umpanan cantik oleh Amri.
Tersentak dengan jaringan itu anak-anak buah Bert van Marwijk mengatur gerakan lebih kemas dan hanya memerlukan dua minit kemudian untuk menyamakan kedudukan 1-1 hasil jaringan Taiseer setelah berlaku situasi kelam-kabut dalam kawasan kotak penalti Harimau Malaya.
Mohammed Al Sahlawi kemudiannya memastikan tiga mata penting menjadi milik Arab Saudi selepas menanduk masuk bola di penjuru gawang setelah menerima hantaran lintang daripada pertahanan, Yasir Alnakhli pada minit ke-76 sebelum keadaan menjadi kecoh apabila penonton Malaysia mula membakar suar, mercun, malah menanggalkan tempat duduk dan dibaling ke dalam padang sehingga nyaris terkena pemain dan penyokong pasukan pelawat.
Untuk mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk pegawai perlawanan mengarahkan pemain meninggalkan kawasan padang.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s